Tag: rekod

  • Rekod, pantau ceramah di masjid – sultan

    Rekod, pantau ceramah di masjid – sultan

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan nazir di semua masjid seluruh negeri memperuntukkan sebahagian daripada kewangan masjid bagi menyediakan kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk merekod serta memantau semua aktiviti ceramah.

    Sultan Sharafuddin bertitah kelengkapan ICT di masjid akan memberi manfaat kepada pihak masjid dan ahli kariah kerana setiap perjalanan ceramah dibuat secara langsung atau dalam talian boleh dikongsi oleh mereka yang tidak hadir ke majlis ilmu tersebut, selain mudah dirujuk semula apabila diperlukan.

    Baginda bertitah masjid boleh berfungsi dengan lebih baik sebagai pusat maklumat yang boleh membekal data kepada semua agensi agama seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ahli kariah serta pihak lain.

    “Melalui penggunaan teknologi (ICT) juga, MAIS boleh memantau dan menyemak laporan kewangan semua masjid dan surau dengan kaedah dalam talian. Ini boleh mengelak berlaku penyelewengan dalam pengurusan kewangan masjid dan surau di negeri ini,” titah baginda.

    Sultan Selangor bertitah demikian semasa istiadat pengurniaan watikah pelantikan kepada 1,256 nazir dan imam masjid di seluruh Selangor, di Istana Alam Shah di Klang hari ini.

    Turut berkenan berangkat ke istiadat itu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

    Sultan Sharafuddin turut menasihatkan semua nazir dan imam masjid agar dapat mentadbir masjid dengan cekap, efisien, telus dan profesional.

    “Sebarang keputusan yang diambil oleh nazir serta jawatankuasa hendaklah mengikut undang-undang dan peraturan serta titah beta. Kegagalan mematuhi segala peraturan dan titah beta membolehkan tindakan penguatkuasaan undang-undang dikenakan terhadap mereka yang bertanggungjawab,” titah baginda.

    Baginda juga berharap dan menasihatkan para pegawai masjid khususnya nazir dan imam supaya terus memelihara kemuliaan institusi masjid daripada dicemari oleh elemen yang boleh merosakkan akidah, perpaduan dan kesatuan ummah.

    Dalam pada itu, Sultan Selangor juga mengingatkan program bagi memakmurkan masjid seperti kuliah, ceramah dan tazkirah hanya boleh disampaikan oleh mereka yang mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah MAIS.

    Baginda bertitah bagi penceramah luar negara, mereka dibenarkan menyampaikan kuliah, ceramah dan tazkirah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong, Masjid Diraja Sultan Sulaiman di Klang dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah di Cyberjaya sahaja.

  • Mrs Malaysia World 2022 lakar nama dalam Malaysia Book of Records

    Mrs Malaysia World 2022 lakar nama dalam Malaysia Book of Records

    OLIVIA Nicholas yang akan mewakili Malaysia ke pertandingan ratu cantik Mrs World 2022 di Las Vegas bulan ini, sudah pun melakar nama dalam Malaysia Book of Records.

    Peguam berusia 30 tahun dari Ipoh, Perak itu yang dinobatkan sebagai Mrs Malaysia World 2022 pada Oktober, mencipta rekod negara apabila mengenakan busana kebangsaan yang dihiasi dengan syiling lima sen terbanyak – sebanyak 10,000 keping.

    Busana yang akan dipakai beliau pada pertandingan Mrs World 2022 pada 17 Dis nanti, dipaparkan di sini malam tadi.

    Olivia menggayakan pakaian itu, yang menggabungkan elemen tradisional Sabah dan Sarawak, serta mencipta sejarah dalam pertandingan ratu cantik Malaysia apabila beliau muncul sebagai Ratu ‘Destar Siga’ pada majlis itu yang turut disaksikan oleh wakil daripada Malaysia Book of Records.

    Syiling lima sen itu mempunyai motif kain ‘Destar Siga’ iaitu kain tenunan bentuk asli yang berasal daripada masyarakat Kadazan Dusun di Sabah dan digunakan sebagai hiasan kepala semasa upacara tradisional.

    Pereka dari Sarawak Saran Anak Lagong telah mencipta kostum itu, kata Pengarah Kebangsaan Mrs World Sdn Bhd Datin Harveen Kaur.

    Beliau berkata Olivia akan bersaing dengan wakil dari lebih 60 negara untuk merebut mahkota Mrs World 2022 di Las Vegas dari 10 hingga 17 Dis ini.

    Olivia akan ditemani suaminya Dr Sandeep Menon ke acara itu, katanya. – BERNAMA

  • JKNT rekod 16 jangkitan varian Delta, Beta di Terengganu

    JKNT rekod 16 jangkitan varian Delta, Beta di Terengganu

    MOHD LAZIM ENDUT

    AWAS rakyat Terengganu, anda diminta supaya jangan terlalu bergerak bebas dan perlu sentiasa mematuhi prosedur Operasi Sandard (SOP) ditetapkan apabila ada urusan di luar.

    Ini kerana, jangkitan varian dibimbangi (VOC) virus SAR-CoV-2 sudah mula berada di dalam komuniti negeri ini, apabila sebanyak 16 kes jangkitan dilaporkan sehingga semalam.

    Malah, daripada jumlah tersebut, tujuh kes adalah membabitkan varian Delta (B.1.617.2) dan sembilan kes pula ialah varian Beta (B.1.351) sejak ia mula dikesan akhir Julai lalu.

    Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Dr. Kasemani Embong, empat kes varian dibimbangi itu direkodkan di daerah Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, Marang (tiga), Kemaman (dua) dan masing-masing satu kes di Setiu, Dungun dan Besut.

    Oleh itu katanya, tindakan kawalan segera telah dilakukan JKNT bagi memastikan varian tersebut tidak merebak dengan pengasingan pesakit dan kontak rapat sepanjang tempoh kuarantin.

    “JKNT meminta seluruh masyarakat termasuk individu yang sudah lengkap divaksin supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

    “Bagi mengurangkan risiko dijangkiti VOC Covid-19, orang ramai disaran agar sentiasa mengelakkan berada di kawasan sesak dan bersembang dalam jarak dekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Dr. Kasemani berkata, kewujudan varian ini memerlukan tindakan kawalan yang lebih teliti kerana kadar jangkitannya lebih cepat.

    Selain itu kata beliau tindakan kawalan juga dilakukan dengan lebih cepat seperti memastikan pesakit dikuarantin dengan betul serta mengasingkan segera pesakit dan kontak rapat yang dikesan.

    “Yang penting, masyarakat mestilah sentiasa amalkan 3W (wash, wear dan warn). Duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting, jika bergejala perlu ke klinik dengan segera untuk diambil ‘sampel’ ,” jelas beliau.

  • Ronaldo kini penjaring terbanyak sepanjang zaman

    Ronaldo kini penjaring terbanyak sepanjang zaman

    CRISTIANO Ronaldo memecahkan rekod dunia penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam bola sepak antarabangsa lelaki selepas meledak gol ke-100 dan ke-111 dalam kariernya ketika Portugal membenam Republik Ireland 2-1 pagi ini.

    BBC melaporkan, pemain yang baru melengkapkan kepulangannya ke Manchester United itu menjaringkan dua gol menerusi tandukan sekali gus memecahkan dan memegang rekod baharu biar pun sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol Gavin Bazunu.

    Ali Daei yang menjaringkan 109 gol bersama Iran antara 1993 dan 2006 memegang rekod itu sebelum disamakan Ronaldo semasa menentang Perancis pada Euro 2020 baru-baru ini.

    Penyerang berusia 36 tahun itu turut menyamai rekod 180 penampilan Eropah milik Sergio Ramos.

    Rekod dunia penampilan terbanyak yang diiktiraf oleh Fifa pada musim panas ini dipegang pemain legenda Malaysia, Soh Chin Ann dengan 195 cap antara 1969 dan 1984.

    Ronaldo dan Ali merupakan dua pemain bola sepak lelaki yang menjaringkan lebih 90 gol pada peringkat antarabangsa.

    “Rekod ini milik saya dan ia unik. Saya amat gembira dan ia satu lagi untuk karier saya,” kata Ronaldo yang kini mengumpul 111 gol antarabangsa.

    Portugal kini mendahului Kumpulan A dengan 10 mata daripada empat perlawanan.

    Hanya juara kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir di Qatar tahun hadapan, manakala naib juara mengharungi play-off.

  • REKOD!!!24,599 kes baharu, Johor, Pulau Pinang, Sarawak lebih 2,000 jangkitan

    REKOD!!!24,599 kes baharu, Johor, Pulau Pinang, Sarawak lebih 2,000 jangkitan

    BUAT tiga hari berturut-turut, jumlah jangkitan baharu Covid-19 di negara ini merekodkan lebih 20,000 kes apabila sebanyak 24,599 kes direkodkan hari ini.

    Kes baharu itu sekali gus menjadikan menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,640,843 kes.

    Malah buat pertama kali, kes harian melepasi angka 24,000, tertinggi sejak penularan Covid melanda negara disumbang oleh lapan negeri yang mencatatkan lebih 1,000 kes.

    Kali terakhir kes harian Covid-19 tertinggi dilaporkan adalah pada 20 Ogos lalu dengan 23,564 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal menjadi negeri utama menyumbang kes harian Covid-19 dengan 6,936 jangkitan baharu.

    Johor mencatatkan peningkatan hampir seribu kes iaitu 2,785 kes berbanding hanya 1,832 jangkitan semalam untuk berada di tempat ketiga di belakang Sabah yang mencatatkan 3,487 kes hari ini.

    Pulau Pinang dan Sarawak turut mencatatkan peningkatan ketara apabila masing-masing mencatatkan 2,078 dan 2,024 kes.

    Negeri lain dengan lebih seribu kes harian pula ialah Kedah (1,538 kes) diikuti Kelantan (1,312 kes) dan Perak (1,170 kes).

    Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu tiga jangkitan diikuti Putrajaya (20 kes) dan Perlis (67 kes).

  • REKOD!!!23,564 kes baharu, Sarawak lebih 2,000 jangkitan

    REKOD!!!23,564 kes baharu, Sarawak lebih 2,000 jangkitan

    BUAT tiga hari berturut-turut, jumlah jangkitan baharu Covid-19 di negara ini mencatatkan lebih 20,000 kes apabila sebanyak 23,564 kes direkodkan hari ini.

    Kes baharu itu sekali gus menjadikan menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,513,024 kes.

    Malah buat pertama kali, kes harian melepasi angka 23,000, tertinggi sejak penularan Covid melanda negara disumbang oleh sembilan negeri yang mencatatkan lebih 1,000 kes.

    Menurut hantaran terbaharu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor kekal menjadi negeri utama menyumbang kes harian Covid-19 dengan 6,974 jangkitan baharu.

    Sarawak mencatatkan peningkatan ketara apabila apabila buat pertama kali merekodkan sebanyak 2,548 kes di belakang Sabah yang konsisten di tempat kedua dengan 2,738 kes.

    Negeri dengan lebih seribu kes harian pula ialah Kedah (1,932 kes) diikuti Kuala Lumpur (1,652 kes) Pulau Pinang (1,523 kes); Johor (1,323 kes); Kelantan (1,281 kes) dan Perak (1,248 kes).

    Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu satu jangkitan diikuti Putrajaya (24 kes) dan Perlis (64 kes).

  • Rekod baharu! Kes harian Covid-19 catat 22,242 jangkitan

    Rekod baharu! Kes harian Covid-19 catat 22,242 jangkitan

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 kembali merekodkan kes harian tertinggi apabila sebanyak 22,242 kes direkodkan hari ini berbanding 21,668 kes 12 Ogos lalu.

    Malah buat pertama kali, kes harian melepasi angka 22,000, tertinggi sejak penularan Covid melanda negara, kebanyakannya disumbang oleh sembilan negeri yang masing-masing mencatatkan lebih 1,000 jangkitan.

    Kes positif terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,466,512 kes.

    Menurut hantaran terbaharu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor kekal menjadi negeri utama menyumbang kes harian Covid-19 dengan 6,858 jangkitan baharu.

    Sabah terus menunjukkan trend kenaikan kes yang ketara apabila mencatatkan sebanyak 2,413 kes untuk berada di tempat kedua diikuti Pulau Pinang (1,867 kes) dan Kedah (1,852 kes)

    Selain itu, lima negeri lain mencatatkan lebih 1,000 kes harian iaitu Kuala Lumpur (1,587 kes); Johor (1,477 kes); Sarawak (1,403 kes); Kelantan (1,351 kes) dan Perak (1,036 kes).

    Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu lima jangkitan diikuti Putrajaya (25 kes) dan Perlis (50 kes).