Tag: rasuah

  • Syed Saddiq arah agih wang RM1 juta sehari selepas SPRM geledah rumah

    Syed Saddiq arah agih wang RM1 juta sehari selepas SPRM geledah rumah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengarahkan wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) diagihkan dalam kalangan exco sayap parti, sehari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan menggeledah kediaman Ahli Parlimen Muar itu di Petaling Jaya pada 31 Mac 2020.

    Pegawai penyiasat SPRM, Mohd Syahmeizy Sulong, 37, berkata, wang yang dikeluarkan dari bank pada 6 Mac 2020 berada dalam kawalan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan tiada transaksi dibuat dalam tempoh berkenaan sebelum ia diagihkan pada 1 April 2020.

    “Wang itu disimpan di rumah Rafiq Hakim sebelum ia diagihkan kepada kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan Muhammad Daniel Kusari dan Muhammad Naqib Ab Rahim yang ketika itu ahli Bersatu,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Mohamed Tahir pada perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

    Disoal Muhammad Asyraf apa yang menyebabkan wang RM1 juta itu tiba-tiba diagihkan kepada Muhammad Daniel dan Muhammad Naqib, saksi menjawab: Wang diagihkan selepas pihak SPRM mula siasat dan geledah rumah YB Syed Saddiq pada 31 Mac 2020.

    Mohd Syahmeizy, yang menyiasat kes penyelewengan dana Armada dihadapi Syed Saddiq berkata berdasarkan keterangan saksi yang dirakam, duit itu dikeluarkan oleh dua pemegang amanah Armada, Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, yang ketika itu Penolong Setiausaha Armada atas arahan Syed Saddiq.

    Menurut Penguasa Kanan SPRM itu, cek pengeluaran wang berkenaan ditandatangani oleh Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan kerana Syed Saddiq tidak mempunyai masa untuk pergi ke bank selain tandatangannya sering berubah.

    Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata siasatannya juga mendapati, pada 31 Mac 2020, tertuduh telah menghubungi Rafiq Hakim dan arahkannya untuk ‘clear’ wang yang disimpan di rumah Rafiq Hakim kerana tertuduh risau wang itu akan dijumpai dan disita oleh pihak SPRM.

    Kepada soalan Muhammad Asyraf, saksi berkata pihak SPRM menggeledah rumah Syed Saddiq pada hari berkenaan (31 Mac) susulan siasatan dijalankan oleh seorang lagi pegawai penyiasat, Muhamad Khairi Muhamad Rodi untuk menyiasat kehilangan wang berjumlah RM250,000 di rumah ahli politik tersebut.

    Menurut Mohd Syahmeizy, daripada RM1 juta itu, wang berjumlah RM650,000 diagihkan kepada Muhammad Daniel manakala RM250,000 kepada Muhammad Naqib.

    Bagaimanapun, saksi berkata pihak SPRM hanya menemukan wang berjumlah RM425,537 daripada Muhammad Daniel dan menyita wang berkenaan.

    Disoal Muhammad Asyraf di mana baki wang itu, saksi menjawab: Hasil keterangan Muhammad Daniel, baki wang telah diagihkan kepada ketua bahagian dan ahli-ahli Armada.

    Terdahulu, Mohd Syahmeizy berkata terdapat perbincangan melibatkan Syed Saddiq, Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan pada awal Mac 2020 dan keterangan saksi menyatakan Syed Saddiq amat risau pergolakan yang berlaku selepas ‘Langkah Sheraton’.

    “Oleh itu, YB Syed Saddiq tanya Rafiq Hakim berapa wang yang ada dalam akaun Armada pusat. YB Syed Saddiq nyatakan wang dalam akaun Armada merupakan hasil titik peluh sepanjang beliau menjadi Ketua Armada. Rafiq Hakim kemudian beritahu YB Syed Saddiq baki semasa akaun berjumlah lebih RM1 juta,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan pengeluaran wang itu dibuat selepas kedudukan Syed Saddiq dalam Pakatan Harapan goyah dan ia disokong oleh beberapa keterangan saksi yang diambil iaitu Ahmad Redzuan, Rafiq Hakim dan bekas Exco Armada Abdul Hannaan Khairy.

    Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, mengapa Syed Saddiq dituduh kali pertama pada 22 Julai 2021 sedangkan izin untuk mendakwa dikeluarkan pada 4 Jan tahun sama, saksi menjawab: Untuk siasatan terhadap YB Syed Saddiq, pihak SPRM telah membuka lima kertas siasatan yang berbeza aduan dan maklumat.

    “Oleh itu, pertuduhan terhadapnya dibuat terlalu lama disebabkan saya memerlukan keterangan saksi bagi menyamakan dengan kertas siasatan lain kerana ketika itu ada kertas siasatan yang belum siap ke atas YB Syed Saddiq,” kata saksi.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung. – BERNAMA

  • Pengarah LKIM Selangor didakwa terima rasuah

    Pengarah LKIM Selangor didakwa terima rasuah

    SEORANG pengarah di sebuah agensi kerajaan di Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM5,000 kononnya sebagai balasan melantik pembekal melaksanakan kerja-kerja membekal benih, baja dan racun.

    Khusairi Husain, 56, sebagai Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor didakwa menerima untuk dirinya iaitu wang tunai RM5,000 daripada seorang pengurus besar sebuah badan berkanun cawangan Klang yang dia ketahui badan tersebut ada kena-mengena dengan tugasan rasminya.

    Khusairi membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

    Khusairi didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar, Sabak Bernam pada 24 Nov 2020 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada 1 hari bulan setiap bulan.

    Peguam Noor Adzrie Mohd Noor yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai empat orang anak.

    “Saya mencadangkan jaminan RM5,000 dan sepanjang ditahan tertuduh memberi kerjasama baik dengan pihak SPRM selain tidak membantah sebarang syarat tambahan dikenakan,” katanya.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.

    Mahkamah juga menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Syed Saddiq mohon maaf muat naik semula hantaran berhubung kredibiliti saksi

    Syed Saddiq mohon maaf muat naik semula hantaran berhubung kredibiliti saksi

    BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini memohon maaf di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana memuat naik semula satu hantaran di laman media sosialnya berhubung perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang sedang dihadapinya.

    Syed Saddiq, 29, membuat permohonan maaf itu setelah diberi amaran terakhir oleh Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid yang mendengar perbicaraan kes itu hari ini.

    “Dengan rendah diri, saya mohon maaf,” kata Syed Saddiq.

    Azhar membuat teguran itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bahawa satu laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Muar itu kerana menyiarkan semula satu hantaran yang dibuat oleh rakannya, Ahmad Zarul Afiq berkenaan prosiding perbicaraan dan kredibiliti saksi pendakwaan ke-13, Rafiq Hakim Razali, yang juga bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

    Laporan itu menyatakan, hantaran yang disiarkan semula oleh Syed Saddiq adalah bersifat subjudis dan sebelum ini hakim lain telah menegur ahli politik itu serta pasukan peguamnya agar tidak membuat sebarang komen tentang perbicaraan yang sedang berlangsung.

    Wan Shaharuddin berkata, perkara sama telah beberapa kali berlaku dan Syed Saddiq sebelum ini diberi amaran oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

    “Bagaimanapun, ia masih berlaku dan tertuduh masih memberikan komen tentang prosiding dan kredibiliti saksi ini, yang saya percaya adalah subjudis. Terpulang kepada mahkamah untuk membuat penemuan fakta mengenai kredibiliti saksi,” katanya.

    Peguam yang mewakili Syed Saddiq, Gobind Singh Deo yang kelihatan terkejut ketika isu itu dibangkitkan memberitahu mahkamah anak guamnya telah memadam hantaran itu.

    “Saya memberitahunya (Syed Saddiq), ini adalah sesuatu perkara yang anda tidak bincangkan dan minta dia berhati-hati pada masa depan. Dia sudah memadamkan hantaran itu,” kata Gobind.

    Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, Azhar memberikan amaran terakhir kepada tertuduh agar perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

    “Ini agak serius. Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Mohamed Zaini Mazlan telah membuat pelbagai ulasan mengenai isu ini. Jadi biarkan ini sebagai amaran terakhir. Saya harap semua pihak tidak lagi membuat komen sebegitu,” katanya.

    Ini adalah permohonan maaf kedua yang dibuat oleh pihak pembelaan berhubung perkara sama dalam tempoh seminggu.

    Pada 4 Julai, seorang lagi peguam Syed Saddiq, Haijan Omar membuat permohonan maaf kepada mahkamah selepas seorang peguam dalam pasukan pembelaan ahli politik itu, Lim Wei Jiet mengeluarkan kenyataan awam mengenai kes sama.

    Terdahulu, berkenaan permohonan pihak pembelaan untuk mencabar kredibiliti Rafiq Hakim sebagai saksi pendakwaan, Wan Shaharuddin berkata, terdapat prasyarat yang perlu dipenuhi oleh pihak yang ingin pernyataan bertulis saksi diterima masuk sebagai keterangan di mahkamah, di bawah Seksyen 402B Kanun Tatacara Jenayah.

    “Memandangkan pernyataan bertulis itu tidak ditandatangani oleh saksi berkenaan, maka prasyarat pertama di bawah Seksyen 402B (2) gagal dipatuhi,” katanya.

    Susulan perkara itu, Gobind memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan pihaknya memulakan prosiding mencabar kredibiliti itu memandangkan pernyataan saksi Rafiq Hakim telah diberikan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula, walaupun ia tidak digunakan di mahkamah.

    Azhar kemudian menetapkan 18 Julai ini untuk memutuskan sama ada prosiding mencabar kredibiliti saksi utama pendakwaan itu boleh dilakukan, berikutan percanggahan dalam pernyataan saksi dan keterangan lisannya di mahkamah.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – BERNAMA

  • Zahid beli banglo harga diskaun sebab pemilik mahu wang cepat

    Zahid beli banglo harga diskaun sebab pemilik mahu wang cepat

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini bahawa dua unit banglo di Country Heights, Kajang dibeli pada harga diskaun iaitu RM5.9 juta kerana pemiliknya, taikun pemaju perumahan Tan Sri Lee Kim Yew memerlukan wang segera.

    Ahmad Zahid, 69, berkata, Lee yang merupakan Pengasas dan Pengerusi Country Heights Holdings Berhad menawarkan penjualan banglo berkenaan di bawah harga pasaran kerana menghadapi masalah untuk membayar cukai pendapatannya.

    “Tawaran ini (harga) daripada Tan Sri Lee Kim Yew iaitu pemilik Country Heights. Dia sangat memerlukan wang, sebab itu dia menjualnya di bawah harga pasaran.

    “Dia menghadapi masalah untuk membayar cukai pendapatan, sebab itu masa yang diberikan kepada kami sangat singkat dan harga diskaun diberikan kepada Yayasan Akalbudi (YAB),” katanya.

    Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian semasa dirujuk Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong berhubung buku lejar pemegang amanah YAB iaitu Tetuan Lewis & Co yang merekodkan firma guaman itu memasukkan RM2 juta ke dalam akaun simpanan tetap pada 30 Nov 2016 dan RM5 juta pada 9 Dis tahun sama.

    Menurut Ahmad Zahid, Lewis & Co tidak menunggu akaun simpanan tetap itu mencapai tempoh matang sama ada enam bulan atau setahun sebelum mengeluarkan wang RM5.9 juta kerana Lee memberi tempoh masa yang singkat untuk membuat keputusan dalam pembelian banglo berkenaan.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak bersetuju dengan cadangan Harris Ong bahawa pembelian banglo berkenaan bukan atas dasar kebajikan tetapi untuk menolong pemiliknya semata-mata.

    Sebelum ini, Lee yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 memberitahu mahkamah bahawa adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi membeli dua banglo berkenaan menerusi cek Lewis & Co.

    Menurut Lee, cek tersebut untuk pembayaran penyelesaian jualan bagi dua buah banglo setingkat milik syarikatnya itu yang dijual kepada Yayasan Al-Falah yang Mohamad Nasaee adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan tersebut.

    Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju untuk melawat dua banglo berkenaan seperti yang dipersetujui oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah semalam, pada 1 Ogos ini.

    “Saya juga menjemput Yang Arif ke Bagan Datuk untuk melawat Masjid Tuminah Hamidi bagi memberikan gambaran yang jelas keadaan masjid berkenaan,” kata Hisyam.

    Hakim Sequerah kemudian berkata keadaan masjid berkenaan boleh ditunjukkan di mahkamah menerusi gambar atau video kerana perjalanan ke Bagan Datuk mengambil masa.

    Semalam, Hakim Sequerah bersetuju dengan permintaan pihak pembelaan untuk melawat banglo berkenaan demi keadilan dalam perbicaraan kes itu.

    Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan bekas Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung 5 Ogos ini. – BERNAMA

  • Permohonan Zahid tangguh prosiding kes rasuah ditolak

    Permohonan Zahid tangguh prosiding kes rasuah ditolak

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan pemeriksaan balas pihak pendakwaan ke atasnya sementara menunggu keputusan rayuan, memutuskan bahawa tertuduh tidak akan diprejudis semasa pemeriksaan balas.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya berkata tiada keadaan khas untuk membenarkan permohonan Ahmad Zahid bagi penangguhan.

    “Tertuduh (Ahmad Zahid) bebas menemu bual saksi bila-bila masa, sebahagian daripada mereka adalah ahli keluarganya malah pihak pendakwaan komited untuk membantu beliau. Beliau tidak dinafikan perbicaraan yang adil,” kata hakim.

    Bekas timbalan perdana menteri itu memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding membela diri dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) sehingga rayuannya untuk mendapatkan salinan percakapan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diputuskan Mahkamah Rayuan.

    Pemeriksaan balas terhadap Ahmad Zahid bermula Khamis lalu selepas beberapa hari memberi keterangan membela diri dalam kes itu.

    Ketika menolak permohonan penangguhan itu, Hakim Sequerah berkata mahkamah terikat dengan kes terdahulu melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan beliau untuk akses kenyataan saksi yang dicarinya.

    “Mengikut prinsip penentu dalam kes Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan yang sudah tentu mengikut mahkamah ini, saya mendapati pemohon (Ahmad Zahid) gagal memenuhi ambang yang ditetapkan.

    “Permohonan ditolak, proses perbicaraan dan pemeriksaan balas terhadap tertuduh akan diteruskan,” katanya.

    Hakim Sequerah menangguhkan perbicaraan itu sehingga esok selepas peguam utama Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik memberitahu bahawa beberapa peguam yang mewakili anak guamnya tidak sihat.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah meneruskan prosiding itu di Mahkamah Tinggi tidak prejudis terhadap hak pemohon untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan tidak akan menyebabkan ketidakadilan.

    Beliau berhujah bahawa pemohon tidak pernah dihalang daripada menyediakan dan meneruskan pembelaannya kerana saksi-saksi yang tersenarai dalam afidavitnya sama ada dikenalinya atau mempunyai pertalian darah dengannya.

    “Ia adalah lebih bermanfaat kepada pemohon bahawa kesnya diteruskan di Mahkamah Tinggi kerana beliau akan mendapat peluang lebih awal untuk membela diri,” katanya.

    Raja Rozela menambah bahawa Ahmad Zahid berdepan dengan pertuduhan yang serius dan perbicaraan melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu diikuti oleh orang ramai.

    Beliau berkata perbicaraan itu telah memakan masa tiga tahun dan permohonan itu adalah percubaan untuk menangguhkan penyelesaian awal perbicaraan itu.

    “Perbicaraan ini juga mempunyai kepentingan awam dan nasional dan sebarang cubaan untuk menghalang kemajuan prosiding mesti ditolak,” katanya.

    Hisyam pula membalas bahawa permohonan itu bukan untuk melengahkan perbicaraan tetapi adalah untuk memastikan anak guamnya mendapat perbicaraan yang adil.

    Beliau berkata kes itu melibatkan kepentingan awam dan Ahmad Zahid perlu memberi keterangan penuh dan lengkap semasa pemeriksaan utama sebelum pemeriksaan balas.

    Berhubung kes itu yang telah berjalan selama tiga tahun sejak 2019, Hisyam berkata pihak pembelaan tidak harus dipersalahkan atas penutupan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa tercetusnya pandemik COVID-19.

    Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. – BERNAMA

  • Sogok polis RM200,000: Peniaga makanan didenda RM100,000

    Sogok polis RM200,000: Peniaga makanan didenda RM100,000

    SEORANG peniaga makanan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini kerana memberi suapan RM200,000 kepada seorang anggota polis bagi mengelakkan tindakan undang-undang terhadap lima rakannya yang ditahan dalam satu serbuan pada tahun lepas.

    Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zaed Asan, 34, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 24 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh telah membayar denda itu.

    Menurut pertuduhan pilihan, Mohd Zaed bersama seorang yang masih bebas, pada 14 Nov 2021, pada kira-kira pukul 1.20 pagi bertempat di dalam kereta Volkswagen Passat 2, di tepi jalan berhampiran stesen minyak di Nilai Square Commercial Centre dengan niat secara rasuah memberikan suatu suapan, iaitu wang tunai RM200,000 kepada Koperal Mohamad Taufiq Sudiman.

    Suapan itu sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima rakan peniaga makanan tersebut yang ditahan semasa serbuan oleh pihak polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai pada 13 Nov 2021 di sebuah unit Residensi Mesa Putra Nilai atas kesalahan jenayah penipuan pelaburan.

    Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Kamal Adha Mohd Harozi.

    Wan Shaharuddin turut memuji tindakan tiga anggota polis yang terbabit dalam kes berkenaan yang tidak terpedaya dengan wang rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.

    Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM200,000 bagi kes ini dilucut hak melalui Ketua Pesuruhajaya SPRM kepada kerajaan Malaysia. – BERNAMA

  • Kes rasuah: Zahid mohon tangguh prosiding bela diri

    Kes rasuah: Zahid mohon tangguh prosiding bela diri

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding membela diri dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) sehingga rayuannya untuk mendapatkan salinan percakapan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diputuskan Mahkamah Rayuan.

    Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa pihaknya memfailkan permohonan itu pada 23 Jun lepas.

    “Kami mohon tarikh segera untuk pendengaran permohonan ini,” katanya sebelum prosiding membela diri bekas timbalan perdana menteri itu atas 47 pertuduhan melibatkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

    Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob berkata, pihaknya menerima salinan notis permohonan itu menerusi e-mel pada Sabtu lepas dan akan membantah permohonan tersebut.

    “Kami memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan itu,” katanya.

    Mahkamah kemudian menetapkan 4 Julai untuk pihak pendakwaan memfailkan afidavit balasan dan permohonan itu didengar pada 7 Julai ini.

    Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul permohonan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau dinasihatkan oleh peguamnya bahawa keterangan saksi-saksi yang akan beliau sebutkan (di mahkamah) adalah mustahak dan material untuknya mendapatkan salinan rakaman-rakaman percakapan mereka.

    Menurut Ahmad Zahid, ini kerana beliau dapat melihat wujudnya sokongan antara keterangannya dan keterangan mereka.

    Saksi-saksi itu termasuk anaknya, Datuk Nurulhidayah, adiknya Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

    Ahmad Zahid berkata, tanpa salinan rakaman percakapan saksi-saksi berkenaan, haknya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil akan terjejas dan beliau ingin memberikan keterangan yang penuh serta lengkap semasa pemeriksaan utama di mahkamah sebelum disoal balas.

    “Permohonan ini bukan bertujuan untuk melengahkan atau melewatkan perbicaraan kes saya kerana saya telah memberikan keterangan di peringkat keterangan utama di mahkamah. Permohonan ini adalah bersifat bona fide (niat baik) untuk memastikan saya mendapat perbicaraan yang adil dalam penyediaan pembelaan di mahkamah.

    “Adalah wajar dan adil bagi saya untuk mendapat penangguhan perbicaraan sementara menunggu keputusan atau pelupusan daripada Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan salinan rakaman percakapan saksi-saksi itu sebelum saya diarahkan untuk disoal balas,” katanya dalam afidavit itu.

    Pada 9 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi daripada SPRM kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi dan sebagai contoh, diugut agar memberikan keterangan yang berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan.

    Ahmad Zahid diperintah membela diri atas 47 pertuduhan itu pada 24 Jan selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Pada prosiding hari ini, Ahmad Zahid menyambung membacakan pernyataan saksi. – BERNAMA

  • Hakim ‘amat kecewa’ Guan Eng keluar kenyataan subjudis luar mahkamah

    Hakim ‘amat kecewa’ Guan Eng keluar kenyataan subjudis luar mahkamah

    HAKIM Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melahirkan rasa kecewa dan menegur tindakan ahli politik itu membuat kenyataan media berhubung kes yang dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

    Hakim Azura Alwi turut menegaskan bahawa perkara mengeluarkan kenyataan bersifat subjudis seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana semua pihak termasuk pasukan pembelaan tertuduh mempunyai pengetahuan penuh, matang dan bukan kali pertama menghadapi prosiding di mahkamah.

    “Perkara seperti ini (keluarkan kenyataan subjudis) pernah ditimbulkan sebelum ini, namun tiada sebarang perintah dikeluarkan. Ia masih berlaku lagi, saya boleh tegur tetapi saya tidak boleh bagi jaminan (ia tidak berulang). Saya amat kecewa dengan perkara ini. Harap perkara ini tidak berlaku (lagi) dan tidak ambil mudah hal ini.

    “Kes ini telah mendapat liputan media dan melibatkan kes kepentingan awam, saya harap tertuduh dan pihak-pihak lain dapat menghormati mahkamah,” tegas Azura.

    Sebelum perbicaraan bermula, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin merujuk kepada mahkamah satu laporan polis yang dibuat berhubung kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Lim yang mendakwa beliau tidak bersalah kerana tiada jejak wang dibuktikan berkaitan pertuduhan itu.

    “Pihak kami ingin mahkamah menegur supaya perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.

    Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim mengesahkan perkara itu dan memohon maaf kepada pihak pendakwaan dan mahkamah susulan tindakan anak guamnya mengeluarkan kenyataan kepada pihak media pada Jumaat lepas.

    “Saya faham pendirian pihak pendakwaan dan tidak patut keluarkan kenyataan, kami menerima teguran itu dan minta maaf kepada mahkamah,” kata peguam itu.

    Mahkamah menyambung prosiding untuk mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-28, Azli Adam, 58, iaitu bekas Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat, Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG).

    Sebelum ini media melaporkan, laporan polis telah dibuat terhadap Lim susulan komen dibuat mengenai kes mahkamah melibatkan pemimpin tersebut dan laporan itu dibuat terhadap Lim berdasarkan artikel bahawa bekas Menteri Kewangan itu dipetik sebagai berkata keterangan saksi dalam perbicaraan rasuahnya adalah semata-mata satu rekaan dan konspirasi politik dan tindakan Lim adalah subjudis kerana perbicaraannya masih belum selesai.

    Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

    Lim, bekas Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu. – BERNAMA

  • Keputusan kes rasuah Abd Latif Bandi, anak ditunda

    Keputusan kes rasuah Abd Latif Bandi, anak ditunda

    MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini menangguhkan keputusan kes dihadapi bekas Exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi dan anak lelakinya serta seorang perunding hartanah yang menghadapi 37 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM30 juta ke 7 Ogos ini.

    Hakim Kamarudin Kamsun dijadualkan menyampaikan keputusan di akhir kes pembelaan hari ini, bagaimanapun beliau berkata masih terdapat beberapa hujahan daripada pihak-pihak terbabit yang belum diterima.

    “Masih terdapat beberapa hujahan yang belum dibuat dan saya perlu mendengar hujahan terbabit sebelum membuat keputusan.

    “Maka, saya tidak boleh membuat keputusan pada hari ini dan keputusan akan ditetapkan ke satu tarikh baharu,” katanya.

    Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Abd Latif, 56, dan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 30, kemudiannya memohon mahkamah untuk mendengar hujahan daripada pihak pembelaan.

    Prosiding turut mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pengarah I Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama barisan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dan Mahadi Abdul Jumaat.

    Selain Salehuddin, Abd Latif dan Ahmad Fauzan turut diwakili Datuk Hasnal Rezua Merican manakala perunding , Amir Shariffuddin Abd Raub, 49, diwakili Khairulazwad Sariman.

    Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta dan masing-masing mengaku tidak bersalah.

    Kamarudin pada 21 April 2019 melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

    Bagaimanapun, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor itu dengan dua yang lain terbabit untuk membela diri selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu.

    Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan membabitkan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama.

    Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) serta Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001. – BERNAMA

  • Abdul Azeez kemuka representasi kepada AGC tarik balik tuduhan

    Abdul Azeez kemuka representasi kepada AGC tarik balik tuduhan

    BEKAS Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menarik balik pertuduhan tersebut.

    Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim berkata, pihaknya masih mengkaji perkara itu.

    “Untuk makluman mahkamah juga, berkenaan permohonan (Abdul Azeez) di Mahkamah Rayuan bagi membatalkan pertuduhan tarikh untuk keputusan ditetapkan 1 Julai ini,” katanya semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

    Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez mengesahkan mengenai representasi tersebut.

    “Pihak-pihak telah berbincang untuk memohon satu tarikh yang bersesuaian oleh itu kami mencadangkan 30 Ogos untuk sebutan kes,” katanya yang mewakili Abdul Azeez bersama peguam Hisyam Teh Poh Teik.

    Mahkamah menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan kes itu bagi memaklumkan status perkembangan representasi dan keputusan rayuan tersebut.

    Abdul Azeez, 55, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

    Pada 12 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram dihadapinya.

    Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling, untuk menangguhkan perbicaraan kesnya di Mahkamah Sesyen sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Perbicaraan kes itu bermula pada 19 Ogos 2020 dan tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. – BERNAMA