Tag: saman

  • 8.6 juta saman selesai sepanjang tempoh tawaran diskaun

    8.6 juta saman selesai sepanjang tempoh tawaran diskaun

    SEBANYAK 8.6 juta saman trafik telah diselesaikan sepanjang tempoh pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 Dis hingga semalam.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia menunjukkan tawaran diskaun saman yang dilaksanakan itu menerima sambutan tinggi daripada masyarakat memandangkan jumlah keseluruhan saman yang diselesaikan sepanjang 2021 adalah sebanyak 12.2 juta saman.

    “Ini menggambarkan orang ramai betul-betul mengambil peluang tawaran diskaun tersebut untuk menyelesaikan saman tertunggak mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Banjir di Kampung Jongok Batu, di Dungun hari ini.

    Ditanya sama ada tempoh tawaran diskaun tersebut akan dilanjutkan, Acryl Sani berkata, pihaknya tidak bercadang berbuat demikan memandangkan kaunter pembayaran trafik di seluruh negara dilihat lengang mulai penghujung bulan lepas.

    Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku Pengerusi Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana berpuas hati dengan peranan yang dimainkan semua agensi berkaitan dalam pengendalian situasi banjir di seluruh negara dan kesemuanya mengikuti Arahan No 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20), termasuk di peringkat negeri.

    “Berdasarkan arahan ini semua agensi akan terlibat. Maknanya semua agensi terlibat melalui konsep ‘gotong-royong’. Di peringkat kontinjen pun telah diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana yang ketua polis negeri telah memanggil semua agensi berkaitan untuk berbincang dan memperincikan peranan mereka.

    “Setakat ini, saya berpuas hati dan maklum balas yang saya terima daripada ketua-ketua polis negeri didapati persiapan dan persediaan telah dibuat. Kita sama-sama berdoa supaya apa yang telah dirancang berjalan dengan lancar,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata sebanyak 50 mangsa korban banjir dicatatkan setakat hari ini manakala dua lagi mangsa iaitu di Telemong dan Bentong, Pahang masih hilang sejak bencana itu melanda di beberapa negeri bulan lepas. – BERNAMA

  • 143,523 saman selesai di Kedah, nilai lebih RM7 juta

    143,523 saman selesai di Kedah, nilai lebih RM7 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sebanyak 143,523 saman telah pun diselesaikan setakat semalam di Kedah sejak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun hingga 80 peratus sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 Disember lalu.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, nilai kutipan kompaun bagi keseluruhan saman yang diselesaikan itu berjumlah RM7,417,030.

    “Nasihat saya buat semua yang masih ada saman tertunggak, bayarlah sekarang dan usah tangguh hingga ke saat akhir.

    “Tujuannya adalah bagi mengelakkan kesesakan selain memastikan agar prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Kamarul Zaman menambah, selain hadir ke kaunter-kaunter trafik, individu yang hendak menyelesaikan saman juga boleh berbuat demikian di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Maybank.

    “Selain itu, pembayaran saman itu juga boleh dibuat menerusi aplikasi ‘My Bayar’,” katanya.

  • 1MDB dibenar serah writ saman 6 pihak luar negara

    1MDB dibenar serah writ saman 6 pihak luar negara

    1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyampaikan writ saman terhadap enam pihak termasuk dua syarikat perbankan, di luar negara.

    Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon membenarkan permohonan 1MDB untuk kebenaran menyerahkan writ saman itu kepada defendan yang berada di luar negara.

    Enam pihak itu ialah syarikat perbankan Coutts & Co Ltd dan J.P. Morgan (Switzerland) Ltd; dua syarikat yang diperbadankan di Arab Saudi iaitu Petrosaudi International Limited dan Petrosaudi Holdings (Cayman) Limited serta dua individu masing-masing warga Arab Saudi, Tarik Isam Ahmed Obaid (Tarik Obaid) dan warga Britain, Patrick Andrew Marc Mahony (Patrick Mahony).

    Kesemua pihak itu merupakan defendan kedua hingga ketujuh dalam tuntutan saman difailkan 1MDB bernilai US$1.83 billion antaranya atas dakwaan melanggar kontrak, cuai dan melakukan konspirasi jenayah bagi penyelewengan dana 1MDB.

    Perkara itu disahkan oleh peguam dari Messrs. Rosli Dahlan Saravana Partnership semasa dihubungi Bernama di sini hari ini.

    “Ya, kami sahkan bahawa hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan plaintif bagi kebenaran untuk menyampaikan notis writ di luar bidang kuasa terhadap defendan di luar negara.

    “Selepas mendengar hujah peguam plaintif, mahkamah mengeluarkan perintah yang membenarkan permohonan kami. Mahkamah turut menetapkan 8 Nov sebagai tarikh untuk pengurusan kes berikutnya,” kata peguam 1MDB itu selepas prosiding secara maya.

    Beliau menambah setakat hari ini defendan pertama Deutsche Bank (Malaysia) Bhd telah disampaikan writ saman itu.

    1MDB selaku plaintif secara ex parte telah menfailkan notis permohonan itu secara berasingan pada 27 Ogos lepas, untuk mengeluarkan dan menyampaikan writ saman serentak bagi penyampaian di luar bidang kuasa.

    Defendan pertama, Deutsche Bank, adalah pihak tempatan, dan Peraturan Mahkamah membenarkan permohonan dibuat terhadap defendan kedua hingga kelima walaupun mereka berada di luar Malaysia, antara lain di Zurich dan Geneva, Switzerland; Al Khobar di Arab Saudi dan Grand Cayman di Kepulauan Cayman, sementara defendan keenam Tarik Obaid adalah penduduk Al-Khobar, Arab Saudi, defendan ketujuh Patrick Mohany di London, Britain.

    Dalam permohonan itu plaintif turut memohon kebenaran untuk menyampaikan writ saman serentak terhadap semua defendan di mana sahaja mereka boleh ditemukan.

    Pada 7 Mei lepas, 1MDB memfailkan saman itu dengan menamakan Deutsche Bank (Malaysia) Bhd, Coutts & Co, J.P. Morgan (Switzerland), Petrosaudi International, Petrosaudi Holdings (Cayman), Tarik Obaid dan Patrick Mahony sebagai defendan pertama hingga ketujuh.

    Plaintif mendakwa kesemua defendan cuai, melanggar kontrak dan berkonspirasi untuk menipu 1MDB sehingga menyebabkan kerugian kepada syarikat berkenaan serta menjejaskan reputasi dan nama baik 1MDB. – BERNAMA

  • Remaja 15 tahun antara enam ditahan dalam operasi trafik KL

    Remaja 15 tahun antara enam ditahan dalam operasi trafik KL

    REMAJA lelaki berusia 15 tahun antara enam pengguna jalan raya yang ditahan polis dalam operasi tiga hari oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar ibu kota bermula Jumaat lepas dan berakhir awal pagi tadi.

    Ketua JSPT Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata menerusi operasi itu sebanyak 984 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya manakala sebanyak 43 motosikal disita kerana melakukan pengubahsuaian ekzos kenderaan.

    Beliau berkata penahanan  pertama dan kedua dilakukan di Jalan Bangsar dan Jalan Duta, di sini, melibatkan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 29 tahun atas kesalahan menggunakan lesen palsu dan memandu di bawah pengaruh alkohol.

    “Kedua-dua mereka disiasat di bawah  Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 45(A) APJ 1987.

    “Empat lagi suspek berusia 15 hingga 25 tahun ditahan awal pagi tadi di Lebuhraya Duta Ulu Klang berhampiran Plaza Tol Ayer Panas dan di Jalan Kuching,  di sini, selepas didapati menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sarifudin berkata empat suspek yang ditahan itu akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

    Beliau berkata seramai sembilan pegawai dan 61 anggota polis terlibat dalam operasi yang bermula pada 9 malam Jumaat dan berakhir pada  4 pagi tadi.- BERNAMA

  • Serangan seksual: Anwar diarah fail pembelaan

    Serangan seksual: Anwar diarah fail pembelaan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan penyataan pembelaan dalam saman yang dikemukakan oleh bekas pembantu penyelidiknya Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman ahli politik itu tiga tahun lepas.

    Peguam Mahajoth Singh, yang mewakili Muhammed Yusoff, ketika dihubungi berkata mahkamah telah mengarahkan Anwar agar memfailkan penyataan pembelaan beliau selewat-lewatnya 28 Sept ini.

    “Mahkamah turut menetapkan 29 Okt depan sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya,” katanya selepas prosiding pengurusan kes melalui e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof.

    Peguam Ranjit Singh, yang mewakili Anwar, ketika mengesahkan perkara itu berkata mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak agar memfailkan sebarang permohonan interlokutari sebelum 29 Okt.

    Pada 14 Julai lepas,  Muhammed Yusoff, 28, memfailkan saman mendakwa serangan seksual telah berlaku pada  2 Okt 2018 di kediaman Anwar, 73, di Segambut.

    Plaintif mendakwa Anwar telah melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya manakala beliau menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.

    Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik yang menyokong Anwar serta orang awam.

    Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi khas, umum, teruk dan teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA