Tag: PRN Melaka

  • Tidak laporan salah laku rasuah pada PRN Melaka – SPRM

    Tidak laporan salah laku rasuah pada PRN Melaka – SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka tidak menerima sebarang laporan aktiviti rasuah sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung pada November lalu.

    Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, pihaknya tidak menerima maklumat mahupun laporan daripada mana-mana individu atau parti politik berkenaan salah laku tersebut.

    Justeru katanya, tiada kertas siasatan akan dibuka membabitkan PRN Melaka.

    “Malah kita pun tidak terima maklumat yang boleh menyiasat, kita tidak ada terima,” katanya memetika laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Jalinan Kerjasama Antara SPRM Melaka Dengan CeiO – Memartabatkan Integriti Dalam Perkhidmatan 2022 di Pejabat SPRM Melaka, Alai, Melaka, hari ini.

    Hadir sama, Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeiO) Malaysia, Ahmad Sabri Mohamed.

    Sementara itu, beliau berkata, sepanjang tahun lalu SPRM Melaka menahan seramai 17 individu termasuk 12 penjawat awam dipercayai terbabit dengan kesalahan rasuah.

    Menurutnya, selain tangkapan, SPRM menerima sebanyak 157 maklumat berkaitan salah laku dalam jabatan dan agensi sebahagiannya disalurkan oleh Pegawai Integriti Bertauliah (CeiO).

    “Sebanyak 36 kertas pemeriksaan awal telah dibuka manakala 20 kertas siasatan dibuka SPRM untuk tindakan lanjut.

    “Kegiatan rasuah di Melaka hanya membabitkan kes domestik antaranya kes perolehan dan tuntutan palsu,” katanya.

  • PRN Melaka, Johor menelan kos RM141 juta

    PRN Melaka, Johor menelan kos RM141 juta

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) membelanjakan RM141 juta bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah itu merangkumi perbelanjaan perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya.

    Jelas beliau, ini termasuk kos kenderaan, pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), logistik, elaun petugas serta keperluan lain yang berkaitan.

    Sinar Harian melaporkan, perbelanjaan berkenaan turut mengambil kira peralatan mengikut garis panduan pencegahan Covid-19.

    Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, didapati kos bagi PRN Melaka dan PRN Johor masing-masing berjumlah RM45 juta dan RM96 juta.

    Sebagai rekod, PRN Melaka berlangsung pada 20 November 2021 manakala PRN Johor diadakan 12 Mac lalu.

  • Mas Ermieyati lepas geram, gelar UMNO ‘musibat’

    Mas Ermieyati lepas geram, gelar UMNO ‘musibat’

    NAIB Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin melepaskan geram terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang digelarnya sebagai ‘musibat’ kerana menjadi dalang yang mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

    Beliau kesal kerana rakyat di kedua-dua negeri terbabit diheret dalam kancah politik tidak berkesudahan akibat sikap rakus kuasa UMNO dan BN.

    “Musibat mana yang meruntuhkan kerajaan negeri Melaka, bagitahu saya? Orang UMNO, yang jatuhkan kerajaan di Melaka, siapa?

    “Dalam pandemik, dalam kepayahan ekonomi, dalam kepayahan kita nak cari sesuap rezeki, orang dibuang kerja, nah dia buat perangai sekali lagi di bumi Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi.

    Dalam perkembangan sama, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) mengecam kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO kerana gagal memberi sumbangan signifikan selepas menang PRN Melaka.

    Justeru, beliau menasihatkan pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor agar tidak mengulangi kesilapan sama memberikan UMNO kuasa seperti mana yang berlaku pada PRN Melaka pada 20 November lalu.

    Beliau juga berkata, tindakan UMNO yang mendesak pilihan raya diadakan di kedua-dua negeri bukan sahaja telah menyusahkan rakyat tetapi juga telah menaburkan pelbagai janji manis kepada pengundi, namun apabila telah mendapat kuasa melupakannya.

    “Selepas 100 hari memerintah Melaka dan menaburkan pelbagai janji manis kepada rakyat negeri itu apa sumbangan yang telah UMNO berikan?

    “Satu-satunya kejayaan UMNO dalam memerintah Melaka selama 100 hari selapas PRN ialah menukarkan nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka,” jelasnya.

    Jelas beliau, UMNO amat berbeza dengan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin yang setakat ini belum lagi pernah memungkiri janji-janji yang telah diberikan baik ketika pilihanraya mahupun di luarnya.

    Menurut Mas Ermieyanti, semua janji yang ditunaikan telah terbukti dengan perlaksanaan dan faedahnya yang dapat dinikmati rakyat selama ini baik ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan selepas itu.

    Jelas beliau, kesemua itu membuktikan bahawa berbanding UMNO dan BN, pilihan yang terbaik untuk mentadbir Johor adalah PN.

  • PRN Melaka: PN makan undi Melayu PH, kata penganalisis

    PRN Melaka: PN makan undi Melayu PH, kata penganalisis

    KEMUNCULAN Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ternyata memberikan impak yang besar apabila berjaya “mencuri” jumlah undi cukup signifikan hingga menjejaskan prestasi Pakatan Harapan (PH) terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu.

    Beberapa penganalisis politik yang dihubungi MalaysiaNow, berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) di Melaka sememangnya sudah dijangka memandangkan negeri itu merupakan kubu kuat Umno namun kehadiran Bersatu dilihat berjaya mengutip undi baki Melayu yang tidak menyokong parti itu berbanding PH.

    Penganalisis politik Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, berkata PN sememangnya memecahkan undi dengan meraih sejumlah undi daripada BN dan PH, bagaimanapun, ia dilihat memberi kesan yang lebih besar terhadap gabungan dipimpin Anwar Ibrahim itu.

    “Bukan sahaja undi PH lari ke PN, mereka juga gagal menarik pengundi Melayu yang tidak berpuas hati dengan BN supaya beralih kepada PH,” katanya kepada MalaysiaNow.

    “Sebaliknya, undi tersebut beralih ke PN kerana pengundi terus berasa tidak selesa dengan tawaran PH selain kecewa dengan prestasi mereka sejak 2018.”

    Sebelum ini Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengakui kekalahan PH disebabkan Bersatu yang membawa undi Melayu kepada gabungan itu pada 2018.

    “Jika (undi diperolehi Bersatu) dicampur dengan undi popular yang diterima oleh PH iaitu sebanyak 114,457, ianya akan berjumlah 147,457 berbanding BN yang hanya memperolehi 122,741 undi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

    Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahmad Martadha Mohamed, berkata disebabkan 19 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka merangkumi majoriti pengundi Melayu, ini sekali gus memberi kelebihan kepada Umno.

    “Sokongan akar umbi Umno cukup kukuh, jadi PH dan PN akan rebut baki sokongan Melayu yang tidak inginkan parti itu.

    “Justeru, PH dan PN akan rebut baki sokongan Melayu yang tidak inginkan Umno,” katanya.

    Namun begitu, James Chin dari University of Tasmania berkata, kejayaan PN meraih undi bukan sahaja faktor utama kekalahan PH.

    Beliau berpendapat, pengundi Cina agak marah dengan memorandum persefahaman (MoU) PH dengan kerajaan, malah DAP pula dilihat senyap sejak ia dilaksanakan.

    “Jadi saya berpendapat pengundi Cina tidak berpuas hati terhadap DAP, dan ditambah dengan jumlah peratusan undi yang rendah, ini memberi kelebihan besar kepada BN,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Pada 20 November, BN kembali sebagai kerajaan negeri Melaka apabila berjaya meraih 21 kerusi DUN sekali gus menewaskan PH hanya dapat lima kerusi manakala PN sebanyak dua kerusi.

    Keputusan itu disifatkan sebagai satu kejutan terutama bagi PH apabila PKR tewas dalam semua 11 kerusi yang dipertandingkan manakala Amanah hanya berjaya meraih satu kerusi iaitu di DUN Bukit Katil.

    Berdasarkan statistik undi, BN meraih 38.39% (122,741) undi popular manakala PH dan PN masing-masing meraih 35.65% (113,968 undi) dan 24.47% (78,220 undi).

    Menurut Oh, keputusan PRN Melaka boleh disifatkan sebagai kejayaan BN mengembalikan status politik mereka di Melaka, namun begitu, pencapaian PN walaupun tidaklah begitu besar, cukup memainkan peranan sebagai pemecah undi atau “spoiler” kepada BN dan PH.

    “Kejayaan di Melaka meningkatkan keyakinan Umno, malah ada yang berpandangan supaya boleh tinggalkan PN.

    “Namun ini mungkin akan memberi kesan negatif memandangkan PN meraih undi yang cukup signifikan di Melaka yang mana ia boleh menjadi sebagai pemecah undi pada pilihan raya umum nanti,” katanya.

    Di samping itu, Martadha berkata pencapaian di Melaka tidak boleh dijadikan sebagai pengukur prestasi BN pada masa hadapan dan mereka masih memerlukan bantuan seperti PAS dan Bersatu sekiranya ingin menang pada pilihan raya seterusnya.

    “Umno perlu ambil pengajaran dari PRN Melaka, misalnya keputusan PH mengambil Adun yang lompat parti serta peralihan undi Cina yang tidak dijangka.

    “Justeru, ini bukanlah sesuatu yang bakal menjadi trend pada masa hadapan dan Umno tidak boleh mendabik dada.

    “Bantuan PAS dan Bersatu pada PRU seterusnya dilihat masih relevan,” katanya.

    Sementara itu, Chun menyifatkan pencapaian MCA dan MIC merupakan kejutan terbesar pada PRN Melaka.

    “Ini nampak seperti kelahiran semula BN. Tetapi saya jangkakan sokongan terhadap mereka agak terhad di Melaka sahaja,” katanya.

    “Tambahan jumlah pengundi berusia 18 dan 19 tahun yang dijangka seramai 8 hingga 9 juta orang pada PRU15 pastinya akan menghasilkan situasi yang lebih berbeza.”

    Beliau turut menyifatkan PRN kali ini sebagai pilihan raya yang pelik memandangkan parti politik tidak dibenarkan untuk berkempen secara bersemuka.

    “Ini akan menjadi medan uji kaji dan melatih semua parti untuk berkempen cara baru serta membuat persediaan mengharungi PRN Sarawak.

    “Ini juga penting untuk kita lihat bagaimana parti teras Melayu seperti Umno dan Bersatu akan terus menarik sokongan pengundi Melayu,” katanya.

  • Hanya DAP yang kekal, PKR dan PAN akan tersungkur

    Hanya DAP yang kekal, PKR dan PAN akan tersungkur

    STRATEGI Pakatan Harapan (PH) memainkan sentimen yang menggugat keharmonian negara dan kerukunan Keluarga Malaysia terbukti memakan diri.

    Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tidak mustahil hanya DAP yang akan kekal manakala parti-parti lain dalam PH akan tersungkur.

    Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat melalui keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelmarin.

    “Keputusan PRN juga menyaksikan penolakan besar-besaran rakyat Melaka kepada PH, apabila mereka tewas hampir semua kerusi yang pernah dimenangi kecuali di kawasan majoriti bukan Melayu yang ditandingi DAP, dan di Bukit Katil,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook.

    PRN Melaka menyaksikan prestasi terburuk PH apabila hanya mampu memenangi lima daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

    Kerusi-kerusi tersebut adalah Kesidang, Ayer Keroh, Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Bukit Katil.

    Sebelum DUN Melaka dibubarkan, PH menyandang sebanyak 11 kerusi.

    Ahmad Fadhli menambah, Dewan Pemuda PAS menyambut baik perkembangan positif dalam keputusan PRN Melaka dan menyifatkan keputusan tersebut membawa berbagai mesej yang harus diambil cakna oleh semua pihak.

    “Melalui keputusan ini, PAS dan Perikatan Nasional (PN) telah menunjukkan kemampuan yang memberangsangkan sebagai pasukan yang dilihat ‘underdog’.

    “Walaupun telahan awal menjangkakan PN akan ‘bungkus’ di semua kerusi, ternyata PN berjaya merampas dua kerusi DUN yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dan DAP sebelum ini, serta berada di tempat kedua di beberapa kerusi majoriti Melayu,” jelasnya.

    Beliau memberitahu, PAS juga mencatatkan keputusan yang amat memberangsangkan apabila hampir merampas kerusi DUN Serkam dengan majoriti yang amat tipis (79 undi), serta mencatatkan pertambahan undi di semua kawasan yang ditandingi kecuali di DUN Duyong, di sebalik penurunan mendadak peratusan keluar mengundi.

    “Ini merupakan petanda awal kemampuan PAS dan PN di kubu kuat BN di Melaka, yang tidak boleh dipandang enteng oleh semua parti,” katanya.

  • PRN Melaka: Undi diterima calon-calon PAS meningkat

    PRN Melaka: Undi diterima calon-calon PAS meningkat

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan peningkatan dari segi jumlah undi yang diterima oleh calon-calon dari PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

    Bagi Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, perkembangan itu adalah memberangsangkan.

    “Terima kasih kepada seluruh pemimpin dan ahli PAS. Terima kasih juga kepada para pendukung dan penyokong PN. Kita telah berusaha yang terbaik. Semoga Allah ganjari usaha dan pengorbanan yang telah diberikan.

    “Kepada semua pengundi rakyat Melaka, terima kasih atas undian yang diberikan. Kerusi-kerusi yang ditandingi oleh PAS menunjukkan peningkatan undi yang memberangsangkan. Alhamdulillah. ADUN yang telah dipilih rakyat, selamat menjalankan tugas dengan adil & amanah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Calon-calon dari PAS bertanding di sembilan kerusi iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

    Walaupun Melaka bukan dikenali sebagai kubu kuat PAS, calon-calon dari parti itu memberi tentangan sengit di beberapa kerusi.

    Di Serkam misalnya, Ahmad Bilal Rahudin tewas tipis kepada penyandang kerusi tersebut dari Barisan Nasional (BN), Datuk Zaidi Attan.

    Zaidi hanya beroleh 79 undi majoriti berbanding 2,737 undi majoriti yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Seorang lagi calon muda dari PAS iaitu Muhammad Al Afiz Yahya menunjukkan potensi besar apabila beroleh jumlah undi yang agak besar di kerusi DUN Bukit Katil.

    Jumlah 3,715 undi yang diterimanya agak signifikan memandangkan beliau merupakan muka baharu dalam politik pilihan raya.

    Perlu diambil kira juga faktor bahawa Muhammad Al Afiz berdepan dengan penyandang kerusi berkenaan, Adly Zahari yang juga bekas Ketua Menteri Melaka era rejim Pakatan Harapan (PH).

    Berdasarkan potensi besar yang ditunjukkan oleh calon-calon muda yang mewakili PN dari PAS, mereka boleh diketengahkan untuk menggalas cabaran yang lebih besar di peringkat Parlimen pada PRU-15.

    Memandangkan mereka kini telah dikenali dalam kalangan masyarakat, kempen PN di kawasan Parlimen yang bakal ditandingi mereka juag menjadi lebih mudah.

    Cuma post mortem pasca PRN Melaka perlu dilakukan secara jujur dan telus bagi mengesan kelemahan yang boleh ditambah baik agar persiapan menjelan PRU-15 menjadi lebih mantap lagi jitu.

  • DAP kalah teruk, Kok Kiew letak jawatan, Guan Eng bila lagi?

    DAP kalah teruk, Kok Kiew letak jawatan, Guan Eng bila lagi?

    BERIKUTAN prestasi buruk lagi memalukan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Tey Kok Kiew meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP Melaka hari ini.

    Keputusan semalam menyaksikan parti cauvinis itu gagal mempertahankan 50 peratus daripada kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    DAP tumbang di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bemban, Gadek, Duyong dan Pengkalan Batu.

    Kok Kiew sendiri gagal mempertahankan penguasaan DAP di DUN Bemban yang dimenangi oleh calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Yadzil Yaakub.

    Hanya empat kerusi yang mampu dikekalkan oleh DAP iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

    Walau bagaimanapun, jumlah undi majoriti yang diperoleh DAP di keempat-empat kerusi terbabit jatuh mendadak berbanding PRU-14.

    Memetik laporan Malaysiakini, Kok Kiew mengumumkan peletakan jawatan dalam sidang media di Melaka.

    Namun, beliau masih lagi kekal sebagai ahli DAP.

    DAP bertanding pada PRN Melaka dalam keadaan dibelenggu oleh masalah yang berpunca daripada keputusan PKR dan PAN menerima dua bekas ADUN Melaka yang berpaling tadah.

    Penyokong-penyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH) dikatakan memprotes tindakan menerima bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

    Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah menyuarakan bantahan keras terhadap pencalonan dua bekas pemimpin UMNO terbabit namun seperti tidak diendahkan oleh sekutu-sekutunya iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAN, Mohamad Sabu.

    Idris bertanding atas tiket PKR di DUN Asahan manakala Nor Azman mewakili PAN di Pantai Kundor.

    Strategi mengutip Idris dan Nor Azman sebagai calon hanya menikam diri sendiri kerana mereka bukan sahaja tewas, malah menjadi faktor yang mencetuskan keretakan dalam PH.

    Mungkin Guan Eng juga patut meletak jawatan ekoran kegagalan memalukan DAP di Melaka itu.

    Beliau sudah kehilangan taringnya dan kata-katanya tidak dipedulikan lagi oleh sekutu-sekutunya dalam PH.

    Lebih dari itu, kepimpinan DAP memerlukan nafas baharu bagi membuang stereotaip cauvinis yang melekat kuat sebagai identitinya sehingga menyebabkan parti itu ditolak oleh orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

  • Langgar SOP: Zahid, Rauf kena kompaun RM10,000

    Langgar SOP: Zahid, Rauf kena kompaun RM10,000

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 akibat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kedua-dua pemimpin itu didapati menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka.

    “Kompaun itu dikeluarkan terhadap Ahmad Zahid dan Ab Rauf susulan siasatan ke atas sebuah rakaman video yang tular di media sosial memaparkan dua individu berkenaan gagal mematuhi SOP di sekitar mukim Masjid Tanah, daerah Alor Gajah, dua hari lepas,” menurut kenyataan itu.

    Menurut KKM Kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021. – BERNAMA

  • Saya wakil rakyat semua pengundi Sungai Udang – Dr Aleef

    Saya wakil rakyat semua pengundi Sungai Udang – Dr Aleef

    “SAYA adalah wakil rakyat bagi semua pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang termasuk mereka yang menyokong parti lain,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

    Mohd Aleef, 35, bekas doktor perubatan di sebuah hospital swasta di Melaka berkata, beliau bukan sahaja akan memberi fokus pada kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan sebahagian besar pengundi di DUN itu, malah seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan tanpa mengira parti.

    “Saya rasa sangat gembira, teruja dan bersyukur dikurniakan amanah sebagai wakil rakyat Sungai Udang dan akan bekerja kuat demi amanah ini.

    “Saya komited untuk pastikan semua pengundi mendapat hak kebajikan dan keperluan yang telah diperuntukkan untuk mereka,” katanya kepada Bernama di Melaka hari ini.

    Mohd Aleef dipilih sebagai wakil rakyat selepas mendapat undi sebanyak 6,789 undi menewaskan tiga lagi calon termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam.

    Dalam persaingan empat penjuru itu, beliau memperoleh majoriti 530 undi mengatasi calon BN, Pakatan Harapan (Hasmorni Tamby) dan Bebas (Mohd Zahar Hashim).

    Beliau berkata kejayaan yang diraih itu adalah kemenangan jentera Perikatan Nasional (PN) Sungai Udang yang telah bekerja keras dan konsisten dalam beberapa tahun lepas untuk memastikan kemenangan parti tersebut di DUN berkenaan.

    “Ini kali pertama saya menyertai pilihan raya negeri di bawah tiket PN dan dipilih sebagai ADUN Sungai Udang…ia menjadi titik tolak saya untuk bekerja kuat bukan sahaja untuk rakyat tetapi untuk PN,” katanya yang merupakan calon muda yang bertanding di DUN Sungai Udang dalam PRN itu.

    Pada PRN Melaka semalam, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka dengan mencatat kemenangan dua pertiga, diikuti PH (lima kerusi), PN (dua kerusi).

    Sebanyak 326,068 atau 65.85 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka. – BERNAMA

  • Tok Mat Hasan patut jadi jeneral BN berdepan PRU-15

    Tok Mat Hasan patut jadi jeneral BN berdepan PRU-15

    MAJORITI besar melebihi dua pertiga yang diraih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam menyerlahkan lagi kewibawaan Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat dalam mengepalai jentera pilihan raya gabungan parti politik tersebut.

    Pada peringkat awal kempen, ramai pemerhati politik menjangka BN berdepan kesukaran untuk beroleh majoriti mudah malah terdapat kemungkinan UMNO kehilangan beberapa kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi kubu tradisinya seperti Tanjung Bidara dan Lendu.

    Berdasarkan maklumat daripada sumber dalaman UMNO, jentera BN di dua kerusi berkenaan pada mulanya agak kucar-kacir dan beberapa pusat daerah mengundi (PDM) tidak beroperasi dengan lancar.

    Walau bagaimanapun, setelah menerima ‘sentuhan’ Tok Mat, kepincangan yang berlaku dapat dipulihkan sehingga membawa kepada kemenangan BN di kerusi-kerusi DUN yang pada mulanya bermasalah.

    tok mat mohamad hasan
    Akar umbi UMNO mahu melihat Tok Mat mengetuai jentera parti pada PRU-15. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sememangnya, ketokohan Timbalan Pengerusi BN itu dalam melaksanakan peranan sebagai ‘jeneral’ dalam kempen pilihan raya telah dibuktikan dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Dalam situasi BN dan UMNO masih bergelar pembangkang, Tok Mat yang juga Timbalan Presiden UMNO telah memimpin jentera BN sehingga membuahkan kemenangan dalam PRK Parlimen Cameron Highlands, DUN Rantau dan DUN Semenyih.

    Boleh dikatakan Mohamad mempunyai kepakaran sebagai seorang ‘turnaround wizard’ yang berupaya menukar situasi yang pada mulanya kelam dan getir kepada kemenangan besar.

    Sebaik sahaja BN diumumkan membentuk kerajaan negeri di Melaka, timbul suara dalam kalangan akar umbi UMNO agar Tok Mat Hasan diberi peranan yang lebih besar.

    Rata-rata mereka berharap supaya beliau menggalas tugas sebagai ‘jeneral’ atau ‘panglima besar’ yang mengetuai jentera parti bagi menghadapi PRU-15.

    Setelah prestasi memalukan BN pada PRU-14 di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, pandangan akar umbi itu perlu diberi perhatian sewajarnya oleh kepimpinan parti.

    Akar umbi UMNO mahu mereka diketuai oleh seorang pemimpin yang bersih, cekap dan amanah dalam usaha mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap parti itu dan BN.

    Di mata mereka, Tok Mat Hasan menepati kriteria-kriteria tersebut selain telah membuktikan kemampuan mengemudi bahtera parti mengharungi lautan gelora sehingga selamat tiba di pelabuhan.

    Lagipun peranan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kejayaan BN pada PRN Melaka dilihat amat kecil.

    Beliau hanya menunjukkan muka pada saat-saat terakhir setelah selesai menjalani rawatan sakit tulang belakang di Jerman dan ketika itu, banyak masalah besar yang dihadapi BN dan UMN telah ditangani oleh Tok Mat.

    Elok juga kalau Jahid berehat daripada menjalankan tugas-tugas parti dan menyerahkan peranan penting itu kepada Tok Mat yang ketika ini ‘sahamnya’ cukup tinggi dalam kalangan ahli-ahli UMNO dan rakyat.