Tag: Razali Idris

  • PRU-15: Razali serah pucuk pimpinan PN, akur jika tak dicalonkan

    PRU-15: Razali serah pucuk pimpinan PN, akur jika tak dicalonkan

    KETUA Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris akur dan berlapang dada sekiranya tidak dipilih menjadi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Razali yang juga Ketua Bersatu Bahagian Marang menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon dan menentukan kedudukannya berikutan Parlimen Marang adalah kerusi tradisi Pas yang disandang Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Saya sebenarnya tak nampak di mana saya boleh bertanding, saya mengundi di Marang dan Marang kerusi Pas. Jadi saya nak bertanding di mana? Takkan nak bertanding di Besut, jauh sangat, jadi saya serah pada Pusat untuk buat keputusan.

    “Sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, kita bersedia kalau pucuk pimpinan kata awak bertanding di mana, tapi daripada segi kaedahnya, tempat saya sekarang ini tak boleh. Malah, saya sudah cakap jangan cuba tindih kerusi sahabat kita,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu yang ditemui pemberita selepas Persidangan BERSATU Bahagian Marang, di sini malam tadi menegaskan, beliau sedia berkorban untuk memastikan parti komponen dalam PN menang PRU-15.

    “Ahli Bersatu di Terengganu kecil (tak ramai), ada lebih kurang 25,000 orang dan kita jangka boleh bantu sahabat kita untuk menang. Kita jangka dalam 3,000 (pengundi) di satu-satu Parlimen, ada pengundi BERSATU kalau kita minta undi parti yang kita mahu.

    “Jadi kita boleh bantu mana-mana kerusi yang bawah daripada 1,000 undi (majoriti undi dimenangi ketika PRU14). Insya-Allah, yang menang sikit (majoriti kecil) kita bantu, yang kalah mungkin kita dapat menang,” katanya.

    Bersatu Terengganu bersetuju bertanding dua kerusi Parlimen, Hulu Terengganu dan Besut serta 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Permaisuri, Kuala Besut, Hulu Besut, Jertih dan Langkap.

    Kesemua 10 kerusi DUN yang bakal ditandingi Bersatu kini disandang wakil UMNO, manakala Pas akan kekal bertanding di 22 kerusi DUN yang dimenangi parti itu pada PRU14.

    Kerusi Parlimen Hulu Terengganu dimenangi Datuk Rosol Wahid atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,868 menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan Razali pada PRU14, manakala Parlimen Besut disandang wakil UMNO, Tan Sri Idris Jusoh.

    Bagaimanapun, Rosol memutuskan keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada 14 Disember 2018.

  • Muhyiddin tak pernah beri kata dua kepada Pas

    Muhyiddin tak pernah beri kata dua kepada Pas

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah memberi sebarang kata dua kepada Pas sama ada perlu memilih Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, sebaliknya apa dimaksudkan Muhyiddin ketika mengulas hasil pertemuan dengan pemimpin Pas termasuk Tan Sri Abdul Hadi Awang Isnin lalu itu, bahawa parti itu perlu membuat membuat pendirian lebih jelas soal kerjasama dalam pilihan raya.

    Muhyiddin kata hasil perbincangan dengan presiden Pas beliau mendapat bayangan Pas akan membuat keputusan sama ada bersama UMNO atau bersama PN. Itu sahaja, tak nampak beliau desak atau tekan Pas, saya tak nampak, tiada istilah kata dua.

    “Muhyiddin masih lagi meraikan kehendak Pas menjayakan penyatuan ummah. Kita Bersatu tak marah Pas umpa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada FMT.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa Muhyiddin tidak seharusnya menetapkan Pas perlu memilih PN atau BN bagi menghadapi PRU-15.

    Kata Tuan Ibrahim, parti itu mahu bekerjasama dengan Bersatu dan UMNO demi “perpaduan ummah”.

    Mengulas lanjut, berdasarkan kenyataan penuh Tuan Ibrahim, Razali berkata, dia tidak menganggap ia ditujukan kepada Muhyiddin sebaliknya bersifat umum susulan timbul desakan supaya Pas memilih antara UMNO dan Bersatu.

    “Kenyataan Tuan Ibrahim itu saya rasa beliau tak tuju kepada Muhyiddin, dia mungkin menjawab secara umum isu yang berlegar termasuk segelintir pemimpin UMNO yang memberi kata dua sama ada nak dengan Bersatu atau macam mana.

    “Umno pernah menuduh PAS main dua kolam, tiga kolam tetapi Bersatu tak pernah keluar keluarkan kenyataan kata PAS main dua kolam, tiga kolam,” katanya.

    Terdahulu, Muhyiddin mendakwa beliau diberi bayangan bahawa Pas akan buat keputusan muktamad, untuk memutuskan hubungan dengan Umno dalam tempoh terdekat.

    Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengumumkan BN sebagai musuh utama PN pada PRU15, dengan parti komponennya perlu bergerak sebagai sebuah pasukan dan memiliki hala tuju sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

  • Tolak BN: Takiyuddin tak perlu beri ‘amaran’ pada Bersatu

    Tolak BN: Takiyuddin tak perlu beri ‘amaran’ pada Bersatu

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak perlu memberi amaran berhubung perbezaan pendirian kedua-dua parti itu dalam hubungan dengan UMNO-BN.

    Memetik laporan Malaysiakini, Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, ini kerana Bersatu tidak pernah memberi sebarang amaran kepada Pas untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO.

    “Saya rasa Takiyuddin tak perlu beri amaran kepada Bersatu supaya tidak mengatakan BN ini musuh politik. Dan kita (Bersatu) pun meraikan keputusan dia (Pas), meraikan Pas bersama-sama dengan UMNO, berbincang dengan Umno pun kita tak pernah bagi apa-apa amaran pun kepada dia.

    “Jadi dalam hal sebegini, kalau pun ada sedikit kurang senang, saya fikir ada platform (melalui) Majlis Tertinggi PN. Mungkin di situ tempat yang terbaik untuk diperbincangkan,” katanya kepada Malaysiakini.

    Semalam, Takiyuddin berkata Pas tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan pertubuhan Melayu dan Islam lain sebagai musuh utama mereka.

    Walaupun tidak merujuk mana-mana pihak, kenyataan yang dikeluarkan beberapa hari selepas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan BN adalah musuh utama gabungan itu dalam PRU-15.

    Semalam juga Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan menurut Muhyiddin, banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan PN dalam menghadapi PRU15.

    Sementara itu, Razali menyifatkan perbezaan pendirian antara dua parti itu bukanlah isu yang perlu diperbesarkan.

    “Kita raikan (perbezaan pendapat dengan) Pas…Pas (juga) ada perjumpaan dengan Zahid Hamidi. (Jadi) UMNO dan Pas pun kena meraikan kenyataan kita (Bersatu) pasal BN.

    “Walaupun ada sedikit krisis di antara kita, biasalah…mana-mana pun memang ada krisis. Tapi kedua-dua (PAS-Bersatu) ini solid dalam mengatakan kita akan berlawan dalam PRU15 atas nama PN,” katanya lagi.

    Ditanya mengenai perkembangan dan intipati pertemuan antara pemimpin kanan Bersatu dan PAS semalam, Razali berkata MPT belum dimaklumkan lagi berhubung perkara tersebut.

    “Saya tak tahu pun intipatinya. Mungkin kita dapat nota daripada Tan Sri (Muhyiddin) ketika perjumpaan pada 3 Oktober nanti,” jawabnya ringkas.