Tag: seleweng diesel

  • Lebih 50,000 liter diesel seleweng dirampas KPDN Pulau Pinang

    Lebih 50,000 liter diesel seleweng dirampas KPDN Pulau Pinang

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya mematahkan lapan percubaan menyeludup diesel bersubsidi membabitkan rampasan berjumlah 50,340 liter dengan nilai RM369,231 menerusi Ops Tiris yang dilaksanakan sepanjang bulan ini setakat semalam.

    Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, jumlah itu termasuk dua kes rampasan diesel bersubsidi di Bandar Perda, Bukit Mertajam kelmarin dan di Sungai Bakap, Nibong Tebal, semalam.

    Jelas beliau, dalam operasi di Bandar Perda, pihaknya mengesan sebuah lori seberat tujuh tan yang mencurigakan hasil pemantauan di sebuah stesen minyak kira-kira pukul 3 petang.

    Katanya, sepasukan anggota penguat kuasa kemudian bertindak mengekori lori tersebut yang membuat pembelian berulang dari sebuah stesen minyak ke sebuah stesen minyak lain.

    “Bagaimanapun, apabila menyedari diekori, pemandu lori itu kemudian menghentikan kenderaannya di kawasan bangunan lama sebuah pusat beli-belah di Bandar Perda sebelum melarikan diri.

    “Hasil pemeriksaan terhadap lori terbabit kemudian mendapati terdapat satu unit tangki besi tambahan berukuran 20x7x3 yang disyaki mengandungi diesel selain dua unit pam motor dan hos di bahagian lantai lori berkenaan yang digunakan untuk menyedut minyak diesel dari tangki asal,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Jegan, modus operandi bagi kes ini ialah dengan membeli bahan api itu di beberapa tempat berasingan sebelum dikumpul di satu tempat untuk dijual kepada pihak ketiga.

    Ujar beliau, pihaknya turut mengesyaki sindiket tersebut menggunakan khidmat tonto bagi mengawasi aktiviti mereka selain memantau pergerakan pihak berkuasa dan kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

    “Dalam operasi malam semalam di Sungai Bakap pula, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan bersama 4,600 liter diesel susulan pemeriksaan terhadap tiga buah lori kira-kira pukul 10.30 malam,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Jegan berkata, turut menahan seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan bersama 80 tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 14 kilogram (kg) setiap satu yang disimpan di sebuah stor simpanan khas dalam serbuan di Permatang Pasir, Balik Pulau, Jumaat lalu.

    Jelasnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita sebuah lori yang digunakan untuk membekalkan barang kawalan tersebut dengan anggaran keseluruhan rampasan sebanyak RM23,528.

  • 171,000 liter diesel seleweng dirampas, terbesar di Pulau Pinang

    171,000 liter diesel seleweng dirampas, terbesar di Pulau Pinang

    SATU sindiket penyelewengan minyak diesel berjaya ditumpaskan selepas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang menyerbu sebuah di sebuah stor di Bukit Minyak semalam.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 9.45 pagi itu, sebanyak 171,000 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM342,180 iaitu rampasan terbesar membabitkan diesel bersubsidi yang diseleweng di Pulau Pinang setakat ini.

    Menurut Pengarah PPDNHEP Pulau Pinang, S. Jegan berkata, dalam serbuan hasil risikan pihaknya selama empat hari itu, seramai empat lelaki warga tempatan turut ditahan.

    Katanya, turut disita dalam serbuan selepas risikan selama empat hari itu adalah sebuah lori kanvas 10 tan dan tiga buah lori tangki bernilai RM190,000 dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM532,180.

    Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati lori kanvas itu telah diubah suai dan dimuatkan dengan lapan unit tong plastik kosong berkapasiti 1,000 liter setiap satu.

    “Selain itu, terdapat lima buah ‘skid tank’, dua buah lori ‘bonded’, dua buah lori kargo dan lima buah lori tangki di dalam premis yang sama yang menyimpan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel dengan jumlah anggaran 171,000 liter iaitu melebihi had simpanan yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita semalam.

    Menurut Jegan, siasatan mendapati pemilik premis itu menipu apabila mengisytiharkan hanya memiliki sejumlah 35,000 liter diesel bersubsidi dalam simpanan iaitu jumlah yang dibenarkan.

    Sehubungan itu katanya, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama untuk individu.

    Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula tambah beliau, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan.

  • Polis marin patahkan cubaan seleweng diesel RM378,155

    Polis marin patahkan cubaan seleweng diesel RM378,155

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 5 menahan tiga lelaki disyaki menjalankan kegiatan penyelewengan diesel dianggarkan bernilai RM378,155 dalam tiga serbuan Op Kontraban, di Sibu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, serbuan dilakukan antara pukul 6 pagi hingga 8.30 pagi selepas menerima maklumat.

    “Tiga suspek berusia 28 hingga 42 tahun ditahan kerana didapati membawa bahan api berkenaan menggunakan kenderaan masing-masing dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan mendapati semua kenderaan yang digunakan suspek iaitu sebuah van, lori dan lori tangki didapati membawa diesel dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 31,700 liter,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, ketiga-tiga suspek mengaku membawa muatan diesel berkenaan tanpa permit yang sah.

    Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

  • Seleweng 11,400 liter diesel subsidi, empat lelaki ditahan

    Seleweng 11,400 liter diesel subsidi, empat lelaki ditahan

    EMPAT lelaki ditahan kerana disyaki menyeleweng kira-kira 11,400 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM24,510 menerusi serbuan di Chuah dan Lukut, Port Dickson dekat sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata mereka berusia lingkungan 18 sehingga 53 tahun dan ditahan dalam operasi yang bermula pukul 10.30 pagi hingga 9.30 malam.

    “Ketika pemeriksaan dijalankan kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang permit pemborong atau peruncit atau surat kebenaran bertulis menyimpan diesel yang dikeluarkan Pengawal Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    “Dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga lori dan 11 tangki empat segi yang dimuatkan di bahagian belakang lori tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata modus operandi digunakan adalah mengubah suai pelbagai jenis lori dan meletakkan tangki di bahagian muatan.

    Aidi Sham berkata suspek kemudiannya akan membeli diesel di stesen minyak untuk diisikan ke dalam tangki tersebut menggunakan satu saluran kecil di bahagian bawah lori dan apabila semua tangki telah penuh, diesel berkenaan akan dibawa ke stor simpanan untuk dikumpulkan sebelum dijual.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.- BERNAMA