Tag: Scammer

  • Sanusi ingatkan orang ramai tak tertipu dengan iklan palsu guna wajahnya

    Sanusi ingatkan orang ramai tak tertipu dengan iklan palsu guna wajahnya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BERIKUTAN populariti dimilikinya, wajah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor turut tidak terlepas daripada digunakan sebagai ‘pelaris’ oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk iklan pelaburan yang cukup meragukan di laman media sosial.

    Memuat naik iklan tersebut di laman media sosialnya hari ini, Muhammad Sanusi turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah tertipu.

    “Ini ‘scammer’ guna gambar saya. Harap jangan ada yang tertipu,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

    Iklan tersebut memaparkan mengenai pelaburan yang didakwa patuh syariah menggunakan operasi mudah, pantas, selamat dan boleh dipercayai.

    Pelaburan itu jelas meragukan apabila iklan tersebut mendakwa pelabur boleh mendapat keuntungan hanya dalam masa empat jam.

    Para pelabur juga boleh didakwa bolej mendapat keuntungan hingga RM9,000 dengan pelaburan hanya RM300, RM16,000 untuk pelaburan berjumlah RM500 serta RM29,000 untuk pelaburan bernilai RM1,000.

    Bagi menyakinkan orang ramai, iklan berkenaan turut mendakwa kononnya pelaburan itu sah dan berisiko rendah, 100 peratus menambah aset selain pelabur akan mendapati gantian modal semula secara penuh.

    Taktik sama sering digunakan oleh pemilik perniagaan atau produk-produk tertentu terutamanya kecantikan sebelum ini.

  • ‘Scammer’ berkebolehan intip, baca kod TAC

    ‘Scammer’ berkebolehan intip, baca kod TAC

    PERSATUAAN Pengguna Siber Malaysia (MCCA) mendakwa ada sindiket penipuan boleh mengintip dan membaca kod pengesahan transaksi (TAC) melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

    Memetik laporan Sinar Harian, Presiden MCCA, Siraj Jalil berkata, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan perisian hasad untuk menceroboh peranti sehingga mengakibatkan mangsa kehilangan wang dari akaun bank mereka.

    “Sindiket penipuan itu menggunakan kaedah phishing dengan menghantar perisian hasad melalui pautan yang diberikan kepada mangsa,” katanya semalam.

    Siraj mengikut laporan itu berkata, pihaknya juga menerima aduan daripada mangsa yang mendakwa duit dari akaun bank hilang walaupun tidak memberikan TAC kepada individu lain.

    “MCCA menyarankan pihak perbankan agar memperketatkan lagi dengan mewujudkan lapisan keselamatan akaun pengguna.

    “Orang ramai pula perlu sentiasa berwaspada dengan tidak berkongsi butiran peribadi mereka dengan mana-mana pihak bagi meminimumkan penipuan atau menekan sebarang pautan mencurigakan,” tegasnya.

    Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia dalam kenyataan melalui Facebook menasihatkan orang ramai tidak menyerahkan kod TAC atau berkongsi kepada pihak lain sekiranya tidak membuat sebarang transaksi di mana-mana perbankan internet.

    Orang ramai diminta menghubungi pihak bank dengan segera jika menerima sebarang nombor TAC bagi transaksi yang tidak dilakukan.

  • ‘Scammer’ kaut RM10 juta dalam 6 bulan di KL sahaja

    ‘Scammer’ kaut RM10 juta dalam 6 bulan di KL sahaja

    DALAM tempoh enam bulan, RM10 juta lesap hasil penipuan dalam talian daripada kira-kira 600 pembeli di Kuala Lumpur sahaja.

    Lonjakan kes seumpama itu berbanding tempoh sama tahun lalu berlaku kerana orang ramai kini bebas menyambut pelbagai upacara keagamaan dan perayaan, selepas semua sekatan pergerakan berkaitan Covid-19 tidak lagi dilaksanakan.

    Free Malaysia Today melaporkan, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, enam bulan pertama tahun lalu menyaksikan hanya 494 kes melibatkan kerugian RM3.65 juta di ibu kota.

    Bagaimanapun, angka itu meningkat kepada 613 kes bagi tempoh sama tahun ini membabitkan kerugian RM10.64 juta.

    “Kes dilihat melonjak ketika tempoh perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya,” katanya kepada FMT.

    Beh berkata, kebanyakan kes melibatkan iklan palsu di media sosial yang memancing pembeli.

    “Mereka akan meminta anda memuat turun aplikasi tertentu untuk menggantikan fungsi SMS anda, seterusnya mengalihkan anda ke laman sesawang pancing data untuk memasukkan butiran perbankan.

    “Begitu saja, duit anda dalam bank lesap,” katanya.

    Baru-baru ini, polis turut mengesan semakin banyak kes yang dikaitkan dengan platform TikTok.

    “Penipu ini memberikan pautan dalam hantaran mereka yang membawa pengguna media sosial mudah terpedaya kepada mereka,” katanya.

    Walaupun polis tidak mendedahkan jumlah kes penipuan melibatkan setiap platform media sosial, mereka berkata, kebanyakan mangsa melaporkan mereka terpedaya ketika cuba membeli gajet, khususnya telefon bimbit.

    Daripada 613 kes di Kuala Lumpur tahun ini, 386 kes melibatkan wanita. Bagi tempoh sama tahun lalu, 381 daripada 494 kes dilaporkan adalah lelaki.

    Beh berkata, tidak banyak pembelian dibuat dalam talian bagi barangan berkaitan perayaan disebabkan perintah kawalan pergerakan tahun lalu, dengan kebanyakan mangsa dilaporkan cuba membeli aksesori kenderaan serta telefon bimbit.

    Beliau menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika membuat pembelian dalam talian, terutama jika harga ditawarkan terlalu hebat untuk dipercayai.

    “Anda patut membandingkan harga barang sama ditawarkan di internet. Jika harganya terlalu rendah sehingga tidak masuk akal, berhati-hatilah.

    “Dapatkan maklum balas rakan-rakan dan saudara-mara,” katanya.

    Pembeli dalam talian juga boleh menyemak dengan polis dengan melayari laman sesawang “semak mule” untuk maklumat lanjut.

  • Scammer perangkap sebelum ugut, khianat mangsa

    Scammer perangkap sebelum ugut, khianat mangsa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MEMBUAT tawaran pinjaman wang secara pantas menerusi media sosial terutama menyasarkan pekerja Malaysia di Singapura sebelum menjerat mereka apabila tidak mampu membayar hutang.

    Apabila setuju untuk meminjam, mangsa disuruh membuat sedikit pembayaran terlebih dahulu sebelum wang yang mahu dipinjam dijanjikan akan dimasukkan ke dalam akaun peminjam.

    Itu modus operandi scammer yang menjalankan kegiatan tersebut dan selepas terperangkap, mangsa akan diugut dengan perbuatan khianat termasuk membaling caat ke rumah mereka.

    Pendedahan itu dilakukan Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon dan menyifatkan mereka yang menawarkan bantuan kewangan sedemikian adalah ‘scammer’.

    Pekarangan rumah dibaling cat merah selepas pemiliknya menjadi mangsa sindiket ‘scammer’ dan enggan mengikut arahan

    “Semalam saya terima aduan daripada seorang pengadu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang mengatakan dia meminjam wang sebanyak SDG30,000 dengan memberikannya butiran kediaman di negeri ini.

    “Selepas membuat permohonan itu dan perlu membayar wang sebanyak SGD7,500 (RM22,500) dia masih gagal mendapatkan wang yang mahu dipinjamnya.

    “Sebaliknya dia diugut ‘scammer’ untuk memasukkan lagi wang ke dalam akaun pihak berkenaan atau tidak mereka akan bertindak membaling cat di kediaman mangsa,” katanya kepada pemberita di Kulai, hari ini.

    Jian Boon memberitahu, ekoran itu kediaman mangsa di sini yang dihuni ibu mangsa berusia 62 telah dibaling cat.

    “Selain itu turut ditinggalkan satu nota memaklumkan sekiranya mangsa tidak terus membuat pembayaran, mereka akan membaling bom petrol pula selepas ini.

    “Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat mangsa secara serentak kepada polis di Malaysia dan Singapura,” ujarnya.

    Nota ugutan yang ditinggalkan ‘scammer’ yang menipu mangsa setelah terdesak memerlukan pinjaman wang secara atas talian

    Tambah Jian Boon, tindakan ‘scammer’ yang menipu mangsa dan melakukan ugutan secara terbuka seperti itu merupakan satu tindakan yang mencabar kedaulatan undang-undang negara ini.

    “Oleh itu, saya berharap polis Johor akan dapat mengambil tindakan segera berhubung jenayah penipuan ini yang mana saya percaya jika dibiarkan lebih ramai pihak akan menjadi mangsa.

    “Kepada masyarakat, saya nasihatkan jangan membuat pinjaman wang dengan mana-mana pihak yang ditemui di media sosial kerana dibimbangi akan menjadi mangsa sindiket ‘scammer’,” jelasnya.