Tag: PRU-15

  • PRU-15: DUN Sabah tak dibubar – Bung Moktar

    PRU-15: DUN Sabah tak dibubar – Bung Moktar

    UMNO Sabah menolak kemungkinan Dewan Undangan Negeri itu akan dibubarkan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Biarpun begitu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya tetap melakukan persiapan secara menyeluruh.

    “Kemungkinan itu memang tidak ada (bubar DUN Sabah), cuma dalam politik ini bermacam perkara boleh berlaku, jadi persiapan kita ini adalah secara menyeluruh,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berkata demikian kepada wartawan di Kota Belud ketika diminta mengulas sama ada BN turut membuat persediaan jika berlakunya pembubaran DUN Sabah pada PRU kali ini.

    Dalam pada itu, Bung Moktar berkata, jentera BN harus bekerja keras bagi memastikan kemenangan bukan sahaja di kerusi Parlimen Kota Belud, malah berjaya menawan Putrajaya.

    “Yang penting jentera BN harus bersiap sedia turun padang bekerja seperti ‘lipas kudung’ bagi memastikan kemenangan calon PRU,” katanya.

    Sementara itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan turut yakin DUN Sabah tidak akan dibubarkan pada pilihan raya yang dijangka diadakan tidak lama lagi itu.

    “Dalam PRU15 ini kita tidak akan bubarkan DUN,” katanya.

    “Yang akan ada ialah pemilihan atau pilihan raya Parlimen dan kerajaan persekutuan saja yang Sabah akan bakal pilih nanti,” katanya.

  • Tarikh PRU-15: Belum bincang dengan ‘Top Five’ UMNO – PM

    Tarikh PRU-15: Belum bincang dengan ‘Top Five’ UMNO – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata beliau belum berbincang dengan ‘Top Five’ UMNO berhubung tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    ‘Top Five’ UMNO merujuk kepada Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan perdana menteri sendiri.  

    Katanya, selepas berbincang dengan ‘Top Five’, baharulah beliau akan berbincang dengan parti MCA dan MIC serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

    “… kemudian ia perlu dibawa ke Kabinet sebab di bawah Perlembagaan, kena ada kelulusan Kabinet sebelum saya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk (mendapat perkenan) membubarkan Parlimen. 

    “Itu prosedur yang perlu dipatuhi,” katanya semasa merucap pada Majlis Penyampaikan Peruntukan Masyarakat Cina dan India Parlimen Bera 2022 di Dewan Kompleks UMNO Bera di Padang Luas di sini hari ini.

    Walaupun belum berbincang mengenai tarikh PRU15, Ismail Sabri mengingatkan pimpinan BN di Parlimen Bera untuk bersedia memperkemaskan gerak kerja jentera termasuk berjumpa pengundi bagi mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Bera dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Guai dan Kemayan selain merampas semula DUN Triang.

    PRU15, menurut Ismail Sabri walaupun tarikhnya belum diketahui, namun memberi bayangan “semakin hari ia semakin dekat’ dan secara berseloroh berkata perkara itu perlu ditanya kepada perdana menteri mengenai bilakah tarikh pilihan raya akan diadakan?.

    Bagaimanapun jika merujuk kenyataan Mohamad, Ismail Sabri berkata Timbalan Presiden UMNO itu menjangkakan PRU15 akan diadakan sebelum hujung tahun ini, dan ini bermaksud tempohnya semakin hampir sekali gus penting bagi jentera parti untuk mula membuat persiapan.

    Di Bera, Ismail Sabri berkata beliau mahu jentera BN bekerja keras bagi mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Bera, DUN Guai dan DUN Kemayan, selain merampas kembali DUN Triang yang dianggap kerusi selesa DAP.  

    “Saya harap pastikan di Parlimen Bera kita menang bukan dengan 2,000 majoriti tetapi 5,000 atau 10,000 majoriti. Kita kena menang dengan bergaya, kena menang besar kerana seluruh Malaysia pandang kerusi Parlimen Bera. Ini kerusi Perdana Menteri, tak akan menang dua atau tiga ribu majoriti?. 

    “Kerusi DUN Triang yang selama ini MCA minta dari dulu…Gerakan (bertanding di DUN Triang) dan MCA tidak berpuas hati kerana ahli mereka lebih ramai di situ. Dahulu kuota kerusi telah ditetapkan dan waktu itu Triang diberikan kepada Gerakan dan mereka tak pernah menang tapi kalah berkali-kali. 

    “Sekarang kerusi ini (DUN Triang) diberikan kepada MCA dan MCA kena buktikan mereka boleh menang bila diberikan kerusi. Ini merupakan cabaran kepada MCA dan kita semua kena sama-sama bantu rampas DUN Triang yang semua orang bercakap akan kekal kepada DAP,” katanya.

    Ismail Sabri juga percaya PRU15 adalah waktu terbaik untuk MCA merampas DUN Triang kerana DAP dan Pakatan Harapan (PH) telah gagal menunaikan janji selepas berpeluang memerintah selama 22 bulan, menjadikan rakyat sedar mereka telah tertipu. 

    Pada majlis itu Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada 68 persatuan dan kelab masyarakat Cina dan India dari sekitar Parlimen Bera.- BERNAMA 

  • PRU-15: Muda pertahan Muar, bertanding 15 kerusi Parlimen

    PRU-15: Muda pertahan Muar, bertanding 15 kerusi Parlimen

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan mempertahankan kerusi Parlimen Muar yang dipegang presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam PRU akan datang.

    Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu dinyatakan Pengerusi Pilihan Raya Muda yang baru dilantik, Amira Aisya Abd Aziz selepas mempengerusikan pertemuan rasmi antara pimpinan Muda menjelang pilihan raya di Kuala Lumpur hari ini.

    Amira berkata Muda akan bertanding di 15 kerusi Parlimen dalam PRU15 dengan fokus terhadap mempertahankan kerusi Parlimen Muar.

    “Muda akan mensasarkan tak lebih daripada 15 kerusi parlimen daripada parti BN-Perikatan Nasional (PN).

    “Kita juga melihat kerusi dari pelbagai negeri (termasuk di Sabah dan Sarawak),” katanya yang juga timbalan presiden Muda.

    “Kami juga ada pasukan sangat kuat di Sabah, Sarawak dan akan meletakkan calon di Kepulauan Borneo,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya, segala ketetapan tertakluk kepada keputusan bersama parti dalam PH.

    Pada masa sama, Muda mengumumkan semua ahli Muda di setiap peringkat boleh mencadangkan nama calon masing-masing untuk dinilai jawatankuasa parti berdasarkan kriteria yang akan dimaklumkan tidak lama lagi.

  • PRU-15: PAS belum muktamad jumlah kerusi ditandingi

    PRU-15: PAS belum muktamad jumlah kerusi ditandingi

    PAS masih belum memuktamadkan jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau berkata segala keputusan berkenaan jumlah kerusi yang bakal ditandingi PAS akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat parti itu.

    “Itu bukan jumlah kerusi kami bertanding, itu kerusi yang kami pantau (80 kerusi). Jumlah kerusi kami akan bincang di peringkat parti. Perikatan Nasional (PN) belum putuskan (kawasan parti bertanding), bagaimanapun setiap parti akan buat pemantauan kerusi-kerusi yang kami rasa boleh menang,” katanya.

    Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas sama ada sasaran PAS bertanding 80 kerusi Parlimen pada PRU15 sudah dibincangkan dengan PN ataupun tidak.

    Semalam, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan PAS menyasarkan untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada PRU15.

    Menteri Besar Kedah itu berkata jumlah tersebut sekali ganda berbanding 40 kerusi ditandingi pada PRU14 dan pihaknya sedang menganalisa kawasan yang mencapai indeks pencapaian utama (KPI) untuk berada dalam senarai 80 kerusi Parlimen yang disasarkan.- BERNAMA

  • Larang individu ada kes mahkamah tanding PRU, Wan Junaidi tolak cadangan PAS

    Larang individu ada kes mahkamah tanding PRU, Wan Junaidi tolak cadangan PAS

    UNDANG-undang baharu bagi mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding pada pilihan raya tidak diperlukan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahya, pada Muktamar Tahunan PAS ke-68 di Kedah, pada Jumaat, antara lain mahu kerajaan melarang individu sedang dalam perbicaraan mahkamah daripada menjadi calon.

    Wan Junaidi ketika mengulas lanjut, berkata pada peringkat pencalonan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mempunyai peraturan ditetapkan.

    Katanya, susulan itu SPR berhak menolak pencalonan seseorang jika individu terbabit didapati tidak menepati kriteria ditetapkan.

    “Dalam hal ini, saya berpandukan kepada undang-undang pilihan raya sedia ada. SPR mempunyai undang-undang yang menentukan seseorang itu layak atau tidak menjadi calon,” lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, jika SPR menolak pencalonan, individu terbabit boleh membawa suruhanjaya itu ke mahkamah.

    “Ini terserah kepada budi bicara SPR untuk menentukan, tetapi jika sesiapa yang ditolak pencalonannya dan tak puas hati, dia boleh mengemukakan rayuan di mahkamah,” katanya.

  • KJ akur diminta kosongkan kerusi Rembau pada PRU-15

    KJ akur diminta kosongkan kerusi Rembau pada PRU-15

    AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengesahkan tidak akan bertanding di Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan Berita Harian, keputusan itu dibuat selepas beliau diarah mengosongkan kerusi itu oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, yang mahu bertanding di Parlimen Rembau, selain mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sejak 2004.

    Khairy mengakui terpaksa akur dengan arahan itu walaupun tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain, memandangkan sudah lebih 20 tahun berpolitik di Rembau.

    “Dia (Mohamad) dah maklum untuk saya pergi ke tempat lain. Oleh kerana beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Rembau dan saya timbalannya, jadi beliau minta saya cari tempat lain sebab dia kata dia nak bertanding di Rembau.

    “Saya tidak ada halangan sebab beliau Ketua Bahagian dan dia telah minta saya beri laluan kepada dia. Jadi, saya kena beri laluanlah,” katanya.

    Beliau menyatakannya pada sidang media Majlis Perasmian Penutupan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di sini, hari ini.

    Semalam, media melaporkan Mohamad mengumumkan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen pada PRU-15 dan pada masa sama, akan mempertahankan kerusi DUN Rantau.

    Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, bagaimanapun enggan mendedahkan kerusi Parlimen yang bakal ditandinginya nanti.

    Sementara itu, mengenai kawasan Parlimen yang bakal ditandingi pada PRU-15, Khairy tidak mengetahui kerusi mana yang bakal diwakilinya kerana tidak pernah menjangka perlu keluar dari Rembau.

    “Buat apa saya fikir bertanding di tempat lain sedangkan saya dah 15 tahun di Rembau. Apabila diberitahu untuk keluar dan minta saya cari tempat lain, maka saya pun kenalah berusaha jika ada kawasan lain nak terima saya.

    “Nak ke tempat lain pun saya rasa malu juga nak pergi ceroboh kawasan orang lain, sebab politik UMNO ini kita bertanding di kawasan kita, di kawasan mana kita jadi ahli, dah berkhidmat, berjasa di kawasan itu.

    “Apa pun, sebagai orang parti, orang tahu kesetiaan saya. Saya tak pernah lompat parti, saya UMNO, maka saya ikutlah arahan pucuk pimpinan parti.

    “Kalau pucuk pimpinan minta saya bertanding di kawasan ini, saya terima. Kalau dia kata jangan bertanding pun saya kena terima sebab saya orang parti. Saya ok,” katanya.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO itu juga memaklumkan sedang merisik dengan rakannya jika ada kerusi yang boleh ditawarkan untuknya, namun ia tertakluk pada arahan pucuk pimpinan parti.

    “Saya tak pernah buat persiapan untuk pergi ke kawasan lain. Buat apa saya kacau tempat orang lain? Saya dah tiga penggal di Rembau.

    “Tetapi tak apalah, dia (Mohamad) nak bertanding DUN, nak bertanding Parlimen juga, kita bagi laluan kepada dialah. Dia nak bertanding semua,” katanya.

  • Banjir besar diramal penghujung November – MetMalaysia

    Banjir besar diramal penghujung November – MetMalaysia

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

    Memetik laporan Berita Harian, cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

    Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan, menyebabkan peningkatan taburan hujan.

    Beliau berkata, METMalaysia meramalkan, sepanjang Oktober risiko bencana cuaca hanya membabitkan fenomena hujan ribut petir yang berpotensi menghasilkan angin kencang, hujan lebat dan banjir kilat dalam tempoh yang singkat dan berskala kecil.

    Katanya, kebanyakan tempat dijangka menerima taburan hujan yang normal sahaja dalam tempoh itu.

    “Sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan pada awal November, kemungkinan banjir besar berlaku adalah kurang. Bagaimanapun, mulai pertengahan November ada kemungkinan banjir besar berlaku terutamanya penghujung November.

    “Namun begitu, jika pilihan raya dilaksanakan pada Disember, cuaca yang berlaku dijangka memberi impak yang lebih signifikan kerana angin Monsun Timur Laut adalah aktif pada tempoh itu, di mana risiko untuk berlaku hujan lebat berterusan dan banjir besar berskala besar adalah tinggi,” katanya kepada BH hari ini.

    Beliau berkata, kebiasaannya bermula akhir September hingga awal November negara akan mengalami fasa peralihan monsun.

    “Dalam tempoh ini lazimnya cuaca di seluruh negara adalah baik pada waktu pagi. Manakala pada sebelah petang hingga awal malam, ribut petir akan lebih kerap berlaku terutama di negeri-negeri pantai barat serta pedalaman Semenanjung, Sarawak (barat dan tengah) dan barat Sabah.

    “Risiko untuk berlaku banjir kilat adalah tinggi dalam tempoh ini terutama di kawasan rendah di pantai barat Semenanjung,” katanya.

    Muhammad Helmi berkata, Monsun Timur Laut pula kebiasaannya akan bermula pada pertengahan November

    “Jadi dalam tempoh November hingga Disember, cuaca adalah lebih lembap terutama di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.

    “Lazimnya cuaca adalah hujan pada sebelah pagi di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.

    “Pada sebelah petang, ribut petir atau hujan akan berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, pedalaman Sarawak dan barat Sabah,” katanya

    Beliau berkata, namun begitu perkara yang perlu dibimbangkan ialah jika berlaku luruan monsun atau kemunculan sistem tekanan rendah, menyebabkan hujan berterusan akan berlaku di negeri-negeri berkenaan yang berpotensi menyebabkan banjir.

    “Jika berlaku luruan monsun yang kuat dan serentak dengan kemunculan sistem tekanan rendah, maka risiko untuk berlaku banjir besar adalah tinggi. Luruan monsun yang signifikan biasanya akan bermula pada Disember,” katanya.

    Ditanya mengenai perubahan cuaca yang kerap hujan dan ribut petir ketika ini, Muhammad Helmi berkata, keadaan cuaca yang lebih lembap ketika ini adalah disebabkan Monsun Barat Daya yang lemah.

  • PN boleh bincang dengan GTA, kerjasama ‘tak tahu lagi’ – Tun M

    PN boleh bincang dengan GTA, kerjasama ‘tak tahu lagi’ – Tun M

    GERAKAN Tanah Air (GTA) terbuka untuk berbincang dengan Perikatan Nasional (PN) mengenai kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun keputusan sama ada kerjasama akan dijalinkan ‘tidak tahu lagi’, kata Pengerusi Penaja GTA Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau yang mengulas saranan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin agar parti pembangkang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan PN berkata, kerjasama dengan PN perlu dibincangkan dengan semua parti gabungan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam gerakan itu.

    “Dia (Muhyiddin) boleh datang bincang tapi keputusan (untuk kerjasama) kita tidak tahu lagi,” katanya kepada pemberita selepas sesi ‘flag off’ Program Semangat Merdeka anjuran GTA di sini hari ini.

    Dr Mahathir berkata Muhyiddin ada datang bertemu dengannya baru-baru ini, namun ia hanya pertemuan biasa dan bukan perbincangan mengenai kerjasama politik.

    Muhyiddin ketika berucap pada Konvensyen PN Sabtu lepas menyarankan semua pimpinan parti pembangkang untuk mempertimbang semula rundingan dengan PN untuk mencapai kesepakatan pada PRU15 akan datang.

    Dr Mahathir berkata GTA yang dianggotai empat parti iaitu Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) serta NGO berjuang berpaksikan kepada penentangan salah guna kuasa, rasuah dan memperjuangkan hak kaum Melayu bagi membina sebuah kerajaan yang bersih.

    Beliau berkata GTA akan mengemukakan permohonan pendaftaran gerakan itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 6 Sept ini.- BERNAMA

  • PRU-15 paling sukar buat semua parti – Ku Li

    PRU-15 paling sukar buat semua parti – Ku Li

    AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah pilihan raya paling sukar buat semua parti yang bertanding.

    Memetik laporan Berita Harian, beliau juga menjangkakan tidak ada parti politik yang akan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan dalam PRU-15 nanti.

    Ia susulan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat pada masa ini membuatkan PRU-15 adalah sesuatu yang sukar buat semua parti.

    “Saya rasa PRU-15 adalah pilihan raya yang paling sukar dan saya tidak fikir ada satu parti pun yang mendapat majoriti mudah, tak boleh membentuk kerajaan.

    “Saya rasa BN (Barisan Nasional) pun berada dalam keadaan begitu, apatah lagi dengan berbagai-bagai skandal dan masalah yang dihadapinya. Saya rasa kemungkinan pilihan raya ini bukan menyelesaikan masalah tetapi akan menimbulkan banyak lagi masalah,” katanya ditemui selepas merasmikan Majlis Kuca Suro Merdeka, di Sekolah Kebangsaan (SK) Aring, di Gua Musang, semalam.

    Tengku Razaleigh berkata, PRU-15 juga mungkin tidak akan membuahkan hasil yang baik memandangkan tidak ada satu parti pun yang mampu menubuhkan kerajaan.

    “Jadi apa makna ada pilihan raya. Kita akan menambahkan masalah lebih daripada menyelesaikan masalah,” katanya.

    Tengku Razaleigh sebelum ini menjawat jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Jemaah Penasihat UMNO sebelum meletak jawatan pada September tahun lalu kerana dikatakan kecewa dengan parti itu.

    Ketika ditanya peluang UMNO sekiranya bergerak secara solo pada PRU-15, Tengku Razaleigh berkata, keadaan sekarang tidak seperti dahulu.

    “UMNO boleh bergerak solo tetapi solo tu kita kena faham apa makna solo. Kalau dulu solo, UMNO ada 13 parti bersamanya dari Sabah dan Sarawak serta teman-teman yang kuat membantu UMNO iaitu MCA dan MIC.

    “Mereka begitu berpengaruh ketika dulu. Tetapi sekarang kita hanya mempunyai MCA dengan MIC yang tidak dapat ditentukan kekuatan parti-parti ini.

    “Ada kalanya calon MCA berharap kepada sokongan UMNO. Jadi, bagaimana kita nak menghadapi keadaan dengan macam-macam masalah, pelbagai berita yang timbul dari semasa ke semasa untuk menghadapi pihak lawan pada PRU-15,” katanya.