Tag: rugi

  • 25 lelaki jadi mangsa pemerasan seksual, rugi RM150,000

    25 lelaki jadi mangsa pemerasan seksual, rugi RM150,000

    SEBANYAK 25 kes melibatkan sindiket pemerasan menggunakan taktik panggilan video lucah dan langganan perkhidmatan  seks melalui platform media sosial dilaporkan di daerah Timur Laut, Pulau Pinang antara 1 Januari lalu hingga semalam.

    Kesemua kes itu melibatkan mangsa lelaki berumur antara 17 hingga 50 tahun dengan nilai kerugian sebanyak RM150,000.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menawarkan langganan seks dan membuat panggilan video lucah selepas berkenalan menerusi medium media  sosial seperti Facebook, Wechat, Michat, Line, Tinder dan banyak lagi.

    Jelasnya, bagi kes yang menawarkan langganan seks, suspek akan meminta  mangsa membuat bayaran tertentu sebagai wang deposit dan akan terus meminta bayaran tambahan.

    Katanya, jika mangsa enggan suspek akan  mengugut dengan menghantar gambar  atau video orang yang dicederakan  kononnya mereka akan melakukan perkara yang sama kepada mangsa.

    “Selain itu, suspek juga akan memuat  turun gambar mangsa yang terdapat di  media sosial dan mengugut mangsa  untuk menyebarkan gambar dengan ‘caption’ jelik serta boleh menjatuhkan maruah mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagi  kes panggilan video lucah pula, ujar Soffian, suspek akan membuat panggilan video menggunakan wanita yang beraksi lucah serta meminta mangsa berbogel.

    Katanya, pnggilan video itu akan dirakam oleh suspek dan kemudiannya akan mengugut mangsa untuk membuat sejumlah bayaran sekiranya tidak mahu  video tersebut disebarkan kepada kenalan  mangsa atau ditularkan di media sosial.

    “Suspek akan terus cuba menghubungi mangsa menggunakan nombor telefon  tempatan atau luar negara serta akan  menggunakan lebih daripada satu nombor  telefon bagi mengugut dan menakutkan  mangsa,” katanya.

    Tambah beliau, sindiket itu turut menggunakan beberapa cara pembayaran  antaranya melalui pembelian Razer Gold, pemindahan wang dalam talian dan Pay Pal.

    Katanya, kesemua kes yang dilaporkan  disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan, Seksyen 385  Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan  ketakutan bagi tujuan melakukan pemerasan dan Seksyen 233 Akta  Kesalahan Multimedia dan Komunikasi  1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan  rangkaian.

    “Sehubungan itu, kita menasihatkan orang  ramai agar lebih berhati dalam menggunakan apa-apa jua aplikasi atas  talian dan jangan sesekali terpedaya  dengan tawaran perkhidmatan seks serta  langganan urut atas talian. 

    “Orang ramai juga dinasihatkan tidak berkelakuan lucah semasa membuat  panggilan video dengan mana-mana individu yang baru dikenali bagi mengelakkan dari menjadi  mangsa  sindiket ini,” katanya.

  • 2 penuntut universiti rugi RM27,545 ditipu sindiket tawar kerja sambilan

    2 penuntut universiti rugi RM27,545 ditipu sindiket tawar kerja sambilan

    DUA penuntut universiti di Kepala Batas, Pulau Pinang kerugian sebanyak RM27,545 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket yang menawarkan pekerjaan sambilan menerusi platform e-dagang popular.

    Mangsa lelaki berusia 21 tahun dan perempuan berusia 23 tahun itu mula terjerat dalam penipuan sindiket tersebut selepas melihat iklan yang ditawarkan menerusi Facebook baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka telah menekan satu pautan di Facebook sebelum nombor telefon mereka dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi sosial WhatsApp.

    Beliau berkata, menerusi kumpulan WhatsApp itu mangsa telah diberi penerangan tentang pekerjaan yang perlu dilakukan sebagai ejen pembelian online.

    Jelasnya, mereka diminta melakukan tugas membeli barang yang ditetapkan oleh pengendali kumpulan itu yang mana pembayarannya akan dibuat terus ke akaun bank sindiket.

    “Mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap nilai pembayaran dan keuntungan akan dibuat setelah mereka selesai melakukan tugasan tersebut.

    “Pada peringkat awal, mangsa menerima wang keuntungan seperti dijanjikan sehingga mendorong mereka membuat lebih banyak pembayaran secara berperingkat sehingga masing-masing berjumlah RM6,095 dan RM21,450,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
      
    Jelas Noorzainy, kedua-dua mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas mereka tidak lagi menerima wang keuntungan yang dijanjikan.

    Jelasnya, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada mana-mana individu yang menawarkan peluang pekerjaan sambilan melalui media sosial dengan meminta wang bayaran kerana ia merupakan modus operandi sindiket,” katanya.

    Menurut Noorzainy, sepanjang tahun ini sebanyak lima kes penipuan dengan modus operandi sama direkodkan di SPU dengan jumlah keseluruhan kerugian  RM59,328.

  • Wanita ditipu love scam, rugi RM105,523

    Wanita ditipu love scam, rugi RM105,523

    SEORANG peniaga wanita berusia 36 tahun dari Felda Serting Hilir, Jempol, mengalami kerugian RM105,523 selepas diperdaya seorang lelaki yang dikenalinya menerusi Facebook, sejak hujung 2018.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata mangsa berkenalan dengan pemilik Facebook bernama ‘KA Agus’ dari Palembang, Indonesia.

    “Pada awalnya mereka hanya berinteraksi dalam ‘Messenger’ Facebook dan kemudian berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Selepas itu, lelaki berkenaan meminta wang daripada mangsa untuk membantu masalah kewangan yang dihadapinya.

    “Lelaki itu sering meminta wang bagi menyelesaikan masalah keluarganya selain berjanji akan membayar kesemua pinjaman itu setelah menjual tanahnya di Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata atas dasar percaya, wanita berkenaan telah mengirimkan wang kepada lelaki itu secara berperingkat ke 19 akaun yang berbeza bermula 31 Ogos 2019, melibatkan 37 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM105,523.

    Katanya, cara pengiriman wang kepada lelaki berkenaan dilakukan menerusi ejen kiriman wang seperti Bank Central Asia, Bank Rakyat Indonesia dan Bank Mandiri Indonesia di sekitar Bahau.

    Aibee berkata mangsa yang menyedari ditipu telah bertindak membuat laporan polis pada Isnin lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta menerusi laman sosial agar tidak menjadi mangsa penipuan.- BERNAMA