Tag: Rozman Isli

  • MP Labuan gagal batal tuduhan guna kedudukan dapatkan kontrak

    MP Labuan gagal batal tuduhan guna kedudukan dapatkan kontrak

    AHLI Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli hari ini gagal dalam permohonan untuk membatalkan pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang dihadapinya.

    Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rozina Ayob menolak permohonan itu selepas memutuskan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian tanpa menjalankan perbicaraan.

    Beliau kemudian menetapkan 27, 28 dan 29 Jun, 7 Julai, 11 serta 12 Ogos sebagai tarikh perbicaraan dan 15 Jun untuk pengurusan kes.

    Mahkamah turut melapangkan tarikh perbicaraan sebelum ini yang ditetapkan pada 9 Mei depan.

    Pada 7 Feb lepas, Rozman memfailkan permohonan itu atas alasan pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 terhadapnya adalah tidak berasas sama ada dari segi fakta mahupun perundangan dan dilakukan dengan niat jahat selain menyalahgunakan proses mahkamah.

    Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abd Rahman Sidik dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman.

    Rozman, 58, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

    Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Bicara kes rasuah pemimpin Warisan, Rozman Isli mula 9 Mei

    Bicara kes rasuah pemimpin Warisan, Rozman Isli mula 9 Mei

    PERBICARAAN kes Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, yang didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, akan bermula 9 Mei tahun depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Hakim Rozina Ayob menetapkan lima hari bermula 9 Mei 2022 untuk perbicaraan dan 8 Feb sebagai pengurusan kes.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil 42 saksi.

    “Majoriti saksi dari Labuan,” katanya.

    Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, ketika dihubungi Bernama, berkata pihaknya telah menerima senarai nama saksi pendakwaan.

    Rozman, 57, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd di mana bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang 21 Mac 2018.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA