Tag: prn

  • PRN: Tak tahu macam mana orang UMNO nak pangkah DAP

    PRN: Tak tahu macam mana orang UMNO nak pangkah DAP

    PENYOKONG kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan campuran itu diharap memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mereka perlu memberi peluang kepada PN untuk membuktikan apa yang mampu dilakukan oleh Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti lain dalam gabungan itu untuk enam negeri terbabit.

    “Dari segi prestasi termasuk kajian yang dibuat oleh (termasuk) Sinar Harian, prestasi kerajaan hari ini kurang memberangsangkan.

    “Rakyat kurang percaya dengan kebolehan kerajaan ini untuk menguruskan negara kita terutama dalam kita nak mengharungi cabaran ekonomi yang makin meruncing.

    “Jadi ini akan memberi kesan kepada persembahan PH dan BN dalam PRN,” katanya pada program Sinar Live bertajuk Wan Saiful, Apa Cerita? yang dikendalikan hos, Hazwan Mokhtar hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful yang baharu meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu tidak dapat membayangkan situasi penyokong UMNO yang perlu mengundi calon DAP kerana kedua-dua parti itu bakal bekerjasama.

    Selain itu katanya, penyokong Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga akan berkempen untuk calon UMNO, MCA serta MIC.

    “Ini juga kali pertama saya tidak tahu macam mana penyokong DAP nak memangkah UMNO dan orang UMNO nak pangkah DAP.

    “Orang Amanah dan PKR nak berkempen untuk UMNO, MCA dan MIC. Ini memang satu sejarah sungguh kali ini. Jadi kita sama-sama tengok.

    “Saya mengharapkan mereka yang menyokong PH dan BN yang kurang berpuas hati dengan apa yang berlaku sekarang, bagi peluang kepada PN menunjukkan apa yang kami boleh buat untuk membantu negeri-negeri yang akan mengadakan PRN nanti,” katanya.

  • PRN: Pas yakin PN sapu bersih kesemua 32 kerusi DUN Terengganu

    PRN: Pas yakin PN sapu bersih kesemua 32 kerusi DUN Terengganu

    WALAUPUN terdapat pihak-pihak tertentu cuba ‘memalitkan’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan pelbagai isu negatif termasuk rasuah dan kluster baharu mahkamah, namun ia dijangka tidak akan melunturkan sokongan rakyat terhadap parti tersebut.

    Malah, banyak pihak percaya, isu-isu yang ditimbulkan itu tidak lebih hanya bersifat ‘dendam’ di mana ia tidak akan menjejaskan persiapan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka pada pertengahan Jun depan.

    Apa yang menarik, disebalik ‘terjahan’, dan tohmahan dilemparkan itu, kepimpinan Pas tetap yakin bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

    Sasaran itu dibuat kerana rakyat dikatakan semakin muak dengan isu politik dimainkan oleh pemimpin kerajaan Perpaduan gandingan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sejak kebelakangan ini.

    Ada pihak menyifatkan kebanyakan isu berkenaan hanya bersifat dakwaan bagi mengalihkan perhatian rakyat susulan PN kini semakin mendapat perhatian ramai.

    Maka itu, kepimpinan kerajaan perpaduan yang dikatakan terlalu bimbang dengan kebangkitan PN terpaksa melakukan sesuatu dengan ‘menyerang’ parti-parti gabungan PN.

    Tidak cukup dengan itu, Pas turut ‘digegarkan’ dengan isu acara perarakan pakaian, replika senjata dan warisan Islam sempena Program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 yang diadakan di Setiu Jumaat lalu.

    Program yang sepatutnya menjadi kebanggaan dan kemegahan umat Islam, cuba dipolemikkan menjadi satu ketakutan dan kegusaran awam.

    Isu itu mula tercetus apabila ada pihak cuba tular di media sosial gambar sekumpulan lelaki membawa replika berbentuk senjata sambil berarak sehingga mencetuskan pelbagai polemik.

    Apa pun yang berlaku, namun Pas menyatakan pihaknya tidak bimbang kerana sudah bersedia seratus peratus untuk menghadapi PRN nanti.

    Ariffin Deraman

    Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, semua jentera parti kini berada pada tahap terbaik dan akan terus bekerja sebaik sahaja DUN dibubarkan.

    Sehubungan itu, beliau menyasarkan PN akan memenangi kesemua 32 kerusi yang dipertandingkan di Terengganu.

    Sasaran itu bukan suatu omongan kosong, sebaliknya ia tidak mustahil bakal menjadi realiti

    Berdasarkan pengalaman ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, sasaran menang 8-0 kerusi Parlimen di Terengganu telah menjadi kenyataan.

    Difahamkan, soal agihan kerusi antara Pas dan Bersatu juga tidak pernah berbangkit dan berjalan secara harmoni sejak PRU15 lagi.

    Dalam PRU14, Pas berjaya memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu manakala UMNO pula sebanyak 10 kerusi.

    Justeru, dalam beberapa siri perbincangan diadakan sebelum ini, Bersatu Terengganu mengharapkan 10 kerusi milik UMNO itu diserahkan kepada calon parti tersebut.

    Ia melibatkan DUN Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Kijal, Seberang Takir, Batu Rakit, Bukit Besi, Permaisuri, Langkap dan Telemong.

  • PRN: Mukhriz didakwa cuba main dua ‘kolam’, minta kerusi daripada PN, PH

    PRN: Mukhriz didakwa cuba main dua ‘kolam’, minta kerusi daripada PN, PH

    PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dikatakan meminta Perikatan Nasional (PN) memperuntukkan sejumlah kerusi kepada parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Berita Harian dalam laporannya memetik sumber PN Kedah yang rapat dengan Mukhriz menyatakan, ia antara intipati pertemuan antara bekas Menteri Kedah itu dengan lima kepimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

    Kata sumber itu, Mukhriz menyatakan hasrat untuk Pejuang menjalin kerjasama dengan PN dalam PRN Kedah, dengan harapan kerjasama itu menjadi talian hayat untuk Mukhriz mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra.

    Difahamkan, Mukhriz memohon sekurang-kurangnya dua kerusi diperuntukkan kepada Pejuang sekiranya kerjasama itu menjadi kenyataan, iaitu kerusi DUN Jitra yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dan DUN Anak Bukit yang disandang wakil Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.

    “Ketika bertemu lima pemimpin tertinggi Pas baru-baru ini, Mukhriz menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PN dan mahu diperuntukkan beberapa kerusi kepada Pejuang.

    “Dalam pertemuan itu, pimpinan Pas tidak memberi sebarang kata putus kerana perbincangan masih di peringkat permulaan.

    “Namun, tindakan Mukhriz yang turut mengadakan pertemuan dan menyatakan minat bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), memperlihatkan beliau cuba bermain dua kolam untuk pertahankan kerusinya,” kata sumber yang juga EXCO kerajaan negeri Kedah kepada BH, hari ini.

    Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan berlaku pertemuan antara Mukhriz bersama kepemimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

    Menteri Besar Kedah itu dilaporkan berkata, intipati perbincangan antara dua pihak bagaimanapun belum didedahkan setakat ini memandangkan perbincangan itu hanya membabitkan lima kepemimpinan tertinggi parti bersama Mukhriz.

    BH hari ini melaporkan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar turut mengesahkan Mukhriz ada bertemunya di ibu negara kira-kira dua bulan lalu bagi membincangkan mengenai ruang kerjasama antara Pejuang dan PH bagi menghadapi PRN Kedah.

    Namun, Mahfuz menyarankan Mukhriz bertemu secara terus dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana isu mengenai kerjasama dalam PRN hanya boleh diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

  • Pertuduhan rasuah tidak ganggu tumpuan PN pada PRN, kata Azmin

    Pertuduhan rasuah tidak ganggu tumpuan PN pada PRN, kata Azmin

    KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pertuduhan rasuah terhadap anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melibatkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) tidak akan mengganggu tumpuan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Dakwa beliau, tindakan mahkamah itu sebaliknya menunjukkan ada perancangan untuk melumpuhkan parti itu.

    “Tidak (mengganggu) kerana kita yakin ini merupakan satu pertuduhan yang terpilih, Presiden parti dengan jelas menyatakan bahawa kenyataan Presiden UMNO yang dibuat sebelum ini, membuktikan sudah ada perancangan untuk melumpuhkan Bersatu dan PN.

    “Ini membuktikan satu ketakutan PH dengan rakan baharu mereka, UMNO, yang dilihat terhadap dukungan begitu kuat rakyat terhadap PN,” katanya kepada media di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengulas lanjut Azmin menegaskan, PN yakin rakyat akan memberi satu lagi isyarat kepada PH dan UMNO kerana tidak menunaikan janji dalam pilihan raya yang lalu.

    “Sudah hampir tiga bulan, tetapi tidak ada satu langkah dan tindakan Kerajaan untuk membantu rakyat.

    “Hari ini, yang kita lihat dilakukan musuh kita ialah untuk menutup kelemahan mereka. Untuk menutup kelemahan ini, maka mereka menyerang PN. Saya yakin rakyat hari ini cukup matang melihat gelagat PH dan UMNO untuk mentadbir Kerajaan,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Sementara itu, Azmin meminta semua pihak tidak menyalahtafsir pendiriannya yang mahu berehat ‘seketika’ daripada arena politik.

    “Jangan andaikan (rehat) seketika itu sehari ke, seminggu ke, sebulan ke,” jelasnya.

    Bagaimanapun apabila ditanya sama ada beliau akan turut bertanding pada PRN nanti, jelasnya, soal calon pilihan raya hanya akan dibincangkan bersama parti-parti di bawah naungan PN.

    “Apabila DUN dibubarkan, parti-parti akan meneliti calon-calon yang akan dikemukakan. Belum bubar, jadi belum (ada apa-apa) lagi,” tambahnya.

  • Tuntutan bertindih punca lewat agih bantuan banjir – Ahmad Samsuri

    Tuntutan bertindih punca lewat agih bantuan banjir – Ahmad Samsuri

    TUNTUTAN bertindih menjadi punca kelewatan agihan bantuan tunai kepada mangsa banjir di Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Menurut Ahmad Samsuri terdapat pasangan suami isteri yang mengemukakan tuntutan sama di kawasan berlainan demi kepentingan sendiri.

    Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terpaksa melakukan semakan dan penyelarasan semula bagi memastikan agihan dilakukan dengan adil dan saksama.

    “Ada dua daerah yang belum mengemukakan senarai kerana masalah ini (tuntutan bertindih). Ini menyebabkan JPKK terpaksa semak semula.

    “Malah ada juga kes yang tak layak terima pun menuntut. Keadaan inilah yang melambatkan proses agihan kepada mangsa yang benar-benar layak,” katanya selepas merasmikan Karnival Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu 2023 di Dataran Batu Buruk di sini, hari ini.

    Bagaimanapun Ahmad Samsuri berkata beliau telah mengarahkan supaya masalah tersebut diselesaikan segera.

    Beliau berkata dianggarkan 26,000 ketua isi rumah (KIR) di Terengganu akan menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000 pada awal Mac ini.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata beliau akan mengadakan pertemuan rasmi buat pertama kali dengan pemimpin utama negeri Khamis ini, bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Pertemuan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur itu akan melibatkan Menteri Besar Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang. – BERNAMA

  • Kelantan bersedia adakan PRN bila-bila masa – MB

    Kelantan bersedia adakan PRN bila-bila masa – MB

    KERAJAAN Kelantan bersedia mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

    Beliau menjangkakan perkara itu akan dibincang dalam pertemuan tidak langsung menteri-menteri besar yang hadir sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu depan, bagi mencari kata sepakat tentang tarikh sesuai diadakan PRN.

    “Pertemuan adalah sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja, itu merupakan perkara biasa dengan menteri besar akan berperanan mengiringi serta menjadi penasihat kepada Raja-Raja Melayu negeri masing-masing.

    “Jadi, pada masa sama kita juga mungkin akan adakan perbincangan secara tidak langsung mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tarikh PRN.

    “Tempoh akhir bagi DUN Kelantan adalah pada 26 Jun, (namun) saya rasa PRN boleh dilaksanakan pada bila-bila masa kerana kita telah bersedia untuk menghadapinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Bulan Solat Peringkat Negeri Kelantan, di sini hari ini.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain Ahmad berkata kerajaan Kelantan bersetuju menyalurkan sumbangan RM100,000 sebagai soladiriti kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

    “Kita (kerajaan negeri) sangat bersimpati dengan bencana gempa bumi yang melanda kedua-dua negara berkenaan dengan jumlah mangsa korban mencecah lebih 40,000 orang.

    “Kita menyumbang walaupun jumlahnya tidak seberapa bagi membantu rakyat kedua-dua negara yang terlibat,” katanya. – BERNAMA

  • Enam pemimpin negeri bincang tarikh PRN minggu depan

    Enam pemimpin negeri bincang tarikh PRN minggu depan

    PEMIMPIN kerajaan negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu dijangka mengadakan pertemuan minggu depan untuk berbincang mengenai tarikh sesuai bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing, untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata mesyuarat bersama itu digerakkan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

    “Perbincangan mungkin berkisar kepada kata sepakat mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurutnya tempoh untuk mengadakan PRN kini semakin hampir.

    “Waktunya (pembubaran) semakin hampir, walaupun tanpa perjumpaan itu, PRN negeri berkenaan akan tetap diadakan pada bulan Jun atau Julai nanti,” tambahnya. – BERNAMA

  • Akaun dibeku, Bersatu optimis menang banyak kerusi PRN

    Akaun dibeku, Bersatu optimis menang banyak kerusi PRN

    TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin parti itu mampu memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya di enam buah negeri walaupun akaun parti itu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Katanya yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), beliau mengakui langkah pembekuan itu membataskan pihaknya untuk bergerak dan berkempen dalam pilihan raya yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya Mei ini.

    Bagaimanapun beliau menegaskan, pengalaman kekurangan dana ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah memberi banyak pengajaran kepada Bersatu untuk bergerak dengan kekuatan sedia ada dan akhirnya berupaya merampas kerajaan negeri dan kerajaan Pusat daripada penguasaan Barisan Nasional (BN).

    “Akaun Bersatu telah lebih sebulan dibeku, kita akui ia memberikan kesan kepada parti terutamanya untuk membayar gaji kakitangan, sekarang kita tidak boleh buat apa-apa. Malah menyukarkan kami bergerak dengan lebih efektif dalam PRN akan datang.

    “Namun pengajaran PRU14 telah memberi banyak pengalaman kepada kita untuk menggunakan kekuatan sedia ada. Bayangkan pada itu, kita cat sendiri bendera Bersatu, tetapi kita mampu menang dan bentuk kerajaan. Tidak mustahil dengan momentum sokongan rakyat berterusan dalam PRU15, insya-Allah kita boleh menguasai banyak kerusi khususnya di Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia.

    Dalam pada itu Ahmad Faizal berkata, penjelasan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen semalam yang menegaskan beliau tidak terbabit rasuah merupakan suatu mesej kepada umum bahawa segala tuduhan adalah satu fitnah dan pembohongan.

    Jelasnya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga menggunakan lafaz ‘Wallahi’ bahawa beliau tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk kepentingan keluarganya.

    “Ini satu mesej yang rakyat perlu lihat, bahawa penafian Presiden BERSATU ini merupakan satu tuduhan bukan-bukan. Sekejap tuduh seleweng RM600 bilion. Lepas itu tukar RM530 bilion, RM90 bilion, RM45 bilion dan selepas itu, RM300 juta pula,” katanya.

  • DUN Terengganu dijangka bubar sebelum 1 Julai

    DUN Terengganu dijangka bubar sebelum 1 Julai

    PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) dijangka dilakukan sebelum 1 Julai nanti.

    Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana pihaknya berpendapat pentadbiran DUN Terengganu perlu dikekalkan sehingga tempoh penggal berakhir pada 30 Jun.

    “Setakat ini tiada keperluan untuk kita adakan PRN dalam tempoh terdekat, jadi kita tunggu dululah, kalau perlu sehingga habis penggal,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Tahun 2022 & Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) & Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 dan Anugerah Sarjana Terengganu 2020 & 2021 di Taman Tamadun Islam (TTI) pada Ahad.

    Mengulas mengenai keputusan mengadakan PRN serentak melibatkan enam negeri yang belum membubarkan DUN, beliau berkata, perbincangan sedang dilakukan bagi memudahkan semua pihak termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menurut Ahmad Samsuri, beliau sudah bertemu dengan salah seorang menteri besar di Kuala Lumpur pada Sabtu dan bersetuju supaya pemimpin enam negeri iaitu Terengganu, Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mengadakan pertemuan bagi membincangkan soal itu.

    “Kebetulan kami semua ada di Kuala Lumpur sempena Majlis Mesyuarat Raja-Raja yang akan bermula Isnin hingga Khamis, jadi kami akan cuba celah mana-mana waktu sesuai.

    “Pembubaran daripada negeri-negeri boleh jadi berbagai tarikh tapi yang penting ialah mesyuarat SPR untuk menentukan tarikh yang paling sesuai PRN,” katanya.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas memaklumkan perbincangan mengenai agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN yang dijadualkan berlangsung pada 7 Februari lalu terpaksa ditangguhkan.

    Bagaimanapun katanya, beliau telah bertemu dengan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berbincang tentang prinsip dan dasar rundingan agihan kerusi.

    “Team Perikatan Nasional akan berjumpa dalam tempoh terdekat, kita jangka kira-kira dua minggu akan datang,” tambahnya, , lapor BeritaBersatu.

  • Segera tamatkan siasatan akaun Bersatu, kata Wan Saiful

    Segera tamatkan siasatan akaun Bersatu, kata Wan Saiful

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyegerakan siasatan akaun Bersatu supaya gerak kerja dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak terganggu.

    Wan Saiful berkata, permohonan sudah dibuat melalui satu surat yang dihantar kepada SPRM melalui peguam yang dilantik Bersatu.

    “Kita (Bersatu) yakin kita tidak bersalah dan walaupun siasatan selesai, tiada apa yang akan berlaku kerana akaun kita bersih.

    “Masalah utama sekarang adalah pembekuan akaun. Kita sudah tulis kepada SPRM dan memohon siasatan disegerakan serta ditamatkan supaya kita boleh jalankan kerja parti seperti biasa,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan nelayan bersama Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, di Jeti Nelayan Padang Benggali, di Tasek Gelugor, hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, Bersatu memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan badan itu.

    Ujarnya, pegawai parti termasuk dirinya juga sudah dipanggil SPRM bagi memberi keterangan.

    “Kita beri kerjasama sepenuhnya kerana kita yakin, lebih cepat siasatan selesai, lebih cepat kita dibuktikan tidak melakukan apa-apa kesalahan,” katanya.

    Sementara itu, Wan Saiful berkata, tindakan membekukan akaun parti itu turut menampakkan kecacatan demokrasi dan dilihat seolah-olah dibuat ekoran kebimbangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan kemaraan Perikatan Nasional (PN).

    Beliau berkata, PN dijangka menang besar di lima negeri dan menawan banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada PRN akan datang.

    Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan SPRM sudah membekukan akaun Bersatu.

    Azam dilaporkan berkata, akaun milik Bersatu dibekukan untuk membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.