GERAKAN menolak pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana nyawa dan keselamatan rakyat lebih penting, kata Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
“Secara dasarnya, Gerakan menolak PRN Melaka kerana apa yang lebih penting ialah nyawa dan keselamatan rakyat. Kita bimbang wabak COVID-19 tidak boleh dikawal sekiranya berlaku jangkitan ekoran pelaksanaan PRN Melaka.
“Namun pelaksanaan PRN Melaka bukan satu perkara luar biasa kerana semua jentera Gerakan di seluruh negara telah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 sekali gus bersedia mengambil bahagian pada PRN Melaka,” katanya seperti dilaporkan Bernama, hari ini.
Beliau berkata, Gerakan akan bertanding di bawah bendera Perikatan Nasional (PN) seperti yang diputuskan dalam Majlis Tertinggi PN, jika diberikan peluang.
Pada 4 Okt lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 daripada Speaker Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri pimpinan UMNO hilang majoriti dalam DUN.
Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.
Sementara itu, dalam hantaran Facebook malam ini, Dominic mengecam empat Ahli Dewan Undangan Negero (ADUN) Melaka yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
“Oleh sebab sikap mereka yang mementingkan diri, Melaka terpaksa mengadakan PRN pada masa terdekat.
“Saya percaya ini bukan semua rakyat Melaka yang ingin lihat, terutamanya wabak COVID-19 menjadi susah kawal selepas pilihan raya di Sabah.
“Pelaksanaan PRN pada masa ini adalah perkara yang sangat berbahaya bagi Malaysia yang baru pulih,” jelasnya.
Beliau menambah, sekiranya empat ADUN terbabit ingat bahawa menarik balik sokongan adalah apa yang rakyat ingin lihat, mereka boleh mengadakan referendum dalam kawasan pilihan raya sendiri dan menggunakan hasil referendum itu untuk membuktikan kepada semua orang bahawa itu adalah kehendak rakyat.
“Walaupun Gerakan saat ini tidak memiliki kerusi, namun sebagai sebuah parti politik, Gerakan mempunyai tanggungjawab untuk mengawasi tindakan semua parti,” ujarnya.
Dominic berkata, sekiranya PRN Melaka tidak dapat dihindarkan juga, beliau meminta SPR untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan juga merumuskan peraturan khas untuk calon pilihan raya.
“Sebagai contoh, jika calon melanggar peraturan tersebut, maka deposit dirampas atau kehilangan kelayakan,” jelasnya.