Tag: RMK-12

  • RMK-12, Belanjawan 2022 tumpu pemulihan ekonomi – Muhyiddin

    RMK-12, Belanjawan 2022 tumpu pemulihan ekonomi – Muhyiddin

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    PELAN pemulihan ekonomi rakyat yang terkesan akibat Covid-19 menjadi fokus utama Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan nanti.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perancangan RMK-12 dan belanjawan itu sudah disiapkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan akan diteruskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Kita sudah buat persiapan dan disambung balik di bawah Perdana Menteri kesembilan (Ismail Sabri). Disiapkan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk tempoh lima tahun.

    “Tahun ini sudah bermula, negara akan berdepan dengan situasi yang amat mencabar dalam tempoh empat tahun akan datang baik daripada segi kedudukan kewangan kerajaan, baik daripada soal peruntukan untuk pembangunan termasuklah di Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Muhyiddin beramah mesra dengan penduduk dan peniaga semasa melawat Taman Pagoh Jaya

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ziarah kepada penduduk sekitar dan peniaga di Taman Pagoh Jaya, Muar, hari ini.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga bekas Menteri Besar Johor.

    Perdana Menteri akan membentang RMK-12 di Dewan Rakyat pada Isnin ini manakala Belanjawan 2022 akan dibentang pada hujung bulan depan.

    Muhyiddin berkata, apabila RMK-12 dan belanjawan itu dibentangkan Perdana Menteri nanti, pandangan pelbagai pihak akan diambil kira.

    Beliau yakin pelbagai langkah dan usaha tambahan akan dilaksanakan kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara yang dilanda pandemik Covid-19 ketika ini.

    ADUN Gambir itu berkata, MPN akan memainkan peranan penting bagi memastikan usaha-usaha pemulihan ekonomi negara dapat direalisasikan.

  • RMK-12: Perlu seimbang isu pembangunan, dana di Sabah dan Sarawak – Penganalisis

    RMK-12: Perlu seimbang isu pembangunan, dana di Sabah dan Sarawak – Penganalisis

    KERAJAAN perlu memberi fokus pada isu pembangunan di luar bandar serta keseimbangan dana di Sabah dan Sarawak dalam Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Menurut penganalisis politik, Romzi Ationg, keseimbangan dana kepada Sabah dan Sarawak amat penting bagi menepis keluhan rakyat di kedua-dua negeri itu yang berpendapat mereka sering terpinggir daripada perhatian kerajaan Persekutuan.

    “Terdapat keluhan rakyat Sabah tentang seolah-olah rasa terpinggir… benda itu harus diambil maklum dan dikurangkan seidkit momentum yang jadi tuntutan rakyat Sabah.

    “Keperluan memberi perhatian sedemikian adalah bagi memastikan rakyat segenap lapisan dapat menikmati pembangunan ekonomi terutama di luar bandar,” kata Romzi dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Isnin.

    Dalam masa sama, Romzi menggariskan isu jaringan internet di kawasan-kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak juga jangan dilepas pandang dalam pembentangan RMK-12 selain mengurangkan jurang pendapatan di antara penduduk luar bandar dan bandar.

    “Kita tidak hanya membincangkan jaringan internet di kawasan bandar, tetapi rasanya di bandar pun menghadapi masalah itu. Dengan adanya pembentangan RMK-12, mungkin tuntutan 100 hari (kerajaan) saya berharap jadi realiti,” ujar beliau lagi.

    Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar kerajaan hendaklah menentukan pelan strategik pembangunan luar bandar dalam RMK-12.

    Titah baginda, pelan itu perlu meliputi infrastruktur, ekonomi, keusahawan, modal insan dan sistem penyampaian yang dapat dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.