Tag: selamat

  • Gempa Turkiye: Warga emas ditemui selamat 187 jam terperangkap bawah runtuhan

    Gempa Turkiye: Warga emas ditemui selamat 187 jam terperangkap bawah runtuhan

    DENGAN hanya minum air kencing sendiri, seorang mangsa gempa bumi di Turkiye berjaya diselamatkan selepas 187 jam terperangkap di bawah runtuhan pangsapuri yang didiaminya di Mersin di Wilayah Antakya kelmarin.

    Lelaki warga emas itu diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat selepas salah seorang petugas mendengar suaranya ketika misi mengesan mangsa dijalankan di kawasan runtuhan.

    Huseyin Berber, 62, yang juga pesakit kencing manis menceritakan detik hitam itu kepada agensi berita antarabangsa hari ini.

    Menurutnya, untuk meneruskan hidup, dia tiada pilihan lain selain daripada terpaksa meminum air kencingnya sendiri ketika terperangkap di antara sisa runtuhan.

    “Saya hanya ingat ketika saya sedar telah terperangkap dalam runtuhan. Ketika itu semuanya gelap, terlalu gelap sehingga saya tidak dapat melihat badan saya sendiri.

    “Saya menjerit minta tolong, tetapi tiada siapa mendengar. Bangunan ini 15 tingkat, saya bersyukur bila saya dengar bunyi dari kawasan atas runtuhan, saya terus menjerit walaupun tekak saya mulai bengkak,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Huseyin berkata, gempa kedua yang berlaku mengakibatkan siling turut runtuh, namun tidak mengenainya.

    “Gempa kedua, siling runtuh tapi tidak kena saya. Saya terpaksa sengetkan badan dan duduk di antara runtuhan yang menimpa peti sejuk dan kabinet rumah saya.

    “Hanya permaidani saya guna untuk menyelimut saya sepanjang masa sebelum saya dapat mencapai satu kerusi berhampiran dan duduk menunggu diselamatkan.

    “Saya pesakit kencing manis, ketika kejadian ubat dan sebotol air jatuh ke arah saya. Saya minum hingga habis, kemudian saya terpaksa kencing dalam botol untuk diminum.

    “Apabila air kencing itu sejuk, saya minum untuk selamatkan diri saya,” katanya lagi.

    Huseyin diselamatkan pasukan penyelamat dan dikejarkan ke Hospital Bandar Mersin untuk diberikan rawatan lanjut.

    Sehingga kini, lebih 41,000 mangsa maut dalam kejadian gempa bumi di Turkiye dan Syria, manakala lebih 12,000 bangunan dilaporkan runtuh akibat gempa itu.

  • Lebih 30 jam terapung di laut, nelayan ditemui selamat

    Lebih 30 jam terapung di laut, nelayan ditemui selamat

    SEORANG nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Karambunai, di Kota Kinabalu, terpaksa berpaut pada tong bekas minyak selama lebih 30 jam di lautan sebelum berjaya diselamatkan, hari ini.

    Lelaki itu, Morris Dulin, 69, yang hilang sejak 6 pagi semalam ditemui kira-kira pukul 1.45 tengah hari tadi dalam keadaan terapung dan berpaut pada tong plastik di kawasan perairan Sepanggar.

    Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan penemuan mangsa oleh Kapal KD Sunda, milik tentera laut.

    “Mangsa ditemui selamat dalam keadaan masih berpaut pada tong bekas minyak di tengah laut di perairan Sepanggar oleh tentera laut.

    “Mangsa kemudian dibawa balik ke pangkalan tentera laut untuk tindakan pengesahan dan rawatan,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Dalam kejadian 6 pagi semalam, dua rakannya berusia 41 dan 42 tahun ditemui selamat manakala mangsa hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Karambunai.

    Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kampung Mengkabong, Tuaran dilaporkan ke laut untuk memukat ikan dengan menggunakan sebuah bot.

    Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke jeti, cuaca bertukar buruk sehingga mengakibatkan bot dinaiki ketiga-tiga mangsa karam.

    Dua rakan mangsa yang dikatakan memakai jaket keselamatan berjaya berenang ke pantai untuk mendapatkan bantuan dan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

    Operasi mencari dan menyelamat dijalankan polis, polis marin, Pasukan Gerakan Udara (PGU), bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bot nelayan awam.

  • Juruterbang helikopter hilang di Bidor ditemukan selamat

    Juruterbang helikopter hilang di Bidor ditemukan selamat

    JURUTERBANG sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor petang semalam ditemukan selamat di sekitar lokasi kejadian, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Beliau berkata juruterbang itu dijumpai pada 8.20 pagi ini dan pada masa ini pasukan penyelamat sedang berusaha membawa keluar juruterbang berkenaan untuk dihantar Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

    “Setinggi penghargaan diucapkan kepada pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan semua yang terlibat di dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam catatan menerusi Facebooknya hari ini.

    Semalam Wee dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu terputus hubungan pada kira-kira 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor. 

    Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata SAR dihentikan sementara malam tadi memandangkan faktor cuaca tidak mengizinkan dan tidak menentu.

    Pemerhatian Bernama mendapati operasi yang bersambung hari ini bermula seawal 7.30 pagi melibatkan lima kumpulan dan dipecahkan kepada dua sektor besar.

    Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata operasi itu melibatkan kawasan Kampung Kenangan, Jalan Bidor-Teluk Intan dan turut memfokuskan pencarian dalam radius lima kilometer di kawasan Hutan Simpan Chikus, tempat isyarat terakhir mangsa sebelum hilang.

    Ia melibatkan 10 pegawai dan 197 anggota daripada pelbagai agensi antaranya PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Udara, Bomba, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Jabatan Perhutanan Negeri selain sebuah helikopter Unit Udara PDRM turut diterbangkan bagi mengesan mangsa.- BERNAMA

  • 7 sekawan hilang ditemui selamat, rupanya cari labi-labi

    7 sekawan hilang ditemui selamat, rupanya cari labi-labi

    MISTERI kehilangan tujuh kanak-kanak dan remaja termasuk tiga orang kurang upaya (OKU) di Kampung Kebayau dekat Kota Belud Sabah sejak semalam terungkai apabila mereka ditemui selamat, pagi ini.

    Kesemua mangsa ditemui penduduk kampung pada pukul 7.40 pagi di sebuah pondok di kawasan kebun pokok getah dan buah-buahan kira-kira 1.5 kilometer dari kampung mereka.

    Mereka ialah, Freddy Kerinsuk (OKU), 15; Arni Kerinsuk (OKU), 13; Alistar Kerinsuk (OKU), 9; Royce Kerinsuk, 3; Meclorn Datine, 12; Elson Evan Lie Willie, 11 dan Elcy Jackter, 5.

    Memetik Harian Metro, seorang penduduk kampung, Robert Santim, 50, berkata, dia menemui mangsa bersama dua lagi rakannya, Jolius Sumbing, 41 dan Vincent Sikin, 36.

    Menurutnya, remaja dan kanak-kanak itu mendakwa pergi mencari labi-labi di anak sungai yang terletak berhampiran puncak bukit.

    “Mereka yang berbekalkan roti dan air tidak menyedari cuaca semakin gelap dan terpaksa menginap di pondok yang berhampiran,” katanya.

    Susulan kehilangan tujuh sekawan itu, penduduk yang risau melancarkan usaha mencari yang turut disertai anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud dan unit anjing pengesan (K9).

    “Kami (penduduk) risau memikirkan keadaan mereka apatah lagi sebahagiannya autisme dan terus mencari sehingga jeritan kami didengari semua mangsa.

    “Syukur, mereka (mangsa) ditemui dalam keadaan selamat walaupun ada yang mengalami luka kecil,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, semua mangsa menjalani pemeriksaan rawatan oleh pihak paramedik.

    “Dua daripada tujuh mangsa itu dihantar ke hospital Kota Belud akibat luka kecil dan perlu menjalani pemeriksaan lanjut.”

    “Mangsa lain diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing manakala operasi ditamatkan jam 9.30 pagi ini,” katanya.

    Mereka kali terakhir dilihat penduduk kampung kira-kira pukul 3 petang semalam,sebelum dilaporkan dikhuatiri hilang.

  • Sesat cari air terjun, tujuh remaja ditemukan selamat – Bomba

    Sesat cari air terjun, tujuh remaja ditemukan selamat – Bomba

    TUJUH remaja lelaki yang sesat ketika beriadah di kawasan Jeram Bukit Hitam, Hulu Langat, dekat sini, dipercayai ingin mencari air terjun di kawasan itu, ditemukan selamat awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kesemua remaja berusia lingkungan 18 tahun itu beriadah di kawasan berkenaan sejak pagi semalam namun disebabkan hari mulai petang dan masih gagal menemukan air terjun mereka mengambil keputusan berpatah balik.

    Bagaimanapun, remaja berkenaan gagal menemukan jalan pulang hingga memaksa mereka menghubungi talian kecemasan.

    “Bomba menerima panggilan (mereka) 4.15 petang (semalam),” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini dan menambah operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sejurus menerima laporan tersebut.

    Katanya, operasi bagi mengesan lokasi remaja itu berkumpul agak sukar kerana terpaksa merintis laluan dalam keadaan gelap serta bentuk muka bumi yang berbukit.

    “Kesemua remaja itu dapat dihubungi melalui telefon dan ditemukan selamat 1.51 pagi, mereka (kemudian) dibawa keluar dari kawasan itu pada kira-kira 5.59 pagi tadi.

    “Kesemua remaja ini tidak mempunyai sebarang kecederaan dan mereka diserahkan kepada pihak polis (dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Norazam berkata operasi mencari remaja berkenaan dilakukan 28 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Bandar Tun Hussein Onn, Pasukan Pelbagai Kemahiran serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia.

    Beliau berkata operasi itu turut disertai Pasukan Bomba Sukarela , Polis Diraja Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah dan pasukan Penyelamat Bencana Malaysia.- BERNAMA

  • Tapir jantan jatuh lubang diselamatkan

    Tapir jantan jatuh lubang diselamatkan

    SEEKOR tapir jantan yang terperangkap dalam sebuah lubang di Kesedar Baru Chenulang dekat Kuala Krai berjaya diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, semalam.

    Haiwan dengan berat kira-kira 200 kilogram (kg) itu ditemukan terperangkap dalam lubang di sebuah kebun getah.

    Menurut Ketua Perhilitan Daerah Kuala Krai Azhan Ab Razak, sebanyak 13 kakitangan Perhilitan Kelantan termasuk Pengarah Perhilitan Kelantan Ady Armanty Haniff Mohamed Hanif terlibat dalam operasi menyelamatkan tapir itu.

    Katanya, hasil pemantauan mendapati tapir jantan itu tidak cedera dan dalam keadaan baik serta diberi makan dan minum sebelum operasi mengeluarkannya dari lubang berkenaan.

    “Operasi menyelamat tapir itu selesai pada pukul 8.30 malam dan haiwan berkenaan dibawa ke Taman Negara Pahang (Sungai Relau) untuk dilepaskan ke habitatnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Azhan dalam pada itu berkata, orang ramai dinasihatkan agar menghubungi PERHILITAN negeri atau daerah yang terdekat sekiranya terdapat hidupan liar yang perlu diselamatkan.

    Beliau menambah, sebarang aduan boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline, 1-800-88-5151, 019-3885046 (Pengurusan Konflik Hidupan Liar Negeri Kelantan), e-aduan di laman web, www.wildlife.gov.my atau [email protected].