Tag: Proton Wira

  • 2 maut Proton Wira terjunam dalam sungai

    2 maut Proton Wira terjunam dalam sungai

    DUA lelaki maut selepas Proton Wira dinaiki mereka melanggar papan tanda lalu terjunam ke anak sungai sedalam kira-kira satu meter di Kilometer 6, Jalan Parit Botak, Ayer Hitam, Batu Pahat, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa iaitu pemandu berusia 21 tahun dan penumpang berusia 22 tahun dalam perjalanan dari Parit Tengah Parit Raja menghala ke arah Ayer Hitam.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati PROTON Wira dipandu mangsa hilang kawalan hingga terbabas ke sebelah kanan jalan lalu terlanggar papan tanda jalan dan terjunam ke Sungai Parit Kuari.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang yang juga warga tempatan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kedua-dua mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan bomba dari Balai Bomba Ayer Hitam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Kita memohon mana-mana saksi awam yang melihat kemalangan itu supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Salmiah Mohamed di talian 074327704,” katanya.

    Sementara itu, Komander Operasi diketuai Penolong Penguasa Bomba, Mohd Shamin Mohamed Salikin, berkata tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dihantar ke tempat kejadian.

    Beliau berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sehingga selesai.

    “Selepas dibuat pengesahan oleh pembantu pegawai perubatan, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 8.53 pagi tadi,” katanya, lapor BH Online.

  • 13 Proton Wira buat bising disita

    13 Proton Wira buat bising disita

    Oleh BADLISHAH MAT

    POLIS menyita 13 buah kereta Proton Wira setelah tindakan sekumpulan lelaki berkumpul di kawasan parkir di Jalan Alamanda, Sik yang mengeluarkan bunyi bising kenderaan masing-masing.

    Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata; operasi disertai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik bermula pukul 11 malam hingga 2 pagi.

    Selain Proton Wira yang disita dalam Op Bersepadu dan Samseng Jalanan itu, polis turut menyita tiga motosikal kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada cukai jalan, tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran.

    Tindakan mereka itu juga mengganggu ketenteraman awam ketika bulan Ramadan dan polis bertindak berdasarkan maklumat yang diterima.

    “Jumlah saman yang dikeluarkan dalam operasi ini adalah 101, termasuk 13 kenderaan dan tiga motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Antara kesalahan yang dilakukan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, insuran, nombor pendaftaran, aksesori, cermin sisi dan mengubah suai ,” katanya.

    Abdull Razak berkata, jumlah individu yang ditahan dalam operasi itu pula seramai tiga orang berusia 19 hingga 27 tahun membabitkan empat kes.

    “Antara kesalahan adalah Seksyen 42 (1) APJ 1987 (2 kes), Seksyen 108 (3) (f) 1987 (1 kes) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (1 kes),” katanya.