PENYANDANG kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, beliau sedia mempertahankan kerusi itu jika dicalonkan semula oleh Bersatu pada pilihan raya umum ini.

Walaupun mengakui keputusan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat bertanding kerusi Parlimen Hulu Terengganu memberi cabaran kepadanya, Rosol berkata berdasarkan “mood” rakyat di kawasan itu ketika ini, beliau mampu mengekalkan kerusi itu kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

“Mungkin ada saingan, tapi ADUN Telemong ini anak murid saya, saya pernah mengajar dia.

“Jadi, tiada masalah untuk saya pertahan Hulu Terengganu jika dicalonkan semula, malah anak muda sekarang ini sudah matang dalam politik. Jadi insya-Allah Hulu Terengganu kita dapat pertahankan kali ini melalui Bersatu dalam PN,” katanya kepada FMT.

Katanya, Bersatu Hulu Terengganu juga sedia menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan kerjasama dengan PAS cukup baik termasuk dalam melakukan gerak kerja bagi memastikan kemenangan.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, Bersatu Terengganu menyasarkan dua kerusi Parlimen dan 10 DUN yang dimenangi Umno dalam pilihan raya lalu.

Sebelum ini Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menamakan Rozi sebagai calon mewakili BN bertanding kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada pilihan raya kali ini.

Ahmad berkata, UMNO negeri yakin kerusi Parlimen berkenaan yang pernah menjadi milik parti pada PRU14 sebelum penyandangnya keluar dan menyertai Bersatu, akan dirampas kembali.

Untuk rekod, Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan enam daripadanya dimenangi Pas, iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman, manakala Umno memenangi dua kerusi, iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, kerusi Hulu Terengganu bertukar menjadi milik Bersatu selepas penyandangnya, Rosol keluar UMNO selepas PRU14 dan menyertai parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Hulu Terengganu antara kerusi dijangka panas dalam pilihan raya kali ini, apabila UMNO dalam misi merampasnya kembali dari Bersatu, di samping Bersatu mendapat kekuatan daripada Pas melalui PN untuk kekal di situ.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here