Tag: sebabkan kematian guru

  • Penjaga stor OKU didakwa sebabkan kematian guru

    Penjaga stor OKU didakwa sebabkan kematian guru

    SEORANG penjaga stor yang juga orang kurang upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kulim, hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang guru di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas pada Julai lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, S Jelatheswaran, 37, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Mirza Mohamad.

    Mengikut kertas pertuduhan, Jelatheswaran didakwa dengan niat mencetus bencana hingga menyebabkan kematian mangsa N Kumar, 54, di pondok batu belakang sebuah rumah di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas Pulau Pinang antara pukul 4.30 petang 27 Julai 9.50 pagi 28 Julai lalu.

    Sehubungan itu dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang jika didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Pavitra manakala tertuduh diwakili peguam Tamil Salvan.

    Terdahulu, Pavitra memohon mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 dan beberapa syarat tambahan kepada tertuduh namun Tamil Salvan merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tiada pendapatan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya selain perlu menanggung tiga anak yang masih kecil.

    Mirza kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan termasuk tidak mengganggu mana-mana saksi pihak pendakwaan, lapor diri setiap dua minggu di Balai Polis Jalan Pattani, menyerahkan pasport sekiranya ada dan turut mengarahkan tertuduh memaklumkan kepada pegawai penyiasat sekiranya ingin keluar dari Kedah dan Pulau Pinang.

    Mahkamah kemudian menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Dalam kejadian 28 Julai lalu, seorang guru lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.

    Bagaimanapun, kematian guru pendidikan moral sebuah sekolah di Pulau Pinang itu menimbul persoalan sama ada dia menjadi mangsa jenayah atau sebaliknya selepas dibawa tiga lelaki ke hospital terbabit pukul 9.15 malam.

    Hasil siasatan polis membawa kepada penahanan wanita berusia 41 tahun yang bekerja sebagai penolong pegawai sebuah agensi kerajaan dan mangsa dipercayai terbabit dalam pergaduhan dengan beberapa lelaki di sebuah restoran kerana dia didakwa menyimpan gambar bogel suspek dalam telefon bimbitnya.

  • Pekerja kilang didakwa memandu bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian guru

    Pekerja kilang didakwa memandu bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian guru

    SEORANG pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pekan hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang guru di Kilometer 55 Jalan Kuantan-Segamat di Kuantan, minggu lepas. 

    Tertuduh Yeoh Boon Chin, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majisret Wahidah Zainal Abidin. 

    Yeoh yang beralamat di Gemas, Negeri Sembilan didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 petang, 26 Jun semasa memandu kenderaan bernombor pendaftaran WWR818 yang menyebabkannya tidak berdaya mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian Azlina Mohamad, 51, yang merupakan penumpang kereta jenis Myvi. 

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum 15 tahun penjara dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan. 

    Selain itu, Yeoh yang memakai pakaian lokap polis juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kedua iaitu  memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada anak Azlina, Ain Shafiah Ahmad Shahar 21, di tempat dan pada masa yang sama. 

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 44(1A)(a) akta sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000 jika sabit kesalahan. 

    Pada prosiding itu, peguam Osman Abdullah yang mewakili tertuduh merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM30,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu atas alasan tertuduh hanya memperoleh pendapatan RM1,700 sebulan. 

    “Tertuduh merupakan seorang duda anak satu dan berjanji akan hadir setiap kali kes disebut di mahkamah,” katanya. 

    Majistret membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 30 Ogos sebagai sebutan semula bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Natasha Saharrudin. —Bernama