Tag: PRU-15

  • Pelepasan 5 hari penuntut IPT pulang mengundi

    Pelepasan 5 hari penuntut IPT pulang mengundi

    KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju supaya semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) memberi pelepasan selama lima hari kepada semua pelajarnya untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Husaini Omar berkata, pelepasan itu diberikan kepada penuntut bermula 17 hingga 21 November ini.

    “Berlandaskan kepada semangat serta penguatkuasaan Undi18, pihak KPT bersetuju supaya semua IPT memberi pelepasan kepada pelajar untuk pulang mengundi.

    “Tarikh pelepasan adalah dari 17 hingga 21 November 2022 bagi memberi tempoh yang cukup kepada pelajar untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke atau dari lokasi mengundi.

    “Semua kelas dan aktiviti pelajar dalam tempoh berkenaan hendaklah ditangguhkan dan diadakan pada suatu tarikh yang lain,” katanya dalam surat edaran bertarikh 21 Oktober lalu, lapor Harian Metro.

    Sementara itu, Prof Husaini ketika dihubungi mengesahkan edaran surat berkenaan dan memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan media dalam masa terdekat.

    Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU-15 dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (PRK DUN) Bugaya, Sabah.

    Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 15 November.

    Berkuat kuasa 15 Disember lalu, Undi18 sudah diwartakan dan individu yang berusia 18 tahun akan didaftarkan secara automatik sebagai daftar pemilih.

    Berdasarkan data, 1.14 juta pengundi berusia 18 hingga 21 tahun akan mengundi pada PRU-15.

  • Saya anak jati Tambun, ada kelebihan jaga pengundi – Ahmad Faizal

    Saya anak jati Tambun, ada kelebihan jaga pengundi – Ahmad Faizal

    PENYANDANG kerusi Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan sebagai anak tempatan di kawasan itu, beliau mempunyai banyak kelebihan untuk ‘menjaga’ pengundi di situ berbanding ‘orang luar’. 

    “Saya memang anak jati di Tambun. Walaupun selepas berakhirnya PRU15 kelak, menang atau tidak saya tetap di sini, kita raikan sesiapa sahaja yang mahu bertanding di sini. 

    “Sudah tentu menjadi calon anak tempatan memberi kelebihan kepada saya kerana sejak 2018 di Tambun inilah saya banyak luangkan masa dan rapat dengan mereka (pengundi) kerana saya jaga Tambun,” katanya kepada Bernama.

    Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas meraih 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.

    Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak berkata strategi meletakkan calon tempatan dijangka akan memberikan kelebihan dan membuahkan hasil kerana mereka sentiasa berada bersama rakyat pada masa susah dan senang sebelum ini. 

    “Sudah pasti kita dalam PN akan mengemukakan calon daripada semua gabungan dalam PN, kita tunggulah pengumuman yang akan dibuat dalam masa terdekat siapakah gandingan yang bersama saya di Parlimen Tambun,” katanya. 

    Pada Khamis, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15.- BERNAMA 

  • PRU-15: PN mahu menang semua kerusi Parlimen di Kelantan

    PRU-15: PN mahu menang semua kerusi Parlimen di Kelantan

    PERIKATAN Nasional (PN) berhasrat untuk menang di kesemua 14 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, jentera perlu bekerja keras dan berpegang teguh kepada ajaran Islam untuk memastikan kemenangan dapat diraih.

    “Fikirlah macam mana sekalipun, perlu menang kesemua 14 kerusi di Kelantan. Menang banyak kerusi negeri ini seterusnya Malaysia.


    “Insya-Allah di peringkat nasional, PN akan menjadi kerajaan baharu selepas PRU15 nanti,” katanya pada Himpunan Penyatuan Ummah & Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kota Bharu malam tadi, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Mohd Amar juga memberi contoh, sebuah kerajaan yang dapat bertahan lama seperti kerajaan Pas di Kelantan kerana integriti dan rekod bebas daripada rasuah.

    “PN juga perlu kerja keras untuk buktikan terutama kepada UMNO bahawa beberapa pimpinan dalam parti itu sudah tidak relevan,” katanya.

    Pada PRU lalu, Pas menyandang sembilan kerusi Parlimen, dua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala tiga BN.
    Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas negeri itu berbangga dilabel sebagai parti ‘pak lebai’ oleh seorang pemimpin politik, dua hari lalu.

    “Kalau dulu orang anggap Pas parti kampung, parti pak lebai. Sehari dua ini ada presiden sebuah parti sebut Pas sebagai parti pak lebai.

    “Alhamdulillah bagi kami parti pak lebai bukan gelaran yang hina malah gelaran penyamun politik lebih hina daripada pak lebai,” katanya.

    Dalam pada itu, program bertemakan Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera itu diadakan di Stadium Sultan Muhamamd ke-IV bagi meraikan pentadbiran kerajaan Kelantan sejak tahun 1990.

    Sambutan terhadap program begitu meriah dengan kehadiran lebih 1,000 hadirin walaupun dalam keadaan hujan lebat.

  • Hasrat kerjasama Tun M-Anwar hanya ‘retorik’ – Wan Saiful

    Hasrat kerjasama Tun M-Anwar hanya ‘retorik’ – Wan Saiful

    HASRAT kerjasama di antara Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai retorik perpaduan politik.

    Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, kerjasama berkenaan bukanlah benar-benar ikhlas sebaliknya parti yang bersungguh-sungguh mahukan perpaduan ummah adalah Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu dan Pas.

    Malah, Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah melakukan perjumpaan dengan beberapa pemimpin parti-parti politik lain mengajak kepada perpaduan.

    “Saya rasa yang menunjukkan kesungguhan untuk mencapai perpaduan ummah adalah daripada kita yang berada dalam Perikatan Nasional (PN), baik Pas baik Bersatu.

    “Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya dah secara berterusan sebelum ini berjumpa dengan presiden dan juga pemimpin daripada parti parti lain mengajak ke arah perpaduan.

    “Tapi sebenarnya di sebelah parti lain ni, bagi saya, banyak retoriknya. Kesungguhan yang mungkin belum terbuktilah setakat ini.

    “Jadi ini contoh terkini bagaimana ada retorik mengenai perpaduan dan akhirnya yang menolak perpaduan itu bukan kita,” kata Wan Saiful, lapor Astro AWani.

    Wan Saiful mengulas kenyataan Dr Mahathir sebelum ini yang menilai kemungkinan kerjasama dengan PN yang dipimpin Muhyiddin bagi menghadapi PRU-15.

  • Kerjasama UMNO-Pas-Bersatu PRU-15 tidak kesampaian – Tuan Ibrahim

    Kerjasama UMNO-Pas-Bersatu PRU-15 tidak kesampaian – Tuan Ibrahim

    PAS beri bayangan kerjasama dengan UMNO tidak akan berlaku menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ini kerana UMNO mendakwa parti itu tidak ada pendirian tetap.

    Kata Tuan Ibrahim, parti itu sebaliknya tetap dengan pendirian tidak akan tinggalkan Bersatu demi untuk bekerjasama dengan UMNO.

    UMNO, tegas beliau, sepatutnya melihat kerjasama itu dalam kerangka yang lebih besar.

    Kata beliau, hampir tiga tahun Pas berusaha supaya berlaku penyatuan antara UMNO, Pas dan Bersatu bagi membentuk sebuah gagasan yang kuat bagi menghadapi PRU15 namun kini tidak kesampaian.

    “Pas ni kita setia dengan rakan kita walaupun UMNO letak syarat macam tu.

    “Bagi kami tak boleh letak syarat demikian. Kalau kita nak penyatuan, kita melihat pada kerangka besar.

    “Sebagaimana yang kita tahu, Pas tegas bersama Bersatu, bersama dengan gerakan untuk menghadapi Pilihan Raya ke-15 atas slogan Perikatan Nasional,” kata Tuan Ibrahim dalam laporan Astro Awani.

    Tuan Ibrahim juga tidak menolak untuk bekerjasama dengan UMNO pascakeputusan pilihan raya umum itu nanti.

  • Terus-terang itu penting bentuk kerajaan gabungan – Nurul Izzah

    Terus-terang itu penting bentuk kerajaan gabungan – Nurul Izzah

    NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak menolak kemungkinan terbentuknya kerajaan gabungan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Namun, bagi beliau, parti-parti yang akan membentuk kesepakatan untuk bekerjasama nanti perlu ada ketelusan dalam perhubungan supaya jelas segala matlamat yang didukung bersama.

    Bukan sahaja dengan rakyat, yang sememangnya menjadi keutamaan, tetapi pimpinan parti yang terlibat dalam rundingan juga perlu berterus-terang dengan ahli parti supaya batasan yang ditetapkan serta hala tuju kerjasama itu dapat dihadam mereka sebaiknya.

    “Saya rasa yang paling kecewa bila saya sendiri, bila ada keputusan diambil, pimpinan tak berterus-terang dengan saya.

    “Kalau kita amalkan prinsip (yang didukung parti), kita berterus-terang, kita communicate, ini keputusan yang kita buat, ini adalah agenda kita dan semua parti yang mahu bersama mengangkat agenda tersebut… kami bersama anda,” katanya dalam laporan Astro Awani, semalam.

    Sementara itu, Nurul Izzah berkata, perlu juga dilihat rekod lampau parti-parti yang mahu menjalin kerjasama, sama ada wakil-wakil rakyatnya memiliki reputasi baik dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing sebelum ini.

    Di samping itu, ujar Nurul Izzah, ada yang diketahui bergelumang dengan amalan korup selain bertindak khianat maka soal integriti juga menjadi faktor penting untuk dipertimbangkan.

    “Jadi pada saya kalau kita boleh tetapkan perkara ini, kita tunjukkan gabungan ini secara rasional, objektif, nak berunding dengan emosi itu terpulang tapi ada garis panduannya, ia lebih baik.

    “Ia akan menjadi sesuatu yang tidak mudah, tapi di sinilah kita perlukan kematangan, kebijakan dan kesabaran,” kata Nurul Izzah lagi.

  • Lawan calon BN anak murid saya, tiada masalah pertahan Hulu Terengganu – Rosol

    Lawan calon BN anak murid saya, tiada masalah pertahan Hulu Terengganu – Rosol

    PENYANDANG kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, beliau sedia mempertahankan kerusi itu jika dicalonkan semula oleh Bersatu pada pilihan raya umum ini.

    Walaupun mengakui keputusan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat bertanding kerusi Parlimen Hulu Terengganu memberi cabaran kepadanya, Rosol berkata berdasarkan “mood” rakyat di kawasan itu ketika ini, beliau mampu mengekalkan kerusi itu kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

    “Mungkin ada saingan, tapi ADUN Telemong ini anak murid saya, saya pernah mengajar dia.

    “Jadi, tiada masalah untuk saya pertahan Hulu Terengganu jika dicalonkan semula, malah anak muda sekarang ini sudah matang dalam politik. Jadi insya-Allah Hulu Terengganu kita dapat pertahankan kali ini melalui Bersatu dalam PN,” katanya kepada FMT.

    Katanya, Bersatu Hulu Terengganu juga sedia menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan kerjasama dengan PAS cukup baik termasuk dalam melakukan gerak kerja bagi memastikan kemenangan.

    Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, Bersatu Terengganu menyasarkan dua kerusi Parlimen dan 10 DUN yang dimenangi Umno dalam pilihan raya lalu.

    Sebelum ini Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menamakan Rozi sebagai calon mewakili BN bertanding kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada pilihan raya kali ini.

    Ahmad berkata, UMNO negeri yakin kerusi Parlimen berkenaan yang pernah menjadi milik parti pada PRU14 sebelum penyandangnya keluar dan menyertai Bersatu, akan dirampas kembali.

    Untuk rekod, Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan enam daripadanya dimenangi Pas, iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman, manakala Umno memenangi dua kerusi, iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

    Bagaimanapun, kerusi Hulu Terengganu bertukar menjadi milik Bersatu selepas penyandangnya, Rosol keluar UMNO selepas PRU14 dan menyertai parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

    Hulu Terengganu antara kerusi dijangka panas dalam pilihan raya kali ini, apabila UMNO dalam misi merampasnya kembali dari Bersatu, di samping Bersatu mendapat kekuatan daripada Pas melalui PN untuk kekal di situ.

  • [VIDEO]Pengurusan masalah rakyat fokus PN jika menang PRU-15, bukan kes mahkamah

    [VIDEO]Pengurusan masalah rakyat fokus PN jika menang PRU-15, bukan kes mahkamah

    PENGURUSAN masalah rakyat akan menjadi fokus utama Perikatan Nasional (PN) jika mendapat mandat mentadbir negara selepas 19 November ini dan bukannya memikirkan cara untuk membebaskan diri daripada kes mahkamah.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fokus utama PN selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ialah mengurus masalah kebajikan rakyat yang tertekan dengan ketidaktentuan ekonomi yang dijangka bertambah buruk tahun hadapan.

    Beliau menegaskan, ia perlu dibuat dengan secepat mungkin kerana dibimbangi akan menimbulkan lebih banyak masalah berikutan jangkaan pakar berlakunya krisis ekonomi yang jauh lebih teruk berbanding tahun ini.

    “Pentadbiran kerajaan baharu akan memberi fokus utama untuk menyelamatkan rakyat yang tertekan dengan masalah pendapatan merosot, hilang pekerjaan, isu kenaikan harga barang, kejatuhan nilai ringgit yang semuanya bukan petanda baik.

    “Bagaimana kita nak uruskan itu akan jadi keutamaan kerajaan insyaAllah jika kita menang pilihan raya yang akan datang nanti,” katanya semasa berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah di Kelantan malam tadi.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata,
    selain menguruskan ekonomi beliau juga memberi jaminan peluang pekerjaan kepada golongan anak muda akan menjadi tumpuan kerajaan yang baharu akan dibentuk nanti.

    Katanya, masalah pekerjaan khasnya di Kelantan akan dapat diatasi dengan membawa masuk pelaburan ke negeri itu selain menyediakan dan melengkapkan infrastruktur bagi memudahkan kemasukan pelabur.

    “Selain itu untuk generasi muda di Kelantan kita juga akan memberi penekanan kepada usaha memantapkan kemudahan pendidikan,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin turut memberi jaminan hak Kelantan terutamanya pembayaran penuh royalti kepada kerajaan negeri akan ditunaikan PN tanpa dipersoalkan lagi jika menang PRU-15.

    “Royalti minyak, kita bagi sepenuh-penuhnya. Tidak akan dipersoalkan lagi.

    “Sebanyak RM400 juta, kalau tak silap saya yang telah pun kita serahkan kepada kerajaan di Kelantan pada 2020 dan 2021 lalu,” katanya lagi.

  • Anwar Ibrahim calon Perdana Menteri PH jika menang PRU-15

    Anwar Ibrahim calon Perdana Menteri PH jika menang PRU-15

    PAKATAN Harapan (PH) secara rasmi mengumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan Anwar sebagai calon Perdana Menteri diputuskan selepas mengambil kira beliau sebagai calon yang mampu memulihkan negara daripada krisis ekonomi ketika ini.

    Menurutnya, Anwar juga sudah berdepan pelbagai cabaran selama 11 tahun dan masih mampu bertahan, sekali gus membuktikan kemampuan beliau untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan itu.

    “Perjuangan PH bukan soal meletak satu-satu tokoh untuk memegang jawatan ini. Jawatan ini datang dengan tugas dan tanggungjawab yang berat.

    “Ekonomi negara merudum, inflasi, harga barang, derita rakyat. Ekonomi negara mesti diselamatkan melalui sebuah kerajaan yang bertanggungjawab di bawah kepimpinan seorang yang mampu membaiki ekonomi negara.

    “Majlis Presiden PH melalui proses temu rapat di Port Dickson, Seremban dan sesi mesyuarat, membuat keputusan bahawa memasuki PRU15, PH menawarkan kepada rakyat Malaysia, jika mandat diberi kepada kita, calon Perdana Menteri kita ialah saudara Anwar Ibrahim,” katanya di Konvensyen PH di Ipoh, hari ini lapor Berita Harian.

    Sementara itu, berhubung pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi PH dalam PRU-15, Saifuddin Nasution memaklumkan rundingan agihan kerusi di antara parti komponen PH sudah selesai.

    Selain itu, katanya, PH juga membuat perjanjian pilihan raya dengan beberapa parti lain dan rundingan kerusi dengan rakan kerjasama PH itu akan dimuktamad, beberapa hari lagi.

    “Setelah semua proses diikuti, saya umumkan bahawa untuk parti dalam PH iaitu PKR, DAP dan AMANAH, rundingan kerusi Parlimen berjaya diselesaikan.

    “Pada masa sama, sesuai keputusan Majlis Presiden PH, rundingan berikutnya ialah dengan parti bukan PH yang telah kita putuskan bersama melalui pendekatan perjanjian pilihan raya, akan diselesaikan dalam dua tiga hari ini untuk mencapai keputusan muktamad,” katanya.