Tag: rampasan dadah

  • Rampasan RM1.33 juta dadah pada longgokan tiang kayu

    Rampasan RM1.33 juta dadah pada longgokan tiang kayu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENINGGALKAN bungkusan dadah di sebalik longgokan tiang kayu perangkap ikan sebelum bekalan itu diambil pihak ketiga.

    Itu taktik baharu digunakan sindiket dadah bertujuan mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa.

    Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksmana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, taktik tersebut bagaimanapun berjaya dikesan apabila 23 kilogram dadah bernilai hampir RM1.33 juta ditemui di perairan Muar, semalam.

    Beliau berkata, bekalan dadah tersebut dikesan ketika pihaknya mengadakan rondaan di perairan berkenaan pada pukul 5.30 pagi itu,

    Bungkusan dadah di sebalik longgokan tiang kayu perangkap ikan sebelum bekalan itu diambil pihak ketiga

    “Semasa rondaan rutin dijalankan, pihak maritim mengesan satu objek mencurigakan dalam bentuk bungkusan plastik berwarna hitam diletakkan di atas kayu perangkap ikan atau togok.

    “Objek berkenaan ditemui pada jarak kira-kira 3 batu nautika barat daya Parit Jawa dan 12 batu nautika dari sempadan perairan negara. Mengesyaki objek tersebut adalah berkaitan dengan maklumat risikan, anggota bot merapat ke togok untuk melakukan pemeriksaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar media di Bilik Mesyuarat Operasi Zon Maritim Batu Pahat, Batu Pahat, hari ini.

    Katanya, hasil pemeriksaan kemudiannya menemui 23 bungkusan teh cina berwarna hijau dipercayai syabu, pil ekstasi dan pil Eramin 5.

    “Tinjauan di kawasan sekitar, pihak maritim tidak menemui sebarang suspek atau petunjuk lain. Kami percaya, dadah berkenaan sengaja ditinggalkan di atas togok sebelum diambil oleh pihak seterusnya bagi tujuan penghantaran ke destinasi.

    “Taktik ini agak baharu digunakan kerana ini kali kedua kami menemui dadah dengan cara sedemikian,” ujarnya.

    Justeru, pihaknya akan terus meningkatkan kawalan sempadan dan keselamatan di perairan termasuklah rondaan kerap di lokasi-lokasi yang dirasakan menjadi sasaran sindiket.

    Nurul Hizam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, sebanyak RM7.9 juta nilai keseluruhan dadah berjaya dirampas APMM bagi tahun ini membabitkan dua lokasi di Johor Bahru dan lima lagi di daerah ini.

  • 1,000 keping heroin base bernilai RM34.1 juta dirampas, terbesar tahun ini

    1,000 keping heroin base bernilai RM34.1 juta dirampas, terbesar tahun ini

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS berjaya merampas sebanyak 1,000 keping heroin base seberat kira-kira 368 kilogram (kg) bernilai RM34.1 juta daripada satu sindiket yang aktif di wilayah utara negara iaitu rampasan dadah jenis itu yang terbesar tahun ini.

    Kejayaan itu susulan operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pulau Pinang, Kedah dan Perak pada 3 September lalu.

    Dalam serbuan di enam lokasi menerusi serbuan itu, seramai 11 individu berusia di antara 22 hingga 58 tahun turut berjaya ditahan.

    Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, operasi itu bermula dengan serbuan di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kira-kira pukul 12.40 tengah malam 3 September lalu.

    Dalam serbuan itu katanya, dua lelaki ditahan ketika sedang memindahkan ketulan mampat heroin base yang diisi di dalam kotak ke dalam sebuah kepala lori (treler).

    “Sindiket ini cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan meletakkan seluar jean pada lapisan atas di dalam kotak yang diisi dengan ketulan heroin base itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Razarudin, susulan serbuan itu polis menahan sembilan individu lain termasuk ketua sindiket berusia 42 tahun di beberapa lokasi di ketiga-tiga negeri terbabit pada hari sama.

    Jelasnya, siasatan lanjut mendapati sindiket yang aktif sejak lebih setahun lalu itu menjadikan Pulau Pinang sebagai transit selepas memperoleh bekalan dari negara jiran sebelum diedar ke negeri lain.

    Selain itu beliau berkata, polis turut menyita pelbagai aset daripada sindiket terbabit termasuk lima buah kendaraan jenis Mercedes Benz E250, Toyota Vellfire, Range Rover Velar, Chevrolet Colorado dan Honda Civic.

    Turut dirampas ujarnya, sejumlah wang tunai dan barang kemas yang keseluruhan sitaan bernilai kira-kira RM2 juta.

    “Kesemua suspek termasuk seorang yang positif syabu direman selama tujuh hari sehingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Pasangan kekasih simpan dadah bernilai RM60,000 dalam rumah sewa

    Pasangan kekasih simpan dadah bernilai RM60,000 dalam rumah sewa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan empat individu termasuk pasangan kekasih serta merampas pelbagai jenis dadah yang kesemuanya bernilai hampir RM60,000 dalam
    dalam dua serbuan berasingan di Ampang, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superitendan Mohd. Shokri Abdullah berkata, menerusi serbuan itu pihaknya berjaya membongkar modus operandi suspek yang menjadikan rumah sewa sebagai stor menyimpan dadah.

    Beliau memberitahu, kegiatan itu terbongkar selepas polis melakukan risikan selama dua minggu ke atas sindiket tersebut yang dipercayai aktif sejak tiga bulan di Lembah Klang.

    Menurutnya, dalam serbuan pertama di tempat letak kereta di Jalan Ritchie Off Jalan Ampang, polis memberkas seorang ahli sindiket dan merampas dadah jenis Methamphetamine anggaran berat 66 gram dan 50 pil erimin 5 dalam beg yang dipegang lelaki itu.

    “Susulan daripada penahanan itu, polis melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di kawasan yang sama dan menahan tiga individu termasuk suspek utama dan teman wanitanya.

    “Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis Methamphetamine anggaran berat 954 gram, ganja (376 gram) dan 1,000 pil erimin 5,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Shokri memberitahu, kesemua nilai rampasan dalam kedua-dua serbuan adalah 1.02 kilogram dadah Methamphetamine bernilai RM41,000; ganja 376 gram (RM940) dan 1,050 pili Eramin 5 (RM15,750).

    Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan mendapati rumah tersebut yang disewa RM2,800 sebulan oleh suspek utama itu, dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah.

    Katanya, rumah tersebut baru tiga bulan disewa dan jumlah rampasan dadah itu boleh digunakan oleh 3,842 penagih dadah.

    “Ujuan saringan air kencing mendapati kesemua empat suspek itu positif dadah Methamphetamine serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” ujarnya.

    Kesemua mereka katanya, ditahan reman selama tujuh hari sehingga 31 Ogos ini.

    Beliau memberitahu, keempat-empat suspek yang berusia 23 hingga 30 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

    “Dengan tangkapan ini, kita percaya berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan yang dikesan aktif di sekitar Lembah Klang,” ujarnya lagi.

  • 2 warga asing ditahan, dadah lebih RM670,000 dirampas

    2 warga asing ditahan, dadah lebih RM670,000 dirampas

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket dadah yang berpangkalan di Lembah Klang menerusi tangkapan dua suspek ahli sindiket itu di dua lokasi berbeza di negeri ini pada Ahad lalu.

    Turut dirampas daripada suspek warga asing masing-masing lelaki Myanmar berusia 56 tahun dan wanita Vietnam berusia 31 tahun itu adalah pelbagai jenis dadah seberat hampir 19 kilogram (kg) bernilai lebih RM670,000.

    Suspek wanita yang merupakan teman wanita kepada ketua sindiket itu ditahan di sebuah kondominium di Gelugor di sini pukul 10.50 malam manakala suspek lelaki ditahan di sebuah rumah teres di Bukit Tengah, Bukit Mertajam pukul 10 malam hari sama.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh, dalam serbuan di rumah teres yang didiami suspek lelaki, polis merampas dadah disyaki syabu seberat 18.58 kg bernilai RM668,772.

    Katanya, turut dirampas adalah 12 gram (g) pil erimin 5 (RM690); 50 butir peluru jenis A USA 9 MM Luger; 56 liter cecair kimia dan pelbagai peralatan untuk memproses dadah.

    Jelas beliau, penahanan lelaki itu membawa kepada serbu di kondominium yang disewa suspek wanita terbabit yang dijadikan lokasi menyimpan dadah yang mana polis turut merampas sebanyak 45.5 g syabu bernilai RM1,634.

    Selain itu ujar beliau, polis turut menyita wang tunai dalam pelbagai mata wang, jam tangan berjenama dan pelbagai barangan kemas dalam serbuan terbabit yang keseluruhannya bernilai RM48,730.

    “Sindiket ini dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Ogos tahun lalu.

    “Mereka mendapatkan bekalan dadah dari Lembah Klang untuk diedarkan di negeri ini dan ke negara jiran menggunakan jalan darat serta laut,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen (IPK) polis negeri di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

    Beliau memberitahu, siasatan polis mendapati suspek lelaki sudah menetap di negara ini sejak 10 tahun lalu itu namun pasport serta dokumen perjalanan dirinya telah tamat tempoh sejak 2017, manakala suspek wanita memasuki negara ini dua tahun lalu.

    Tambahnya, susulan penahanan dua warga asing itu juga, polis berjaya menahan seramai 10 lagi suspek lain iaitu tujuh lelaki dan tiga wanita berusia antara 27 hingga 65 tahun termasuk dipercayai ketua sindiket terbabit di Lembah Klang.

    Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B; Seksyen 39A(1); Seksyen 12(3); Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39(2) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

  • Tujuh suspek ditahan, rampas 160kg dadah di Perlis

    Tujuh suspek ditahan, rampas 160kg dadah di Perlis

    oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SATU rangkaian sindiket dadah berjaya ditumpaskan di Perlis susulan penahanan tujuh suspek lelaki warga tempatan termasuk seorang peniaga kedai makan menerusi tujuh siri serbuan bermula 4 hingga 6 Ogos lalu di adang Besar dan Kangar.

    Menerusi serbuan itu, polis merampas dadah jenis ganja seberat 161.76 kilogram (kg) dan 800 gram syabu dianggarkan bernilai RM603,920.

    Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, dalam serbuan pertama pukul 10 pagi pada 4 Ogos, polis menahan seorang suspek di sebuah rumah di Kangar dan merampas sebanyak 161.76 kg ganja yang dianggarkan bernilai RM404,400.

    “Susulan maklumat daripada serbuan tersebut membawa kepada serbuan kedua pada pukul 12.30 tengah hari di sebuah taman perumahan di Kangar dan polis menemui 800 gram dadah jenis Syabu dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Katanya, kira-kira pukul 11.30 malam pula Jabatan Siasatan Jenayah Perlis berjaya menahan tiga suspek kumpulan sindiket tersebut, namun tiada sebarang rampasan dadah dibuat.

    “Dalam serbuan keempat pada pada 1.20 tengah hari pada 5 Ogos, polis membuat serbuan di sebuah rumah di Kangar dan merampas dadah jenis syabu seberat 3.32 kg.

    “Hasil daripada rampasan dan siasatan dibuat, polis telah memberkas seorang lagi suspek di daerah Padang Besar tetapi tiada rampasan dibuat,” katanya.

    Menurutnya, operasi yang turut disertai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu menahan dua lagi suspek termasuk dalang utama sindiket yang bekerja sebagai pemilik kedai makan diberkas di Padang Besar antara pukul 12 dan 1.40 tengah hari, pada 6 Ogos.

    Beliau berkata, kesemua dadah yang dirampas dipercayai diperoleh dari negara jiran dan negeri ini digunakan sebagai transit sebelum dadah berkenaan diedarkan ke pasaran selatan tanah air.

    “Kita percaya kegiatan ini telah berjalan sejak Julai 2021 selain mereka menggunakan jalan darat dan kenderaan milik persendirian bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Selain itu, sindiket menggunakan rumah sewa sebagai tempat penyimpanan,” katanya.