Tag: rusuhan

  • Atasi jurang pendapatan golongan miskin dan kaya, elak rusuhan berdarah

    Atasi jurang pendapatan golongan miskin dan kaya, elak rusuhan berdarah

    TINDAKAN mengurangkan jurang pendapatan perlu dilakukan lebih awal bagi mengelak permusuhan ganas antara golongan miskin dan kaya di negara ini.

    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sejarah manusia menunjukkan permusuhan antara kedua-dua golongan itu berakhir dengan rusuhan berdarah.

    Menurutnya, contoh yang jelas ialah perang saudara yang berlaku di Perancis dan Rusia apabila kemenangan puak yang miskin akan membunuh puak yang kaya.

    “Di United Kingdom (UK) puak miskin tidak mengganas. Dengan mengguna mogok atau strike, pekerja yang rata-rata miskin memaksa masyarakat memberi kuasa kepada puak pekerja. Dan wujudlah parti buruh.

    “Masyarakat manusia perlu ambil iktibar dari peristiwa rusuhan antara miskin dan kaya. Jika masyarakat ingin elak permusuhan yang ganas berlaku antara miskin dan kaya, jarak antara miskin dan kaya dari segi pendapatan hendaklah dikurangkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam entri di akaun media sosialnya bertajuk “Mengurangkan Jarak”.

    Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, di Malaysia, masyarakat sedar ada perbezaan yang ketara antara yang miskin dengan yang kaya.

    Beliau menjelaskan, yang lebih bahaya ialah miskin dan kaya dikait dengan kaum apatah lagi ramai yang miskin terdiri dari orang Melayu dan yang kaya dari orang Cina.

    “Memang pun kedua-dua kaum tidak rapat dalam hubungan antara mereka. Perasaan perkauman tidak disukai oleh para intelek. Tetapi hakikatnya ialah perasaan ini terdapat dalam semua kaum di Malaysia.

    “Kemungkinan rusuhan antara kaum berlaku kerana dipisah juga oleh kemiskinan dan kekayaan antara mereka tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

    Sementara itu, Dr Mahathir memberitahu, beliau sedar ada pihak yang akan berkata perkara ini tidak patut disuarakan kerana kononnya menyuarakan perkara ini sama seperti menggalak isu ini disedari dan dijadikannya sebagai isu yang boleh membakar perasaan kaum-kaum.

    Beliau menegaskan, jika isu ini tidak ditangani dengan bijak ia akan jadi lebih teruk dan apabila ia meletup, permusuhan akan jadi lebih buruk dan lebih sukar ditangani.

    “Justeru, adalah lebih baik jika awal-awal lagi sebelum jarak perpisahan menjadi lebih teruk, tindakan diambil untuk meredakan keadaan,” katanya.

    Tambahnya, beliau mengakui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikatakan gagal namun dalam bidang pelajaran ia berjaya kurangkan jarak antara kaum.

    “Dalam bidang ekonomi, kelemahan DEB telah dikenal pasti. Pembetulan juga sudah dibuat. Dengan ini DEB akan mencapai kejayaan yang lebih baik,”jelasnya.

  • [VIDEO] 13 banduan maut dalam rusuhan penjara

    [VIDEO] 13 banduan maut dalam rusuhan penjara

    RUSUHAN di penjara Santo Domingo pada Isnin menyebabkan sekurang-kurangnya 13 banduan terbunuh dan dua lagi cedera, susulan pergaduhan sesama banduan di dalam penjara itu, lapor Xinhua.

    Anggota polis dan tentera serta kementerian kesihatan awam telah dikerah untuk mengawal keadaan dan memberi rawatan, menurut Perkhidmatan Penjagaan Komprehensif Kebangsaan bagi Tahanan dalam satu laporan.

    Penjara yang sama pernah dilanda keganasan pada 9 Mei lepas, sehingga mengakibatkan 44 banduan terbunuh.

    Sistem penjara Ecuador dilanda krisis yang serius akibat konfrontasi antara kumpulan pengedar dadah.

    Tahun lalu, negara itu menyaksikan pertempuran berdarah di penjara hingga mengakibatkan lebih 300 banduan maut.

    Kerajaan telah mengisytiharkan tindakan tegas terhadap kesalahan mengedar dadah. – BERNAMA

  • [VIDEO] Rusuhan penjara: 41 banduan maut, 13 cedera

    [VIDEO] Rusuhan penjara: 41 banduan maut, 13 cedera

    RUSUHAN penjara di wilayah Pichincha, Ecuador menyebabkan sekurang-kurangnya 41 banduan maut manakala 13 lagi cedera, lapor Xinhua, memetik agensi pengurusan penjara pada Isnin.

    Menurut kenyataan agensi pengurusan penjara itu, rusuhan tercetus pukul 2 pagi waktu tempatan (0800 GMT) di sel kawalan ketat selepas seorang ketua kumpulan jenayah dipindahkan ke sel itu atas perintah mahkamah.

    Selain itu, 112 banduan yang cuba melarikan diri dari penjara ketika pergaduhan tercetus telah ditahan semula.

    Polis turut menemukan senjata semasa menggeledah sel itu termasuk empat raifel, tiga pistol, revolver, empat bom tangan dan 1,800 kaliber 2.23.

    Sistem penjara Ecuador sering diancam krisis aibat pertempuran berterusan antara kumpulan pengedar dadah yang bersaing untuk mengawal penjara.

    Pada 2021 rusuhan penjara menyebabkan lebih 300 banduan terkorban. – BERNAMA

  • Rusuhan perlawanan bola sepak, polis tahan 10 lelaki

    Rusuhan perlawanan bola sepak, polis tahan 10 lelaki

    POLIS Labuan hari ini menahan 10 lelaki selepas berlakunya kejadian rusuhan yang melibatkan penyokong dan pemain ketika satu perlawanan bola sepak di Kompleks Sukan Labuan semalam.

    Timbalan Ketua Polis Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Ghani berkata kesemua lelaki tempatan berusia antara 17 dan 36 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan pada satu perlawanan bola sepak bawah 23 tahun.

    Beliau berkata, lapan daripada mereka telah dikenakan perintah reman empat hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Labuan, manakala dua lagi direman sehingga esok.

    “Kami menerima laporan kejadian keganasan tidak lama selepas ia berlaku…rusuhan bermula ketika separuh masa kedua perlawanan antara pasukan Bambu 2 dan PAT United kira-kira jam 1.30 tengah hari.

    “Terdapat penyokong dari kedua-dua pasukan yang tidak berpuashati dengan kekasaran berlaku ketika permainan, menyebabkan mereka masuk ke padang dan mencetuskan pergaduhan antara penyokong dan pemain kedua-dua pasukan, dengan beberapa individu mengalami kecederaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Mohd Ibrahim berkata kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

  • Rusuhan: Tokong minta maaf, tarik balik tuntutan tanah

    Rusuhan: Tokong minta maaf, tarik balik tuntutan tanah

    SUSULAN insiden rusuhan pada 28 September lalu, Tokong Chee How di Salak Selatan, Kuala Lumpur meminta maaf kepada pihak berkuasa dan orang ramai.

    Memetik laporan Malaysiakini, pihak tokong berkenaan berkata, mereka akan menarik semula tuntutan terhadap tanah tersebut dan akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan.

    “Kami dengan rasa amat kesal dan memohon maaf berhubung kekeliruan dan kontroversi yang timbul dari insiden itu.

    “Kami akan menyerahkan kunci pagar yang berdekatan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Kementerian Pendidikan agar mereka dapat melakukan kerja-kerja pembinaan yang sewajarnya,” kata pengurusan tokong itu dalam satu kenyataan hari ini.

    Setakat ini, seramai 24 individu telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan di depan tokong berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari kejadian berkata, kira-kira pukul 11.45 pagi hingga 4 petang, satu operasi telah dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur untuk membina pagar penghadang ‘hoarding’ bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.

    Menurut beliau, dalam operasi tersebut pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.

    “Semasa operasi sedang dijalankan terdapat lebih kurang 30 orang lelaki dan perempuan membawa kayu dan besi.

    “Kumpulan ini telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.

    “Kes disiasat dibawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Polis menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, beliau menghargai usaha presiden Tokong Chee How, Yap Chee Fong yang memohon maaf dan menjelaskan situasi itu kepadanya.

    Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pertemuan diadakan antara kementeriannya, Pejabat Tanah dan Galian, pihak berkuasa tempatan, serta pihak-pihak yang terlibat untuk menjelaskan pembinaan sekolah menengah baharu di sebelah tokong tersebut.

    Hang Soon berkata, sekolah itu akan memberi manfaat kepada keperluan penduduk setempat kerana 7,000 unit rumah program perumahan rakyat (PPR) akan dibina berdekatan lokasi tersebut.

    Beliau menambah bahawa rancangan projek tersebut bermula pada tahun 2017 dan kementerian mendapati bahawa tanah rizab sekolah itu adalah lokasi paling strategik untuk membina sekolah menengah baru.

    “Kejadian yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu telah menimbulkan polemik dan provokasi, diputar belit dengan fakta sebenar.

    “Oleh itu, berdasarkan kenyataan dari Yap sebagai presiden tokong, saya menggesa supaya semua pihak untuk melihat kejadian ini secara menyeluruh dan rasional untuk kesejahteraan semua.

    “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tokong yang berjanji untuk menyerahkan kunci pagar dan tanah itu kepada Pejabat Tanah dan Galian dan Kementerian Pendidikan kerana meneruskan kerja-kerja,” jelasnya.

  • Banduan merusuh di penjara, 24 nyawa melayang

    Banduan merusuh di penjara, 24 nyawa melayang

    SATU rusuhan berlaku di sebuah penjara di bandar Guayaquil, Ecuador pada Selasa mengorbankan 24 banduan manakala 48 yang lain cedera.

    Kejadian dikatakan berpunca akibat pergaduhan membabitkan geng di penjara Litoral Penitentiary, lima banduan maut dipenggal, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan pihak berkuasa penjara.

    Pasukan polis dan tentera dihantar ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

    Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan ramai banduan naik ke bumbung bangunan penjara dan kendengaran bunyi tembakan serta letupan.

    Media tempatan melaporkan rusuhan itu membabitkan geng ‘Los Lobos’ dan ‘Tiguerones’.

    Pada Julai lalu, Presiden Ecuador mengisytiharkan darurat di penjara negara itu selepas berlaku pertempuran antara geng yang meragut 22 nyawa banduan dan puluhan lagi cedera.

    Sebelum ini pada 24 Feb sekurang-kurangnya 80 banduan maut dalam rusuhan yang berlaku serentak di penjara di tiga bandar. – BERNAMA

  • Rusuhan depan tokong, polis tahan 4 individu

    Rusuhan depan tokong, polis tahan 4 individu

    POLIS menahan seramai empat individu bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan berhampiran sebuah tokong di Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kira-kira pukul 11.45 pagi hingga 4 petang tadi, satu operasi telah dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur untuk membina pagar penghadang ‘hoarding’ bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.

    Menurut beliau, dalam operasi tersebut pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.

    “Semasa operasi sedang dijalankan terdapat lebih kurang 30 orang lelaki dan perempuan membawa kayu dan besi.

    “Kumpulan ini telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.

    “Dalam insiden tersebut pihak polis telah menahan empat individu berumur antara 19 tahun hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat dibawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

    Muhammad Idzam menambah, satu rakaman video berkaitan isu tersebut telah dimuat naik dalam laman Facebook bagi meraih simpati dan dieksploitasi.

    Sehubungan itu, beliau memberitahu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.

    “Pihak polis daerah Cheras menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut,” jelasnya.

    Muhammad Idzam berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi Asisten Superintendan Mohamad Sukri Ishak (Pegawai Penyiasat Kanan) di talian 013-2165881 atau mana-mana balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan.