Tag: remaja lelaki

  • PU Azman didakwa lagi, sudah kena 12 tuduhan jenayah seksual

    PU Azman didakwa lagi, sudah kena 12 tuduhan jenayah seksual

    PENDAKWAH selebriti, Azman Syah Alias, yang lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada 2017.

    Azman, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Rasyihah Ghazali.

    Lapor Berita Harian, mengikut pertuduhan, tertuduh yang turut dikenali sebagai Cik Man, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah inap desa di Jalan Kebun dekat sini pada September 2017.

    Dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

    Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan lain-lain saksi pendakwaan.

    Peguam bela, Fahmi Adilah, memohon jaminan tidak terlalu tinggi dikenakan atas faktor kewangan tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan ketika ini selepas siasatan dilakukan terhadapnya sejak September lalu.

    Katanya, tertuduh juga sudah membayar jaminan keseluruhan RM74,000 bagi pertuduhan-pertuduhan di Mahkamah Seremban; Mahkamah Klang dan Mahkamah Ampang.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi kes serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Januari depan.

    Semalam, lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang dengan satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun.

    Pada 7 Disember lalu, PU Azman didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Klang atas empat pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau pada tiga remaja lelaki tahun ini.

    Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada tahun sama pada 12 Oktober.

    PU Azman tidak mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan berkenaan.

  • Remaja 16 tahun curi duit tabung masjid dicekup

    Remaja 16 tahun curi duit tabung masjid dicekup

    TINDAKAN seorang remaja lelaki mencuri duit tabung sebuah masjid di Pontian, Johor membawa padah apabila dia diberkas polis pada hari sama kejadian itu dilaporkan pengurusan masjid Khamis lalu.

    Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan perbuatan suspek berusia 16 tahun itu yang kemudiannya tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Pontian, Supt Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 2 minit 19 saat dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter NanManjoi8715 memaparkan rakaman seorang lelaki mencuri duit tabung masjid.

    Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada Ahad 20 November kira-kira pukul 10.58 pagi di sebuah masjid di Ayer Baloi dan laporan polis dibuat oleh pengurusan masjid tiga hari kemudian.

    “Bertindak atas maklumat, pada 23 November kira-kira pukul 3 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pontian telah membuat tangkapan ke atas suspek berumur 16 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohammad Shofee dalam pada itu berkata, berhubung dengan kejadian itu, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

    Katanya, jika disabitkan kesalahan suspek boleh dipenjara maksimum sepuluh tahun dan boleh juga dikenakan denda.