Tag: Rosol Wahid

  • BERSATU jangka Pas tidak terima syarat UMNO

    BERSATU jangka Pas tidak terima syarat UMNO

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Rosol Wahid yakin Pas akan menolak untuk menjalin semula kerjasama politik dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan portal BeritaBersatu, Rosol berkata, ini kerana syarat dikemukakan UMNO bertentangan dengan hasrat parti diterajui Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Tegasnya, matlamat utama Pas adalah untuk menyatupadukan Melayu-Islam melalui parti-parti yang berteraskan kepada perjuangan tersebut.

    “Saya tidak pasti (PAS akan terima atau tidak syarat ditentukan UMNO) tetapi atas dasar perpaduan, saya rasa PAS tidak akan terima.

    “Itu pandangan saya, sebab kita tahu matlamat PAS tetapi syarat-syarat tersebut nampaknya lari daripada kehendak agama.

    “Jadi, saya yakin PAS lebih memilih penyatuan ummah (bersama BERSATU),” katanya kepada Sinar Harian, pada Isnin.

    Ditanya mengenai syarat yang diwujudkan UMNO, Rosol menjelaskan, perkara tersebut adalah hak untuk mana-mana parti.

    “Itu hak UMNO untuk tentukan syarat tersebut tetapi sama ada PAS terima atau tidak, terpulang kepada PAS. Bagi BERSATU mudah sahaja, orang tak ingin kita pun tak mahu,” jelas beliau.

  • Harga barang stabil, peniaga digesa turun harga makanan

    Harga barang stabil, peniaga digesa turun harga makanan

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa peniaga termasuk yang menjual makanan bermasak mengenakan harga munasabah selaras harga barangan asas yang kini semakin stabil hasil intervensi kerajaan.

    Memetik Harian Metro, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, kenaikan harga barangan asas yang bersifat sementara sebelum ini tidak wajar diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan harga makanan secara kekal dan membebankan pengguna.

    Beliau berkata, penurunan harga makanan dilihat perlu dibuat selaras dengan harga barangan yang semakin stabil hasil intervensi dan langkah penyelesaian diambil kerajaan dalam mengatasi isu kenaikan harga bahan mentah sebelum ini.

    Katanya, harga ayam, minyak masak dan barangan keperluan lain kini stabil menerusi pemberian subsidi dan penetapan harga siling, malah usaha kerajaan menerusi program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) dengan menawarkan harga barangan sehingga 20 peratus lebih rendah dari pasaran semasa turut memanfaatkan peniaga makanan.

    “Kita memandang serius isu ini yang mana sering kali berlaku apabila harga barangan mentah naik, harga makanan dinaikkan, tetapi apabila turun (bahan mentah), makanan bermasak yang dinaikkan harga sebelum itu tidak turun.

    “(Sebagai contoh), dahulu bila harga ayam naik, harga makanan pun naik daripada RM8 jadi RM12 tetapi sekarang harga ayam sudah turun tetapi kita perhatikan harga makanan tak turun.

    “Jadi ini masalah dan kita sentiasa memikirkan cara untuk atasi isu ini sebab kita tak boleh nak kawal harga makanan bermasak ini sebab ia bukan barang kawalan.

    “Dalam hal ini, ada pegawai kita yang sentiasa turun padang buat pemeriksaan, termasuk melakukan penyamaran untuk memantau isu berkaitan kepenggunaan termasuk membabitkan harga makanan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai Syariah Negeri Terengganu (PPSNT) Tahun 2022 di sini hari ini.

    Turut hadir Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu merangkap Penasihat PPSNT Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

    Rosol berkata, walaupun kerajaan tidak boleh mengawal harga makanan yang sudah dimasak tetapi tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) boleh diambil sekiranya terdapat aduan dan peniaga terbukti cuba mengaut untung berlebihan.

    Katanya, terdapat beberapa faktor diambil kira terhadap peniaga atau premis yang dilaporkan meletakkan harga yang tidak munasabah.

    “Jadi kita harap semua peniaga dapat terus berperanan dalam mengawal inflasi dengan tidak mencatut dan tidak menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa alasan yang munasabah.

    “Pengguna juga boleh mainkan peranan dengan salurkan aduan ke saluran rasmi KPDNHEP sekiranya ada peniaga didapati cuba mencatut,” katanya.

  • Rosol sedia pertahan kerusi Hulu Terengganu, tidak ‘lari’

    Rosol sedia pertahan kerusi Hulu Terengganu, tidak ‘lari’

    TIMBALAN Ketua Bersatu Terengganu, Datuk Rosol Wahid sedia mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau berkata sudah sedia berdepan UMNO yang akan meletakkan anak didiknya yang juga ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat bertanding di kerusi Parlimen itu.

    “Kalau beliau (Rozi) bertanding, kita lawan. Sebab itu saya kata saya tak berani, tapi kalau orang ajak lawan, kita tak lari, kita lawan,” katanya selepas Majlis Perasmian Kopi Merdeka with Tealive.

    Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan Bersatu untuk memutuskan sama ada beliau akan dicalonkan untuk bertanding dalam PRU-15.

    “Saya orang politik dan kita ada ketua, kalau ketua kata tanding, kita tanding. Kalau ketua kata tak tanding, kita tak tanding,” katanya.

    Pada PRU-14, Rosol yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,868 undi menewaskan calon PAS, Muhyiddin Abdul Rashid dan calon PKR, Datuk Razali Idris yang kini merupakan ketua Bersatu Terengganu.

    Pada 11 Mei lalu, Ketua UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan BN akan meletakkan Rozi untuk bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15.

  • Harga siling ayam mungkin naik, tetapi masih menang-menang

    Harga siling ayam mungkin naik, tetapi masih menang-menang

    HARGA maksimum baharu ayam yang akan diumumkan esok telah mengambil kira kepentingan pengguna dan golongan peniaga secara seimbang, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid.

    Katanya, meskipun terdapat kemungkinan berlaku sedikit kenaikan, ia dilihat sebagai situasi menang-menang antara pengguna dan pemain industri ternakan.

    “KPDNHEP melalui anggota penguatkuasaannya sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan keberadaan bekalan dan kestabilan harga ayam di pasaran,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Imam Bilal Mukim Cawangan Hulu Terengganu Kali Ke-15, di Kuala Berang hari ini.

    Menurut Rosol, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan berhubung segelintir penternak, pemborong dan peruncit mengenakan caj tambahan termasuk upah tangkap, upah potong dan kos plastik sehingga membebankan pengguna.

    Katanya, pihak berkenaan mendakwa terpaksa mengenakan caj tambahan itu bagi memastikan kelangsungan perniagaan disebabkan pelbagai kos lain yang terpaksa ditampung pada masa ini.

    “Bagaimanapun kita akan siasat lebih lanjut dan tengok daripada beberapa sudut untuk pastikan kebenaran dakwaan mereka,” katanya.

    Dalam pada itu, Rosol berkata pihaknya juga sedia maklum dengan kekurangan minyak peket satu kilogram (kg) di pasaran dan pihaknya telah memohon kepada Kementerian Kewangan untuk menambah kuota minyak peket tersebut untuk mengatasi masalah berkenaan.

    “Sekarang ini kerajaan bekalkan 60,000 tan minyak masak bersubsidi sebulan dan kita minta tambahan lagi 10,000 tan sebulan untuk atasi masalah rakyat.

    “Bagaimanapun ia bergantung kepada kemampuan kewangan negara. Kita harap Kementerian Kewangan akan lihat dengan terperinci permohonan berkenaan,” katanya. – BERNAMA

  • Golongan kayangan ‘borong’ minyak paket punca bekalan kurang

    Golongan kayangan ‘borong’ minyak paket punca bekalan kurang

    KEKURANGAN bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran sejak sebulan lepas disebabkan pembelian oleh golongan ‘kayangan’ khususnya T20 dan M20.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, minyak paket berkenaan sepatutnya hanya digunakan untuk golongan berpendapatan rendah iaitu B40.

    Katanya, kerajaan perlu berbelanja besar dengan memperuntukkan 60,000 tan minyak paket sebulan dengan subsidi yang diberikan setiap kilogram (kg) minyak adalah antara RM2.50 sehingga melebihi RM3 bergantung kepada harga semasa.

    “Kerajaan perlu berbelanja besar untuk barangan bersubsidi contohnya minyak paket bagi 1kg dijual pada harga RM2.50, harga semasa adalah RM5 atau RM6. Untuk 1kg kerajaan terpaksa menanggung kos melebihi RM3,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Walkabout Pemantauan Pembukaan Sempadan Negara Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di Pasir Mas hari ini.

    Mengulas lanjut, Rosol berkata, pihaknya turut mengenal pasti, peniaga kedai makan dan restoran yang menggunakan minyak berkenaan hingga menyebabkan kekurangan bekalan minyak bersubsidi itu.

    “Kebanyakan peniaga dikesan menggunakan minyak paket ini. Sekiranya pihak kami ingin menjalankan siasatan dan melaksanakan penguatkuasaan mereka akan menggunakan minyak mahal dan secara tidak langsung akan menjual barangan niaga lebih mahal.

    “Isu ini bukan hanya berlaku di Kelantan, tetapi termasuk di Melaka, Negeri Sembilan dan sebagainya. Kalau tahun lepas isu ini didakwa berkait dengan kelewatan bayaran kepada syarikat pembungkusan semula yang lambat menyebabkan aliran tunai bermasalah tetapi kita sudah bayar jadi tiada isu lagi,” katanya.

    Ketika ditanya sama ada kekurangan minyak paket berkenaan turut berpunca daripada Program Jualan Keluarga Malaysia, Rosol berkata untuk program berkenaan ia hanya melibatkan satu atau dua syarikat pembungkusan semula.

    “Sedangkan setiap negeri ada lima sehingga enam syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi, jadi itu tidak ada isu. Apa yang kita tidak mahu, minyak berkenaan dibawa ke negara jiran,” katanya menambah penguatkuasaan dengan pasukan keselamatan terus dipergiatkan bagi mencegah barangan bersudsidi diseludup ke negara jiran. – BERNAMA

  • Rosol positif COVID-19, mohon maaf tak dapat jumpa mangsa banjir

    Rosol positif COVID-19, mohon maaf tak dapat jumpa mangsa banjir

    AHLI Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid memohon maaf kepada mangsa banjir di kawasan itu kerana tidak dapat bertemu mereka memandangkan beliau sedang menjalani kuarantin setelah dijangkiti COVID-19.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu memaklumkan perkara tersebut melalui perkongsiannya dalam hantaran di laman Facebook malam ini.

    “Saya terkilan dan mohon maaf kerana tidak dapat pulang ke kawasan menjenguk mereka yang terjejas dengan banjir buat masa ini kerana sedang menjalani kuarantin selepas disahkan positif COVID-19. Maaf kerana tidak dapat bersama anda semua, keluarga Hulu Terengganu dalam waktu sukar ini.

    “Namun begitu saya mengikuti rapat perkembangan banjir di Hulu Terengganu khususnya dan telah mengarahkan pegawai dan petugas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Terengganu untuk menggerakkan misi bantuan kepada mangsa banjir secepat mungkin,” katanya.

    Beliau berkata, sejak pagi semalam, semua petugas dengan bantuan Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu telah mula menyalurkan pelbagai bantuan awal berupa makanan seperti beras, mi segera, roti, biskut serta minuman selain selimut, tilam, pakaian dan kelengkapan diri kepada mangsa banjir.

    “Saya juga telah meminta petugas supaya sentiasa bersedia dan mengenal pasti mangsa yang memerlukan bantuan supaya dapat dibantu sewajarnya dengan segera. Di peringkat kementerian, saya akan menyelaraskan bantuan tabung makanan untuk mangsa banjir bagi meringankan bebanan mereka,” katanya sambil menasihati peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan terutama makanan.

    Rosol juga berkata, setakat ini, bekalan makanan dan keperluan dilaporkan mencukupi termasuk di kawasan banjir namun jika ada sebarang masalah, orang ramai boleh menghubungi talian aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. – BERNAMA

  • Bekalan telur ayam pulih penghujung Februari

    Bekalan telur ayam pulih penghujung Februari

    BEKALAN telur ayam dalam pasaran di seluruh negara akan pulih pada penghujung bulan ini.

    Begitulah jaminan diberikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung isu kekurangan bekalan telur ayam dalam pasaran di negara ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, jaminan itu dibuat hasil pemantauan, pemeriksaan dan kutipan data membabitkan 50 syarikat yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di negara ini.

    Menurut Rosol, berdasarkan pemantauan sehingga 3 Februari lalu, sebanyak 91 peratus kesediaan bekalan telur ayam ada dalam pasaran negara dan jumlah stabil serta mampu memenuhi keperluan harian rakyat.

    Beliau berkata, kekurangan telur ayam disebabkan beberapa faktor termasuk peningkatan pembelian sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina yang dijadikan stok selain masalah logistik di ladang kerana cuti panjang menyebabkan wujud masalah penghantaran.

    Justeru katanya, jaminannya adalah pada minggu akhir Februari isu itu akan selesai.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Pasar Tani, Kuala Ping, Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini.

    Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu memberitahu, selain telur ayam, bekalan ayam mentah yang turut berdepan masalah kekurangan stok atas faktor sama juga dijangka selesai akhir bulan ini.

    Ujarnya, secara purata rakyat Malaysia menggunakan sekitar 30 juta biji telur ayam sehari dan 60 juta ekor ayam sebulan di mana data pada Februari menunjukkan kekurangan sebanyak 3 juta ekor ayam tetapi selepas ini pengeluaran ayam dijangka melebihi 60 juta.