Tag: sedekah

  • Pas ‘bersedekah’ tak kira musim, kata Hadi

    Pas ‘bersedekah’ tak kira musim, kata Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini sekali lagi menekankan bahawa amalan “bersedekah” yang dilakukan oleh parti itu bukanlah sesuatu yang aneh, malah ia dilaksanakan secara tidak bermusim.

    Menurutnya, kerana dididik dengan amalan itu, ada ahli Pas termasuk dalam kalangan wakil rakyatnya menanggung hutang yang banyak ekoran khidmat mereka kepada masyarakat tanpa memilih siapa.

    Dalam kalangan mereka itu, kata ahli parlimen Marang berkenaan, ada yang hanya berjaya melangsaikan hutang masing-masing selepas bersara.

    “Itu adalah bukti khidmat wakil rakyat PAS sepanjang masa dan kepada semua, bukan hanya pada musim pilihan raya umum, pusat, negeri dan pilihan raya kecil semata-mata.

    “Kini, selepas ramainya ahli PAS daripada pelbagai lapangan dan kebolehan, usaha-usaha ini diatur secara sistematik dalam lapangan yang lebih luas,” katanya melalui Minda Presiden Pas di Facebook hari ini, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu tular klip video menunjukkan ada individu yang dikaitkan dengan pemimpin akar umbi mengagihkan wang kepada pengundi yang bersumpah atas nama Allah mereka memangkah Pas dalam pilihan raya baru-baru ini.

    Ketika pengkritik menganggap tindakan tersebut sebagai amalan rasuah, Abdul Hadi tampil mempertahankan pengagihan wang tersebut dan menganggap ia tidak melanggar peraturan pilihan raya kerana tidak membabitkan calon atau wakil calon.

    Ada mencuri subsidi

    Bekas duta khas bertaraf menteri itu juga menganggap tindakan tersebut sebagai suatu sedekah.

    “Ikut undang-undang pilihan raya, calon atau wakil calon tak boleh bagi, orang awam nak bagi sedekah, terpulang kepada dia,” katanya pada 21 Jan lalu.

    Isu berkenaan semakin panas dan meluas apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan akaun Bersatu dibekukan agensi itu sejak beberapa minggu lalu bagi membantu siasatan mereka.

    Bersatu dan Pas merupakan antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang kini menjadi pembangkang.

    Kata Abdul Hadi, Pas telah bersedekah melalui pelbagai platform dan tidak hanya terhad dalam bentuk wang, bahkan turut membabitkan perkhidmatan yang diberikan oleh jentera dan wakil rakyat parti itu.

    Beliau turut berkongsi kisah liku-liku cabaran yang dihadapi oleh penyokong PAS ketika membantu pelbagai pihak termasuk mangsa banjir di kawasan kubu parti kerajaan.

    Menurutnya, pengorbanan PAS tanpa mengharapkan upah itu dapat dilihat oleh parti lain yang bekerjasama dengan mereka.

    Berdepan pelbagai cabaran termasuk dicaci, Abdul Hadi berkata, berkata tetap cekal meneruskan khidmat dan ‘bersedekah’ kepada rakyat, sebaliknya pihak lawan didakwanya “mencuri” pula.

    “Akan tetapi, mereka itu dalam keadaan tidak mempunyai rasa malu, ada daripada kalangan ahli parti mereka yang mencuri subsidi untuk rakyat dan barangan bantuan kepada mangsa, ketika (mereka sepatutnya) wajib mengorbankan diri dan tenaga kepada semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

    Tambah Abdul Hadi, tuduhan pihak lawan ke atas Pas yang mendakwa parti itu merasuah pengundi semasa pilihan raya adalah “terlalu kecil” berbanding sumbangan yang diberikan kepada orang ramai sebelum ini.

    Beliau turut mendakwa pihak lawan hanya menghulurkan bantuan secara bermusim, serta tidak ikhlas kerana mengharapkan keuntungan politik.

    “Laksana ayam yang bertelur sebiji, namun berkokok riuh sekampung,” katanya tanpa menyebut secara terperinci parti yang dimaksudkan itu.

  • ‘Sedekah’ pengundi: SPRM kenal pasti 90 individu, rakam keterangan

    ‘Sedekah’ pengundi: SPRM kenal pasti 90 individu, rakam keterangan


    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti kira-kira 90 individu yang didakwa menerima wang tunai di Terengganu untuk mengundi sebuah parti politik pada pilihan raya umum ke-15.

    Malaysiakini yang memetik sumber daripada agensi itu, ia bagi membantu siasatan berhubung video tular yang menunjukkan orang ramai dikatakan menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk menerima bayaran daripada Pas bagi tujuan mengundi.

    Menurut sumber yang rapat dengan siasatan itu, setakat ini, SPRM telah berjaya menjejaki hampir separuh daripada 90 individu tersebut dan mereka telah dipanggil untuk memberi keterangan.

    “Lelaki dalam video yang memberikan wang tunai kepada pengundi itu juga telah dipanggil untuk disoal siasat.

    “Sekarang SPRM sedang berusaha untuk memanggil seberapa ramai saksi bagi membantu siasatan. Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 90 penerima dikenal pasti (telah menerima wang tunai).

    “Ada sedikit kesukaran untuk mencari mereka kerana tidak semua mereka menetap di Terengganu. Ramai yang terlibat adalah pengundi luar,” kata sumber itu.

    Terima duit, angkat sumpah

    Katanya, siasatan dijangka dapat diselesaikan dalam masa kira-kira dua minggu.

    Tambahnya, SPRM berjaya mengenal pasti penerima wang tunai berdasarkan dokumen yang dirampas semasa siasatan.

    Ia termasuk dokumen yang perlu ditandatangani oleh penerima apabila mereka ingin mengutip wang berkenaan, selain perlu mengangkat sumpah.

    Selepas berakhirnya PRU 15 pada November lalu, timbul dakwaan di media sosial bahawa PAS telah memberi wang kepada pengundi.

    Pengarah pilihan raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun menafikan perkara itu.

    Sanusi berkata dakwaan itu merupakan helah daripada musuh politik untuk memburuk-burukkan Pas dan parti Islam itu tidak mempunyai dana untuk membayar pengundi.

    Pada Januari lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakan mengagihkan wang tunai kepada pengundi.

    Beliau dilaporkan memberitahu media di Terengganu bahawa peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

    Bagaimanapun Abdul Hadi berkata undang-undang tidak menghalang orang ramai daripada “bersedekah”.

  • Pemandu teksi wanita dituduh eksploitasi peminta sedekah lelaki

    Pemandu teksi wanita dituduh eksploitasi peminta sedekah lelaki

    SEORANG pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mengeksploitasi seorang individu bagi tujuan meminta sedekah tahun lepas.

    Nurul Hidayah Md Nor, 30, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

    Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Hidayah didakwa memperdagangkan lelaki berusia 27 tahun yang bukan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi di bawah Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 dengan menyuruhnya meminta sedekah di tempat awam sedangkan dia mampu mempunyai mata pencarian lain.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Seremban dan Senawang antara Mei hingga 7 Nov 2021, mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat sebulan sekali selain tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Mei untuk serahan dokumen. – BERNAMA

  • Rohingya minta sedekah atas jalan boleh diambil tindakan – PDRM

    Rohingya minta sedekah atas jalan boleh diambil tindakan – PDRM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ETNIK Rohingya yang terlibat dalam kegiatan meminta sedekah secara berbahaya di jalanan atau mengganggu orang awam, boleh diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) serta Akta Kesalahan-Kesalahan kecil.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, pihak polis tidak perlu menunggu laporan daripada mana-mana pihak untuk bertindak berhubung perkara itu.

    “Melalui laporan media pun kita boleh ambil tindakan. Macam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin katakan, undang-undang negara ini tidak tertakluk kepada warganegara saja sebaliknya tertapakai kepada sesiapa juga yang telah melakukan jenayah atau kesalahan kecil.

    “Oleh itu mereka masih tertakluk epada undang-undang. Saya tak perasan ada laporan atau tidak tetapi daripada laporan media pun kita boleh bertindak,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kedah Dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Kedah di IPK Kedah, hari ini.

    Pada majlis itu Datuk Kamarul Zaman Mamat yang akan bertukar menjadi Ketua Polis Johor menyerahkan tugas selaku Ketua Polis Kedah kepada bekas Timbalan Pengarah (Integriti), Jabatan Integriti Dan pematuhan Standard (JIPS), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Wan Hassan Wan Ahmad.

    Mengulas lanjut Razarudin berkata, pihaknya akan mengarahkan semua kontinjen serta Ibu Pejabat Daerah (IPD) bagi memberi perhatian terhadap perkara itu.

    “Selalunya kita lihat kejadian ini berlaku di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Biasanya mereka akan minta sedekah di kawasan-kawasan sesak termasuk di persimpangan lampu isyarat.

    “Apa pun kita sudah arahkan kontinjen-kontinjen dan IPD untuk beri perhatian,” katanya.

    Dalam pada itu beliau turut tidak menolak kemungkinan kegiatan meminta sedekah dalam kalangan warga Rohingya ini turut didalangi sindiket.

    “Kemungkinan itu ada namun saya tak boleh kata apa lagi. Mungkin lepas buat tangkapan atau siasatan, kita cuba kumpulkan risikan berkaitan perkara itu,” katanya.