Tag: produk

  • Produk kosmetik diarah henti jualan ada racun berjadual

    Produk kosmetik diarah henti jualan ada racun berjadual

    NOTIFIKASI produk kosmetik Night Cream ForU By D Ains Beauty Empire telah dibatalkan kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Beliau berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesan produk kosmetik tersebut mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate, dan penggunaan produk yang mengandungi bahan berkenaan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

    “Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

    Menurutnya, hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultra violet (UV) berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

    Beliau berkata penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

    Betamethasone 17-valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

    “Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

    Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA di www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.- BERNAMA

  • Tipu pembelian produk kecantikan, tiga wanita dicekup

    Tipu pembelian produk kecantikan, tiga wanita dicekup

    RIZQI ZABIDI

    Kelicikan tiga wanita melakukan penipuan berhubung pembelian produk kecantikan, pelawaan menjadi rakan kongsi perniagaan dan bilik pameran produk kecantikan sejak tiga tahun lalu, berakhir apabila kesemua mereka diberkas polis baru-baru ini.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Supritendan Elias Omar, ketiga-tiga individu berkenaan yang berumur 51, 31 dan 28 tahun diberkas di Alor Setar serta Pendang pada 17, 18 dan 22 Ogos lalu.

    “Dengan penahanan mereka, kita percaya telah berjaya menyelesaikan sebanyak 14 kes menggunakan modus operandi sama.

    “Nilai kerugian bagi kes di Kedah saja dianggarkan berjumlah RM25,000. Kes-kes itu dipercayai berlaku antara 2018 hingga tahun ini,” katanya.

    Difahamkan ketiga-tiga wanita itu mempunyai hubungan persaudaraan dan aktif menggunakan media sosial instagram sebagai medium menjalankan kegiatan haram tersebut.

    Elias berkata, mangsa yang pernah ditipu oleh ketiga-tiga suspek itu diminta tampil membuat laporan polis dengan kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “Masyarakat diingatkan agar tidak terperdaya dengan tawaran jualan barangan secara dalam talian terutamanya yang menawarkan harga rendah.

    “Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar membuat semakan sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

  • Pantau harga, ketulenan produk ‘pulse oximeter’ di pasaran

    Pantau harga, ketulenan produk ‘pulse oximeter’ di pasaran

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menyelesaikan keraguan dalam kalangan pengguna mengenai harga dan kualiti produk ‘pulse oximeter’ yang ketika ini semakin popular di pasaran.

    Pegawai Pendidikannya N. V. Subbarow berkata, pihaknya mendapati produk itu dijual secara dalam talian dan di banyak tempat tanpa sekatan termasuk oleh mereka yang tidak mengetahui apa-apa mengenai perubatan.

    Jelasnya, perkara itu meletakkan pengguna dalam risiko kesihatan yang besar apabila mereka membeli instrumen perubatan tersebut di kedai yang tidak diketahui yang mungkin palsu dan cenderung dijual pada harga lebih tinggi.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna membeli alat pemeriksaan diri tersebut atas cadangan doktor yang menjualnya dengan betul di farmasi.

    “Instrumen itu adalah alat elektronik yang mengukur oksigen dan nadi pengguna. Jika jika jumlah yang ditunjukkan salah disebabkan produk dibeli adalah palsu, maka ia boleh membahayakan nyawa.

    “Sekiranya pengguna mahu mendapatkan alat tersebut adalah lebih baik membelinya di farmasi atau di kedai ubat terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut beliau, dengan membelinya di farmasi, pengguna boleh mendapatkan penerangan tentang cara mengendalikannya dan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenainya daripada ejen jualan.

    Selain itu tambah beliau, CAP turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal harga alat ujian kendiri itu memandangkan setiap kedai menjualnya pada harga yang berbeza.

    Jelasnya, peranti ini sepatutnya hanya boleh dijual di farmasi atau kedai ubat sekali gus dapat memastikan keaslian produk selain harga berpatutan dapat dijamin kepada para pengguna.