Tag: PRN Melaka

  • Gerakan tolak PRN Melaka, nyawa rakyat lebih penting

    Gerakan tolak PRN Melaka, nyawa rakyat lebih penting

    GERAKAN menolak pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana nyawa dan keselamatan rakyat lebih penting, kata Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

    “Secara dasarnya, Gerakan menolak PRN Melaka kerana apa yang lebih penting ialah nyawa dan keselamatan rakyat. Kita bimbang wabak COVID-19 tidak boleh dikawal sekiranya berlaku jangkitan ekoran pelaksanaan PRN Melaka.

    “Namun pelaksanaan PRN Melaka bukan satu perkara luar biasa kerana semua jentera Gerakan di seluruh negara telah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 sekali gus bersedia mengambil bahagian pada PRN Melaka,” katanya seperti dilaporkan Bernama, hari ini.

    Beliau berkata, Gerakan akan bertanding di bawah bendera Perikatan Nasional (PN) seperti yang diputuskan dalam Majlis Tertinggi PN, jika diberikan peluang.

    Pada 4 Okt lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 daripada Speaker Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri pimpinan UMNO hilang majoriti dalam DUN.

    Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.

    Sementara itu, dalam hantaran Facebook malam ini, Dominic mengecam empat Ahli Dewan Undangan Negero (ADUN) Melaka yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    “Oleh sebab sikap mereka yang mementingkan diri, Melaka terpaksa mengadakan PRN pada masa terdekat.

    “Saya percaya ini bukan semua rakyat Melaka yang ingin lihat, terutamanya wabak COVID-19 menjadi susah kawal selepas pilihan raya di Sabah.

    “Pelaksanaan PRN pada masa ini adalah perkara yang sangat berbahaya bagi Malaysia yang baru pulih,” jelasnya.

    Beliau menambah, sekiranya empat ADUN terbabit ingat bahawa menarik balik sokongan adalah apa yang rakyat ingin lihat, mereka boleh mengadakan referendum dalam kawasan pilihan raya sendiri dan menggunakan hasil referendum itu untuk membuktikan kepada semua orang bahawa itu adalah kehendak rakyat.

    “Walaupun Gerakan saat ini tidak memiliki kerusi, namun sebagai sebuah parti politik, Gerakan mempunyai tanggungjawab untuk mengawasi tindakan semua parti,” ujarnya.

    Dominic berkata, sekiranya PRN Melaka tidak dapat dihindarkan juga, beliau meminta SPR untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan juga merumuskan peraturan khas untuk calon pilihan raya.

    “Sebagai contoh, jika calon melanggar peraturan tersebut, maka deposit dirampas atau kehilangan kelayakan,” jelasnya.

  • PRN Melaka: PAS jadi orang tengah damaikan UMNO, Bersatu

    PRN Melaka: PAS jadi orang tengah damaikan UMNO, Bersatu

    PAS bersedia menjadi orang tengah untuk mendamaikan kemelut antara Bersatu dan UMNO supaya kedua-dua parti tidak bertanding berasingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekiranya diadakan.

    Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, parti itu mahu PRN Melaka menjadi model kepada perpaduan orang Melayu sekali gus menyumbang kepada kestabilan politik yang dapat melonjakkan ekonomi negara selain mengikis sifat kebencian rakyat terhadap ahli politik yang cenderung berpecah belah.

    “Tiada satu ayat pun dalam al-Quran dan hadis membenarkan umat Islam bercakaran sesama sendiri kerana ia boleh melemah serta menghancurkan umat Islam,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke Tapak Asuhan Ikan SB Aqua Marine and Construction Sdn Bhd di Kampung Tok Kederat, Pulau Kambing di Bachok hari ini.

    Nik Muhammad Zawawi, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, berkata langkah diambil PAS itu juga bersesuaian dengan kehendak Islam yang mahukan umatnya bersatu padu. – BERNAMA

  • PRN Melaka: Bersatu sedia berunding dengan parti lain

    PRN Melaka: Bersatu sedia berunding dengan parti lain

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa bersedia mengadakan rundingan dengan mana-mana parti politik dalam merangka kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Memetik laporan BH, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, partinya mengamalkan politik mesra dan kasih sayang.

    Menurut beliau, Bersatu juga tidak bermusuh dengan sesiapa, khususnya rakan parti lain yang memperjuangkan wadah sama.

    “Kita tidak mahu bergaduh dengan orang. Kalau orang bergaduh dengan kita pun, kita maafkan dan nak berbaik dengan sesiapa juga tapi jangan sampai merosakkan agama, bangsa dan tanah air.

    “Saya yakin kalau kita buat sesuatu yang baik (tetapi) orang tidak bersama dengan kita, Allah pasti akan buka hati mereka untuk bersama dengan kami yang benar-benar ikhlas nak bekerja untuk rakyat,” katanya.

    Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Alor Gajah, hari ini.

    Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

    Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka.

    Walau bagaimanapun, difahamkan, pucuk pimpinan UMNO masih belum membincangkan mengenai cadangan kerjasama dengan Bersatu atau mana-mana parti lain.

    Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berpandangan, penolakan kerjasama antara UMNO dan Bersatu itu bukan diputuskan oleh majoriti pemimpin parti itu.

    “Kalau ada yang kata tak nak bersama dengan kita, saya percaya mungkin itu pandangan peribadi, bukannya pandangan majoriti parti yang mereka wakili.

    “Saya percaya masyarakat, terutamanya orang Melayu sangat berharap dan mendoakan orang politik tidak bergaduh dan bercakaran sesama sendiri.

    “Sebaliknya mengerat dan merapatkan saf dan pada masa yang sama mementingkan rakyat lebih daripada kepentingan diri, kumpulan atau parti yang mereka wakili,” jelasnya.

  • PRN Melaka: KKM bentang syor JK Pengurusan Pandemik esok

    PRN Melaka: KKM bentang syor JK Pengurusan Pandemik esok

    SYOR Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata, PRN Melaka bukan sahaja melibatkan faktor kesihatan, malah ia menyentuh isu perundangan dan perlembagaan.

    “Kita (Kementerian Kesihatan) akan bincangkan sekali lagi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok. Ini melibatkan faktor kesihatan, juga perundangan dan perlembangaan, kita akan ambil maklum apa sahaja keputusan daripada Jemaah Menteri nanti.

    KKM akan sediakan apa sahaja prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan sekiranya ia (pilihan raya negeri) diteruskan,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

    Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat ahlinya iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) serta Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) – mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada Isnin lepas daripada Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, setelah kerajaan negeri dipimpin UMNO hilang majoriti dalam DUN.

    Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.

    Sementara itu, Khairy berkata KKM akan memohon kepada Unit Perancang Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan beberapa projek melibatkan HKL dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

    Ini termasuk projek menaik taraf bangunan Hospital Bersalin HKL yang lama kepada pusat obstetrik rawatan ambulatori dan menaik taraf Institut Pediatrik HKL ekoran permintaan yang meningkat untuk perubatan ibu dan kanak-kanak.

    KKM juga akan memohon untuk menaik taraf atau membina bangunan baharu hematologi dan patologi yang juga akan dijadikan bangunan simpanan rekod perkhidmatan sokongan yang baharu menggantikan Wisma Rekod HKL.

    “Ini antara projek-projek yang akan atau telah dicadangkan kepada Unit Perancang Ekonomi dan kita harap dapat diluluskan dalam RMK12 supaya HKL kekal sebagai pusat rujukan nasional bertaraf dunia,” katanya.

    Menurut Khairy projek pembangunan komprehensif tersebut penting untuk memastikan peranan HKL kekal sebagai aset utama dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan di Lembah Klang selain terus menghasilkan penyelidikan klinikal bertaraf dunia.

    Khairy terdahulu diberi taklimat oleh Pengarah HKL Dr Rohana Johan dalam lawatan rasminya ke hospital itu. – BERNAMA

  • PH Melaka tiada rancangan menghadap Agong

    PH Melaka tiada rancangan menghadap Agong

    PAKATAN Harapan (PH) Melaka tidak mempunyai perancangan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

    Perkara itu disahkan oleh Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dalam laman Facebook beliau hari ini.

    “Fokus kini untuk membawa pembubaran DUN ke Mahkamah bagi mempertikaikan proses dan fakta pembubaran termasuk menghormati Perkara 19(2) Perlembagaan negeri,” katanya.

    Semalam, media melaporkan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, 15 bekas ADUN Melaka akan ke Istana Negara hari ini bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka berhubung ketidakpuasan hati mengenai pembubaran DUN itu.

    Sementara itu, Adly dalam kenyataan berasingan berkata, langkah membawa isu pembubaran DUN ke mahkamah bukan bermaksud mempertikaikan kuasa Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

    Sebaliknya, beliau memberitahu, ia diambil untuk memastikan pihak berkaitan dapat membuat semakan mengenai proses dan fakta yang ada termasuk mengambil kira representasi semua ADUN dalam menentukan keputusan pembubaran DUN.

    “Dalam keadaan sekarang keputusan melaksanakan Pilihan Raya Negeri akan memberi risiko terhadap kesihatan rakyat, manakala pengisytiharan darurat akan menyebabkan kuasa terhad kepada negeri, di samping memberi kesan negatif terhadap ekonomi dan pelaburan,” katanya

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada 4 Oktober daripada Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri yang dipimpin UMNO hilang majoriti dalam DUN.

    Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN itu.

    Pada 4 Oktober lalu, empat bekas ADUN yang sebelum itu menyokong kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Selain Norhizam, tiga lagi bekas ADUN ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

    Sebelum ini, kerajaan negeri Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

  • 4 ADUN tarik sokongan pentingkan diri sendiri

    4 ADUN tarik sokongan pentingkan diri sendiri

    WANITA UMNO Melaka menyifatkan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai mementingkan diri dan bukannya untuk kepentingan rakyat.

    Pengerusi Sekretariat Profesional Wanita UMNO Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, pihaknya berasa sedih dan marah dengan tindakan empat ADUN tersebut.

    “Saya sedih dengan nasib rakyat yang baru mula mencari makan seperti pembawa beca, peniaga kecil, peniaga besar. Sedih dengan nasib JPKK yang sedang seronok memberikan khidmat kepada rakyat tiba-tiba kena berhenti.

    “Sedih dengan wanita yang sedang bergelut kesusahan ditinggalkan, diancam jenayah, keretakan rumah tangga yang mencari tempat perlindungan kepada sebuah kerajaan yang kukuh dan mantap,” katanya dalam hantaran Facebook malam ini.

    Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka mendakwa, mereka mengambil kesempatan dan mencari keuntungan diri dengan jawatan yang disandang dalam ketidakstabilan kerajaan.

    Haryaty turut mengesa agar pengundi dan jentera Wanita UMNO Melaka untuk menolak keempat-empat ADUN tersebut sekiranya mereka bertanding dalam pilihan raya negeri yang akan datang.

    Semalam empat ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

    Sebelum ini Kerajaan Melaka pimpinan BN diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung dengan pembubaran DUN Melaka penggal yang ke-14 semalam.

    Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pemakluman itu adalah sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.

    Terdahulu, Ab Rauf berkata, DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

    Beliau berkata, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali semalam.

  • SPR terima pemakluman rasmi bubar DUN Melaka

    SPR terima pemakluman rasmi bubar DUN Melaka

    SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung dengan pembubaran DUN Melaka penggal yang ke-14 semalam.

    Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pemakluman itu adalah sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.

    “Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN itu.

    “Justeru, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut. Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Terdahulu, Ab Rauf berkata, DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

    Beliau berkata, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali semalam.

    Ab Rauf berkata, sepucuk surat telah dikemukakan kepada Mohd Ali yang memaklumkan empat ADUN telah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sulaiman dan pada masa sama meminta perkenan untuk pembubaran DUN.

    “Sehubungan itu, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang Dipertua Negeri Melaka telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas pada 4 Okt 2021 (Isnin),” katanya dalam sidang media khas di Seri Negeri di Melaka, hari ini.

    Ab Rauf berkata Proklamasi Pembubaran DUN Melaka yang ke-14 diwartakan pada hari ini.

  • PN Melaka kesal, percaturan politik punca kemelut

    PN Melaka kesal, percaturan politik punca kemelut

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERIKATAN Nasional (PN) Melaka mengakui kesal dan kecewa dengan krisis politik yang tercetus di negeri itu ekoran kemelut dan percaturan politik pihak tertentu.

    Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, mereka berpendirian segala fokus ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha-usaha memulihkan negeri dan negara daripada pandemik Covid-19.

    Katanya, proses pemulihan itu tidak sepatutnya terganggu hanya disebabkan tindakan sesetengah pemimpin dan parti politik yang meletakkan kepentingan peribadi serta kuasa melebihi nyawa dan kesejahteraan rakyat.

    “Proses pemulihan sedang berjalan setelah usahanya dijalankan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang kini mula menampakkan hasil dan tanda-tanda positif.

    “PN Melaka sependapat dengan majoriti rakyat Melaka bahawa ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Sidang akhbar berkenaan turut disertai Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek dan Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.

    Bagaimanapun, ujar Mohd. Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, PN Melaka perlu menyertai pilihan raya itu bagi menghormati proses demokrasi.

    “Kita menghormati proses demokrasi, perlembagaan negeri dan keputusan dibuat Yang di-Pertua Negeri Melaka dan akan menyertai pilihan raya yang tarikhnya bakal ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ujarnya.

    Justeru, beliau berharap rakyat Melaka dapat memberi peluang dan sokongan kepada parti-parti di bawah PN pada PRN kali ini bagi meneruskan usaha dan langkah pemulihan negeri daripada pandemik Covid-19.

  • PN Melaka sedia runding dengan UMNO elak 3 penjuru

    PN Melaka sedia runding dengan UMNO elak 3 penjuru

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERIKATAN Nasional (PN) Melaka menunjukkan keterbukaan mereka untuk bersedia mengadakan rundingan dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

    Pengerusinya, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, PN yang diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan berpendapat langkah itu mampu mengelak pertembungan tiga penjuru.

    Bagaimanapun, mekanisme rundingan termasuk soal pembahagian kerusi hanya akan dimuktamadkan sekiranya UMNO bersetuju untuk bekerjasama dalam PRN.

    “Kita terbuka sekiranya UMNO mahu berunding dengan PN, saya tidak boleh membuat keputusan mewakili UMNO, namun di peringkat PN negeri kita sedia berunding dan bersetuju.

    “Bagaimanapun perkara itu bergantung kepada pendirian UMNO (kerana) bukan saya yang tentukan,” katanya dalam sidang akhbar di Melaka.

    Perkara itu susulan perkembangan politik Melaka apabila Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran dewan negeri yang mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

    Sementara itu, Mohd. Rafiq yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkata, keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad tergugur secara automatik dalam Bersatu.

    Katanya, ia berikutan tindakannya bersama tiga lagi ADUN secara terbuka bersama pembangkang dalam satu sidang akhbar semalam selepas menarik sokongan kepada Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

    “Keputusan itu sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti yang memutuskan tindakan Noor Effandi itu bertentangan dengan dasar parti.

    “Dalam Perlembagaan parti menetapkan tidak akan menjalin hubungan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan apabila beliau bersama PH, keahlian beliau gugur secara automatik.

    “Bukan parti mengambil tindakan memecat beliau, sebaliknya keputusan itu adalah disebabkan oleh tindakan beliau sendiri,” katanya.

  • Jika gelembung pelancongan pun Melaka tangguh, adakah PRN sesuai?

    Jika gelembung pelancongan pun Melaka tangguh, adakah PRN sesuai?

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KERAJAAN Melaka sudah mengesahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah terbubar, maka proses seterusnya adalah perjalanan menuju ke Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Meskipun pada waktu terdekat mengadakan PRN bukan alternatif yang baik untuk menyelesaikan kemelut politik tetapi UMNO Melaka sudah mengambil risiko itu berbanding melancarkan proses peralihan kuasa kepada pihak yang mungkin memiliki majoriti.

    Namun, mereka mungkin lupa sepatutnya hari ini hari kelima gelembung pelancongan dikuatkuasakan di negeri bandaraya bersejarah itu, namun proses pemulihan ekonomi yang memang bergantung kepada pelancongan domestik itu terpaksa ditangguhkan.

    Meskipun Pulau Langkawi dilihat berjaya dalam projek rintis membuka pintu kepada pelancong luar, namun kerajaan negeri Melaka memutuskan tiada aktiviti rentas negeri bagi sektor pelancongan ke negeri itu dibenarkan sehingga vaksin mencapai tahap 90 peratus.

    Sudah tentu alasan itu berkait dengan risiko penularan wabak Covid-19 yang baru menunjukkan tanda-tanda pemulihan kerana sehingga petang semalam yang bersamaan tarikh ‘terbubarnya’ kerajaan Melaka, kes baharu positif di negeri itu masih mencatat tiga angka.

    Maka timbul persoalan dalam kalangan rakyat, pengayuh beca yang kecewa dengan penangguhan itu dan pemain industri lain yang bertanya adakah PRN sesuai pula diadakan ketika ini.

    Memetik kata-kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, ‘meskipun imunisasi kelompok sudah mencapai 90 peratus kelak, beberapa aspek antaranya prosedur operasi standard (SOP) masih perlu diteliti sebelum membenarkan kemasukan semula pelancong’.

    “Ia bukan 1 Oktober. Ia sehingga vaksinasi sepenuhnya 90 peratus di seluruh negara. Baru ia akan dibenarkan, itu pun mengambil sedikit masa,” katanya sewaktu menggulung ucapan penangguhan persidangan DUN Melaka pada 23 September lalu.

    Maka sudah jelas kerajaan Melaka tidak mahu mengambil risiko yang mungkin nanti akan menyebabkan negeri itu ditutup semula sekiranya ada pertambahan kes yang mendadak berpunca daripada aktiviti itu.

    Jadi dalam hal ini, PRN juga dilihat kebanyakan pihak bukan penyelesaian yang tuntas walaupun Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam memberi perkenan pembubaran DUN di bawah Perkara 19 (2) Perlembagaan Negeri Melaka.

    Bagaimanapun masih menjadi tanda tanya jika dalam masa dua ke tiga hari ini PH Melaka dan keempat-empat ADUN yang menarik sokongan itu berjaya mempersembah bukti memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan.

    Itu juga sebahagian daripada proses demokrasi, apatah lagi bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang mengetuai gerakan itu mendakwa sekurang-kurangnya dua lagi ADUN akan bersama mereka.

    Jika benar apa yang dikatakan ADUN Sungai Udang itu, jumlah pembahagian kerusi akan kembali kepada 17-11 sebelum krisis berlaku, cuma yang berbeza pihak berlainan pula mempunyai majoriti kali ini.

    Maka jangan gopoh dalam membuat sebarang keputusan, jika dirasakan menyerah kuasa kepada pihak yang ada majoriti lebih sesuai, maka buatlah perkara sama seperti mana mereka mengembalikan kerajaan Melaka pada Mac tahun lalu selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang.

    Bukankah itu yang lebih memudahkan semua pihak walaupun kata-kata sinikal masyarakat ‘untung sekali undi dapat tiga kerajaan’ akan tetap diperkatakan sepanjang masa.