Tag: Razman Zakaria

  • Tangkap pemimpin pembangkang tindakan politik tidak bertamadun, kata Razman

    Tangkap pemimpin pembangkang tindakan politik tidak bertamadun, kata Razman

    TINDAKAN menangkap pemimpin politik pembangkang dan menghadapkan mereka atas tuduhan yang didakwa ‘direka cipta’ disifatkan Pas Perak sebagai tindakan politik yang tidak bertamadun.

    Dakwa Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, ‘plot drama’ itu dilihat secara jelas apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa mengeluarkan beberapa tuduhan kepada parti pembangkang sejak hari pertama memasuki pejabat.

    Razman mendakwa, tindakan berkenaan bercanggah dengan kebebasan hak asasi manusia yang menjadi slogan perjuangan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang.

    “Kenyataan media Perdana Menteri dan Menteri Kewangan lebih menjurus kepada apa yang disifatkan ‘pembongkaran’ kerja keras kerajaan lalu yang dengan wajah yang hodoh.

    “Angka-angka yang sentiasa berubah dan akhirnya di ‘serahkan’ kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) dan polis adalah tindakan menekan badan penguatkuasaan agar menerima tuduhan dan mencari serta mencipta apa apa sahaja yang boleh disifatkan sebagai ‘tidak betul’,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol meminta mana-mana pihak untuk tidak menjadikan tindakan politik balas dendam sebagai bayangan perjalanan politik terhadap kekecewaan lampau.

    Menurutnya, setiap parti politik yang berdaftar dalam negara ini sewajarnya menampilkan kematangan bersesuaian dengan tempoh kemerdekaan negara yang sudah menjangkau usia 70 tahun.

    Justeru beliau meminta agar kerajaan ketika ini untuk bersifat matang dan menumpukan usaha membangunkan negara.

    Katanya tindakan sebagai pembangkang dalam keadaan berkuasa hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik negara.

    “Memberi fokus kepada perpaduan, meningkatkan ekonomi, membantu rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup serta kejatuhan mata wang negara adalah tugas utama kerajaan. Serahkan tugas penguatkuasaan kepada pihak berkuasa yang sedia ada,” katanya lagi, lapor Astro AWANI.

  • Hormati keistimewaan Melayu dalam perkhidmatan awam, kata Razman

    Hormati keistimewaan Melayu dalam perkhidmatan awam, kata Razman

    PESURUHJAYA Pas Perak Razman Zakaria menggesa semua pihak menghormati hak orang Islam dan sensitiviti kaum Melayu.

    Memetik Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Malaysia dan “asas perjanjian kaum yang membentuk kemerdekaan,” Razman tanpa memberikan butiran lanjut mendakwa perkara itu termasuklah keistimewaan orang Melayu “dalam perkhidmatan awam.”

    Komposisi etnik perkhidmatan awam menjadi isu kontroversi selepas pemimpin DAP P Ramasamy menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk merungkai dasar “penguasaan Melayu” dalam sektor awam.

    Bagaimanapun, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat menafikan wujudnya kuota berasaskan kaum untuk pengambilan dan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam.

    Cuepacs berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebaliknya melihat kepada merit dan tidak menetapkan sebarang kuota agama, kaum, etnik atau kenegerian.

    Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, Pas Perak sentiasa memantau perkembangan politik negara khususnya di negeri Perak.

    “Pas juga mengikuti secara serius budaya politik yang dibawa DAP serta mengambil maklum sebaran media dari Adun Melayu yang mewakili DAP di Perak,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Semakan dengan pasukan media Pas menunjukkan Razman menjawab kenyataan ADUN DAP di Perak, Abdul Aziz Bari.

    Aziz berkata, beliau mengambil maklum mengenai “kegiatan menyebar politik kebencian atas nama agama dan bangsa.”

    “Ini termasuklah tuduhan liar mempromosikan LGBT atas nama mempertahankan akidah umat Islam,” katanya.

    Ini ditujukan kepada Razman, yang telah memohon maaf secara terbuka kepada Anwar dalam kes saman fitnah di Mahkamah Tinggi Taiping.

    Saman berkenaan berhubung ucapan Razman yang didakwa mengaitkan Anwar membawa agenda songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

    “Kebimbangan dan ketakutan serta rasa tidak selamat yang cuba disebarkan itu sebenarnya tidak wujud.

    “Dan kita harus sedar bahawa kedudukan Islam dan orang Melayu telah diberikan perlindungan yang cukup oleh perlembagaan.

    “Dengan itu tidak ada parti politik, sekuat manapun mereka yang boleh merubah status quo itu,” kata Aziz.

    Menyeru parti politik untuk bersaing atas dasar polisi dan rekod prestasi masing-masing, ADUN Tebing Tinggi itu mengingatkan agar tidak menggunakan politik kebencian untuk mencari pengaruh kerana ia boleh mengancam negara.

    Melayu korban politik kebencian

    “Dengan itu, DAP menyeru dan mengajak para ulama dan cendekiawan Melayu untuk tampil ke depan berganding bahu membanteras politik negatif yang berbahaya itu.

    “Pada hakikatnya bukan DAP satu-satunya korban daripada politik kebencian itu.

    “Mangsa sebenar politik kebencian itu adalah orang Melayu sendiri,” katanya menjelaskan perkara itu boleh merugikan masyarakat dengan membuat pilihan yang tidak tepat.

    Sementara itu, Razman berkata “Pas sangat mengambil berat terhadap sebarang usaha yang menggugat kedaulatan dan hak yang termaktub dalam perlembagaan.”

    “Pas juga menuntut semua pihak terutama parti politik agar menjunjung perlembagaan negara, menghormati undang undang serta asas perjanjian kaum yang membentuk kemerdekaan.

    “Semua hak hak yang telah termaktub dalam perlembagaan atau persefahaman yang dibina dalam pembentukan negara hendaklah dipatuhi dan dihormati.

    “Sebarang usaha menyentuh perkara berkaitan hanya akan menggugat keselamatan negara dan keharmonian masyarakat.

    “Mempertikaikan hak orang Islam dan sensitiviti orang Melayu mestilah dielakkan.

    “Mengkritik amalan agama islam, mempertikaikan tulisan jawi, keistimewaan orang Melayu seperti dalam perkhidmatan awam dan peruntukan terhadap agama Islam sebagai agama negara serta kedaulatan institusi raja Melayu adalah perkara boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dan menggugat keselamatan negara,” kata Razman lagi.

    Aziz dan Razman bagaimanapun meminta pihak berkuasa untuk tidak berkompromi dengan politik “negatif”.

    Untuk rekod, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak menggunakan istilah “hak istimewa” bumiputera.

    Perkara 153 merujuk “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.”

    Berdasarkan Perkara 153 (1), “menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

  • ‘Lebih baik Nur Jazlan fikir kenapa kalah PRU’, kata Razman

    ‘Lebih baik Nur Jazlan fikir kenapa kalah PRU’, kata Razman

    PESURUHJAYA Pas Perak, Razman Zakaria secara sinis menempelak Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengeluarkan kenyataan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengalami masalah kemurungan politik melampau.

    Nur Jazlan dilaporkan berkata pemimpin Perikatan Nasional (PN) harus melakukan sesuatu terhadap masalah psikologi yang didakwa dihadapi Abdul Hadi.

    Bagaimanapun Razman yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak menegaskan, Nur Jazlan seharusnya lebih mengutamakan kepada penilaian beliau yang kalah di kerusi Parlimen Pulai selama dua penggal berturut-turut.

    “Bagus Datuk Nur Jazlan, susah-susah saja beratkan kepala fikir untuk Perikatan Nasional.

    “(Akan tetapi) ada baiknya Datuk fokus kenapa Datuk kalah teruk di kerusi Parlimen Pulai dua penggal berturut-turut iaitu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15).

    “Ada baiknya Datuk fikir kenapa UMNO langsung tidak memenangi satu kerusi parlimen pun di Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya mnerusi entri di Facebook, malam tadi.

    Dalam pada itu Razman juga meminta untuk Nur Jazlan lebih memikirkan kesan kepada penyokong muda terhadap UMNO selepas parti itu memutuskan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.

    “Ada baiknya Datuk fikir apa kesan kepada penyokong UMNO daripada kalangan orang muda akibat jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan,” tambahnya, lapor Astro Awani.

    Pada Selasa, Nur Jazlan dilaporkan menggesa pemimpin PN untuk melakukan sesuatu terhadap ‘masalah psikologi’ Abdul Hadi yang didakwa berlarutan terutama berkenaan kenyataan pemberian wang kepada pengundi semasa PRU15 sebagai sedekah.

    Media melaporkan Nur Jazlan berkata, mereka perlu menyedarkan Ahli Parlimen Marang itu untuk ‘banyak-banyak mengucap’ dan menerima hakikat bahawa PN gagal menjadi kerajaan walaupun memenangi jumlah kerusi yang banyak.

    Sebelum ini media melaporkan Abdul Hadi mendakwa, pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi semasa PRU15 disifatkan sebagai sedekah.

    Ahli Parlimen Marang itu mengulas perkara berkenaan sebagai reaksinya terhadap tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon PN daripada Pas.

  • Perjuangan isu tanah di Perak

    Perjuangan isu tanah di Perak

    Oleh FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN

    ISU tanah di Perak belum ada penjelasan tuntas. Pendedahan audit mengenai penukaran status Tanah Rizab Melayu ini sangat mengejutkan banyak pihak. Ia bukan isu politik semata-mata tetapi ia isu masa depan hak dan keistimewaan ketuanan Melayu di Perak.

    YB Razman Zakaria sebagai Pesuruhjaya Pas Perak dan juga Ketua Pembangkang DUN Perak telah berkali-kali membangkitkan isu ini di DUN dan di luar DUN. Asas pendedahan audit itu sangat membimbangkan PAS Perak.

    YB Razman mengambil kesempatan atas kedudukan sebagai Ketua Pembangkang untuk menuntut jawapan dan tindakan kerajaan negeri terutama Menteri Besar.

    Sejurus isu ini didedahkan, beliau telah mengarahkan pegawai beliau mendapatkan maklumat untuk didedahkan yang berbetulan ketika sidang DUN Perak berjalan. Sebagai Ketua Pembangkang juga beliau telah mengarahkan semua ADUN mengambil serius isu tersebut.

    Lontaran ini disambut oleh semua ADUN dan pimpinan PAS serta BERSATU. Ahli Parlimen PAS dari Bagan Serai yang juga Naib Presiden PAS turut menyambung isu ini di peringkat nasional.

    Isu tanah adalah isu utama di Perak apatah lagi DAP dilihat berperanan secara terbuka atau di belakang tabir merungkai hak pemilikan tanah di Perak.

    Isu tuntutan pemilikan tanah 999 tahun adalah antara isu yang merungkai hubungan DAP dan BERSATU semasa DS Faizal menjadi Menteri Besar.

    Dengan pendedahan isu ini, seolah-olah ada satu perancangan rapi, tersusun dan senyap dilakukan DAP menjadikan Perak seperti Pulau Pinang ke dua yang telah hampir pupus hak milikan tanah bumiputera.

    Semoga isu ini diberi perhatian oleh semua pihak khasnya parti Melayu dan orang Islam di Perak. Semoga perjuangan ini disambut NGO demi mempertahankan sesuatu yang telah dilindungi perlembagaan dan undang-undang negara.

    Semoga PAS yang dipimpin YB Razman dan ADUN-ADUN PN Perak terus berjuang tanpa lelah dan kecewa.

    Penulis adalah Setiausaha Politik Pesuruhjaya Pas Negeri Perak