Tag: PRN Johor

  • Ahli korporat wanita calon DAP bagi DUN Jementah

    Ahli korporat wanita calon DAP bagi DUN Jementah

    DAP hari ini mengumumkan seorang ahli korporat wanita Ng Kor Sim, 39, sebagai calon yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada satu majlis yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook hari ini.

    Lim berkata, DAP yakin dengan kewibawaan Ng yang lahir dari keluarga susah namun berjaya dalam kehidupan sekali gus mampu memberi impak sama kepada penduduk di DUN itu.

    Ng, yang juga ibu tunggal, merupakan pengurus besar di sebuah syarikat swasta dan aktif menyertai pelbagai pertubuhan komuniti sejak 2015.

    Sebelum ini, DAP memperkenal 11 calon membabitkan kerusi DUN di Tangkak, Paloh, Mengkibol, Penggaram, Stulang, Johor Jaya, Bekok, Bentayan, Pekan Nanas, Senai dan Yong Peng.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor dengan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA

  • Animas nafi calon Muda tulang belakang animasi Anak-anak Sidek, Keluang Man

    Animas nafi calon Muda tulang belakang animasi Anak-anak Sidek, Keluang Man

    PERSATUAN Animasi Malaysia (Animas) hari ini menafikan Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor, Azrol Rahani sebagai tulang belakang dalam animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man.

    Pelukis Papan Cerita (storyboard) Keluang Man dan Pelantun Suara Tiong Man, Azhar Saad berkata, pihak produksi tidak pernah melihat
    Azrol di studio mereka.

    “Animas menafikan kenyataan berita ini mengenai salah seorang calon Muda PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor yang dikaitkan sebagai tulang belakang animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man.

    “Jangankan tulang. Sisa pun kami tidak pernah nampak kelibat beliau di studio kami,” katanya dalam satu hantaran Facebook rasmi Animas, hari ini.

    Semalam media melaporkan Azrol yang sebelum ini merupakan antara tulang belakang pasukan animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man berazam mewujudkan peluang pekerjaan bagi generasi muda Felda jika menang dalam PRN Johor.

    Beliau yang akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai itu berkata, keazamannya itu selepas melihat generasi ketiga dan keempat Felda terpaksa keluar dari tanah rancangan kerana tiada peluang pekerjaan.

    Dalam hantaran sama, bekas Animator Keluang Man, Abdul Rahman Mohamad berkata, anak muda seharusnya tidak melakukan pembohongan dan sentiasa berlaku jujur dalam setiap percakapan yang dikeluarkan.

    Selain itu, seorang tenaga penting di sebalik animasi Anak-Anak Sidek, Salim Salleh berkata, sepanjang mengetuai produksi, beliau tidak pernah mengenali calon Muda tersebut.

  • Bekas calon PKR saman 8 individu selepas tidak dicalonkan semula

    Bekas calon PKR saman 8 individu selepas tidak dicalonkan semula

    BEKAS calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada pilihan raya umum (PRU) lalu mengambil tindakan undang-undang selepas tidak dicalonkan semula di kerusi itu.

    Malik Faishal Ahmad mengemukakan saman terhadap Khairuddin A. Rahim yang sebelum ini keluar daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan menyertai PKR serta tujuh individu lain.

    Dalam surat tuntutan yang dilihat Malaysiakini, Malik mendakwa tindakan itu telah menyebabkan dia hilang peluang untuk bertanding apabila mereka menghantar memorandum yang mengandungi tuduhan ‘fitnah’ kepada kepimpinan PKR.

    Individu-individu terbabit mendakwa mereka mendapat maklumat bahawa Malik meminta suapan puluhan ribu ringgit daripada kontraktor semasa menjadi menjadi ketua whip PKR di Majlis Perbandaran Batu Pahat ketika pentadbiran Pakatan Harapan.

    Bagaimanapun Malik menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, lapor Malaysiakini hari ini.

    “Akibat daripada perkataan-perkataan fitnah tersebut, anak guam kami telah kehilangan peluang untuk dilantik sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kawasan N25 DUN Rengit yang telah dijanjikan,” menurut surat tuntutan yang dihantar melalui peguam Malik, Manian K Marappan.

    “Perkataan-perkataan fitnah yang memfitnah anak guam kami dibawa ke skandal awam, kebencian dan penghinaan oleh rakan-rakan, kenalan-kenalan dan masyarakat awam di sekitar Batu Pahat dan Rengit dan juga pimpinan Parti Keadilan,” tambahnya.

    Berdasarkan dokumen yang dilihat Malaysiakini, lapan individu itu menghantar memorandum berkenaan kepada pemimpin tertinggi PKR dengan mendakwa pemimpin tertentu dari PKR, Amanah dan Bersatu menerima suapan puluhan ribu ringgit di atas kelulusan kerja-kerja yang ditawarkan oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat kepada kontraktor.

    Mereka memaklumkan kepimpinan PKR bahawa Pakatan Harapan (PH) Batu Pahat tidak boleh menerima individu yang didakwa menerima rasuah dan tidak berintegriti untuk memimpin mereka dan ‘apatah lagi untuk menjadi calon pilihan raya’.

    Malik, yang dilantik sebagai penyelaras PKR Rengit tahun lepas, menuntut Khairuddin dan tujuh yang lain menarik balik kenyataan mereka dan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.

    Dia juga menuntut ganti rugi dan kos yang dialami berikutan kenyataan mereka dengan jumlah kuantum harus dipersetujui pihak terlibat.

    Mereka juga diberi tempoh selama tujuh hari daripada tarikh notis itu untuk memberikan sebarang maklum balas.

    Sementara itu, Khairuddin ketika dihubungi mengesahkan telah menerima surat tuntutan daripada Malik dan telah merujuk perkara itu kepada peguamnya.

    Beliau hanya menyokong ‘rakan’ yang melaporkan dakwaan rasuah kepada parti itu dengan harapan siasatan dijalankan.

    “Saya kata saya menyokong siasatan tu. Apa-apa pun kalau orang bawa saya sokong untuk disiasat. Sesiapa pun tapi tak semestinya bersalah.

    “Ia bukan tuduhan. Pasal dia kata kita tuduh, kita tak tuduh dia.

    “Ini internal problem (masalah dalaman), ia bukan dibawa keluar. Sebab dia kata dia tak dapat bertanding sebab benda (tuduhan) tu. Saya pun tak tahu, saya pun tak dapat komenlah kerana benda tu ke, wallahualam,” katanya.

    Khairuddin berkata dia percaya kes itu tidak akan menjejaskan kempennya di kerusi DUN Rengit.

    Malaysiakini difahamkan nama Malik pada awalnya disenarai sebagai calon yang sepatutnya diumumkan pada 14 Feb.

    Bagaimanapun, pengumuman untuk kerusi DUN Rengit dan enam kerusi lain ditangguhkan pada saat-saat akhir.

    Semasa pengumuman calon pada 19 Feb, Presiden PKR Anwar Ibrahim sebaliknya mengumumkan Khairuddin sebagai calon di Rengit.

    Khairuddin merupakan penyandang kerusi DUN Senggarang.

  • Tiada jaminan tidak berlaku pertindihan kerusi PKR-Muda

    Tiada jaminan tidak berlaku pertindihan kerusi PKR-Muda

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) tidak dapat memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan kerusi dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

    Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, perkara tersebut terpulang kepada Muda namun berharap perkara tersebut tidak berlaku.

    “Soal pertindihan kerusi saya tidak dapat beri jaminan kerana perkara itu terpulang kepada mereka (Muda). Tetapi saya harap kerjasama ini akan dihormati.

    “Tetapi saya percaya dalam soal menolak korupsi dan salah guna kuasa, PKR dan Muda mempunyai pendirian yang sama dan jelas untuk menolaknya,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Baju T-shirt Tolak Korupsi di Bilik Gerakan Utama PKR Johor , Johor Bahru, hari ini.

    Sabtu lalu, Syed Ibrahim menjelaskan pintu rundingan pembahagian kerusi PKR dengan Muda sudah tertutup selepas parti itu mengumumkan kesemua 20 calon PKR bagi kerusi yang akan ditandinginya.

    Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan, tindakan PKR mengumumkan 20 calon itu menjejaskan sekali gus menamatkan rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu.

    Syed Saddiq juga seperti membayangkan kemungkinan pertindihan kerusi susulan gagal mencapai kata sepakat dengan PKR.

    Mengulas lanjut, Syed Ibrahim Muda berharap, tidak akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PKR.

    Katanya, rundingan pembahagian kerusi antara dua parti itu sudah ditamatkan dan diharap juga tidak menjejaskan fokus mereka untuk menentang Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    Menurutnya, penting untuk Muda memahami kepentingan parti blok pembangkang dalam PH untuk bekerjasama dan tidak bertembung antara satu sama lain.

    “Dalam PRN Johor ini, pembangkang perlu bekerjasama, jadi walaupun tiada perkongsian kerusi antara PKR dan Muda, tetapi saya telah tegaskan keperluan kerjasama untuk capai kemenangan.

    “Ini kerana musuh utama kita adalah UMNO, BN dan juga PN. Sesama mereka yang berada dalam kerajaan juga bergaduh, bahagian rakyat boleh hendak mempercayai mereka lagi,” soalnya.

  • Penggunaan logo pun tidak sehaluan, macamana nak wujud kestabilan politik

    Penggunaan logo pun tidak sehaluan, macamana nak wujud kestabilan politik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIMBALAN Ketua Pemuda MCA Johor, Tai Chee How membidas kenyataan Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan, Muhammad Shakir Ameer bahawa kerjasama politik Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) penting untuk permulaan kestabilan politik negara.

    Beliau yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai retorik dan tidak berpijak di bumi nyata kerana realitinya tidak menggambarkan situasi politik yang kini dihadapi PH dan Muda.

    “Melihat kepada situasi yang berlaku sekarang ini, ‘stabil’ bukanlah perkataan yang sesuai untuk ditakrifkan dalam kerjasama politik PH dan Muda. Ini jelas terbukti apabila mereka akan menggunakan logo berbeza dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “Jika hal logo pun anda tidak sehaluan, bagaimana anda yakin kerjasama ini untuk kestabilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, semasa PRN Melaka, PH sebulat suara bersetuju menggunakan logo PH manakala dalam PRN Sarawak, parti komponen PH iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo masing-masing.

    Bagi PRN Johor pula katanya, Amanah dan DAP kekal menggunakan logo PH selepas PKR mengumumkan bertanding dengan menggunakan logo sendiri.

    “Keadaan ini membuatkan rakyat keliru. Parti mana yang memperjuangkan PH? Mengapa ia berbeza setiap kali pilihan raya berlaku,” soalnya.

    Beliau berkata, umum mengetahui, PKR dan Muda tidak sehaluan dalam rundingan pembahagian kerusi untuk PRN Johor dan itu dapat dibuktikan menerusi laporan media-media tempatan.

    Justeru katanya, adakah Pemuda Sosialis DAP berpendapat bahawa ‘kerjasama’ antara mereka itu boleh menstabilkan politik?

    “Atau Pemuda Sosialis DAP telah ‘mensisihkan’ PKR daripada PH dan tidak lagi menganggap mereka sebagai sebahagian daripada PH? Jika itu yang berlaku, saya sarankan agar Pemuda Sosialis DAP membuat kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut dan secara tidak langsung Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi Pengerusi PH supaya rakyat tidak lagi salah faham,” katanya.

    Chee How turut menekankan bahawa penyatuan dalam sesebuah pakatan merupakan perkara asas yang perlu ada sebelum mengorak langkah seterusnya dalam melaksanakan dasar, membangunkan pelan tindakan dan merancakkan ekonomi negara.

    “Kini jelas, PH tidak mempunyai perkara asas itu, mereka bukan sebuah pakatan yang bersatu-padu, jauh sekali untuk membentuk kerajaan yang kuat dan stabil yang mampu memberi manfaat kepada rakyat dan juga negara.

    “Sekali lagi saya menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP ini hanya retorik semata-mata dan pastinya ia mempunyai agenda tersendiri iaitu untuk menarik minat pengundi muda sahaja,” katanya.

  • PSM bertanding bukan mahu pecah undi, tidak perkauman

    PSM bertanding bukan mahu pecah undi, tidak perkauman

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Sosialis Malaysia (PSM) menafikan mereka bertanding hanya untuk memecah undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Timbalan Pengerusinya, S. Arulchelvan berkata, PSM mempunyai iltizam yang kuat serta mampu memberikan saingan dengan membawa isu-isu pekerja kolar biru yang sering dipinggirkan.

    “PSM bukan sekadar parti yang menunggu untuk menghadapi pilihan raya sahaja, parti kita telah lama berkhidmat dan mempunyai kelebihan yang ingin dibawakan. Kita membawa suara rakyat tidak berkemampuan.

    “Pekerja ladang, pemandu, petani dan pekerja pembersihan. Ini suara-suara rakyat yang tidak dipandang. Kita merupakan parti yang dekat dengan golongan ini.

    “PSM juga merupakan parti yang mempunyai pendirian, kita juga bukan parti yang mengamalkan perkauman, walaupun kita tahu PRN ini bukan pertandingan yang senang, kita tetap akan berjuang dengan pendirian yang kami ingin bawa,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar dalam Majlis Pengumuman Calon PSM pada PRN Johor di bilik gerakan N49 PSM di Kangkar Pulai, Iskandar Puteri, malam tadi.

    SM menjadi parti politik terbaharu menyertai PRN Johor dengan mempertaruhkan calon, R. Arangkannal, 46 sebagai calon tunggal yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar.

    Pengumuman itu sekali gus menyaksikan PSM akan menyertai Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk merebut kerusi yang kini disandang Dzulkefly Ahmad daripada PH-Parti Amanah Negara (Amanah).

    Dalam pada itu, Arulchelvan berkata, PSM berjanji tidak akan membawa sentimen politik perkauman sama ada ketika bertanding pada PRN Johor mahupun setelah dipilih sebagai wakil rakyat.

    Arangkannal yang juga merupakan seorang penggiat seni berkata, perkara itu adalah matlamat dirinya untuk menampilkan PSM sebagai parti yang tidak menggunakan rasisme sebagai senjata utama.

    Beliau yang mesra dengan panggilan Ara itu berkata, PSM berserta aktivis mereka akan terus berjuang untuk memastikan tiada tempat untuk diskriminasi kaum di negara dan negeri ini.

    “Walaupun kita berbilang kaum tetapi semua adalah rakyat Malaysia dan PSM bukan sebuah parti berasaskan kaum, sebaliknya ia adalah parti yang memperjuangkan kesamarataan antara kaum.

    “Saya juga berjanji untuk menentang isu-isu diskriminasi perkauman di negara ini, termasuklah perkauman terhadap golongan imigran,” katanya.

  • Calon PN untuk PRN Johor umum Khamis

    Calon PN untuk PRN Johor umum Khamis

    SENARAI calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan di Johor pada Khamis ini, kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Pembahagian kerusi untuk PRN dah selesai antara parti-parti dalam PN. Kita dalam peringkat akhir tapisan,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Putrajaya hari ini.

    PN dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan.

    Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata PN akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

    SPR telah menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Feb dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac. – BERNAMA

  • Berapa kali Zahid nak sumpah terserah, saya dah tunjuk saksi – Muhyiddin

    Berapa kali Zahid nak sumpah terserah, saya dah tunjuk saksi – Muhyiddin

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempunyai hak untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan beliau pernah meminta pertolongan berkaitan perbicaraan kesnya di mahkamah.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendedahan yang dibuatnya sebelum ini bahawa Zahid meminta pertolongannya untuk menyelesaikan kes mahkamah adalah benar dan beliau mempunyai saksi.

    “Itu hak dia (Zahid) nak sumpah ke tak sumpah, bagi saya bercakap kepada rakyat ini bercakap yang benar, nak bercakap kepada rakyat jangan bohong. Dah ada bukti malam itu saya sudah tunjukkan saksinya, tapi kalau dia nak sumpah berapa kali sumpah, sumpahlah terserah pada dia.

    “Saya tak akan bersumpah sebab saya tak pernah berbohong. Apa yang saya sebut itu satu yang hak. Saya kata yang betul walaupun yang betul pahit untuk didengar, itu hak yang benar, bukan yang direka atau hanya sengaja main politik nak PRN Johor. Tidak sama sekali,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN), hari ini.

    Zahid sebelum ini menyatakan kesanggupannya untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan Muhyiddin bahawa beliau pernah meminta pertolongan berkaitan perbicaraan kesnya di mahkamah dengan membawa ‘fail bertimbun’ bertemu bekas Perdana Menteri itu.

    Zahid mempersoalkan dakwaan itu yang menurutnya hanya timbul menjelang musim pilihan raya, merujuk PRN Johor yang bakal diadakan bulan depan.

    Presiden UMNO itu turut mencabar Muhyiddin untuk bersumpah laknat untuk mempertahankan dakwaan yang dibuatnya.

    Dalam ceramah di Tangkak, Johor pada 17 Februari lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mendakwa Zahid melawatnya selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri dengan membawa ‘fail bertimbun’ untuk meminta bantuan menyelesaikan kes mahkamah.

    Dalam perkembangan lain, berhubung senarai pembahagian kerusi dan calon PN bagi menghadapi PRN Johor, Muhyiddin berkata ia telah dimuktamad dan pengumuman rasmi akan dibuat Khamis ini.

    “Pembahagian kerusi telah selesai antara parti dalam PN, malahan nama calon dikemukakan dan kita peringkat akhir dan akan umum 24 Feb ini, pengumuman dibuat secara rasmi di Johor,” katanya.

  • Friends of BN boleh tanding PRN, tapi jangan ambik kerusi MIC

    Friends of BN boleh tanding PRN, tapi jangan ambik kerusi MIC

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI komponen Barisan Nasional (BN) tidak menghalang Friends of BN untuk bertanding dalam Pilhan Raya Negeri (PRN) Johor yang datang.

    Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, bagaimanapun Friends of BN itu tidak dibenarkan meminta kerusi ditandingi MIC.

    “Cuma kita nyatakan penditian kita, kita tidak menghalang pucuk pimpinan BN untuk memberi kerusi kepada ‘Friends of BN’, asal jangan ambil kerusi kita dan orang lain, itu akan mencalarkan imej kita,” katanya.

    Menteri Sumber Manusia itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Usahawan Tekun di Hotel Renaissance, Johor Bahru, hari ini.

    Pada 30 Januari lalu, Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti), Datuk Seri R S Thanenthiran dilaporkan berkata, pihaknya berharap akan diberikan peluang untuk bertanding dalam PRN Johor.

    Jelasnya, ini kerana Makkal Sakti selaku Friends of BN sudah lama mahu bertanding pilhan raya selain atas faktor kesetiaan mereka terhadap BN sejak lebih 14 tahun lalu.

    Saravanan berkata, MIC berhasrat untuk kekal bertanding di empat kerusi tradisi mereka dalam PRN Johor.

    Jelasnya, hasrat itu akan disampaikan kepada Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dalam satu pertemuan esok.

    “Perjumpaan ini nanti untuk memuktamadkan pembahagian kerusi. Presiden (MIC) telah sampaikan (maklumkan) untuk kita kekal bertanding di kerusi yang kita tandingi sebelum ini.

    “Kita di peringkat BN memang mengamalkan perkongsian kuasa dan kita akan membuat pilihan terbaik untuk parti dan negara,” katanya.

    Mengenai permintaan MIC Bahagian Kulai yang mahu bertanding di DUN Bukit Batu, beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan menjelang pilihan raya alam ada pihak menuntut kerusi.

    Menurut Saravanan, mana-mana pihak boleh memohon untuk bertanding di kerusi yang diingini tetapi pada akhirnya nanti pucuk pimpinan akan memutuskan perkara tersebut.

    “Ini masa pilihan raya semua orang nak jadi calon, orang akan minta sana sini, lepas itu akhirnya kita akan akur keputusan pucuk pimpinan BN. Itulah kelebihan BN,” katanya.

  • PRN Johor: SPR mula jual daftar pemilih pilihan raya

    PRN Johor: SPR mula jual daftar pemilih pilihan raya

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah mula dijual di Ibu Pejabat SPR Putrajaya atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor mulai semalam.

    Menurut SPR dalam kenyataan hari ini, menerusi peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, suruhanjaya itu dibenarkan menjual daftar pemilih termasuk Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2021 (DPT BLN12/2021) dan Daftar Pemilih Induk 2021 (DPI 2021) secara salinan cetak dan softcopy.

    “Daftar pemilih softcopy boleh didapatkan dalam dua format berbeza iaitu Portable Document Format (PDF) atau format Microsoft Access Database (MDB) dengan kadar harga yang telah ditetapkan dan boleh dibeli melalui Ibu Pejabat SPR di Putrajaya atau di semua Pejabat PRN,” menurut kenyataan itu.

    Katanya, SPR sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab serta fungsi-fungsinya termasuk urusan penyediaan daftar pemilih yang kini diperakukan dan diwartakan secara bulanan.

    Menurut SPR, DPT BLN12/2021 telah diwartakan pada 14 Jan, manakala DPI 2021 diwartakan pada 17 Jan lepas juga boleh disemak melalui beberapa kaedah termasuk di portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my; aplikasi dalam talian di https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak dan portal rasmi pejabat-pejabat PRN di laman http://ppn.spr.gov.my.

    “Di samping itu, SPR juga menyediakan kemudahan semakan dalam talian di https://myspr.spr.gov.my, bagi pemilih berdaftar yang mempunyai akaun MySPR (sebelum ini dinamakan MySPR Daftar) selain menyemak senarai nama pemilih dalam DPT BLN12/2021 bagi bahagian pilihan rayanya,” menurut SPR.

    SPR menegaskan bahawa pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 18 tahun dan ke atas adalah berdasarkan maklumat warganegara diterima daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

    SPR menasihatkan semua bakal pengundi PRN Johor supaya membuat semakan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka mulai semalam di pautan berkenaan atau hubungi 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak. – BERNAMA