Tag: Rohingya

  • Rohingya jangan naik kepala, Hamzah beri amaran

    Rohingya jangan naik kepala, Hamzah beri amaran

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengingatkan etnik Rohingya di negara ini supaya ‘jangan naik kepala’ dan melanggar peraturan.

    Memetik laporan BH, beliau berkata, status pemegang kad pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) bukan ‘lesen’ untuk mereka berbuat sesuka hati dan melanggar segala peraturan di negara ini.

    “Saya tak suka sesiapa yang naik kepala, melanggar undang-undang negara. Sesiapa sahaja, tak kira warganegara atau bukan mahu pun pelarian, perlu ikut undang-undang negara ini. Kalau mereka tak patuh, boleh ambil tindakan.

    “Sebab itu, saya arahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memberi perhatian pada perkara ini dan setiap anggota di lapangan perlu benar-benar faham keadaan mereka (pelarian) ini.

    “Walaupun kita simpati mereka menghadapi masalah, mereka tidak boleh melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan masalah yang lain seperti berniaga di lampu isyarat, meminta sedekah dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Mekar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, di sini. Program itu bertujuan membantu memudahkan urusan mangsa banjir mendapatkan semula dokumen seperti MyKad, sijil lahir dan sijil kematian, yang hilang atau rosak akibat banjir.

    Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, polis sedang mengesan kanak-kanak dipercayai etnik Rohingya, yang meminta sedekah dengan agresif, termasuk menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna jalan raya sekitar ibu negara seperti tular di media sosial.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain juga dilaporkan berkata polis sedang menjalankan siasatan mengenai pengemis jalanan yang membabitkan etnik Rohingya, yang melakukan kegiatan mengemis di bandar besar di negara ini.

    Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan ada sindiket yang terbabit sebagai ‘dalang’ terhadap etnik Rohingya di negara ini, termasuk menggunakan kanak-kanak untuk mengemis.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, Hamzah berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan semua syarikat penerbangan berhubung kemasukan pengembara luar dijangkiti varian Omicron, selain tidak mempunyai rekod vaksinasi COVID-19.

    “Ia terjadi di mana sebelum mana-mana individu menerima pas pelepasan daripada syarikat penerbangan, semua butiran mengenai rekod vaksinasi perlu dikemukakan dan disemak secara teliti manakala Jabatan Imigresen kemudiannya akan menerima sebelum memberi pelepasan untuk melakukan penerbangan.

    “Namun, jika pas pelepasan itu sudah diserahkan kepada imigresen tanpa diketahui sejauh mana pihak yang memohon itu lengkap vaksinasi atau tidak, takkan kita hendak tarik balik dan tidak membenarkan mereka membuat penerbangan kerana bagaimana sesuatu pampasan itu hendak dituntut?” katanya.

    Dalam pada itu, Hamzah berkata pihaknya mengambil maklum mengenai laporan polis dilakukan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki hari ini.

    “Kita baru menerima laporan itu, tapi kita akan siasat mengikut akta tertentu dan barulah akan membuat siasatan,” katanya.

    Pada Rabu lepas, Azam menafikan tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

    Azam dilaporkan berkata ia merupakan satu penipuan besar untuk memberi persepsi negatif terhadapnya.

  • Lebih 2,000 pasar haram Rohingya dirobohkan

    Lebih 2,000 pasar haram Rohingya dirobohkan

    LEBIH 2,000 pasar haram yang dikendalikan oleh pelarian etnik Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh ditutup oleh pihak berkuasa di negara berkenaan.

    Memetik laporan Arab News, tindakan tersebut dilaksanakan oleh pasukan penguat kuasa atas pelbagai sebab termasuk menjual produk haram.

    Selain itu, penjenayah dikatakan turut menggunakan premis-premis perniagaan di kawasan pasar haram Rohingya terbabit untuk mengedar dadah dan barangan terlarang yang lain.

    Menurut Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Shamasud Douza, pelarian Rohingya tidak dibenarkan menjalankan sebarang kegiatan perniagaan di kawasan kem pelarian.

    “Kedai haram dirobohkan dari masa ke masa sejak 2018 kerana kita juga memerlukan lebih banyak ruang kosong bagi menampung pelarian baharu.

    “Kini kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di kawasan tanah kosong bagi membina penempatan baharu dan pusat rawatan pelarian Rohingya,” jelasnya.

    Ekoran tindakan tegas kerajaan Bangladesh itu, pelarian Rohingya mengeluh mereka kehilangan sumber pendapatan dan sumber keperluan harian di kem pelarian tersebut.

    Pada awal Disember lalu, kira-kira 1,000 kedai milik pelarian Rohingya telah dimusnahkan oleh pihak berkuasa Bangladesh.

    Walau bagaimanapun, banyak kedai dibina dan beroperasi kembali, sekali gus mendorong pihak berkuasa merobohkannya lagi.

    Bangladesh menerima kemasukan lebih 1.1 juta pelarian Rohingya dari Myanmar akibat tindakan zalim pihak tentera sejak 2017 dan jumlah itu dijangka semakin meningkat berikutan tidak banyak negara lain yang mahu menerima mereka.

    Pada masa ini, terdapat sekitar 34 kem pelarian Rohingya di seluruh Bangladesh, dan kerajaan cuba memindahkan mereka ke penempatan baharu di pulau buatan manusia, Bhashan Char, di Teluk Benggala.

    Namun, penghantaran ke kem pelarian di Teluk Benggala dibantah kerana kawasan itu terdedah kepada bahaya ancaman cuaca termasuk taufan dan banjir.

    Bangladesh setakat ini mengaturkan penempatan semula kira-kira 19,000 pelarian Rohingya di Bhashan Char.

  • Rohingya minta sedekah atas jalan boleh diambil tindakan – PDRM

    Rohingya minta sedekah atas jalan boleh diambil tindakan – PDRM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ETNIK Rohingya yang terlibat dalam kegiatan meminta sedekah secara berbahaya di jalanan atau mengganggu orang awam, boleh diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) serta Akta Kesalahan-Kesalahan kecil.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, pihak polis tidak perlu menunggu laporan daripada mana-mana pihak untuk bertindak berhubung perkara itu.

    “Melalui laporan media pun kita boleh ambil tindakan. Macam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin katakan, undang-undang negara ini tidak tertakluk kepada warganegara saja sebaliknya tertapakai kepada sesiapa juga yang telah melakukan jenayah atau kesalahan kecil.

    “Oleh itu mereka masih tertakluk epada undang-undang. Saya tak perasan ada laporan atau tidak tetapi daripada laporan media pun kita boleh bertindak,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kedah Dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Kedah di IPK Kedah, hari ini.

    Pada majlis itu Datuk Kamarul Zaman Mamat yang akan bertukar menjadi Ketua Polis Johor menyerahkan tugas selaku Ketua Polis Kedah kepada bekas Timbalan Pengarah (Integriti), Jabatan Integriti Dan pematuhan Standard (JIPS), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Wan Hassan Wan Ahmad.

    Mengulas lanjut Razarudin berkata, pihaknya akan mengarahkan semua kontinjen serta Ibu Pejabat Daerah (IPD) bagi memberi perhatian terhadap perkara itu.

    “Selalunya kita lihat kejadian ini berlaku di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Biasanya mereka akan minta sedekah di kawasan-kawasan sesak termasuk di persimpangan lampu isyarat.

    “Apa pun kita sudah arahkan kontinjen-kontinjen dan IPD untuk beri perhatian,” katanya.

    Dalam pada itu beliau turut tidak menolak kemungkinan kegiatan meminta sedekah dalam kalangan warga Rohingya ini turut didalangi sindiket.

    “Kemungkinan itu ada namun saya tak boleh kata apa lagi. Mungkin lepas buat tangkapan atau siasatan, kita cuba kumpulkan risikan berkaitan perkara itu,” katanya.

  • Shamsubahrin didenda RM3,000 buat kenyataan kegentaran awam isu Rohingya

    Shamsubahrin didenda RM3,000 buat kenyataan kegentaran awam isu Rohingya

    AHLI perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail didenda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam berhubung pelarian Rohingya, dua tahun lepas.

    Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Shamsubahrin, 56, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalahnya pada tarikh jatuh hukum hari ini. Tertuduh membayar denda tersebut.

    Rakaman video berdurasi 51 saat turut dimainkan semula di dalam mahkamah hari ini dan tertuduh mengakui yang dia membuat kenyataan tersebut.

    Shamsubahrin didakwa secara sedar telah membuat kenyataan dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada orang awam pada 30 April 2020.

    Pautan itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Aras 28, Menara KPJ, pada 12.30 tengah hari, 4 Mei 2020.

    Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi itu dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dengan alasan dia menghidap kanser dan pernah dijangkiti virus COVID-19.

    “Saya hanya mewakili B40 kerana ramai pemandu teksi adalah B40, yang hanya bergantung pada bantuan kerajaan sahaja serta ia tidak mencukupi,” kata tertuduh.

    Mengikut fakta kes, semasa pengadu (seorang anggota polis) melayari internet di pejabat JSJK Bukit Aman, beliau terlihat satu posting video telah dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Soleha Ali. – BERNAMA