Tag: Sapura

  • MaTiC lokasi Debat Perdana Anwar-Najib

    MaTiC lokasi Debat Perdana Anwar-Najib

    PUSAT Pelancongan Malaysia (MaTiC) di Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi Debat Perdana antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan pada 12 Mei ini, pukul 9 malam.

    Pejabat Anwar dan Pejabat Najib dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan, kedua-dua pihak berkenaan bersetuju memilih lokasi tersebut menerusi perbincangan antara mereka.

    Menurut kenyataan itu, debat tersebut bakal disiarkan secara langsung oleh media rasmi melalui saluran televisyen dan media sosial yang akan diumum kemudian.

    “Kedua-dua pihak turut berharap Debat Perdana ini akan berlangsung dengan sempurna minggu hadapan,” menurut kenyataan itu.

    Semalam, media melaporkan pada awalnya program tersebut akan diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di sini pada tarikh dan masa yang sama, namun pihak universiti tidak bersetuju dengan cadangan itu.

    Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pada 17 April lepas dilaporkan berkata, format debat perdana yang dijangka berlangsung selama dua jam itu merangkumi tiga bahagian iaitu bahagian pertama berhubung permasalahan dihadapi syarikat minyak dan gas Sapura Energy Bhd, sama ada ia perlu diselamatkan atau tidak.

    Bahagian kedua pula akan berkisar tentang ‘Masa Depan Malaysia’ yang merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara dan bahagian ketiga dikhususkan untuk sesi soal jawab. – BERNAMA

  • Rafizi berdepan saman fitnah bekas bos Sapura Energy

    Rafizi berdepan saman fitnah bekas bos Sapura Energy

    NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli dijangka berdepan saman fitnah yang difailkan oleh bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin.

    Memetik laporan FMT, peguam Shahril sebelum ini mengemukakan surat tuntutan maaf kepada Rafizi ekoran kenyataan yang dikeluarkannya semasa bertikam lidah dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang isu Sapura Energy Berhad,

    Surat itu turut menuntut tiga artikel didakwa berunsur fitnah terhadap Shahril ditarik balik.

    Tarikh akhir yang diberikan kepada Rafizi untuk mematuhi tuntutan itu tamat pada Selasa lepas, dan peguam Shahril dijangka akan memfailkan saman fitnah di mahkamah.

    Beliau tersinggung dengan dakwaan Rafizi bahawa pemegang-pemegang saham majoriti Sapura Energy, dipimpin Shahril, memperolehi sejumlah RM1.33 bilion, yang mana RM1.1 bilion adalah gaji dan selebihnya bayaran lain dan dividen.

    Rafizi mendakwa bayaran itu tiga kali ganda RM440 juta dividen yang syarikat itu bayar kepada pemegang saham lain.

    Walau bagaimanapun, peguam Shahril menafikan bahawa anak guamnya menerima imbuhan RM1.1 bilion.

    Surat tuntutan kepada Rafizi menjelaskan jumlah keseluruhan imbuhan yang diperolehi Shahril antara 2013 dan 2021 berjumlah RM486 juta, dan ia diberikan selepas beliau mencapai dan memenuhi petunjuk prestasi utama tertentu. Perkara ini diketahui umum, tambahnya.

    Menurut surat itu lagi, imbuhan dibayar kepada semua pengarah eksekutif Sapura Energy, termasuk Shahril, berdasarkan keuntungan operasi yang mencerminkan prestasi pengurusan sebenar.

    Laporan tahunan bagi tempoh tersebut juga menunjukkan keuntungan selepas cukai Sapura Energy dan kepentingan minoriti, tidak termasuk rosot nilai, berjumlah RM4.74 bilion berbanding hasil RM66.27 bilion.

    Shahril juga bersetuju suatu perjanjian pinjaman dikenakan ke atas saham pegangannya di Sapura Energy dan diri sendiri, berhubung kemudahan bernilai kira-kira RM18 bilion yang diberikan kepada syarikat itu.

    Selain itu, beliau turut memainkan peranan dalam suntikan RM532 juta ke dalam Sapura Energy, ketika isu terbitan hak pada 2019.

    Tindakan beliau bersetuju dengan perjanjian-perjanjian yang dikenakan ke atasnya itu membuktikan komitmen Shahril kepada syarikat, “bukannya individu yang memperkayakan diri sendiri dengan mengorbankan Sapura (Energy), seperti yang dicadangkan oleh artikel-artikel terbabit,” kata peguam.

    Shahril juga menyanggah dakwaan Rafizi bahawa gaji dan bonus beliau diikat pada harga saham Sapura Energy.

    Ikatan itu didakwa menyebabkan Sapura Energy tergesa-gesa membida projek-projek di serata dunia, tanpa mengira sama ada ia boleh dilaksanakan, dan menanggung hutang yang banyak.

    “Harga saham tidak menjadi sebahagian daripada petunjuk prestasi utama yang memberi kesan ke atas imbuhan pengarah-pengarah eksekutif,” menurut surat tuntutan itu.

    Surat itu menjelaskan pengarah-pengarah eksekutif Sapura Energy dibayar berdasarkan prestasi tahun sebelumnya, dan juga suatu pelan insentif jangka masa panjang yang turut diguna pakai bagi 100 kakitangan Sapura berprestasi tinggi lain.

    Peguam berkata urusan pampasan itu harus melepasi proses dalaman yang ketat sebelum diluluskan oleh lembaga pengarah.

    “Pada dasarnya, anak guam kami diberi imbuhan selepas mencapai dan memenuhi semua petunjuk prestasi utama yang khusus,” kata peguam itu.

  • Isu Sapura: Anwar bersedia debat dengan Najib

    Isu Sapura: Anwar bersedia debat dengan Najib

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Sapura.

    Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, sikapnya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lalu di mana beliau pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada Najib tetapi tidak bersahut.

    “Beliau kini memilih mencabar saya di awal bulan Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak terbela,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Anwar turut memetik pantun pendekar Melayu:

    Tuan Puteri pergi ke Lukut,
    Bawa pulang kacang panjang,
    Sedikit pun hamba tak takut,
    Kalau berani turun gelanggang.

    “Saya bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan rakyat pada bila-bila masa dengan Datuk Seri Najib Razak,” jelasnya.

    Terdahulu, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR mencabar Najib untuk berdebat isu Sapura namun bekas Presiden UMNO itu meletakkan syarat, Anwar mesti menyertai debat tersebut.

    Sementara itu, Najib dalam hantara Facebook miliknya hari ini menyatakan beliau bersetuju untuk berdebat dengan Anwar.

    “Saya minta pasukan Anwar dan Rafizi aturkan dengan media sekiranya ada yang berhasrat untuk siarkan live.

    “Sila berhubung dengan pembantu saya untuk cari tarikh terdekat yang sesuai bagi semua,” katanya.