Tag: Salahuddin Ayub

  • Amanah mohon maaf kepada UMNO atas ‘keterlanjuran’ Khalid

    Amanah mohon maaf kepada UMNO atas ‘keterlanjuran’ Khalid

    BERIKUTAN kontroversi kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berhubung bantahan terhadap permohonan pengampunan kepada Datuk Seri Najib Razak, parti itu hari ini memohon maaf kepada UMNO.

    Permohonan maaf itu dibuat Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub di hadapan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi di kediaman rasmi timbalan perdana menteri hari ini.

    “Bersempena Hari Raya Aidilfitri ini, saya bagi pihak Amanah mohon maaf atas kenyataan ketua komunikasi Amanah (Khalid) baru-baru ini dan sekiranya kenyataan itu menyinggung atau melukakan UMNO maka kami minta maaf, yang penting bagi saya adalah memperkukuhkan kedudukan kita dalam kerajaan dan rakyat.

    “Kami sibuk sekarang menyelesaikan isu rakyat dan kita sedang berdepan dengan enam PRN, jadi kita beriltizam memperkukuhkan jentera, ukhuwah kita dan kekuatan parti kita bersama dalam kerajaan perpaduan. Itu lebih penting bagi saya dan sebarang ketelanjuran itu biasa bagi orang politik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri timbalan perdana menteri di Seri Satria.

    Mengulas lanjut Salahuddin berkata, apa yang berlaku disebabkan keterlanjuran Khalid dan Amanah tidak malu memohon maaf.

    “Kadang-kadang kita terlanjur dan tak ada malunya untuk kita mohon maaf sekiranya melukakan dan harap isu ini dapat diselesaikan.

    “Saya sendiri bersama presiden UMNO dan sebentar tadi pun saya berkunjung timbalan presiden UMNO menyatakan perkara sama,” katanya sambil memaklumkan Najib berhak memohon pengampunan.

    Ditanya sama ada Khalid akan dikenakan tindakan oleh lembaga disiplin Amanah, Salahuddin berkata tiada keperluan berbuat demikian dan ia cukup sekadar membuat permohonan maaf secara terbuka.

    Sebelum ini, Khalid berkata pihaknya merayu agar permohonan pengampunan terhadap bekas presiden UMNO itu ditolak.

    Kenyataan Khalid mendapat kritikan pemimpin UMNO, termasuk “ugutan” memutuskan hubungan kerjasama politik di Kelantan.

  • Bekas Setiausaha Politik Salahuddin Ayub dilantik Pengerusi SSM baharu

    Bekas Setiausaha Politik Salahuddin Ayub dilantik Pengerusi SSM baharu

    BEKAS Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Pertanian Datuk Seri Salahuddin Ayub, Ahmad Sabki Yusof dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang baharu berkuat kuasa 1 Mac lalu.

    SSM dalam satu kenyataan berkata, Ahmad Sabki yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Sarjana Undang-Undang Perbandingan daripada Universiti Islam Antarabangsa, adalah seorang yang berpengalaman luas dalam bidang berkaitan syarikat dan komersial.

    “Beliau juga pernah memegang jawatan utama di pelbagai syarikat, organisasi dan firma guaman dalam tugasan berkaitan undang-undang komersial, pengurusan, tadbir urus korporat, pematuhan serta pengurusan risiko,” menurut kenyataan ringkas itu, lapor Agenda Daily.

    Pengumuman itu menyusul selepas pelantikan bekas Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi MARA oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

  • Antara Menu Rahmah dan Nasi Ayam Bajet!

    Antara Menu Rahmah dan Nasi Ayam Bajet!

    guane

    KEBELAKANGAN ini heboh orang bercakap dan memperkatakan mengenai Menu Rahmah.

    Ada mengatakan program yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 31 Januari lalu itu lebih kepada pendekatan popular Kerajaan Perpaduan.

    Sedangkan ia dikatakan masih gagal menterjemahkan masalah sebenar dihadapi oleh rakyat di negara ini ketika berhadapan dengan masalah ekonomi dan kos sara hidup yang semakin mencengkam kehidupan mereka.

    Sudah terdapat ramai peniaga yang menjual makanan dan minuman dengan harga murah dan dikatakan tidak masuk akal sejak sekian lama.

    Ini kerana isu utama rakyat ialah berkaitan kenaikan harga barangan termasuk bahan mentah di pasaran yang semakin meningkat dan gagal di kawal kerajaan.

    Ramai yang bertanya sampai bilakah isu harga ayam, daging, telur, ikan dan sayur-sayuran akan selesai?

    Dan bagaimanakah pula usaha dan ikhtiar kerajaan dan kementerian terbabit dalam menyelesaikan masalah tersebut?

    Berdasarkan itulah, sebaik sahaja program Menu Rahmah dilancarkan oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada peringkat awalnya ramai golongan peniaga kurang bersetuju kerana mereka mendakwa hanya meraih keuntungan yang sedikit.

    Selain itu, ada juga peniaga mempersoalkan kenapa kerajaan meminta peniaga makanan menurunkan harga sebaliknya kenaikan
    harga bahan mentah di pasaran dikatakan amat membebankan.

    Bayangkan kalau kenaikan harga daging import sekarang mencecah kepada RM35 sekilogram, ayam.(RM10), ikan kembong (RM15), ikan selayang (RM10), tomato (RM10), harga cili merah (RM15), kubis (RM20), tomato, timun dan terung (RM10).

    Ini tidak termasuk bekalan minyak masak dan telur ayam yang bukan setakat mengalami harga tidak menentu, tetapi bekalannya seringkali terputus di pasaran terutama pada musim perayaan.

    Justeru para peniaga meminta kerajaan sepatutnya bertindak lebih agresif dalam mengawal harga bahan-bahan mentah terbabit dalam pasaran.

    Selain itu, mereka juga mahukan tindakan tegas perlu diambil ke atas peniaga yang menjual barangan melebihi harga ditetapkan.

    Bagi pengguna, ada yang berpendapat, antara Menu Rahmah dengan Nasi Bajet atau Nasi Ayam Bajet, mereka lebih suka memilih hidangan yang dijual secara bungkus dengan harga murah termasuk dari segi kualiti dan kuantiti khususnya di warung-warung dan gerai-gerai tepi jalan.

    Apa yang penulis perhatikan sebelum program Menu Rahmah ini wujud, sudah terdapat ramai peniaga yang menjual makanan dan minuman dengan harga murah dan dikatakan tidak masuk akal sejak sekian lama.

    Sebagai contoh, harga nasi bajet dan nasi ayam bajet hanya berharga antara RM4 dan RM4.50, mee celup masih ada peniaga menjual dengan harga RM2.

    Penulis juga mendapati Warung Kak Lah di Losong Kuala Terengganu masih menjual Teh dengan harga RM1 dan kuih untuk sarapan berharga di bawah RM1.

    Restoran Sri Mambu di Kampung Ru Muda, Marang pula menjual air milo berharga RM1 dan nasi berlauk ayam goreng dan telur di bawah harga RM4.

    Begitu juga dengan kedai Roti Canai Pian di Pasar Marang yang masih menjual air milo dan roti canai dengan harga RM1.

    Dalam soal ini, apa yang penulis ingin perkatakan ialah mengenai sikap peniaga itu sendiri, bukan soal untung sedikit atau tidak untung langsung.

    Ada peniaga yang menjual air milo sehingga RM3 secawan, roti canai (RM1.50) dan nasi ayam (RM6).

    Maka itu, penulis berpendapat selagi kerajaan gagal mengawal kenaikan harga bahan mentah, kita tidak dapat menjangkakan sampai bilakah lebih 15,000 peniaga di bawah program Menu Rahmah ini dapat bertahan bagi menawarkan harga makan tengah hari dan malam serendah harga RM5.

    Adakah ia sekadar hangat-hangat tahi ayam atau sekadar mencari formula pendekatan popular?

  • PH masih pembangkang di Johor – Salahuddin

    PH masih pembangkang di Johor – Salahuddin

    NAIB Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, PH masih lagi berperanan sebagai pembangkang di Johor berikutan belum ada lagi perbincangan berhubung pembentukan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) negeri itu, setakat ini.

    Menurutnya yang juga Pengerusi PH Johor, keputusan sama ada kerajaan Johor akan mewujudkan kerajaan perpaduan di Johor selaras dengan apa yang berlaku di peringkat Persekutuan masih belum dibuat.

    Bagaimanapun Salahuddin berkata, semangat perpaduan dan kerjasama antara PH dan BN negeri itu sudah mula terjalin membabitkan isu masyarakat setempat.

    “Setakat ini, kita masih belum buat apa-apa keputusan lagi di Johor. Namun semua (PH dan BN Johor) kami faham bahawa semangat perpaduan kerajaan Persekutuan itu sangat mendasari hingga ke negeri ini.

    “Setakat ini saya yakin dan percaya hubungan wakil rakyat Persekutuan dan kerajaan negeri. Saya sendiri sebagai Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram setakat ini dapat rasakan kerjasama sangat baik dengan agensi negeri.

    “Contohnya isu rakyat membabitkan kemusahan awam di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana, banjir kilat di Kampung Pasir dan Jalan Kolam Air, pegawai negeri berikan kerjasama begitu baik.

    “Setakat ni hubungan ini kita rasakan sangat baik cuma secara rasminya, kita tak dapat menentukan apakah bentuk kerjasama di masa akan datang. Namun setakat saya meninggalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari terakhir sidang pada November lalu,PH Johor masih duduk lagi di barisan pembangkang,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis kesyukuran Parti Amanah Negara (AMANAH) Parlimen Pulai, di sini, malam tadi.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu, BN meraih kemenangan dua pertiga selepas memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

    Manakala PH pula memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (tiga), manakala PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masing-masing satu kerusi.

    Bagaimanapun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, BN Johor menang sembilan kerusi Parlimen berbanding 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan sekali gus gagal mencapai sasaran untuk menang sekurang-kurangnya 20 kerusi.

    PH pula menang 15 kerusi Parlimen di Johor termasuk Parlimen Muar yang dimenangi Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Perikatan Nasional (PN) juga meraih dua kerusi Parlimen di Johor iaitu Mersing dan Pagoh.

  • PRU-15: Amanah sasar tanding 40 kerusi Parlimen

    PRU-15: Amanah sasar tanding 40 kerusi Parlimen

    AMANAH mensasarkan bertanding di 40 kerusi Parlimen, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Timbalan presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia pertambahan 13 berbanding 27 kerusi sebelum ini.

    Menurutnya, Amanah akan meletakkan calon di semua kawasan sama ada di bandar dan kawasan luar bandar.

    “Kita tidak memilih kawasan tertentu sahaja, Amanah bertanding di semua kawasan.

    “Untuk masa depan Amanah kita mesti bertanding di semua kawasan, ada kawasan majoriti dan kawasan campuran, kita akan letakkan calon,” katanya mengikut laporan Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Salahuddin menjelaskan, pemilihan senarai calon Amanah akan meneliti semua aspek dan latar belakang mereka termasuk biodata serta rekod

    Beliau menambah, senarai calon akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini.

  • Salahuddin kritik misi Qatar bagai kisah dua beranak dengan keldai

    Salahuddin kritik misi Qatar bagai kisah dua beranak dengan keldai

    USAHA Qatar melibatkan Malaysia dengan usaha pemulihan dan pembangunan semula Afghanistan termasuk penyelarasan misi kemanusiaan ke negara pasca peperangan itu adalah satu penghormatan yang tinggi, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

    Tegasnya, kerana itu apabila pemimpin pembangkang mengkritik tanpa asas tindakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Abdul Hadi Awang berdialog dengan Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sheikh Mohammed Suhail Shaheen adalah kerana sentimen politik yang sempit.

    “Apabila (Datuk Seri) Salahuddin Ayub mencari ruang memperkecilkan sesi dialog Abdul Hadi bersama wakil kerajaan Afghanistan, bagi saya ia lahir dari sentimen politik kepartian semata-mata dan tidak objektif.

    “Ia ibarat cerita masyhur seorang bapa dan anak dengan keldai. Semua yang dilakukan oleh dua beranak itu tidak kena pada pandangan mata para pengkritik.

    “Sama ada keldai ditunggang oleh kedua-dua mereka atau keduanya mengheret keldai tanpa ditunggang atau salah seorang bapa atau anak menaiki keldai, semuanya tetap dikritik dan dianggap tidak kena pada mata pengkritik yang mencari kesilapan,” katanya melalui hantaran Facebook.

    Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang mempertikaikan tindakan Abdul Hadi mengadakan pertemuan dengan wakil Taliban semasa lawatan ke Doha baru-baru ini seolah-olah mendahului Kerajaan Malaysia mengiktiraf Taliban.

    Dalam pada itu, Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, lawatan Abdul Hadi ke Qatar mempunyai signifikan yang besar kepada Malaysia dalam konteks rantau berkenaan.

    Beliau berkata, Qatar ialah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

    “Untuk tahun 2020, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Qatar berjumlah RM2.1 bilion, dengan eksport Malaysia ke Qatar berjumlah RM1.13 bilion dan import pula bernilai RM970 juta.

    “Malah ketika menjadi menteri, saya sendiri dijemput oleh Duta Qatar di Malaysia untuk kunjungan mahabbah membincangkan peluang pelaburan yang besar dalam negara,” katanya.

    Katanya lagi, meskipun Qatar negara kecil tetapi mempunyai peranan besar dalam pembangunan dan pelaburan ekonomi di seluruh dunia menerusi Pihak Berkuasa Pelaburan Qatar (QIA) yang memiliki pelaburan mencecah AS$328 bilion.

    Di Eropah dan Amerika sahaja QIA melabur lebih AS$135 bilion manakala di seluruh Asia menjangkau AS$30 bilion.

    “Sesi perbincangan dengan Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia, Dr Ahmad Raissouni juga sangat signifikan memandangkan pengaruh kesatuan tersebut dalam kalangan alim ulamak seluruh Asia Barat dan di dunia Islam umumnya. Apatah lagi Tuan Guru Presiden sendiri adalah bekas Naib Presiden kesatuan tersebut,” katanya.

  • Permainan nombor jatuhkan kerajaan perlu dihentikan – Salahuddin

    Permainan nombor jatuhkan kerajaan perlu dihentikan – Salahuddin

    PERMAINAN nombor untuk menjatuhkan sesuatu kerajaan sama ada di peringkat Pusat atau negeri perlu dihentikan, demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) pada masa sama mengingatkan semua pihak agar berhenti daripada menjadikan wakil rakyat yang merupakan pembuat dasar penting sebagai ‘pelacur’ yang mudah dijual beli.

    Menurutnya, bagi menghentikan terus permainan nombor daripada terus menggugat kestabilan politik negara, beliau mencadangkan semua pihak termasuk kerajaan bersetuju mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Lompat Parti.

    Beliau berkata, RUU itu kemudian hendaklah dibawa ke Parlimen supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak menjadi gelanggang menjual kerusi, maruah dan harga diri.

    “Kita ahli politik adalah pembuat dasar penting negara, kita bukan ‘pelacur’ politik. Adalah penting bagi kestabilan politik dapat dicapai dalam tempoh terdekat dalam mendepani rakyat terjejas serta negara yang masih belum selesai berjuang daripada Covid-19.

    “Asas ini penting bagi saya, kerana ia dapat memperkukuhkan politik kita dan tidak akan ada lagi permainan nombor atau ‘games of numbers’ lagi,” katanya.

    Ahli Parlimen Pulai itu berkata demikian pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Johor Bahru, hari ini.

    Mengulas lanjut Salahuddin berkata, RUU Lompat Parti itu sekali gus menjunjung titah Sultan Johor pada perasmian persidangan DUN bulan lalu yang menitahkan supaya persidangan DUN tidak menjadi sangkar beruk.

    “Kita tidak mahu lagi Parlimen dan DUN ini menjadi sangkar beruk di mana terdapat wakil rakyat yang menjual menggadai mandat mereka lompat ke sana ke mari,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Salahuddin berkata, semua ahli politik juga seharusnya memberi tumpuan kepada permasalahan rakyat yang masih terbelenggu dengan Covid-19.

    Katanya, beliau mencadangkan dalam cadangan Pakatan Harapan (PH) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar peruntukkan sebanyak RM45 billion secara tunai disalurkan untuk memerangi Covid-19.

    “Ia termasuk dengan vaksinasi. Yang keduanya adalah peruntukan RM10 billion lagi untuk bantu golongan yang kehilangan pekerjaan termasuk kumpulan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan juga moratorium tiga bulan tanpa faedah kepada mereka yang terjejas,” tambahnya.