Tag: rasuah

  • Kes terowong: Rayuan Guan Eng pindah mahkamah tinggi ditolak

    Kes terowong: Rayuan Guan Eng pindah mahkamah tinggi ditolak

    PROSIDING perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang kekal di Mahkamah Sesyen.

    Ini berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya yang diketuai Hakim Datuk Nor Bee Ariffin hari ini sebulat suara menolak rayuan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu untuk memindahkan perbicaraan kes rasuahnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

    Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Hashim Hamzah.

    Hakim Datuk Che Mohd Ruzima yang menyampaikan keputusan mahkamah, berkata pendekatan perayu (Lim) menggunakan Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah khusus untuk kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi sebagai landasan untuk membawa rayuan kesnya ke Mahkamah Persekutuan tidak wajar dibenarkan.

    Beliau berkata tidak ada kesilapan yang dilakukan oleh hakim Mahkamah Tinggi apabila memutuskan Lim gagal memenuhi kehendak yang diperlukan di bawah Seksyen 417 (1) (b) dan Seksyen 417 (1) (e) Kanun Tatacara Jenayah.

    Beliau berkata kedua-dua persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh Lim bukan tergolong dalam persoalan undang-undang yang luar biasa atau tidak pernah diputuskan oleh mana-mana mahkamah sebelum ini.

    Hakim Che Mohd Ruzima berkata oleh itu rayuan Lim ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan.

    Lim mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menolak permohonannya untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

    Bagi kes yang bermula di Mahkamah Sesyen, rayuan akan berakhir di Mahkamah Rayuan manakala kes yang bermula di Mahkamah Tinggi akan berakhir di Mahkamah Persekutuan.

    Guan Eng, yang merupakan Ahli Parlimen Bagan, berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

    Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

    Guan Eng juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

    Setakat ini, 11 saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan kes tersebut yang bermula pada 13 Julai lepas. Perbicaraan dijadualkan bersambung 29 Nov di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Sepasukan peguam diketuai peguam Gobind Singh Deo mewakili Guan Eng manakala Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin bagi pihak pendakwaan.

    Ketika ditemui pemberita selepas keputusan mahkamah, Gobind memberitahu pemberita bahawa beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini ke Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • Anggota sindiket pelaburan cuba sogok polis RM200,000

    Anggota sindiket pelaburan cuba sogok polis RM200,000

    POLIS menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Nilai, di Nilai awal pagi tadi kerana disyaki cuba menyogok anggota polis sebanyak RM200,000 supaya tidak mengambil tindakan terhadap lima rakannya yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pelaburan tidak wujud.

    Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan pada 1.40 pagi, kira-kira empat jam selepas penahanan rakan-rakannya yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita, berumur dalam lingkungan 21 hingga 24 tahun.

    Menurutnya, kelima-lima individu berkenaan ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di bandar itu dan disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud menerusi laman Facebook sejak enam bulan lepas.

    “Turut dirampas ialah 15 unit telefon bimbit, dua komputer riba dan wang tunai berjumlah RM2,473, manakala RM200,000 serta dua telefon bimbit pula dirampas daripada lelaki yang cuba menyogok polis itu,” katanya pada sidang media di Nilai, hari ini.

    Dalam pada itu, Mohamad berkata ,modus operandi sindiket itu ialah dengan menyasarkan rakyat tempatan melalui promosi skim pelaburan di Facebook dan seterusnya berhubung dengan mangsa hanya menerusi aplikasi WhatsApp.

    Beliau berkata, mereka juga dipercayai menggunakan pelbagai akaun bank dan nama skim pelaburan ditukar setiap tiga bulan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    Menurut Mohamad, menerusi penahanan itu pihaknya dapat menyelesaikan 11 kes berkaitan sindiket itu, selain akan terus mengesan saki-baki individu yang terlibat.

    Katanya, kesemua suspek direman dua hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Justeru, Mohamad menggesa orang ramai untuk lebih berhati-hati apabila berurusan secara dalam talian dan tidak mendedahkan maklumat peribadi serta perbankan.- BERNAMA

  • Bekas Exco Johor diperintah bela diri 37 pertuduhan

    Bekas Exco Johor diperintah bela diri 37 pertuduhan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi diarah Mahkamah Tinggi Johor Bahru untuk membela diri bagi 37 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 2017.

    Selain Abdul Latif, anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub turut diarah untuk membela diri atas pertuduhan sama.

    Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan perkara itu selepas prosiding hari ini selesai sekaligus mengenepikan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 21 April 2019 yang membebas dan melepaskan ketiga-tiga mereka.

    Timbalan Pengarah I Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa keputusan terdahulu oleh Mahkamah Sesyen adalah salah.

    “Mahkamah Sesyen telah tidak mempertimbangkan banyak isu-isu penting dalam kes tersebut dan Hakim juga telah menetapkan jaminan berjumlah RM1.1 juta untuk ketiga-tiga tertuduh dengan cagaran tanah,” katanya.

    Pada 21 April 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan Abdul Latif daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) melibatkan jumlah lebih RM30 juta.

    Selain itu, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dikenakan selepas ketiga-tiga mereka pada 14 Jun 2017 dihadapkan dengan empat pertuduhan melibatkan aktiviti terbabit.

    Sebelum itu, mereka masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1)(C) Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, peguam tertuduh, Datuk Salehuddin Saidin berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu bukan pengakhiran buat anak guamnya.

    Beliau berkata akan terus mewakili anak guamnya bagi membuktikan tidak bersalah atas segala pertuduhan dikenakan memandangkan ketiga-tiga mereka ketika ini belum dibuktikan bersalah.

    “Apa yang perlu saya tekankan anak guam kami telah menghormati proses undang-undang dan mereka akan hadir ke mahkamah walaupun jumlah jaminan telah dikurangkan kepada RM1.1 juta,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Salehuddin turut memberitahu anak guamnya akan membayar wang jaminan tersebut menggunakan cagaran tanah.

    Beliau bersama-sama Hasnal Redzua Merican merupakan peguam kepada ketiga-tiga mereka, manakala barisan pendakwaan disertai Wan Shaharuddin; Ahmad Akram Gharib; Mahadi Abdul Jumaat; Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zander Lim Wai Keong.

    Mahkamah kemudian turut menetapkan 14 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Bekas ejen pengurusan tak mengaku 23 tuduhan rasuah

    Bekas ejen pengurusan tak mengaku 23 tuduhan rasuah

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    BEKAS ejen pengurusan di sebuah pangsapuri mengaku tidak bersalah terhadap 23 pertuduhan menerima suapan melibatkan nilai keseluruhan RM9,600 ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini.

    Tay Choon Siew, 68, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Tertuduh didakwa menerima rasuah berjumlah RM400 dan RM800 daripada seorang kontraktor menerusi akaun miliknya sebagai dorongan mencadangkan syarikat milik kontraktor itu melakukan kerja-kerja pembersihan dan landskap di pangsapuri tempatnya bekerja ketika itu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru antara 3 Mei 2017 hingga 3 September 2019.

    Bagi kesemua 23 pertuduhan, Choon Siew didakwa di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

    Dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

    Pengawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Johor pada setiap bulan.

    Peguam tertuduh, Datin Freda Sabapathy bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh yang juga warga emas itu tinggal sebatang kara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang setelah bercerai pada 2013 dan hilang mata pencarian setelah berhenti kerja pada 2019.

    Mahkamah juga diberitahu tertuduh menghidap kanser kolon sejak 2017 dan kini terpaksa menggunakan ‘stoma bag’ yang perlu ditukar setiap hari.

    Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai selain 29 November ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Najib arah Zahid lanjut kontrak UKSB – Saksi

    Najib arah Zahid lanjut kontrak UKSB – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikut arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai pengendali tunggal sistem Visa Luar Negara (VLN) ke Malaysia di China.

    Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Suriani Ahmad berkata ia berdasarkan catatan minit oleh Najib pada surat bertarikh 23 Mei 2013 yang dihantar kepada Ahmad Zahid yang menyatakan ‘projek ini perlu diteruskan’.

    Semasa disoal peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu mengenai siapa yang memberi arahan itu berdasarkan catatan minit tersebut, Suriani berkata: “Arahan Perdana Menteri.”

    Ketika dirujuk kepada minit lain bertarikh 20 Jan 2014 pada surat berkenaan oleh peguam itu, Suriani berkata: “Minit itu menyatakan ‘YB Datuk Sri Zahid, Sila Bantu Dalam Hal ini. Kontrak ini perlu diteruskan’

    Hamidi: Ia ayat perdana menteri kepada timbalan perdana menteri?

    Suriani: Betul.

    Suriani turut bersetuju dengan Hamidi bahawa beliau juga akan melaksanakan arahan sekiranya diarah oleh ketuanya, Tan Sri Alwi Ibrahim yang merupakan Ketua Setiausaha KDN ketika itu.

    Sebelum ini, saksi pendakwaan kedua Azman Azra Abdul Rahman @ Md Salleh iaitu bekas Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Hal Ehwal Imigresen KDN memberitahu mahkamah bahawa UKSB ada menghantar beberapa surat kepada Najib bagi memohon pertimbangannya untuk mengekalkan syarikat tersebut sebagai pengendali tunggal pengurusan visa ke Malaysia di China.

    Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Gan Peng Kun semasa pemeriksaan semula mengenai catatan minit yang diterima KDN daripada Ahmad Zahid berhubung tempoh lanjutan kontrak VLN, saksi pendakwaan keempat itu menjelaskan ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

    “Pendirian kementerian adalah sekiranya bersetuju untuk buat lanjutan itu, ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa kerana kontrak masih berjalan dan ada banyak masa lagi sebelum ia tamat. Sebab itu saya rasa perlu ada masa dan ruang untuk buat penilaian terlebih dahulu.

    “Kontrak belum tamat lagi. Ada tiga tahun. Satu jangka masa yang panjang. Sepatutnya tiga tahun lagi diberi masa membuat penilaian (pelanjutan kontrak). Itu pendirian kementerian,” katanya.

    Sementara itu, saksi pendakwaan kelima, bekas penolong setiausaha, Bahagian kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Sheeba Kunhmon, 48, berkata Ahmad Zahid menerima gaji serta elaun berjumlah RM44,383.15 setiap bulan bermula dari 2015 hingga 2018 ketika menjawat jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

    “Semasa memegang jawatan itu pada 2015 hingga 2018, Ahmad Zahid menerima RM18,168.15 sebulan manakala elaun RM26,215.

    “Sebagai Menteri Persekutuan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri) antara 2008 dan 2015 adalah RM14,907.20 manakala elaun yang diperoleh sebanyak RM24,320,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh TPR Zander Lim Wai Keong.

    Ketika disoal Lim mengenai sumber gaji yang diterima oleh Ahmad Zahid, Sheeba menjawab: “Dari kerajaan Malaysia.”

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 20 Dis depan. – BERNAMA

  • Zahid adalah bos yang mempunyai kuasa atas YAB

    Zahid adalah bos yang mempunyai kuasa atas YAB

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah ‘bos’ yang mempunyai kuasa serta kawalan penuh ke atas aset Yayasan Akalbudi (YAB).

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, tertuduh, sebagai pemegang amanah YAB, mempunyai kawalan dan kuasa penuh ke atas aset yayasan itu ketika beliau secara tidak jujur telah menyeleweng berjuta-juta ringgit daripada dana YAB.

    Beliau memberi contoh bagaimana Ahmad Zahid boleh mengawal YAB dengan pelantikan dua pemegang amanah baharu pilihan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sendiri iaitu Muhammad Nabil Saleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi bagi menggantikan Samsuri Tun dan Profesor Dr Zulkifli Senteri yang meletak jawatan pada 4 April 2012.

    “Kerusi yang dikosongkan segera diisi oleh dua lagi yang memegang jawatan dalam UMNO Bahagian Bagan Datuk iaitu Muhammad Nabil Saleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi. (Ahmad Zahid ialah Ahli Parlimen Bagan Datuk).

    “Sepintas lalu, pelantikan mereka sebagai pemegang amanah kelihatan seperti biasa-biasa saja. Namun jika anda meneliti siapa mereka, anda akan dapati seorang daripada mereka adalah pembantu peribadi beliau.

    “Mereka mungkin menjadi pemegang amanah seperti beliau (Ahmad Zahid) namun hakikatnya Yang Arif, beliau adalah bos dan masih bos mereka. Jadi adalah tidak keterlaluan jika saya katakan apa yang bos nak, bos akan dapat,” katanya ketika berhujah di akhir kes pendakwaan bagi perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

    Raja Rozela juga berkata, pada 4 April 2012, Ahmad Zahid telah menjadikan dirinya sebagai penandatangan tunggal bagi akaun bank YAB.

    “Semasa beliau berkuasalah yang menyaksikan kira-kira 50 cek YAB dikeluarkan dan pengeluaran dana daripada tujuh akaun simpanan tetap. Jumlah terkumpul ialah RM31,082,732.57,” katanya.

    Beliau juga berhujah, Presiden UMNO itu sepatutnya tahu bahawa beliau tidak ada hak menggunakan aset itu walaupun untuk dirinya sendiri.

    Katanya, dengan menggunakan dana itu untuk diri sendiri walaupun mengetahui beliau tidak berhak berbuat demikian, tertuduh telah bertindak secara tidak jujur dengan niat untuk merampas aset YAB dan memperoleh dana itu bagi keuntungan sendiri.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA

  • Mahkamah benar pelepasan sementara pasport Zahid

    Mahkamah benar pelepasan sementara pasport Zahid

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau menerima rawatan di Munich, Jerman.

    Permohonan itu dibuat pagi ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.

    Datuk Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan permohonan tersebut adalah perkara sama yang dibuat anak guamnya yang menderita sakit belakang serta leher dan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka Jerman, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas.

    “Kita memohon pelepasan sementara pasportnya bagi mendapatkan rawatan di Jerman untuk kecederaan, sama seperti permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.. yang kat sini dah bagi,” katanya ketika ditemui media di Shah Alam, hari ini.

    Ahmad Zaidi berkata, pelepasan sementara pasport itu tidak akan mengganggu tarikh perbicaraan Ahmad Zahid yang ditetapkan pada 22 Okt depan.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Pada 7 Okt lepas, media melaporkan Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya diserahkan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.

    Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya yang menderita sakit belakang dan leher perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka di Munich.

    Hamidi memaklumkan Ahmad Zahid memohon pasportnya diserahkan pada 26 Okt ini dan akan memulangkanya pada 21 Nov depan. – BERNAMA

  • Rosmah tidak pernah gelar diri sendiri wanita pertama

    Rosmah tidak pernah gelar diri sendiri wanita pertama

    DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak pernah menggelarkan dirinya sebagai Wanita Pertama Malaysia (FLOM) dan menafikan bahawa satu bahagian telah diwujudkan khusus untuk beliau dalam Pejabat Perdana Menteri (PMO).

    Rosmah, 69, berkata demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ketiga pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah terhadapnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata gelaran itu adalah untuk ‘tujuan pentadbiran.’

    Sri Ram: Adakah anda bersetuju bahawa Wanita Pertama Malaysia adalah gelaran yang anda gunakan untuk diri sendiri?

    Rosmah: Tidak.

    Sri Ram: Siapa berikan gelaran itu kepada anda?

    Rosmah: Tiada siapa yang berikan gelaran itu kepada saya. Ia hanya untuk tujuan pentadbiran.

    “Isteri-isteri perdana menteri (sebelum ini) tidak begitu aktif dalam aktiviti kebajikan atau projek yang menonjol seperti Permata Negara. Mereka mungkin jarang diundang untuk menyampaikan ucaptama di luar negara. Jadi, ketika suami saya menjadi Perdana Menteri, kehidupan saya menjadi teramat-amat sibuk,” kata Rosmah.

    Sri Ram kemudian menyoal sama ada terdapat bahagian dalam PMO yang dikenali sebagai ‘Wanita Pertama Malaysia’ dan Rosmah menjawab “Saya tidak tahu.”

    “Itu bukan tugas saya. Saya tidak campur tangan dengan PMO,” katanya.

    Rosmah juga berkata beliau tidak tahu sama ada Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, bekas Perdana Menteri keempat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad pernah digelar sebagai Wanita Pertama Malaysia.

    “Saya tidak tahu. Mungkin di luar (negara) beliau digelar begitu (Wanita Pertama Malaysia),” katanya.

    Rosmah juga berkata, beliau sedia mengorbankan dirinya dan berdepan serangan di media sosial bagi pihak suaminya ketika Najib menjadi Perdana Menteri kerana Najib berkata serangan itu sebenarnya ditujukan kepadanya namun beliau menjadi sasaran mudah di media sosial.

    Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu khasnya, Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek hibrid solar itu secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 21 Okt depan. – BERNAMA

  • Zahid mohon pasport jalani rawatan di Jerman

    Zahid mohon pasport jalani rawatan di Jerman

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, hari ini memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.

    Peguam Hamidi Mohd Noh mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya itu menderita sakit belakang serta leher dan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka di Munich.

    “Anak guam saya mengalami sakit belakang dan leher. Beliau pada asalnya dirawat oleh doktor dari Jerman pada 2013, 2014, 2016.

    “Kami membuat permohonan ini untuk membolehkan tertuduh menerima rawatan. Rawatan intervensi di Malaysia tidak mencukupi untuk (mengurangkan kesakitan) beliau,” kata Hamidi.

    Permohonan itu difailkan pada 4 Okt dan hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes.

    Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng yang tidak membantah permohonan itu.

    Hakim kemudiannya menetapkan Isnin ini untuk keputusan permohonan berkenaan.

    Sementara itu Hamidi ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, Ahmad Zahid memohon pasportnya dipulangkan pada 26 Okt dan akan mengembalikannya pada 21 Nov.

    “Kami akan membuat permohonan yang sama (mendapatkan pasport) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada Isnin ini,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, menghadapi 47 tuduhan – 27 kes pengubahan wang haram, 12 membabitkan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah – melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. – BERNAMA

  • Saya tidak laku apa-apa jenayah, ini fitnah – Rosmah

    Saya tidak laku apa-apa jenayah, ini fitnah – Rosmah

    DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam kes projek solar hibrid, malah sepatutnya menjadi saksi pendakwaan terhadap bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

    Rosmah, 69, berkata Rizal, selaku saksi pendakwaan ke-21 (SP21), dalam keterangan bersumpah di mahkamah, secara terang-terangan mengaku meminta RM25 juta iaitu RM5 juta setahun selama lima tahun daripada Saidi Abang Samsuddin, yang ketika itu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd dan turut mengaku menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada Saidi.

    “Rizal juga mengaku menerima wang rasuah sebanyak RM30,000 daripada Rayyan Radzwill Abdullah (SP16) untuk dibayar kepada Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin (SP9) dan mengaku menerima wang rasuah dalam enam ke tujuh kali daripada Saidi, sekurang-kurangnya RM50,000 setiap kali dan menerima wang rasuah daripada Saidi melalui Rayyan untuk perjalanan umrahnya bersama keluarga.

    “Sedangkan saya pula, tidak pernah sama sekali meminta atau menerima sebarang wang rasuah daripada Saidi mahupun Rayyan, baik secara terus atau melalui Rizal, dan saya tidak pernah membuat atau mengaku berbuat demikian.

    “Saya ingin merekodkan bahawa saya tidak mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu. Yang Arif, saya telah bersumpah dan saya berikrar bercakap benar di sini di mana saya memang tidak melakukan apa-apa jenayah seperti mana pertuduhan-pertuduhan tersebut. Ini adalah fitnah-fitnah terhadap saya,” katanya.

    Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada hari pertama prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Rosmah berkata, beliau juga menafikan meminta RM187.5 juta kepada Saidi semasa disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak pernah dengar atau tahu berkenaan jumlah wang itu daripada Rizal, Saidi dan Rayyan.

    “Tindakan Rizal mengaitkan saya di sini adalah bertujuan untuk mencemarkan nama baik dan kredibiliti saya sebagai isteri mantan perdana menteri, melalui inter alia ‘deal’ yang dibuat olehnya dengan pihak pendakwaan dengan balasan pihak pendakwaan akan menarik balik pertuduhan-pertuduhan ke atasnya dan beliau bertindak menjadi ‘crown witness’ (saksi utama) pihak pendakwaan,” kata Rosmah.

    Pada 8 Jan 2020, Rizal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada empat tuduhan meminta dan menerima suapan untuk dirinya dan Rosmah berjumlah RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.

    Sementara itu, Rosmah yang tenang semasa memberi keterangan dari tempat duduk saksi berkata Rizal adalah Penolong Pegawai dengan Tugas-Tugas Khas secara kontrak di Jabatan Perdana Menteri dan bukan seorang pegawai khas kepada beliau.

    “Beliau (Rizal) menjalankan tugas sebagai pegawai media di Bahagian First Lady of Malaysia (F.L.O.M) Jabatan Perdana Menteri sepanjang tempoh perkhidmatannya di jabatan itu. Saya ingin tegaskan, saya tidak mempunyai pegawai khas sama sekali,” katanya.

    Rosmah berkata, Rizal bukanlah seorang pekerja yang cekap dan bertanggungjawab dalam menguruskan kerjanya kerana beliau tidak dapat menulis teks ucapan dengan baik.

    “Rizal mempunyai masalah disiplin dalam pekerjaan, di mana beliau sering kali ‘hilang’ semasa bekerja. Saya memang tidak berpuas hati dengan mutu kerjanya, kerana beliau boleh saya gambarkan seperti ‘pahat dengan penukul’, yang bermaksud perlu sentiasa dipantau dan diperiksa untuk mengelakkannya lalai daripada menyiapkan tugasannya.

    “Saya juga selalu mendengar rungutan Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod (pegawai khas F.L.O.M) dan pegawai-pegawai lain berkenaan sikap Rizal yang culas dalam pekerjaannya. Saya tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan Rizal.

    “Komunikasi antara saya dengan Rizal hanya berkenaan urusan kerja sahaja dan kebanyakannya saya akan berurusan dengan Datuk Seri Siti Azizah secara terus,” katanya.

    Sementara itu, Rosmah berkata suaminya, Najib pernah memberi peringatan kepadanya agar tidak berjumpa dengan mana-mana kontraktor dan tidak mencampuri urusan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu.

    Rosmah berkata beliau juga tidak mahu melayan permintaan Rizal untuk berjumpa dengan Saidi dan Rayyan kerana beliau memang tidak akan membantu mana-mana kontraktor bagi mendapatkan kontrak kerajaan dan tidak akan masuk campur hal berkenaan.

    Wanita itu turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah sama sekali menyuruh Rizal berbincang mahupun berusaha mendapatkan apa-apa ‘sumbangan politik’ daripada Saidi dan Rayyan atau mana-mana individu lain selama tempoh beliau mengenali Rizal.

    Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. – BERNAMA