Tag: seludup diesel

  • 2 pemandu lori ditahan, cuba seludup 17,000 liter diesel subsidi

    2 pemandu lori ditahan, cuba seludup 17,000 liter diesel subsidi

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang menahan dua pemandu lori tempatan kerana dipercayai cuba menyeludup kira-kira 17,200 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNHEP Pulau Pinang , A. Mogan berkata, serbuan kira-kira pukul 7 pagi itu dilakukan empat pegawai penguat kuasa susulan risikan serta maklumat awam.

    Menurut beliau, ketika serbuan seorang daripada pemandu lori yang membawa lori tangki telah mengisi sebanyak 16,000 liter minyak diesel manakala seorang pemandu lagi yang membawa lori jenis ‘bonded’ dikesan mengisi 1,200 liter minyak diesel ke dalam lori mereka.

    “Siasatan mendapati lori tangki berjenama Hino itu mempunyai tangki berkapasiti 17,000 liter manakala lori ‘bonded’ seberat tujuh tan berjenama Nissan mempunyai enam tangki fiber berkapasiti 1,000 liter setiap satu yang diubah suai di dalam lori berkenaan.

    “Secara keseluruhannya, anggaran nilai rampasan ke atas barang sitaan adalah RM148,800 dan termasuk dua lori tersebut beserta enam unit tangki fiber, satu unit mesin pam motor dan dua unit hos paip,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mogan berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama untuk individu.

    Bagi kesalahan kedua dan seterusnya jelas beliau, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan kepada mana-mana individu yang disabitkan bersalah.

    “Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama boleh dikenakan manakala denda RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana pihak yang menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan tegas.

    “Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak mematuhi akta dan peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.

    Tambah beliau, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama dan sebarang maklumat serta aduan berhubung aktiviti
    penyelewengan barang kawalan bersubsidi dalam usaha mengelakkan berlakunya ketirisan bekalan dalam negara.

  • Dua lelaki ditahan cuba seludup 2,000 liter diesel bersubsidi

    Dua lelaki ditahan cuba seludup 2,000 liter diesel bersubsidi

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang menahan dua lelaki bersama kira-kira 2,000 liter minyak diesel yang disimpan di dalam sebuah tangki khas di dalam lori dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Baru, Butterworth semalam.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDHEP Pulau Pinang, A. Mogan berkata, serbuan kira-kira pukul 6 petang itu dibuat hasil risikan dan maklumat yang diperoleh pihaknya berhubung aktiviti penyeludupan minyak diesel terbabit.

    Ujar beliau, pihaknya telah menjejaki lori jenis Daihatsu berwarna merah dengan muatan seberat dua tan terbabit sebelum mengesan suspek sedang mengisi minyak diesel dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil siasatan mendapati lori tersebut mempunyai satu tangki berkapasiti 2,500 liter yang telah diubah suai dan ditempatkan di belakang lori berkenaan.

    “Dua lelaki yang ditahan itu terdiri daripada warga tempatan iaitu pemandu lori dan seorang lagi pembantunya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, selain tangki simpanan turut dirampas dalam serbuan itu adalah satu unit motor pam elektrik dan satu unit hos paip dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM17,000.

    Jelas beliau, kes itu akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan bagi individu, boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula tambah beliau, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

    “Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan jika sabit kesalahan,” katanya.

    Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi atau bakal berdepan tindakan tegas.

    Dalam masa sama, pihaknya turut mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan
    bersubsidi.