Tag: projek tebatan banjir

  • Batal 6 projek tebatan banjir, Tuan Ibrahim pelik PM umum jimat RM2b

    Batal 6 projek tebatan banjir, Tuan Ibrahim pelik PM umum jimat RM2b

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) hairan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penjimatan kira-kira RM2 bilion selepas enam projek tebatan banjir ditamatkan.

    Memetik laporan Astro AWANI, Timbalan Presiden Pas itu bertanya bagaimana boleh adanya penjimatan sedangkan projek tersebut belum lagi bermula?

    “Saya rasa pelik sebab projek yang nak ditamatkan ini belum mula, belum laksana, belum ada Surat Setuju Terima, belum lantik kontraktor.

    “Bagaimana kerajaan tiba-tiba nak umum tamat perkara yang belum mula…yang peliknya umum penjimatan.

    “Saya fikir kalau kita tunda projek tersebut, bukan penjimatan (dapat dicapai) tapi kerajaan berdepan kerugian pula,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Anwar kata beliau perlu menjelaskan isu penamatan kontrak itu kepada Dewan Rakyat.

    Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) kemudian mencelah, menyatakan Perdana Menteri mungkin tidak faham apa yang dikatakan beliau berhubung isu tersebut.

    “Projek tebatan banjir, setuju atau tidak apa yang dicakapkan PM mungkin tak faham apa yang diperkatakan atau tidak faham macam ‘burung tiung’ bercakap?” soal Rosol.

    “Burung tiung itu saya setuju, sebab dia pun tak faham apa yang dia cakap.

    “Dewan kena dapatkan penjelasan yang jelas tentang isu ini,” balas Tuan Ibrahim.

    Anwar pada 6 Disember 2022 mengarahkan beberapa kelulusan terakhir termasuk projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion dibatal dan dihentikan serta-merta kerana tidak mematuhi peraturan serta diluluskan secara rundingan terus.

    Sehubungan itu, katanya, beliau telah mengarahkan pegawai Kementerian Kewangan untuk meneliti semula kelulusan itu bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

    Begitupun, pada 24 Februari lepas, Astro AWANI melaporkan kerajaan akan menilai semula tender kerajaan membabitkan projek-projek tebatan banjir bagi memastikan proses yang berjalan akan dilaksanakan secara telus.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan mengeluarkan semula tender bagi enam projek tebatan banjir selewat-lewatnya pada Jun tahun ini.

  • Didakwa lulus projek selepas Parlimen bubar, Tuan Ibrahim saman Rafizi

    Didakwa lulus projek selepas Parlimen bubar, Tuan Ibrahim saman Rafizi

    MENTERI Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli berhubung dakwaan kelulusan projek tebatan banjir dilakukan selepas pembubaran Parlimen.

    Menurut Tuan Ibrahim, tuntutan yang difailkannya agar Rafizi memohon maaf dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh surat itu dikeluarkan tamat hari ini.

    “Hari ini saya sudah failkan saman berhubung tindakan fitnah dibuat.

    “Kita akan bertindak. Hari ini tamat tempoh dan saya dah failkan saman,” katanya ketika berceramah di Pengkalan Chepa malam ini.

    Surat tuntutan kepada Rafizi telah dihantar oleh peguam Tuan Ibrahim, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid pada 10 November 2022.

    Tuntutan yang dikemukakan antaranya ialah Rafizi memberi akujanji bertulis untuk berhenti daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan tuduhan yang beliau lakukan kepada saya dan membuat permohonan maaf dalam jangka masa tujuh hari daripada tarikh surat tersebut.

    Menurut Tuan Ibrahim, beliau tidak pernah memberikan sebarang kelulusan projek kepada mana-mana syarikat selepas Parlimen dibubarkan.

    Katanya, tindakan Rafizi itu dipercayai dalam cubaannya mengalih isu berhubung siasatan SPRM ke atas syarikat dimilikinya, Invoke Solutions Sdn Bhd selain mahu merosakkan imej beliau.

    “Jika dia ada bukti, dia boleh membuat laporan SPRM. Saya tiada masalah kerana saya tahu peraturan dan undang-undang,” katanya.

  • Tengku Zafrul tegaskan kelulusan projek tebatan banjir ikut peraturan

    Tengku Zafrul tegaskan kelulusan projek tebatan banjir ikut peraturan

    MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini menegaskan kelulusan projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 yang didakwa dibuat selepas Parlimen dibubarkan, dibuat mengikut peraturan sedia. 

    Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA)  kini dalam proses untuk menganugerahkan projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kontraktor yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

    Syarikat itu juga didakwa telah mendapat kelulusan daripada Tengku Zafrul via surat bertarikh 7 Oktober iaitu hari pembentangan Bajet 2023 di Parlimen, satu hari bekerja sebelum Parlimen dibubarkan.

    Dalam ciapan di twitter hari ini, Tengku Zafrul turut mencabar Rafizi untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika terdapat bukti pelanggaran, serta mengemukakan bukti dan tidak menunggu kemenangan di pilihan raya umum untuk mengambil tindakan.

    Sementara itu di Kuala Selangor Tengku Zafrul berkata satu pasukan petugas melibatkan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, kerajaan negeri, kerajaan tempatan serta Kementerian Alam Sekitar Dan Air akan ditubuh bagi mencari penyelesaian isu banjir di Kuala Selangor. 

    Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor berkata isu banjir di Kuala Selangor memerlukan satu pendekatan yang holistik agar ia dapat diatasi dengan berkesan.

    Beliau berkata pada Bajet 2023 yang dibentangkannya bulan lepas, Kerajaan Persekutuan menyatakan komitmennya bagi mengatasi isu banjir dengan memperuntukkan sebanyak RM15 bilion untuk projek tebatan banjir.

    “Projek ini sekarang pada fasa penilaian bagi tujuan pelantikan kontraktor, bagaimanapun isu banjir ini juga melibatkan isu penyelenggaran sistem perparitan dan melalui satu kajian oleh badan bebas mendapati sebanyak 30 peratus isu ini berpunca daripada sistem longkang dan parit yang tersumbat akibat sampah serta tidak diselenggara secara berjadual,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas melawat pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram, di sini hari ini.

    Seramai 32 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS itu setakat pagi tadi. – BERNAMA

  • Fitnah: Tuan Ibrahim ambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi

    Fitnah: Tuan Ibrahim ambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi

    MENTERI Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memfailkan tindakan undang-undang terhadap Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli berhubung kenyataan fitnah.

    Surat tuntutan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Rafizi melalui firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid.

    Berikut ialah kandungan surat tuntutan berhubung perkara: Penyataan Fitnah Terhadap Yang Berhormat Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Firma kami merujuk kepada perkara di atas yang mana firma kami mewakili dan bertindak bagi pihak YB Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (selepas ini dirujuk sebagai “Anak guam”).

    1. Firma kami telah dimaklumkan oleh Anak guam kami seperti berikut:

    2.1 Bahawa kamu telah, pada Isnin, 7 November 2022, bertempat di sebuah premis di Petaling Jaya dengan kehadiran pengamal-pengamal media, membuat satu sidang media yang mana kamu telah membuat satu kenyataan media secara lisan dan secara bertulis (“Kenyataan Media Pertama tersebut”) yang antara lainnya mendakwa:-

    (a) bahawa Anak guam kami selaku Menteri di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang dalam proses untuk meluluskan projek bernilai RM2 billion ringgit kepada satu syarikat bernama Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus untuk kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2; dan

    (b) bahawa Anak guam kami terlibat dalam penganugerahan projek-projek di bawah Program Jana Wibawa secara rahsia.

    2.2 Bahawa kamu telah, pada Rabu, 9 November 2022, bertempat di sebuah premis di Petaling Jaya dengan kehadiran pengamal- pengamal media, membuat satu sidang media yang mana kamu telah membuat satu kenyataan media secara lisan dan secara bertulis (“Kenyataan Media Kedua tersebut”) yang antara lainnya:-

    (a) Kamu mengulangi dakwaan bahawa terdapat perbincangan dan proses untuk meluluskan projek bernilai RM2 billion yang sedang berjalan dalam masa Kerajaan Caretaker melibatkan Anak guam kami yang mana melanggar undang- undang;

    (b) Kamu mendakwa bahawa Anak guam kami semasa menjalankan fungsi dan peranan selaku Menteri KASA telah meluluskan tiga projek KASA kepada Mangkubumi Sdn Bhd yang bernilai lebih RM2.3 Billion.

    (Selepas ini kandungan di Perenggan 2.1(a) – (b) dan Perenggan 2.2(a) – (b) di atas dirujuk secara

    kolektif sebagai “Penyataan-Penyataan Fitnah”)

    A. PENYIARAN KENYATAAN MEDIA PERTAMA TERSEBUT & KENYATAAN MEDIA KEDUA TERSEBUT

    Penyiaran Kenyataan Media Pertama tersebut

    1. Berdasarkan kepada arahan yang diberikan oleh Anak guam kami dan juga berdasarkan rekod yang boleh dicapai oleh orang awam, firma kami telah diarahkan oleh Anak guam kami untuk menyatakan fakta-fakta jelas seperti berikut:

    3.1 Berdasarkan kepada Perenggan 2.1 di atas, Kenyataan Media Pertama tersebut secara jelas telah disiarkan kepada pihak ketiga apabila kamu telah berucap berkenaan dengan Kenyataan Media Pertama tersebut di khalayak ramai terutamanya kepada pengamal-pengamal media yang hadir;

    3.2 Pada tarikh 07.11.2022 jam 3:15 petang, kamu telah, melalui satu Facebook Page bernama “Rafizi Ramli” yang dimilik oleh kamu dan/atau dalam kawalan kamu (“Facebook Page tersebut”) memuatnaik satu posting yang mengulangsiar kandungan Kenyataan Media tersebut. Posting tersebut juga disertakan dengan gambar yang diedit seperti di bawah:

    3.3 Setakat tarikh notis ini, posting tersebut telah mencatatkan 1,800 jumlah perkongsian dan lebih 2,500 jumlah komen dari mesyarakat awam;

    3.4 Pada tarikh 07.11.2022, kamu telah, melalui satu laman sesawang bernama “Rafizi Ramli” yang dimilik oleh kamu dan/atau dalam kawalan kamu (“Laman Sesawang Pertama tersebut”) memuatnaik satu posting yang mengulangsiar kandungan Kenyataan Media tersebut dengan tajuk “Kerajaan Caretaker Tidak Boleh Membuat Anugerah Tender” yang mana pautannya adalah seperti berikut https://rafiziramli.com/2022/11/kerajaan-caretaker-tidak-boleh-membuat-anugerah- tender/. Hasil semakan mendapati posting tersebut dan juga Laman Sesawang Pertama tersebut boleh diakses oleh masyarakat awam tanpa sebarang sekatan dan/atau langganan;

    3.5 Pada tarikh 07.11.2022, kamu telah, melalui satu laman sesawang bernama “Parti Keadilan Rakyat” yang dimilik oleh kamu dan/atau dalam kawalan kamu (“Laman Sesawang Kedua tersebut”) memuatnaik satu posting yang mengulangsiar kandungan Kenyataan Media tersebut dengan tajuk “Kerajaan Caretaker Tidak Boleh Membuat Anugerah Tender” yang mana pautannya adalah seperti berikut https://keadilanrakyat.org/index.php/kerajaan-caretaker-tidak-boleh-membuat- anugerah-tender/ Hasil semakan mendapati posting tersebut dan juga Laman Sesawang Kedua tersebut boleh diakses oleh masyarakat awam tanpa sebarang sekatan dan/atau langganan; dan

    3.6 Kenyataan Media Pertama tersebut juga telah diulangsiar secara meluas dalam bentuk artikel dan video oleh agensi-agensi berita tempatan (termasuk oleh agensi berita FMT, BH Online, Astro Awani, Utusan Malaysia, Sinar Harian dan lain-lain) dalam pelbagai bahasa melalui platform-platform rasmi agensi-agensi berita terbabit.

    Penyiaran Kenyataan Media Kedua tersebut

    1. Berdasarkan kepada arahan yang diberikan oleh Anak guam kami dan juga berdasarkan rekod yang boleh dicapai oleh orang awam, firma kami telah diarahkan oleh Anak guam kami untuk menyatakan fakta-fakta jelas seperti berikut:

    4.1 Berdasarkan kepada Perenggan 2.2 di atas, Kenyataan Media Kedua tersebut secara jelas telah disiarkan kepada pihak ketiga apabila kamu telah berucap berkenaan dengan Kenyataan Media Kedua tersebut di khalayak ramai terutamanya kepada pengamal-pengamal media yang hadir;

    4.2 Pada tarikh 09.11.2022 jam 11:39 pagi, kamu telah, melalui Facebook Page tersebut menyiarkan secara langsung Kenyataan Media tersebut. Setakat tarikh notis ini, posting tersebut telah mencatatkan 45,000 jumlah perkongsian dan lebih 2,100 jumlah komen dari mesyarakat awam;

    4.3 Kenyataan Media Pertama tersebut juga telah diulangsiar secara meluas dalam bentuk artikel dan video oleh agensi-agensi berita tempatan (termasuk oleh agensi berita FMT, BH Online, Astro Awani, Utusan Malaysia, Sinar Harian dan lain-lain) dalam pelbagai bahasa melalui platform-platform rasmi agensi-agensi berita terbabit.

    1. Berdasarkan kepada kesemua fakta jelas sebagaimana yang dinyatakan di Perenggan 3.1 hingga Perenggan 3.6 dan Perenggan 4.1 hingga Perenggan 4.3 di atas, firma kami telah diarahkan oleh Anak guam kami untuk menyatakan bahawa Kenyataan Media Pertama tersebut dan Kenyataan Media Kedua tersebut telah disiarkan dan/atau didedahkan dan/atau diedarkan kepada masyarakat awam yang mana kamu berniat jelas supaya Kenyataan Media Pertama tersebut dan Kenyataan Media Kedua tersebut menjadi bacaan dan tontonan umum (public consumption) dan untuk menyampaikan tuduhan-tuduhan berkaitan Anak guam kami terutamanya Dakwaan tersebut.

    B. PENYATAAN & TUDUHAN FITNAH

    Penyataan fitnah dalam Kenyataan Media Pertama tersebut

    1. Melalui Kenyataan Media Pertama tersebut dan lanjutan daripada Perenggan 2.1(a) dan Perenggan 2.1(b) di atas, kamu telah membuat penyataan dan tuduhan terhadap Anak guam kami yang mana kesemuanya berbentuk fitnah terhadap Anak guam kami. Kenyataan tersebut adalah sepertimana berikut:-

    6.1 “Saya boleh mendedahkan bahawa kementerian yang dipimpin Timbalan Presiden PAS ini telah pun menganugerahkan satu tender bernilai RM578.6 juta kepada Mangkabumi Sdn Bhd untuk kerja-kerja menaiktaraf kolam tebatan banjir Krubong

    – Durian Tunggal secara tender terhad (atau selektif) di bawah program Jana Wibawa… Program Jana Wibawa adalah projek-projek yang melibatkan peruntukan besar yang bermula sejak zaman Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang dianugerahkan kepada kontraktor-kotraktor Bumiputra tertentu dengan penuh kerahsiaan, terutamanya kerana ia melibatkan tempoh masa semasa kerajaan mengisytiharkan darurat akibat PKP” (Penekanan ditambah)

    6.2 “Untuk hari ini, saya ingin mendedahkan bahawa dimaklumkan oleh pemberi maklumat dalaman bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang dalam proses untuk menganugerahkan satu projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat yang sama iaitu Mangkabumi Sdn Bhd. “ (Penekanan ditambah)

    Penyataan fitnah dalam Kenyataan Media Kedua tersebut

    1. Melalui Kenyataan Media Kedua tersebut, kamu telah membuat penyataan dan tuduhan terhadap Anak guam kami yang mana kesemuanya berbentuk fitnah terhadap Anak guam kami. Kenyataan tersebut adalah sepertimana berikut:-

    7.1 “Saya memang menyebut projek ini belum dianugerahkan. Tujuan saya membawa isu ini sekarang ialah kerana perbincangan dan proses itu sedang berjalan dan ada usaha untuk menganugerahkan projek itu dalam masa kerajaan caretaker yang melanggar undang-undang” (Penekanan ditambah)

    7.2 “Jika pun Mangkubumi tidak terpalit dengan kes-kes jenayah komersial sebelum ini, syarikat itu telah pun mendapat jumlah projek yang begitu tinggi dari kementerian yang dikepalai Tuan Ibrahim, iaitu:

    • Loji Rawatan Kumbahan Serantau Dan Rangkaian Paip Pembetungan Di Papan, Daerah Kinta, Perak-Pakej 1 : Network (Reka & Bina) (No. Kontrak : KeTTHA/JPP/PAPAN 1/RMK10/15/K11) berjumlah RM828 juta seperti yang diumumkan KASA di capaian https://www.jpp.gov.my/pemlojirawatan9/

    • Pakej D47-Pembinaan Rangkaian Paip Pembentungan Di Kawasan Petaling Jaya (Utara), (Reka & Bina) (No Kontrak: KeTTHA/JPP/D47/GKL/NR/13/K6) berjumlah RM277 juta seperti yang diumumkan KASA di capaian https://www.jpp.gov.my/kerja-kerja- penyambungan-1/

    • Melalui satu lagi syarikat yang dikawal oleh pemilik Mangkubumi, iaitu Pintas Utama Sdn Bhd, Loji Rawatan Kumbahan Serantau Dan Rangkaian Paip

    Pembetungan Di Papan, Daerah Kinta, Perak – Pakej 3: Other Network (Reka & Bina) berjumlah RM780 juta seperti yang diumumkan KASA di capaian https://www.jpp.gov.my/pemlojirawatan10/” (Penekanan ditambah)

    C. RUJUKAN KEPADA ANAK GUAM

    1. Berdasarkan kepada Penyataan-Penyataan Fitnah tersebut, kamu telah berulang kali merujuk kepada Anak Guam kami melalui jawatan dalam kerajaan yang dipegang oleh Anak guam kami sebelum pembubaran parlimen pada 10.10.2022 (“Pembubaran Parlimen tersebut”) dan pada ketika ini selaku Kerajaan Caretaker iaitu Menteri KASA dan juga jawatan politik selaku Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

    D. REKAAN & PENYELEWENGAN FAKTA SEBENAR

    1. Firma kami telah diarahkan oleh Anak guam kami bahawa Penyataan-Penyataan Fitnah tersebut adalah suatu pembohongan, tohmahan jahat dan penyelewengan yang direka-reka berdasarkan kepada versi fakta yang diputarbelit.
    2. Firma kami dengan ini diarahkan oleh Anak guam kami untuk menyatakan secara jelas fakta-fakta seperti berikut: –

    Berkenaan dakwaan fitnah wujud rundingan untuk meluluskan projek bernilai RM2 Billion (Rujuk Perenggan 6.2 dan Perenggan 7.1 di atas)

    10.1 Bahawa selepas pembubaran parlimen pada 10.10.2022, Anak guam kami telah memegang jawatan Menteri KASA dan menjalankan fungsi-fungsi Menteri selalu Kerajaan Caretaker;

    10.2 Berdasarkan kepada Mesyuarat Khas Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pekhidmatan Bil. 1 Tahun 2022 pada 11.10.2022, Surat Pekeliling Kementerian Kewangan bertarikh 18.10.2022 berkaitan “Pelaksanaan Perolehan Kerajaan Selaras Peranan dan Fungsi Kerajaan Caretaker” serta Garis Panduan Peranan dan fungsi Kerajaan Caretaker yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 07.10.2022, Kerajaan Caretaker hendaklah mengelak daripada membuat apa-apa komitmen kontraktual dan/atau akujanji yang boleh membebankan dan/atau mengikat kerajaan baharu yang akan dibentuk selepas pilihanraya umum (selepas ini dirujuk sebagai “Peraturan-Peraturan tersebut”);

    10.3 Berdasarkan kepada Peraturan-Peraturan tersebut, sepanjang tempoh Anak guam kami menjalankan fungsi dan peranan beliau selaku Menteri KASA selepas Pembubaran Parlimen tersebut, Anak guam kami selaku Menteri dan/atau melalui KASA tidak pernah memasuki dan/atau terlibat dalam sebarang rundingan dengan mana- mana individu atau syarikat bagi tujuan mendapatkan sebarang tender dari KASA;

    10.4 Malah, sepanjang tempoh bermula dari Pembubaran Parlimen tersebut, KASA telah, atas arahan Anak guam kami selaku Menteri yang berkaitan, menangguhkan segala proses perolehan berkaitan Projek Tebatan Banjir secara Off-Budget (2023-2030) dan Kerja- Kerja Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat;

    10.5 Oleh yang demikian, adalah tidak benar bahawa kononnya terdapat apa-apa rundingan dan/atau perbincangan dan/atau usaha untuk meluluskan sebarang projek sepanjang tempoh Anak guam kami memegang jawatan Menteri KASA selepas Pembubaran tersebut

    Berkenaan dakwaan fitnah Projek Jana Wibawa dianugerahkan secara rahsia (Rujuk Perenggan 6.1 di atas)

    10.6 Bahawa selain menandatangani surat setuju terima , Anak guam kami tidak pernah terlibat dalam proses awal rundingan dan penilaian mana-mana kontraktor/perunding bagi tujuan kelulusan dan penganugerahan sebarang tender dan projek KASA termasuklah projek kerja-kerja menaiktaraf kolam tebatan banjir Krubong – Durian Tunggal;

    10.7 Sebaliknya, segala proses perolehan termasuk projek di atas telah dijalankan dan telah melalui proses perolehan yang sebetulnya seperti yang ditetapkan dan digariskan oleh undang-undang;

    10.8 Perolehan projek secara rundingan terus juga adalah dibenarkan dan merupakan sebahagian daripada proses yang ditetapkan oleh undang-undang dan tidak terjumlah kepada apa-apa bentuk kerahsiaan;

    10.9 Malah, fakta bahawa Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; Perdana Menteri pada ketika ini telah membuat pengumuman berkenaan projek tersebut kepada media juga menunjukkan tidak terdapat sebarang bentuk kerahsiaan sepertimana naratif yang cuba disampaikan dalam Kenyataan Media Pertama tersebut;

    10.10 Ianya juga telah diluluskan sebelum Pembubaran tersebut yang mana tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada terutamanya Peraturan-Peraturan tersebut;

    10.11 Oleh yang demikian, adalah tidak benar bahawa kononnya tender di bawah Projek Jana Wibawa telah dianugerahkan secara rahsia oleh Anak guam kami.

    Berkenaan dakwaan fitnah Anak guam kami telah meluluskan lain-lain projek kepada syarikat Mangkubumi (Rujuk Perenggan 7.2 di atas)

    10.12 Anak guam kami hanya mula memegang portfolio Menteri KASA pada 10.03.2020 di bawah pimpinan Tan Sri Dato’ (Dr.) Haji Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri pada ketika itu;

    10.13 Manakala kesemua ketiga-tiga projek yang disebutkan dalam Kenyataan Media Kedua tersebut telah diawardkan kepada syarikat Mangkubumi pada sekitar tahun 2013 hingga tahun 2017 iaitu sebelum Anak guam kami bertindak selaku Menteri KASA;

    10.14 Oleh yang demikian, adalah tidak benar bahawa kononnya Anak guam kami telah meluluskan projek-projek bernilai lebih RM2.3 billion kepada syarikat Mangkubumi semasa mengetuai KASA selaku Menteri.

    1. Firma kami juga telah diarahkan oleh Anak guam kami untuk menegaskan bahawa berdasarkan kepada Penyataan-Penyataan Fitnah tersebut, melalui makna lazim dan/atau kebiasaan dan/atau tersirat dan/atau secara innuendo, Pernyataan-Pernyataan Fitnah tersebut telah memberikan maksud tersurat dan/atau tersurat dan/atau secara implikasinya dan/atau dalam bentuk dakwaan sepertimana berikut:

    11.1 Bahawa Anak guam kami telah menyalahgunakan jawatannya selaku Menteri KASA;

    11.2 Bahawa Anak guam kami tidak mengetahui fungsi dan peranannya selaku Menteri KASA dalam tempoh pelaksanaan Kerajaan Caretaker dan tidak mempunyai kelayakan untuk memegang jawatan tersebut;

    11.3 Bahawa Anak guam kami tidak ambil peduli tentang peraturan dan undang-undang sedia ada;

    11.4 Bahawa Anak guam kami adalah seorang yang tidak amanah, korup, tidak menghormati undang-undang dan tidak bermoral;

    11.5 Bahawa Anak guam kami terlibat dalam rasuah dan/atau apa-apa aktiviti yang tidak amanah;

    11.6 Bahawa Anak guam kami telah memperguna dan memperalat KASA bagi menguntungkan sesuatu syarikat dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan peribadi dan untuk memenuhi agenda politik Anak guam kami;

    11.7 Bahawa Anak guam kami adalah seorang yang tidak islamik dan tidak mengamalkan nilai Islam seperti yang diperjuangkan; dan

    11.8 Bahawa Anak guam kami tidak ambil peduli dan/atau ambil berat dan/atau endah dan/atau sensitif tentang tuntutan dan tanggungjawab tugasnya sebagai penjawat awam dan/atau kepada masyarakat awam di dalam negara.

    1. Berdasarkan kepada alasan-alasan di atas, kamu telah secara jelas memfitnah Anak guam kami dan telah merendah-rendahkan maruah Anak guam kami di mata masyarakat yang mana telah menjejasan reputasi Anak guam kami samada dalam kapasiti peribadi ataupun kapisiti profesional.

    E. BUTIRAN NIAT JAHAT

    1. Firma kami juga diarahkan oleh Anak guam kami untuk menyatakan bahawa tindakan kamu mengeluarkan Penyataan-Penyataan Fitnah tersebut telah dibuat dengan niat jahat dan didorong oleh dendam, permusuhan peribadi dan/atau motif yang tidak wajar dan/atau tidak lebih dari sekadar satu tindakan sensasi bagi menjatuhkan reputasi Anak guam kami di mata masyarakat demi kepentingan peribadi dan politik. Niat jahat kamu dapat dilihat berdasarkan kepada perkara- perkara berikut:-

    Menjatuhkan calon parti lain di Parlimen Pandan

    13.1 Kamu merupakan salah seorang calon pilihanraya bagi Parlimen Pandan yang bertanding di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat. Antara pencabar bagi kerusi Parlimen Pandan adalah calon dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS); Muhammad Farique bin Zubir Albakri. Tindakan kamu yang membuat kenyataan fitnah terhadap Anak guam kami dan dengan secara khusus menyebut jawatan Anak guam kami selaku Timbalan Presiden PAS

    merupakan satu bahan kempen dan serangan politik bagi tujuan memburuk-burukkan parti PAS yang meletakkan calon di kerusi parlimen yang sama supaya ianya dapat memberi kelebihan kepada kempen kamu di Parlimen Pandan;

    Bahan kempen bagi tujuan pilihan raya

    13.2 Penyataan-Penyataan Fitnah tersebut juga dibangkitkan dalam tempoh Pilihanraya Umum Ke-15 yang jelas merupakan sebahagian daripada bahan kempen. Untuk rekod, Penyataan-Penyataan Fitnah tersebut adalah jelas melanggar larangan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4A dan Seksyen 11(1)(d) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5). Oleh yang demikian, kamu telah secara jelas melakukan kesalahan di bawah Akta 5 terbabit; dan

    Gagal memohon penjelasan daripada Anak guam kami dan/atau melaporkan kepada pihak berkuasa

    13.3 Kamu juga mempunyai peluang dan medium untuk berhubung secara terus dengan Anak guam bagi mendapatkan apa-apa penjelasan dan/atau melaporkan apa-apa salah laku kepada pihak berkuasa untuk siasatan. Sebaliknya, kamu memilih untuk mensensasikan perkara ini dengan membuat dakwaan kepada masyarakat awam tanpa sebarang usul periksa dan tanpa apa-apa bukti dokumen bertulis daripada mana-mana sumber. Adalah jelas bahawa perbuatan kamu adalah semata-mata untuk tujuan kempen pilihanraya tanpa sebarang niat untuk mendapatkan kebenaran dan penjelasan daripada Anak guam kami dan/atau daripada siasatan pihak berkuasa.

    Berdasarkan kepada perkara-perkara di atas, kami telah diarahkan oleh Anak guam kami, yang mana kami lakukan sekarang ini, menuntut seperti berikut:

    (a) Bahawa kamu, dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh penerimaan surat ini, mengeluarkan satu akujanji bertulis kepada firma kami bahawa kamu akan berhenti dari menerbitkan dan/atau menulis dan/atau mengeluarkan dalam apa cara sekali pun kenyataan yang serupa dan/atau penyataan dan/atau komen dan/atau artikel dan/atau posting di mana-mana laman sosial/sesawang dan/atau video dan/atau apa-apa kaedah lain yang serupa dan membawa maksud yang sama dengan Penyataan-Penyataan Fitnah tersebut dalam apa bentuk dan cara sekalipun;

    (b) Bahawa kamu, dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh penerimaan surat ini, mengeluarkan satu deraf permohonan maaf berkaitan dengan Penyataan-Penyataan Fitnah yang terkandung dalam Kenyataan Media tersebut kepada firma kami untuk tujuan penerbitan segera di lokasi yang mudah dilihat dan dengan cara yang ketara melalui akhbar, secara berkala atau tidak berkala, laman sesawang dan dalam mana-mana platform internet atau media sosial pilihan Anak guam kami yang mana kesemuanya adalah dibawah perbelanjaan kamu setelah Anak guam kami bersetuju dengan kandungan deraf permohonan maaf tersebut dan tertakluk kepada pindaan yang perlu dilakukan oleh Anak guam kami selepas daripada itu; dan

    (c) Bahawa kamu, dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh penerimaan surat ini, mencadangkan satu jumlah gantirugi yang munasabah kepada Anak guam kami yang mana jumlah yang dipersetujui tersebut perlu dibayar serta-merta setelah pihak-pihak mencapai persetujuam berkenaan dengan jumlah kuantum gantirugi.

    AMBIL MAKLUM bahawa sekiranya kamu gagal untuk mematuhi tuntutan-tuntutan di atas, firma kami mempunyai arahan tegas Anak guam kami untuk mengambil langkah-langkah selanjutnya yang dianggap perlu tanpa membuat apa-apa rujukan kepada kamu termasuklah untuk memulakan tindakan undang- undang dan/atau mendapatkan perintah injunksi yang diperlukan terhadap kamu yang mana kamu akan bertanggungjawab terhadap apa-apa kos dan perbelanjaaan bagi tujuan tersebut.

    AMBIM MAKLUM bahawa sekiranya Anak guam kami terpaksa memulakan prosiding undang-undang terhadap kamu, tuntutan-tuntutan di atas tidak boleh dianggap dan/atau diambil kira untuk menghadkan tuntutan Anak guam kami terhadap kamu.

    Yang benar,
    YUSFARIZAL AZIZ & ZAID

    S/k: YB Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

  • ‘Kamu ingat aku tak reti peraturanke’ – Tuan Ibrahim bidas Rafizi

    ‘Kamu ingat aku tak reti peraturanke’ – Tuan Ibrahim bidas Rafizi

    MENTERI Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membidas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli apabila membuat dakwaan terdapat pihak tertentu cuba meminta beliau meluluskan projek tebatan banjir berjumlah RM2 bilion semasa tempoh pentadbiran kerajaan sementara.

    Timbalan Presiden Pas itu yang menyifatkan dakwaan Rafizi sebagai fitnah berkata, tidak ada mana-mana pihak berjumpa beliau memintanya meluluskan projek berjumlah RM2 bilion yang bukan sedikit jumlahnya.

    Beliau berkata, jika Timbalan Presiden PKR itu mempunyai bukti, beliau boleh membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya membuat fitnah khasnya pada musim Pilihan Raya Umum (PRU).

    “Dia (Rafizi) kata ada pihak-pihak tertentu minta menteri KASA lulus RM2 bilion dalam tempoh kerajaan peralihan.

    “Eh kamu ingat aku tak reti peraturan ke? Mana boleh lulus mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara, tak boleh dan saya nak tegaskan saya tak pernah meluluskan sebarang peruntukan mana-mana projek setelah Parlimen dibubarkan,” katanya malam tadi.

    Beliau berkata demikian dalam ceramah Perikatan Nasional (PN) Parlimen Lipis di Bilik Operasi PN DUN Cheka Taman Cahaya, Cheka.

    Media melaporkan, Rafizi mendakwa KASA dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

    Rafizi berkata, beliau dimaklumkan sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara adalah sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Sehubungan itu, beliau menggesa Tuan Ibrahim menjawab dakwaan berkenaan dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara, kerana ia bertentangan dengan pekeliling Perbendaharaan.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga calon PN bagi DUN Cheka menegaskan, beliau juga tidak pernah campur tangan dalam sebarang tender di bawah KASA.

    “Bukan macam masa zaman Pakatan Harapan (PH), bagi saya urusan jawatankuasa tender urus, saya tidak mahu terlibat.

    “Ikut prosedur ikut peraturan siapa yang layak siapa yang dapat teruskan,” katanya.

    Jelas Tuan Ibrahim, apabila Parlimen dibubarkan, pekeliling dikeluarkan oleh ketua setiausaha negara yang akan mengingatkan semua pihak bahawa tidak boleh bagi apa-apa komitmen kewangan, tidak boleh janji projek melibatkan kewangan bagi tanggungan kerajaan akan datang dan tidak boleh membuat mana-mana dasar semasa proses kerajaan sementara.

    Katanya, semasa Parlimen dibubarkan, beliau menghadiri tiga program KASA iaitu sambutan Hari Alam Sekitar Negara di Kuantan; Hadir dan rasmikan Karnival KASA di Kubang Kerian dan meraikan kakitangan KASA berpencen dan tukar kementerian.

    “Ini tiga program saya hadir dan tidak ada tandatangan mana-mana surat mana-mana projek sebagaimana didakwa,” tambahnya.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, beliau sedang melihat aspek-aspek lain yang bersesuaian jika boleh tindakan undang-undang diambil ke atas Rafizi.

    Katanya, penggunaan ayat-ayat seperti, ‘saya difahamkan’, ‘saya dimaklumkan’ dan ‘ada pihak yang beritahu’ oleh Rafizi menyukarkan usaha tindakan perundangan diambil ke atas Rafizi.

  • RM1.43 bilion atasi banjir, pulihara sungai

    RM1.43 bilion atasi banjir, pulihara sungai

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM1.43 bilion menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai serta hakisan pantai di Johor.

    Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, 15 projek akan dilukukan melibatkan 13 projek sambungan dan dua projek baharu.

    Jelasnya, projek sambungan berkenaan diteruskan daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

    Menurut beliau, daripada jumlah berkenaan, RM81.3 juta diperuntukkan untuk projek di daerah ini bertujuan mengurangkan risiko banjir termenung yang melanda sejak Ogos lalu.

    “Bagi mengurangkan risiko banjir termenung, KASA melalui JPS sedang melaksanakan dua projek pembangunan iaitu menaik taraf Sistem Saliran Mesra (SMA) dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batu Pahat.

    “Projek SMA yang telah mula dilaksanakan di dua lokasi iaitu Sungai Suloh dan Peserai ini dijangka siap mulai tahun depan.

    “Ini melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM32.8juta bertujuan mengatasi banjir berpunca daripada masalah sistem saliran tidak sempurna, kejadian hujan lebat dan fenomena air pasang besar,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek RTB di Kampung Parit Basri, Sri Medan, Batu Pahat, hari ini.

    Tuan Ibrahim berkata, projek RTB Sungai Batu Pahat pula bakal menelan belanja sehingga RM48.5 juta yang berperanan mengurangkan risiko banjir termenung akibat kejadian hujan lebat.

    “Projek ini masih dalam tempoh pra-pelaksana bagi perkhidmatan perunding dan ia dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk siap sepenuhnya,” katanya.

    Fenomena banjir termenung itu katanya, berlaku ekoran hujan lebat di kawasan Sri Medan dan di bahagian hulu iaitu diChaah dan Segamat serta kejadian air pasang besar.

    “Kedua-dua projek mega ini akan memberikan manfaat buat lebih 10,120 penduduk yang sering mengalami masalah banjir termenung selain mengelakkan kerugian kepada peladang kelapa sawit di kawasan berisiko,” katanya.