Tag: Rampas rokok

  • Sindiket simpan rokok seludup dalam kebun durian

    Sindiket simpan rokok seludup dalam kebun durian

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAKTIK sindiket penyeludupan rokok haram menjadikan kawasan kebun durian di Kampung Teratai Bukit Serampang, Tangkak, Muar terbongkar apabila diserbu polis pada Isnin lalu.

    Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras bersama-sama PGA Muar melakukan serbuan pada pukul 3.30 petang dan merampas 13,600 karton rokok yang disembunyikan dalam sebuah lori 3 tan jenis Hino dan dua van Nissan.

    Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA Bakri, Deputi Superitendan Salehin Suleiman berkata, pemeriksaan menemukan beberapa kotak coklat mengandungi 13,600 karton.

    “Dalam 13,600 karton itu pula mengandungi 2,720,000 batang rokok jenis U2 merah. Kita merampas rokok tersebut, tiga kenderaan dan sebuah telefon bimbit.

    “Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun. Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

    Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM3.4 juta.

    Katanya, serbuan itu berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran rokok seludup yang tidak bercukai sekitar Tangkak dan Muar.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek adalah pemandu van yang mengambil upah untuk menghantar rokok seludup ke lokasi yang ditetapkan mengikut tempahan.

    “Modius operandi Sendikit penyeludupan rokok seludup ini dengan menggunakan sebuah premis lot di kawasan kebun durian sebagai tempat simpanan dan pengedaran rokok seludup bertujuan untuk mengaburi mata pihak polis dan agensi penguatkuasaan.

    “Ini bagi memastikan sendiket penyeludupan rokok seludup ini berjalan lancar,” katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan suspek ditahan reman sehingga 19 Oktober ini bagi membantu siasatan.

  • PGA serbu tempat simpanan rokok seludup, rampasan RM380,885

    PGA serbu tempat simpanan rokok seludup, rampasan RM380,885

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAKTIK satu sindiket penyeludupan menjadikan sebuah premis sebagai tempat penyimpanan rokok seludup di Jalan Dedap 36, Johor Jaya, Johor Bahru terbongkar apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, sepasukan pegawai dan anggota melakukan serbuan pada pukul 5.45 petang serta menahan seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun.

    Beliau memberitahu, lelaki berkenaan merupakan penjaga premis berkenaan yang sudah dijadikan tempat penyimpanan rokok sejak setahun lalu.

    “Kita berjaya merampas 1,806 karton rokok seludup atau lari cukai. Turut dirampas sebuah kereta Produa Bezza yang digunakan dalam sindiket tersebut, wang tunai RM330 dan dua buah telefon bimbit.

    “Antara rokok seludup yang dirampas 50 karton rokok jenama Canyon Menthol 20 batang; 54 karton rokok Canyon Blast 20 batang; 266 karton rokok Canyon Premium 20 batang; 295 karton rokok RE King 16 batang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Seorang lelaki ditahan dan 1,806 karton rokok seludup dirampas dalam satu serbuan dilakukan PGA

    Turut dirampas 188 karton rokok RE Bold 16 batang; 278 karton rokok U2 Full Flavour 20 batang; 49 karton rokok M-ONE hijau 20 batang; 98 karton rokok Jenama VSTAR 20 batang dan 88 karton rokok SKY ONE S1 Full Flavour 20 batang.

    Katanya, hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah ini.

    Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM380,885.

    Tangkapan dan rampasan katanya, dibawa ke Ibu Pejabaat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967, katanya.

    “Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar Johor Bahru. Orang awam perlu terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban.

    “Ini termasuk kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA,” katanya.

  • PPM Wilayah 2rampas rokok, arak seludup

    PPM Wilayah 2rampas rokok, arak seludup

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Johor merampas 183,800 batang rokok dan lapan karton minuman keras pelbagai jenama bernilai RM141,768.00 di Jalan 3/1, Taman Kempas, Johor Bahru semalam.

    Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, sepasukan pegawai dan anggota membuat pemantauan di lorong belakang jalan itu sebelum menahan seorang lelaki pada jam 5.30 petang.

    “Pemeriksaan dalam dalam premis tersebut menemukan 183,800 batang rokok dan lapan karton minuman keras.

    “Rokok dan minuman keras itu mempunyai pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM141,768. Kita didapati bahawa semua rokok terbabit disyaki tidak bercukai kastam dan ingin diseludup ke pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Katanya, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah kenderaan berserta nilai cukai rokok adalah sebanyak RM181,766.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967.

    Dalam pada itu, pihaknya akan mempertingkatkan operasi bersepadu bersama-sama pihak Tugas Am dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Johor di laluan dan jalan yang dikenal pasti digunakan penyeludup.

    Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan maklumat tentang kegiatan yang menyalahi undang-undang negara menerusi talian 07-2372221.

  • PGA rampas rokok seludup hampir RM1 juta

    PGA rampas rokok seludup hampir RM1 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGIATAN Kegiatan satu sindiket yang menjadikan sebuah premis sebagai stor sebagai tempat menyimpan rokok seludup di Jalan Murni 6, Paloh, Kluang terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam malam tadi.

    Serbuan kira-kira pada jam 9.30 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 5 PGA selepas risikan dan siasatan dilakukan.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, pihaknya merampas 5,580 karton rokok seludup pelbagai jenama dan menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun.

    “Antara rokok seludup yang berjaya dirampas melibatkan 1,900 karton Halftime Virgina Merah; 1,600 karton Lee merah; 720 karton Luffman classic; 250 karton L.A Bold; 720 karton Touro International; 150 karton Canyon Blast dan 240 karton Surya Gudang Garam.

    “Hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah Kluang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau memberitahu, anggaran semua rokok seludup bernilai RM717,132 manakala keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM987,456.

    Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
    Kluang untuk tindakan lanjut.

    Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

    Tangkapan dan rampasan itu katanya, berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar daerah ini.

    Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai sudah beroperasi di premis berkenaan selama kira-kira tiga bulan.

    Dimin menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban dan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui jalan yang tidak diwartakan.