Tag: semakan kehakiman

  • “Rasul Melayu”: Mahkamah benar rayuan JAIS, Enakmen Prosedur Jenayah Syariah sah

    “Rasul Melayu”: Mahkamah benar rayuan JAIS, Enakmen Prosedur Jenayah Syariah sah

    MAHKAMAH Rayuan hari ini memutuskan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 berpelembagaan dan penahanan 14 individu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di atas dakwaan gerakan “Rasul Melayu” sebagai sah.

    Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azizah Nawawi, dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan JAIS, mendapati Seksyen 23 Enakmen Tatacara Jenayah itu adalah tidak batal.

    “Seksyen 23 Enakmen itu membenarkan orang yang ditangkap dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu selesai siasatan terhadap kesalahan yang didakwa. Pada masa yang sama, Seksyen 187 Enakmen itu memperuntukkan kuasa yang diperlukan untuk mengenakan syarat, termasuk jumlah bon dan jaminan.

    “Oleh itu, kami berpendapat bahawa Hakim Mahkamah Tinggi secara jelas terkhilaf dalam keputusannya bahawa Seksyen 23 Enakmen itu adalah serupa dengan perintah reman,” kata Hakim Azizah, yang bersidang bersama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Hashim Hamzah semasa menyampaikan keputusan melalui prosiding dalam talian.

    Pada 14 April 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan sebahagian tindakan undang-undang oleh Abdul Kahar Ahmad dan 13 yang lain terhadap penahanan mereka oleh pihak berkuasa Islam negeri itu pada 20 Sept 2020.

    JAIS, Ketua Pengarahnya, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Islam Selangor, hakim Mahkamah Syariah Rendah Shah Alam Masnizar @ Mohd Nizar Mohtar, kerajaan negeri, hakim Mahkamah Syariah Rendah Shah Alam Shanizah Ngatiman, sebagai perayu pertama hingga keenam, merayu untuk mengetepikan keputusan tersebut.

    Azizah dalam penghakimannya berkata Hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan perintah Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Sivil dan Syariah adalah dua sistem perundangan yang berasingan.

    “Mahkamah Syariah bukanlah tribunal inferior tertakluk kepada semakan kehakiman menurut Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, tetapi merupakan mahkamah yang mempunyai bidang kuasa yang kompeten. Oleh itu, mahkamah sivil tidak boleh menyemak keputusan Mahkamah Syariah menurut Aturan 53 Kaedah itu.

    “Mahkamah Tinggi dalam kes ini hanya boleh mengisytiharkan kesahihan Seksyen 23 Enakmen dengan Kerajaan Negeri sebagai pencanggah,” katanya.

    Oleh itu, hakim berkata pendapat mahkamah yang dipertimbangkan ialah Hakim Mahkamah Syariah, menjalankan fungsi kehakiman mereka apabila memberikan perintah tersebut dan oleh itu dilindungi di bawah Seksyen 76 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

    “Kesimpulannya, kami membenarkan rayuan ini dan mengetepikan keputusan hakim bertarikh 14 April 2022,” katanya.

    Sementara itu, mahkamah juga mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan JAIS dan kerajaan negeri membayar ganti rugi RM10,000 setiap seorang kepada Abdul Kahar dan 13 yang lain.

    Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib@Hamid mewakili enam perayu manakala peguam Fahri Azzat mewakili Abdul Kahar Ahmad dan 13 yang lain.

    Sebelum ini, media melaporkan JAIS menahan Abdul Kahar dan yang lain di tiga lokasi berasingan di Selangor pada 20 Sept 2020 atas dakwaan kebangkitan gerakan “Rasul Melayu”.

    Mereka ditahan antara satu hingga 99 hari dari 21 Sept 2020 hingga 28 Dis 2020, kerana tidak dapat memenuhi syarat jaminan.

    Bagaimanapun sehingga hari ini mereka masih belum didakwa di Mahkamah Syariah.

    Selepas pembebasan mereka daripada tahanan pada 2020, Abdul Kahar dan 13 yang lain memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah sivil untuk mencabar kesahan penangkapan dan penahanan mereka, dengan sebahagian daripada mereka hanya dibebaskan selepas 99 hari dalam tahanan. – BERNAMA

  • Enggan divaksin Covid: Bekas tentera gagal cabar penamatan awal khidmat

    Enggan divaksin Covid: Bekas tentera gagal cabar penamatan awal khidmat

    SEORANG bekas tentera hari ini gagal dalam permohonannya untuk mencabar keputusan pihak berkuasa yang menamatkan perkhidmatannya daripada Tentera Darat Malaysia setelah enggan menerima vaksinasi COVID-19.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Wan Ramli Wan Seman atas alasan keputusan yang dibuat untuk menamatkan perkhidmatan pemohon adalah mengikut undang-undang dan bukan prosedur yang tidak wajar dan tidak rasional.

    Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 27 Sept 2021, Wan Ramli menamakan Leftenan Kol Sharull Hesham Md Yasin, Leftenan Mohamad Azammunir Mohd Ashri, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Tentera Darat, dan kerajaan, sebagai responden.

    Wan Ramli memohon pengisytiharan bahawa surat penamatan bertarikh 4 Ogos 2021 dan penamatan awalnya daripada perkhidmatan adalah terbatal.

    Dalam penghakimannya, Ahmad Kamal berkata perintah vaksinasi COVID-19 telah dikenakan ke atas semua anggota tentera Malaysia melalui surat bertarikh 3 Mac 2021.

    “Berdasarkan perintah vaksinasi itu, vaksinasi COVID-19 adalah diwajibkan kepada semua anggota Tentera Darat Malaysia kecuali mereka dalam kumpulan yang tidak layak untuk divaksinasi, seperti mereka yang mempunyai sejarah dimasukkan ke hospital akibat alahan teruk dan mereka yang mengalami tindak balas alahan yang teruk selepas menerima dos pertama vaksin.

    “Selain itu, tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka yang ingkar perintah itu,” kata beliau.

    Hakim berkata perintah vaksinasi telah diedarkan kepada semua anggota Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Rasah di Seremban, tempat pemohon berkhidmat.

    Hakim berkata pemohon jelas mengingkari perintah apabila enggan divaksinasi mengikut perintah vaksinasi tersebut.

    Beliau berkata perintah vaksinasi itu dikeluarkan oleh Tentera Darat Malaysia kepada anggotanya.

    “Ia adalah soal pertimbangan dasar dan keputusan yang relevan dengan operasi kerja Tentera Darat Malaysia.

    “Memandangkan keputusan yang dipertikaikan oleh responden melibatkan pertimbangan dasar yang mana mahkamah tidak mempunyai pengetahuan tentang pertimbangan yang mendasari keputusan tersebut, saya berpendapat bahawa mahkamah ini tidak sepatutnya menyemak alasan responden dalam membuat keputusan itu dengan tujuan untuk mengemukakan pendapat mahkamah sendiri berasaskan apa yang dianggap adil dan munasabah berdasarkan merit,” katanya.

    Hakim berkata mahkamah juga mendapati sekatan ke atas pergerakan dan pekerjaan yang berkaitan dengan vaksinasi COVID-19 telah dikenakan di beberapa negara.

    “Kesahan dan keperlembagaan sekatan sedemikian sebelum ini telah diputuskan oleh mahkamah merentasi bidang kuasa lain,” katanya.

    Mahkamah juga mendapati bahawa pengeluaran perintah vaksinasi adalah secara munasabah seimbang dengan kepentingan individu dan Angkatan Tentera, katanya sambil menambah bahawa ia dikeluarkan bagi memastikan risiko jangkitan dalam kalangan anggota Tentera Darat Malaysia dapat dikurangkan dan mencegah kewujudan kluster dalam kalangan anggota.

    “Memandangkan pemohon gagal memberikan apa-apa alasan berkaitan untuk mengecualikan dirinya daripada divaksin, maka dia bertanggungjawab untuk mematuhi perintah vaksinasi tersebut,” katanya.

    Mengenai dakwaan pemohon bahawa dia telah kehilangan pekerjaan dan mata pencarian akibat penamatan perkhidmatan itu, hakim berkata sekatan yang menjejaskan pekerjaan seseorang bukanlah melanggar Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan kerana hak pekerjaan adalah tidak mutlak.

    “Saya melihat keputusan responden secara keseluruhan daripada mengenakan keputusan dasar perintah vaksinasi dengan menamatkan perkhidmatan pemohon mengambil kira kepatuhan pemohon terhadap perintah vaksinasi semuanya dibuat mengikut undang-undang.

    “Pemohon tidak dilucutkan kebebasan peribadinya dan keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan munasabah, itu adalah langkah untuk membendung wabak COVID-19 dalam kalangan Tentera Darat Malaysia,” kata hakim itu ketika menyampaikan penghakiman melalui prosiding dalam talian hari ini.

    Ahmad Kamal berkata mahkamah juga mendapati perintah vaksinasi dalam kalangan Tentera Darat Malaysia adalah mandatori atas dasar anggota Tentera Darat Malaysia hidup dalam kumpulan, peranan dan tanggungjawab mereka sebagai barisan hadapan dalam menjalankan tugas dan latihan serta berkemungkinan besar mudah dijangkiti COVID-19.

    “Adalah wajar semua anggota Tentera Darat Malaysia mengambil vaksin itu bagi mengekang penularan dalam kalangan mereka sendiri, keluarga dan juga masyarakat secara keseluruhan.

    “Pemohon perlu tahu bahawa perkhidmatannya tertakluk kepada Akta Angkatan Tentera 1972 dan menjadi tanggungjawabnya untuk mematuhi perintah yang dikenakan ke atasnya mengikut undang-undang dan peraturan yang berkaitan.

    “Sebagai pegawai tentera, beliau bertanggungjawab untuk mengikut arahan yang diberikan untuk menjaga disiplin. Sistem perundangan ketenteraan memerlukan tahap disiplin yang lebih tinggi dalam angkatan tentera,” tambahnya.

    Peguam Yasmeen Soh Sha-Nisse dan Phyllia Lim, mewakili Wan Ramli, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Peguam Persekutuan Liyana Muhammad Fuad, bertindak bagi pihak responden.

    Dalam permohonannya, Wan Ramli, 40, berkata dia mempunyai hak asasi untuk tidak diberi vaksin dan mendakwa pada 3 Ogos 2021, dia diberitahu bahawa penamatan perkhidmatannya yang baharunya berkuat kuasa pada 26 Ogos 2021, berbanding yang sepatutnya pada 20 Jan 2023.

    Dia mendakwa penamatan perkhidmatannya itu tidak sah atas alasan bahawa tindakan oleh responden adalah tidak seimbang dalam semua keadaan kes, menindas, tidak rasional, tidak munasabah, menyalahi undang-undang dan mengambil kira pertimbangan yang tidak relevan.- BERNAMA

  • Permohonan Najib cabar keputusan Jabatan Penjara ditolak

    Permohonan Najib cabar keputusan Jabatan Penjara ditolak

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencabar keputusan Jabatan Penjara yang enggan membenarkan beliau menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan bahawa tiada isu yang timbul untuk dipertimbangkan oleh mahkamah, kerana Najib bukan lagi ahli parlimen berikutan pembubaran parlimen pada 10 Okt.

    “Sebaik sahaja parlimen dibubarkan, pemohon (Najib) bukan lagi seorang Ahli Parlimen. Sehingga dan melainkan pengampunan diberikan, atau sabitan diketepikan selepas semakan semula, tidak ada kemungkinan pemohon sekali lagi akan menjadi Ahli Parlimen yang pada masa sama juga seorang banduan, kerana undang-undang menghalang sesiapa yang disabit kesalahan untuk bertanding, selaras dengan Perkara 48(5) Perlembagaan Persekutuan.

    ”Oleh itu, permohonan kini menjadi akademik dan ia tidak mempunyai merit. Saya menolak permohonan itu kerana dianggap remeh dan menyusahkan,” kata hakim.

    Pada 5 Okt lepas, Najib, 69, memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar keengganan Jabatan Penjara membenarkan permohonannya menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

    Bekas perdana menteri itu menamakan kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga, dan memohon perintah bagi membatalkan keputusan responden ketiga untuk tidak membenarkannya akses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja parlimen, perundangan dan kawasan.

    Hakim Ahmad Kamal dalam penghakiman ringkasnya berkata memandangkan Najib bukan lagi ahli parlimen Pekan, pelepasan pengisytiharan yang dipohonnya untuk mendapat akses kepada pegawai/pembantu bagi tujuan kerja Parlimen, perundangan serta kawasan, dan mendapat akses serta kehadiran di Parlimen pada tarikh sesi/persidangan yang dijadualkan, juga bukan lagi isu yang wujud.

    Beliau berkata pelepasan pengisytiharan yang dimohon Najib menjadi mustahil dengan pembubaran Parlimen, memandangkan tiada lagi persidangan Parlimen untuk beliau hadiri.

    “Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya juga telah mengumumkan bahawa hari pengundian untuk Pilihan Raya Umum akan datang adalah pada 19 Nov. Ini bermakna akan ada satu lagi Kabinet akan dibentuk yang terdiri daripada Ahli Parlimen yang baru dipilih,” katanya.

    Beliau menyatakan bahawa hujah yang dikemukakan oleh peguam pemohon bahawa pada masa pemfailan ia adalah ‘isu yang wujud’, adalah tiada merit.

    “Ini kerana adalah logik apabila sebarang permohonan dibuat atau difail di mahkamah, isu itu adalah ‘live issue’ yang ditetapkan semasa ia difail.

    “Bagaimanapun perkara ini telah overtaken by events dengan pembubaran Parlimen. Isu yang dipersoalkan adalah sesuatu yang telah berlalu dan tidak lagi wujud. Tiada perintah yang boleh dibuat bagi memberi kesan terhadap isu itu lagi,” katanya.

    Selepas hakim menyampaikan keputusannya, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu bahawa beliau akan menfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.

    Responden diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dari Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang setelah Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya selepas disabit dengan kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – BERNAMA

  • Parlimen sudah bubar, permohonan Najib cabar Jabatan Penjara tak lagi relevan

    Parlimen sudah bubar, permohonan Najib cabar Jabatan Penjara tak lagi relevan

    PERMOHONAN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencabar keputusan Jabatan Penjara yang enggan membenarkan beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat kini bersifat akademik kerana Parlimen sudah dibubarkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

    Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), berkata oleh itu, Najib tidak seharusnya dibenar meneruskan permohonan semakan kehakimannya susulan pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas.

    “Ini boleh dilihat daripada pelbagai laporan berita dan paling penting, pengisytiharan mengenai pembubaran Parlimen telah pun diwartakan,” katanya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

    Beliau berkata demikian ketika membantah permohonan Najib untuk memperoleh kebenaran bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara.

    Katanya dakwaan dan aduan yang menjadi asas semakan kehakiman Najib tidak lagi boleh dipertahan manakala relif yang dipohon terhadap responden sudah bersifat akademik dan tidak mempunyai kesan praktikal. 

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula berhujah bahawa permohonan anak guamnya masih relevan kerana ia boleh berlaku pada masa akan datang. 

    “Sehingga hari ini, kita tidak tahu sama ada beliau (Najib) masih lagi calon prospektif sebagai Ahli Parlimen Pekan.

    “Tidak mustahil anak guam saya menyaman Jabatan Penjara kerana hak beliau untuk menghadiri Parlimen telah dinafikan,” katanya.

    Ahmad Kamal menetapkan 27 Okt ini untuk memutuskan permohonan Najib.

    Pada 5 Okt lepas, Najib, 69, memfailkan permohonan menamakan kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.

    Dalam permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden ketiga (Komisioner Jeneral Penjara) yang tidak membenarkannya mengakses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja Parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya.

    Najib juga memohon perintah untuk mengetepikan keputusan responden ketiga itu yang tidak membenarkannya menghadiri Parlimen pada tarikh persidangan yang dijadualkan.

    Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata keputusan responden pertama dan ketiga yang menolak permohonannya atas alasan keselamatan telah disampaikan kepadanya melalui Pejabat Penjara Kajang pada 28 Sept.

    Najib juga menyatakan bahawa keengganan responden pertama dan ketiga untuk membenarkannya mengakses kepada pegawai dan pembantunya bagi tujuan perkara berkaitan Parlimen serta pengundinya dan tindakan tidak diambil oleh responden kedua adalah tindakan tidak munasabah atau tidak rasional.

    Najib berkata menurut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, beliau mempunyai kewajipan perlembagaan untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan sebagai Ahli Parlimen dalam mewakili pengundi Pekan. – BERNAMA

  • Najib fail permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan

    Najib fail permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan

    DATUK Seri Najib Tun Razak hari ini memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

    Najib, 69, memfailkan notis usul bagi permohonan itu melalui Tetuan Shafee & Co dan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden. Perkara itu disahkan oleh peguam Rahmat Hazlan.

    Ahli Parlimen Pekan itu memohon agar beliau diberi kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas yang menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, atau penjara lima tahun.

    Beliau turut memohon perintah agar keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari sama yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat daripada terus mendengar rayuan itu, diketepikan.

    Secara alternatif, Najib memohon agar rayuan itu didengar semula oleh korum Mahkamah Persekutuan yang baharu dan terdiri sekurang-kurangnya daripada tujuh hakim.

    Beliau turut memohon perintah agar keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos lepas yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti tambahan dan menggugurkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagi perbicaraan di Mahkamah Tinggi serta membatalkan perbicaraan itu atau diisytiharkan batal dan tidak sah, diketepikan.

    Najib, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, juga memohon penangguhan pelaksanaan sabitan dan hukuman sementara menunggu pendengaran permohonan semakan itu.

    Afidavit Najib yang difailkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan bahawa beliau benar-benar percaya dan telah dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

    “Ini kerana saya telah dinafikan hak untuk mendapatkan pendengaran rayuan yang adil seperti yang diperuntuk oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – BERNAMA

  • Bekas isteri SM Faisal gagal cabar prosiding komital di Mahkamah Syariah

    Bekas isteri SM Faisal gagal cabar prosiding komital di Mahkamah Syariah

    BEKAS isteri ahli perniagaan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal gagal memperoleh kebenaran bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah Kuala Lumpur yang memulakan prosiding komital terhadapnya.

    Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Emilia Hanafi.

    Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali, yang mewakili AGC, berkata hakim itu memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai  bidang kuasa untuk memulakan prosiding komital sebagaimana termaktub dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

    “Prosiding dan keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh disemak oleh Mahkamah Sivil berdasarkan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Keputusan permohonan itu disampaikan melalui e-mel.

    Mohammad Sallehuddin berkata Ahmad Kamal juga mendapati semakan kehakiman itu difailkan di luar tempoh yang ditetapkan kerana keputusan Mahkamah Syariah berhubung perintah komital dibuat pada 9 Feb lepas namun Emilia memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran pada 8 Jun.

    Prosiding komital terhadap Emilia, 43, adalah berhubung tindakan beliau melanggar perintah mahkamah mengenai hak lawatan SM Faisal antaranya membabitkan hak bermalam dan lokasi untuk ahli perniagaan itu mengambil tiga anak mereka.

    Menurut permohonan semakan kehakiman itu, Emilia tidak tinggal atau bermastautin di Wilayah Persekutuan dan semasa prosiding hadhanah difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 23 Julai 2018, beliau tinggal atau bermastautin di Kajang.

    Permohonan itu mendakwa Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 adalah terpakai untuk semua orang Islam yang tinggal dalam Wilayah Persekutuan dan yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan tetapi Emilia tinggal di luar Wilayah Persekutuan.

    Emilia memohon deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar serta menghukum mana-mana individu yang menghina mahkamah sebaliknya bidang kuasa itu adalah hak eksklusif mahkamah sivil di peringkat Mahkamah Persekutuan, Rayuan dan Tinggi berdasarkan Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan.- BERNAMA