Tag: rakyat Malaysia

  • Gempa bumi Melbourne, tiada rakyat Malaysia terjejas

    Gempa bumi Melbourne, tiada rakyat Malaysia terjejas

    TIADA rakyat Malaysia terjejas dalam kejadian gempa berkekuatan 6.0 pada skala Richter yang melanda berhampiran Melbourne, Victoria, Australia pada Rabu, kata Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne, Mazita Marzuki.

    Beliau berkata pejabat Konsulat Jeneral di Melbourne akan terus memantau keadaan dan menasihati rakyat Malaysia agar bertenang. 

    “Setakat ini tiada laporan mengenai kematian atau kecederaan serius melibatkan rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama.

    Gempa yang melanda Melbourne pada Rabu itu antara yang terkuat menyebabkan kerosakan pada bangunan di bandar kedua terbesar itu dan gegaran turut dirasai di negara jiran.

    Mengulas mengenai keadaan semasa di Melbourne, Konsulat Jeneral memaklumkan keadaan terkawal dengan keperluan asas, infrastruktur dan keperluan lain masih seperti biasa.

    “Sebanyak 46 kerosakan harta benda dilaporkan di Mansfield dan Melbourne. Kira-kira 35,000 penduduk dan sebuah hospital terputus bekalan elektrik seketika,” katanya sambil menambah sekitar 779 rakyat Malaysia berdaftar di pejabat Konsulat.

    Untuk maklumat dan kemas kini, rakyat Malaysia diminta menghubungi Konsulat melalui e-mel [email protected], atau di talian: +613 95735400, talian kecemasan: +61403 859 500, portal:  www.kln.gov.my, FB: https://www.facebook.com/ConsulateGeneralofMalaysiaMelbourne, Twitter:  https://twitter.com/MYCGMelbourne dan Instagram: https://www.instagram.com/malaysiainmelbourne.- BERNAMA

  • Rampasan kuasa tentera:Semua rakyat Malaysia di Guinea selamat

    Rampasan kuasa tentera:Semua rakyat Malaysia di Guinea selamat

    SEMUA rakyat Malaysia di Guinea dilaporkan selamat susulan ketidakstabilan politik di negara itu akibat rampasan kuasa tentera, pada Ahad.

    Kedutaan Malaysia di Conakry, Guinea, memaklumkan buat masa ini terdapat 12 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan, termasuk pegawai kedutaan dan anggota keluarga mereka.

    “Sebelas daripada 12 rakyat Malaysia yang berdaftar kini berada di Guinea, sementara seorang telah pulang untuk bercuti di Malaysia dua minggu lalu.

    “Semua dilaporkan selamat,” menurut kedutaan menerusi satu kenyataan kepada Bernama.

    Pemimpin sebuah unit tentera yang menggulingkan dan menahan Presiden Alpha Condé, Kolonel Mamady Doumbouya, dilaporkan berkata isu “kemiskinan dan endemik rasuah” menjadi antara punca pasukannya bertindak menyingkirkan Condé.

    Menerusi televisyen negara, unit tentera itu mengumumkan bahawa mereka telah membubarkan kerajaan dan parlimen, manakala unit yang lain belum memberikan komen secara terbuka.

    Mengulas mengenai keadaan semasa di Guinea, kedutaan memaklumkan keadaan masih tenang dan terkawal, setakat berita ini ditulis.

    “Pasukan peralihan dikenali National Rally and Development Committee (CNRD) kini sedang mengadakan mesyuarat dengan menteri kerajaan, dan beberapa ahli politik.

    “Setakat ini, tidak ada protes dilaporkan berlaku,” tambahnya.

    Ditanya mengenai akses terhadap keperluan asas di Guinea, menurut kedutaan semua rakyat Malaysia mempunyai keperluan asas mencukupi di kediaman masing-masing.

    Menurut kenyataan itu lagi pasar raya, bank dan pasar terpaksa menutup perniagaan mereka pada Ahad dan mungkin sehingga Isnin.

    Bagaimanapun, kebanyakan peniaga jalanan dan kedai runcit di kawasan sekitar beroperasi seperti biasa.

    Buat masa ini, perjalanan rentas sempadan keluar masuk dari Guinea melalui udara telah disambung semula manakala untuk sempadan darat masih ditutup.

    Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti sebarang perkembangan terkini di akaun Twitter dan Facebook Kedutaan

    Guinea, bekas jajahan Perancis, mencapai kemerdekaannya pada 1958. Ia mempunyai penduduk sekitar 13.5 juta orang serta kaya dengan sumber mineral tetapi masih menjadi satu daripada negara termiskin dunia.- BERNAMA

  • Pengeboman Bali:Dua rakyat Malaysia dibicarakan di Teluk Guantanamo esok

    Pengeboman Bali:Dua rakyat Malaysia dibicarakan di Teluk Guantanamo esok

    DUA rakyat Malaysia akan dihadapkan di Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), Teluk Guantanamo, Cuba, pada esok.

    Memetik BenarNews, Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin dituduh berhubung insiden pengeboman mati di Bali, Indonesia, 19 tahun lalu.

    Kedua-dua suspek sebelum ini ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006 bersama seorang rakyat Indonesia, Encep Nurjaman yang turut dikenali sebagai Hambali.

    Menurut Pejabat Suruhanjaya Tentera AS, tiga suspek sepatutnya dihadapkan ke mahkamah itu Februari lalu, namun perbicaraan terpaksa ditangguhkan akibat Covid-19.

    Kertas pertuduhan yang dimuat naik pejabat berkenaan menunjukkan Nazir dan Farik berdepan sembilan tuduhan, manakala Hambali lapan pertuduhan berkaitan dengan serangan pengganas Bali pada 2002 serta di Jakarta (pada 2003).

    Pihak berkuasa dilaporkan berkata, pertuduhan itu tidak membawa kepada hukuman mati.

    Suspek didakwa terbabit dalam serangan bom di Bali pada November 2002 yang mengakibatkan 202 orang maut dan serangan di Hotel JW Marriott, Jakarta pada Ogos 2003 yang membunuh 12 orang.

    Pada 2003, ketiga-tiga suspek ditahan di Thailand dan dihantar ke rangkaian penjara rahsia Agensi Risikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Guantanamo, pada September 2006.

    Sementara itu, memetik The Vibes rakyat Malaysia itu juga dipercayai mempunyai kaitan dengan rancangan al-Qaeda untuk menghancurkan pesawat yang dirampas di Menara Bank AS setinggi 73 tingkat yang turut dikenali sebagai Menara Perpustakaan di Los Angeles.

    Hambali digambarkan sebagai ‘dalang untuk Jemaah Islamiyah’ kumpulan militan Asia Tenggara yang berkaitan dengan al-Qaeda.

    Dia antara yang bertanggungjawab merancang serangan di AS pada 11 September 2001.

  • Covid-19: Rakyat Malaysia di Bangkok hulur bantuan kepada penduduk terjejas

    Covid-19: Rakyat Malaysia di Bangkok hulur bantuan kepada penduduk terjejas

    SEKUMPULAN 20 rakyat Malaysia yang tinggal di Bangkok melaksanakan inisiatif ‘Malaysians in Bangkok – Hands that Serve’ bertujuan membantu mereka yang terkesan akibat wabak COVID-19. 

    Diketuai Dr Silva Kumar, kumpulan itu membantu rakyat Malaysia dan Thailand dengan menghantar makanan ke pertubuhan amal iCare Thailand dan sebuah badan amal Islam, Satthachon Foundation for Education and Orphans (SFEO).

    Kumpulan itu turut menyediakan makanan percuma kepada petugas barisan hadapan dan golongan yang kurang bernasib baik. 

    Selain itu, sumbangan wang tunai turut disalurkan kepada Malaysia Independent Animal Rescue di Pulau Meranti, Puchong dan pertubuhan bukan kerajaan, Refuge For The Refugees.

     “Pada awalnya saya bermula dengan misi bantuan dikenali “White Flag Help. Kita Jaga Kita” dan kemudian menubuhkan kumpulan itu pada akhir Jun dan mula mengumpulkan dana,” katanya.

    Sementara itu, isteri kepada Duta Malaysia ke Thailand, Catherina Cherian Samuel, berkata kumpulan itu turut membantu komuniti Malaysia yang terjejas akibat COVID-19.

     “Kami juga bantu rakyat Thailand yang terjejas di saat sukar ini,” katanya.

    Ahli kumpulan itu Shankar Achuthan Kutty, berkata pandemik yang berlarutan itu telah mengakibatkan banyak penderitaan.

    “Ini menguji iman seseorang terhadap erti kemanusiaan. Jadi kita cuba membantu sedaya yang mampu untuk memberikan sedikit sinar dan harapan.

    “Kami harap bantuan ini dapat diteruskan sehingga kita dapat keluar daripada saat yang sukar ini,” katanya. – BERNAMA