Tag: PSC

  • Isu berbangkit rumit punca PSC tangguh panggil Azam Baki

    Isu berbangkit rumit punca PSC tangguh panggil Azam Baki

    ISU berbangkit yang disifatkan agak rumit menjadi punca Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Bagi Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang sepatutnya memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki terpaksa ditangguhkan.

    Memetik laporan BH, Pengerusi PSC, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, pihaknya telah merujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen kerana terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan pandangan undang-undang terlebih dahulu.

    Menurut beliau, kerumitan isu itu menyebabkan Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen memerlukan masa dan tidak dapat memberikan jawapan segera.

    “Dengan mengambil kira beberapa isu berbangkit selepas surat yang dihantar oleh Setiausaha Dewan Rakyat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM dan mendapat maklum balas daripada beliau kemudiannya, maka saya arahkan Setiausaha Dewan Rakyat mendapatkan pandangan Penasihat Undang-Undang terlebih dahulu.

    “Penasihat Undang-Undang perlu mengambil masa untuk meneliti kes ini, kerana ia agak rumit dan tidak dapat memberikan jawapan sebelum Rabu ini (hari ini),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Sementara itu, Abdul Latiff yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai daripada PAS memberitahu, berikutan perkembangan itu terdapat cadangan daripada beberapa ahli jawatankuasa agar mesyuarat ditangguhkan dan beliau bersetuju dengan cadangan itu.

    “Penangguhan ini telah dimaklumkan kepada sembilan ahli jawatankuasa yang terbabit,” katanya.

    Penangguhan mesyuarat berkenaan yang sepatutnya memanggil Azam yang kini berhadapan dengan isu pemilikan sahamnya dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin pada Isnin lalu.

    Keputusan itu bagaimanapun dibantah oleh empat ahli PSC iaitu Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin’ Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen.

    Kata mereka, antara isu yang dibangkitkan Azam ialah beliau sudah memfailkan saman sivil terhadap seorang pemberita dan tiada sesiapa dibenarkan membincangkan fakta kes atau memberikan komen terhadap perkara itu yang kini menjadi perkara mahkamah (subjudis).

    “Kami amat tidak bersetuju dengan alasan yang diberikan oleh Azam dan kami ingin menegaskan Azam seharusnya menghadiri di hadapan kami pada mesyuarat PSC itu, bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan.

    “Bukannya meremehkan surat panggilan pihak Parlimen dan sehingga Setiausaha Dewan Rakyat menangguhkan mesyuarat PSC yang ditetapkan hanya sebab perkara ini dirujuk kepada Pegawai Undang-Undang Parlimen ataupun Peguam Negara.

    “Perkara-perkara yang lain seperti terma rujukan, senarai saksi-saksi yang lain boleh dibincangkan dan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan bersama.

    Jawatankuasa berkenaan turut dianggotai Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria; Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.

    Pada hari sama, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim berkata, mana-mana individu yang disapina oleh sebarang PSC perlu hadir mengikut Akta Keistimewaan dan Kuasa Parlimen 1952.

    Tegasnya, PSC ditubuhkan mengikut akta berkenaan dan kepatuhan terhadap sapina itu adalah mengikut Seksyen 8 dan 16 akta berkenaan.

    “Salah satu yang serius, adalah mengenai hukuman ingkar sapina dikeluarkan mana-mana Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan ada hukuman ditetapkan,” katanya.

  • Mesyuarat PSC siasat isu Azam Baki ditangguhkan

    Mesyuarat PSC siasat isu Azam Baki ditangguhkan

    JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menangguhkan mesyuaratnya untuk menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang dijadualkan Rabu ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, penangguhan itu adalah ekoran bantahan Azam terhadap cara siasatan tersebut.

    Terdahulu, Pengerusi PSC, Abdul Latiff Rahman (PAS-Kuala Krai) memaklumkan kepada lapan ahli jawatankuasa lain bahawa beliau telah menerima maklum balas daripada Azam.

    Menurut Azam, jika mesyuarat itu diteruskan pada hari Rabu (19 Januari) seperti yang dijadualkan dan agenda kekal tidak berubah, maka Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat akan dilanggar.

    Azam berhujah bahawa ini kerana beliau telah memfailkan saman fitnah dan perkara yang akan dibincangkan oleh PSC mungkin diterima oleh mahkamah.

    Selain itu, Azam berhujah bahawa beliau telah pun disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Aduan SPRM.

    Memandangkan siasatan akan tertumpu kepada tingkah lakunya, Azam juga berhujah bahawa sebarang perbincangan di Parlimen harus dilakukan melalui usul persendirian dan bukannya jawatankuasa pilihan.

    “Beliau (Azam) juga berkata (agenda) ini boleh menjadi ultra vires (melangkaui kuasa undang-undang) kepada peruntukan bawah Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952,” kata Abdul Latiff.

    Sehubungan itu, menurut pemimpin PAS itu, beliau akan merujuk kepada penasihat undang-undang Dewan Rakyat.

    Dua ahli PSC iaitu William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) dan Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu) mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mereka menerima mesej daripada Abdul Latiff.

    Kedua-dua mereka mengesahkan bahawa arahan terbaharu yang diterima adalah mesyuarat Rabu ini telah ditangguhkan.

    “Kami dimaklumkan pada sekitar tengah hari ini,” kata Foong Hin.

    William berkata, adalah prerogatif Abdul Latiff untuk mendedahkan terma rujukan siasatan itu.

    “Saya telah meminta mesyuarat PSC untuk pengerusi mengumumkan terma rujukan untuk siasatan itu,” katanya.

    Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat dan pada Rabu lepas, Azam dalam sidang media menafikan tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

    Azam berkata, saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adiknya yang menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli oleh adiknya itu juga tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.

    Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang menyatakan LPPR, satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.