Tag: PUTRA

  • Pemimpin nafi Putra sertai PN atau berpakat

    Pemimpin nafi Putra sertai PN atau berpakat

    PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menafikan parti itu akan menyertai atau berpakat dengan Perikatan Nasional (PN).

    Ia susulan laporan mendakwa ada perbincangan ke arah perpaduan sebagai permulaan kebangkitan Melayu pada PRU16.

    Setiausaha Agung Putra, Rosdi Idris berkata, laporan yang memetik sumber itu “amat tidak tepat” dan tidak mencerminkan keputusan dewan tertinggi parti.

    “Penyertaan atau pakatan bersama di antara Putra dengan PN dalam usaha membentuk gabungan kekuatan parti Melayu terbesar di negara ini adalah tidak berbangkit pada masa ini,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Putra yang disertai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dijangka dirombak dan dinamakan semula sebagai Gerakan Tanah Air (GTA), dan ia akan bekerjasama dengan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurut sumber, perbincangan antara Mahathir dan pemimpin kanan PN, Tan Sri Hadi Awang, dalam suatu pertemuan tertutup baru-baru ini adalah “ke arah perpaduan antara GTA dan PN”.

    Rosdi dalam penafiannya memaklumkan bahawa isu penukaran nama Putra kepada GTA tidak pernah disentuh dalam mesyuarat dewan tertinggi parti setakat ini.

    Beliau berkata segala keputusan hanya akan diketahui selepas persidangan agung tahunan Putra yang dijangka berlangsung pada 7 Mei.

  • Putra akan dinamakan semula sebagai GTA, ganding bahu dengan PN – Laporan

    Putra akan dinamakan semula sebagai GTA, ganding bahu dengan PN – Laporan

    PUTRA dijangka dirombak dan dinamakan semula sebagai Gerakan Tanah Air (GTA), gabungan diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang menuju ke arah menjadi parti politik rasmi, menurut laporan.

    Mahathir dilaporkan akan mengambil alih jawatan presiden daripada Datuk Ibrahim Ali, sekutu lama bekas perdana menteri itu.

    Memetik sumber parti, Utusan Malaysia melaporkan bahawa hala tuju parti akan diperincikan kepada ahli Putra pada mesyuarat agung tahunannya bulan depan.

    Sumber berkata, GTA akan bekerjasama dengan parti-parti bawahnya sebelum ini, seperti Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), serta gabungan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Baru-baru ini, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang ada mengadakan pertemuan tertutup bersama Mahathir selepas (Pengarah Pilihan Raya PAS) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut berjumpa bekas perdana menteri itu.

    “Perbincangan mereka adalah ke arah perpaduan antara GTA dan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu permulaan kebangkitan Melayu berkuasa pada PRU16,” kata sumber.

    Bagaimanapun, menurut sumber itu, GTA mungkin tidak akan bertanding pada PRN akan datang di enam negeri, sebaliknya hanya menyokong PN.

    Katanya, PN yakin dapat meraih sokongan pengundi Melayu sebagai alternatif kepada kerjasama antara UMNO dan DAP dalam kerajaan.

    Pada masa ini, GTA yang diasaskan oleh Mahathir tahun lepas terdiri daripada parti-parti berasaskan Melayu, NGO, ahli akademik dan profesional, termasuk Putra.

    Februari lepas, Mahathir meninggalkan Pejuang, yang diasaskannya pada 2020, berikutan keputusan parti itu keluar daripada GTA. Menurut Mahathir, tindakan menolak GTA sama seperti menolak dirinya.

    Beliau kemudian menyertai Putra sebulan kemudian dan diberi nombor keahlian “No 1”, yang sebelum ini dipegang oleh Ibrahim sebagai presiden.

    Keesokan harinya, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan bahawa parti itu telah memohon untuk menyertai PN.

  • Dr M beri bayangan sertai PUTRA selepas UMNO, Bersatu, Pejuang

    Dr M beri bayangan sertai PUTRA selepas UMNO, Bersatu, Pejuang

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan beliau akan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan bersedia jika parti itu mahu melantik beliau sebagai penasihat.

    Beliau yang dilapor keluar daripada Pejuang juga menyifatkan jemputan menyertai PUTRA sesuai dengan perjuangan dan prinsip politiknya iaitu membela nasib orang Melayu dan menolak amalan rasuah.

    “Terima kasih atas jemputan ini dan saya akan meneliti terlebih dahulu sama ada PUTRA ini sesuai atau tidak dengan saya.

    “Setakat ini, saya tidak nampak sebab tidak boleh terima parti ini, saya akan fikir secara mendalam sebelum keputusan dibuat.

    “Saya akan membuat permohonan menjadi ahli dan kalau mahu bagi saya sebagai penasihat parti, saya boleh bagi nasihat,” katanya pada sidang media bersama pimpinan PUTRA di Putrajaya, hari ini.

    Dr Mahathir berharap dapat memberi panduan kepada PUTRA dan meneruskan perjuangan serta mencapai matlamat untuk menyelamatkan kaum Melayu di negara ini.

    Beliau bersama 12 ahli lain dilapor keluar daripada Pejuang selepas kecewa kerana parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).

    Sementara itu, Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim Ali, yakin Dr Mahathir masih memiliki aura untuk memimpin PUTRA.

    “Kita mahu Tun sertai PUTRA. Kami mohon seikhlas hati dan tidak timbul soal Tun mahu memohon sertai PUTRA atau tidak.

    “Kita juga jemput 14 bekas pimpinan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk sertai PUTRA.

    “Kita doakan Tun dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali diberi kesihatan berpanjangan dan kami mahu sehidup semati dengan perjuangan Tun,” katanya, lapor Berita Harian.

    Pejuang ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu pada Ogos 2020 sebelum beliau meletak jawatan sebagai Pengerusinya pada Disember tahun lalu.

    Sebelum ini, perwakilan Pejuang mengumumkan menarik diri daripada GTA pada mesyuarat agung kedua parti itu, 14 Januari lalu.