USAHA Qatar melibatkan Malaysia dengan usaha pemulihan dan pembangunan semula Afghanistan termasuk penyelarasan misi kemanusiaan ke negara pasca peperangan itu adalah satu penghormatan yang tinggi, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Tegasnya, kerana itu apabila pemimpin pembangkang mengkritik tanpa asas tindakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Abdul Hadi Awang berdialog dengan Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sheikh Mohammed Suhail Shaheen adalah kerana sentimen politik yang sempit.

“Apabila (Datuk Seri) Salahuddin Ayub mencari ruang memperkecilkan sesi dialog Abdul Hadi bersama wakil kerajaan Afghanistan, bagi saya ia lahir dari sentimen politik kepartian semata-mata dan tidak objektif.

“Ia ibarat cerita masyhur seorang bapa dan anak dengan keldai. Semua yang dilakukan oleh dua beranak itu tidak kena pada pandangan mata para pengkritik.

“Sama ada keldai ditunggang oleh kedua-dua mereka atau keduanya mengheret keldai tanpa ditunggang atau salah seorang bapa atau anak menaiki keldai, semuanya tetap dikritik dan dianggap tidak kena pada mata pengkritik yang mencari kesilapan,” katanya melalui hantaran Facebook.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang mempertikaikan tindakan Abdul Hadi mengadakan pertemuan dengan wakil Taliban semasa lawatan ke Doha baru-baru ini seolah-olah mendahului Kerajaan Malaysia mengiktiraf Taliban.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, lawatan Abdul Hadi ke Qatar mempunyai signifikan yang besar kepada Malaysia dalam konteks rantau berkenaan.

Beliau berkata, Qatar ialah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

“Untuk tahun 2020, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Qatar berjumlah RM2.1 bilion, dengan eksport Malaysia ke Qatar berjumlah RM1.13 bilion dan import pula bernilai RM970 juta.

“Malah ketika menjadi menteri, saya sendiri dijemput oleh Duta Qatar di Malaysia untuk kunjungan mahabbah membincangkan peluang pelaburan yang besar dalam negara,” katanya.

Katanya lagi, meskipun Qatar negara kecil tetapi mempunyai peranan besar dalam pembangunan dan pelaburan ekonomi di seluruh dunia menerusi Pihak Berkuasa Pelaburan Qatar (QIA) yang memiliki pelaburan mencecah AS$328 bilion.

Di Eropah dan Amerika sahaja QIA melabur lebih AS$135 bilion manakala di seluruh Asia menjangkau AS$30 bilion.

“Sesi perbincangan dengan Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia, Dr Ahmad Raissouni juga sangat signifikan memandangkan pengaruh kesatuan tersebut dalam kalangan alim ulamak seluruh Asia Barat dan di dunia Islam umumnya. Apatah lagi Tuan Guru Presiden sendiri adalah bekas Naib Presiden kesatuan tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here