Tag: Ramli Mohd Nor

  • Ramli Mohd Nor, Alice Lau dilantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat

    Ramli Mohd Nor, Alice Lau dilantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat

    DUA wakil blok kerajaan iaitu Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Md. Nor dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.

    Keputusan dicapai melalui undi bersurat dalam kalangan ahli Parlimen.

    Keputusan diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menyaksikan Ramli memperoleh 148 undi, manakala Alice mendapat 146 undi.

    Sementara itu, seorang lagi calon iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mewakili blok pembangkang memperolehi 74 undi.

    Usul undi percaya, pelantikan Speaker tumpuan hari pertama persidangan Dewan Rakyat

    Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Ramli daripada Barisan Nasional (BN) dan Alice daripada DAP sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mencadangkan jawatan berkenaan diisi oleh Mas Ermieyati, yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) bagi mewakili blok pembangkang.

    Usul berkenaan disokong oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN-Pas).

    Pada persidangan sebelum ini, jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat disandang oleh Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Bagaimanapun pada 23 Ogos tahun lepas, Azalina melepaskan jawatan itu, tetapi masih menjalankan tugas sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sementara sepanjang tempoh persidangan berlangsung.

    Ini adalah Persidangan Dewan Rakyat pertama di bawah Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu, lapor Astro Awani.

  • Ramli calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat

    Ramli calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat

    AHLI Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor telah dicalonkan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pencalonan Ramli itu mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Ahmad berkata, pencalonan Ramli sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu merupakan detik bersejarah kerana beliau merupakan Orang Asli yang pertama dicalonkan bagi jawatan berkenaan.

    “YB Ramli Mohd Nor #Ahli Parlimen #Cameron Highlands dicalonkan sebagai Timbalan Speaker #DewanRakyat. Ini suatu sejarah, sebagai Orang Asli yang pertama dicalon,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.

    Ahmad juga memaklumkan bahawa semalam merupakan hari terakhir untuk cadangan nama sebelum dibawa ke sidang pada 25 Okt ini.

    Pada 7 Okt, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, menarik diri selepas dicalonkan bagi mengisi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat setelah dikosongkan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletakkan jawatan pada 23 Ogos lepas.

    Menurutnya keputusan untuk menarik diri itu bagi menumpukan usaha dan perhatian kepada tanggungjawabnya sebagai Setiausaha Agung UMNO. – BERNAMA