PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang menahan dua lelaki bersama kira-kira 2,000 liter minyak diesel yang disimpan di dalam sebuah tangki khas di dalam lori dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Baru, Butterworth semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDHEP Pulau Pinang, A. Mogan berkata, serbuan kira-kira pukul 6 petang itu dibuat hasil risikan dan maklumat yang diperoleh pihaknya berhubung aktiviti penyeludupan minyak diesel terbabit.

Ujar beliau, pihaknya telah menjejaki lori jenis Daihatsu berwarna merah dengan muatan seberat dua tan terbabit sebelum mengesan suspek sedang mengisi minyak diesel dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil siasatan mendapati lori tersebut mempunyai satu tangki berkapasiti 2,500 liter yang telah diubah suai dan ditempatkan di belakang lori berkenaan.

“Dua lelaki yang ditahan itu terdiri daripada warga tempatan iaitu pemandu lori dan seorang lagi pembantunya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, selain tangki simpanan turut dirampas dalam serbuan itu adalah satu unit motor pam elektrik dan satu unit hos paip dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM17,000.

Jelas beliau, kes itu akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan bagi individu, boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula tambah beliau, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

“Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi atau bakal berdepan tindakan tegas.

Dalam masa sama, pihaknya turut mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan
bersubsidi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here