Tag: RichWorks

  • Siti Nurhaliza ‘berguru’ dengan Azizan Osman

    Siti Nurhaliza ‘berguru’ dengan Azizan Osman

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengambil langkah untuk ‘berguru’ dengan mentor usahawan terkenal, Datuk Dr. Azizan Osman bagi merangka transformasi serta memperkembangkan perniagaan SimplySiti yang diasaskannya sejak Mac 2010.

    Menurut isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu, beliau secara peribadi merasakan ilmunya masih kurang dan memerlukan bimbingan walaupun sudah lebih 10 tahun menceburi bidang perniagaan.

    “Sepanjang dua hari saya berada dalam kelas Azizan, saya boleh rasakan yang saya perlukan beliau untuk lebih berkembang dalam dunia perniagaan. Jika dunia hiburan boleh dianggap sebagai ‘makanan’, namun dalam dunia perniagaan saya masih kurang ilmu dan perlukan bimbingan.

    “Saya seronok dapat kembali menjadi pelajar. Dalam kelas ini, saya tak fikir yang saya seorang penyanyi atau selebriti sebaliknya merasa gembira kerana dapat sama-sama melakukan tugasan bersama ‘pelajar’ lain.

    “Sepanjang berada di sini, saya belajar memperbaiki diri. Saya sedar yang saya memiliki tanggungan di bawah iaitu individu yang bersama-sama memperjuangkan Simplysiti dan saya akan dapatkan ilmu itu bagi dikongsi bersama mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Menandatangani Keahlian Titanium Premier Partner (TPP) dan Watikah Penyedia Latihan Richwork di The Datai, Langkawi, Kedah, hari ini.

    Siti Nurhaliza merupakan individu pertama yang diterima untuk dibimbing dan menjadi rakan niaga strategik oleh Richworks sebagai TPP. Selain beliau, pasangan suami isteri, Siti Fatimah Abd. Samad dan Mohd. Sufian Sulaiman yang mengasaskan jenama pakaian terkenal, Sabella turut menandatangani perjanjian sama.

    Dalam majlis itu juga Richworks turut mengumumkan pelantikan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi sebagai rakan latihan bagi membimbing usahawan jutawan.

    Penyanyi yang terkenal dengan lagu Aku Bidadari Syurgamu itu menambah, Richworks dianggap sebagai universiti yang mampu mendidiknya untuk lebih berjaya dalam bidang perniagaan.

    “Kadang-kadang apa yang kita belajar dalam buku, keadaannya tidak sama di luar. Bukan senang untuk mempraktikkan apa yang dipelajari di luar dan saya dapati, Richworks memiliki kepakaran itu untuk membantu saya lebih berkembang.

    “Sebagai pemilik perniagaan, sudah tentu saya nak tembusi pasaran antarabangsa. Sebelum ini pun kita sudah masuk ke pasaran Indonesia namun terjejas akibat kedatangan pandemik Covid-19.

    “Dalam masa sama, saya mahu perkukuhkan dulu perniagaan ini sebelum mungkin menceburi perniagaan lain pula. Sebab itulah saya mahu kembali belajar bagi mendapatkan bimbingan di Richworks,” katanya.

    Dalam pada itu Azizan yang merupakan pengasas dan pengerusi Richworks berkata, beliau melihat empayar Simplysiti mampu melangkah lebih jauh memandangkan kekuatan yang ada pada Siti Nurhaliza sendiri selaku pengasas perniagaan tersebut.

    “Melalui perbincangan dijalankan, kita akan menstruktur dan merangka semula strategi untuk Simplysiti. Apa pun kejayaan itu tidak mungkin dapat dicapai esok pagi dan pastinya memerlukan masa.

    “Kita menetapkan untuk mencapai sasaran tertentu pada 2024, insya-Allah. Kita akan berusaha untuk memastikan perniagaan ini dapat dikembangkan ke luar negara termasuk di Indonesia yang memiliki pasaran cukup besar,” katanya.

  • Usahawan perlu strategi menang lawan ketidaktentuan ekonomi

    Usahawan perlu strategi menang lawan ketidaktentuan ekonomi

    BISNES dan usahawan dinasihatkan untuk terus berhati-hati dengan mencari langkah proaktif di sebalik peningkatan kadar faedah pinjaman bank susulan kawalan terhadap inflasi.

    Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata, peningkatan kadar faedah pinjaman tersebut dijangka memberi kesan terhadap kuasa membeli rakyat manakala usahawan berhadapan pelbagai kenaikan kos bahan mentah mahupun kos operasi.

    “Banyak bantuan diberikan kerajaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) susulan pandemik Covid-19 dalam bentuk moratorium, insentif dan pinjaman. Namun inisiatif yang akan berakhir tidak lama lagi ini dijangka akan menaikkan kadar hutang tak berbayar (NPL).

    “Belum ada data rasmi dikeluarkan di negara ini, bagaimanapun kebanyakan negara asing sekarang mengunjurkan NPL di negara itu akan naik secara ketara.

    “Ini memberi kesan besar terhadap ekosistem ekonomi berikutan ketidakmampuan membayar pinjaman. Bisnes tidak lagi dapat membayar cukai dan banyak lagi kesan rantaian lain yang akhirnya merugikan negara,” kata Azizan dalam sidang akhbar di Setia Alam pada Sabtu.

    Turut hadir ialah Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd. Terdahulu, Azizan yang merupakan pengasas RichWorks meraikan kira-kira 300 usahawan jutawan dan tetamu dalam Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri RichWorks 2022.

    Kata Azizan, usahawan perlu cepat mencari langkah strategik untuk menang berbanding pasaran semasa atau pesaing terdekat masing-masing.

    “Kadar pemulihan SME, saya percaya ramai tidak tahu bagaimana untuk mengurus keadaan ini, mereka perlu ada strategi penyelesaian.

    “Kami juga ingin menjemput mana-mana badan, agensi kerajaan atau kementerian untuk bersama-sama menggunakan platform RichWorks dalam membantu usahawan bangkit daripada kesan pandemik Covid-19,” katanya.

    Sementara itu, kata Radz, seramai 9,000 usahawan memohon untuk menyertai program Bangkit Bisnes Dari Krisis yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Jun ini di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini.

    “Kita masih lagi membuka pendaftaran bagi program ini di www.binabisnesberjaya.com. Kita juga sedang mempertimbangkan untuk memasang beberapa khemah besar serta layar skrin gergasi supaya mereka yang tidak dapat masuk ke pusat itu, dapat mengikuti program berkenaan,” kata Radz.

  • Usahawan bimbingan Richworks jana jualan RM3.7 bilion pada 2021

    Usahawan bimbingan Richworks jana jualan RM3.7 bilion pada 2021

    DI SEBALIK tekanan berganda akibat pandemik Covid-19, seramai 1,885 usahawan yang dibimbing syarikat RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks), berjaya merekodkan jualan terkumpul sebanyak RM3.7 bilion sepanjang tempoh 2021.

    Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd. berkata, sebanyak RM3.21 bilion jualan dihasilkan oleh usahawan yang dibimbing melalui program eksklusif Titanium manakala usahawan-usahawan program Spire dan Elite-X masing-masing merekodkan jualan RM495 juta dan RM46.9 juta.

    “Usahawan yang dibimbing secara intensif melalui program Titanium merekodkan jualan RM2.27 bilion pada 2020 berbanding hanya RM901 juta pada 2019. Peningkatan jualan usahawan Titanium dari 2020 ke 2021 adalah sebanyak 41 peratus.

    “Kesemua jualan Titanium sepanjang 2021 membabitkan 312 usahawan bersamaan 268 bisnes. Daripada jumlah itu, 85 peratus atau 227 bisnes usahawan Titanium merekodkan peningkatan jualan berbanding tahun sebelumnya,” kata Radz.

    usahawan
    PENGASAS syarikat SABELLA HOLDING SDN BHD yang memasarkan busana wanita jenama Sabella, Siti Fatimah Abd. Samat dan suaminya, Mohd. Sufian Sulaiman menyampaikan ucapan penghargaan sempena penerimaan anugerah Knight Award di KL Convention Centre di ibu negara semalam.

    Tambah beliau, pencapaian itu sangat membanggakan berikutan ramai syarikat berhadapan krisis sehingga ada yang terpaksa membuang pekerja dan gulung tikar namun usahawan bimbingan RichWorks merekodkan jualan berganda.

    Untuk rekod, seramai 77 usahawan Titanium merekodkan jualan lebih RM10 juta, jualan RM50 juta (lima usahawan) dan jualan lebih RM100 juta (lima usahawan).

    Sebagai menghargai pencapaian luar biasa itu, kata Radz, RichWorks meraikan 184 usahawan membabitkan 141 perniagaan dalam program RichWorks Titanium Gala Awards di KL Convention Centre hari ini.

    Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Lembaga Pengarah RichWorks, Datuk Jerry Rizal.

    usahawan Richworks
    PASANGAN suami isteri, Mohd Hasbullah Awang dan Nuriah Zakaria yang mengasaskan syarikat Hasnuri Sdn Bhd. menerima anugerah Knight Award berikutan rekod jualan sebanyak RM58.8 juta pada tahun 2021.

    Sementara itu, Mentor Usahawan dan pengasas RirchWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman dalam ucapan alu-aluannya berkata, angka-angka pencapaian usahawan Titanium itu membuktikan pandemik, krisis, bencana, malapetaka merupakan cabaran banyak manusia hadapi yang boleh dihadapi dengan mencari jalan.

    “RichWorks banyak anjurkan program percuma (sejak awal pandemik pada 2020) hampir setiap hari dan setiap minggu ada program percuma, sebab saya tahu ramai orang sangat takut, masih keliru, risau dan hilang arah tuju ketika itu.

    “Keutamaan saya tetap kepada Titan (usahawan Titanium). RichWorks dari hari pertama lagi PKP dikuatkuasakan, berhubung dengan semua Titan dan students Mentorship kami untuk kenal pasti situasi mereka dan apa tindakan yang perlu diambil untuk bantu dan bimbing mereka dalam krisis
    “Dan hari ini, malam ini, saya rasa sangat bangga dan sangat bersyukur dapat meraikan kejayaan anda,” jelasnya.

    Dalam majlis yang sama, Azizan turut melancarkan buku Bangkit Bisnes Dari Krisis yang digarap hasil analisis RichWorks terhadap bisnes yang berhadapan krisis pandemik tetapi berjaya bangkit.

    “Ini adalah perkongsian ikhlas saya untuk semua bakal usahawan mahupun yang telah sekian lama bergelar usahawan, tetapi diuji seribu satu dugaan di fasa pandemik mahupun endemik ini.

    “Buku ini amat istimewa dan dekat di hati saya kerana segala catatan dalam naskah ini, bumbu dan inti patinya disaring daripada perkongsian saya yang terdahulu sepanjang PKP hingga kini.

    “Tidak terkecuali kepada bakal usahawan-usahawan muda yang baru bertunas, segala tips, bimbingan, rahsia perniagaan berjaya yang dikongsi melalui buku ini adalah khusus untuk anda,” katanya.