Tag: PRN Johor

  • PRN Johor:BN kemuka petisyen DUN Bukit Batu

    PRN Johor:BN kemuka petisyen DUN Bukit Batu

    BARISAN Nasional (BN) akan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.

    Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, kerusi DUN Bukit Batu itu dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Arthur Chiong Sen Sern pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.

    Menurutnya, calon PKR tersebut berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 137 undi menewaskan calon BN daripada MIC, S. Suppayah yang memperoleh 9,302 undi.

    Beliau berkata, petisyen itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi selepas pihaknya dimaklumkan terdapat lebih 600 kertas undi rosak dalam pengiraan di kawasan itu.

    “Sebanyak 650 undi rosak dan kita telah buat bantahan tetapi saya diberitahu bahawa bantahan itu seharusnya dibuat mengikut saluran-saluran sepatutnya.

    “Maka, kita akan membuat rayuan di mahkamah supaya kita boleh memastikan bahawa pengiraan undi itu dibuat secara betul,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Terdahulu beliau menyampaikan 32 komputer riba kepada pelajar pada Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Pendidikan India Perak di Pejabat BN Sungai Siput, hari ini.

    Vigneswaran berkata, kemenangan lebih dua pertiga yang diperolehi pada PRN Johor kali ini bukti pengiktirafan rakyat negeri itu kepada calon BN.

    Katanya, undi kaum India kembali kepada BN juga menunjukkan peningkatan dan bukan sekadar retorik semata-mata.

    “Sokongan padu rakyat majmuk termasuk kaum Cina kepada calon BN dapat dilihat menerusi kemenangan pada PRN Johor dan Melaka.

    “Kita melihat sokongan pengundi bukan kepada calon tetapi lebih kepada parti yang diwakilinya. Ini suatu perkara yang baik yang mana calon kita telah mendapat undi pelbagai kaum,” katanya.

    Sementara itu, Vigneswaran berkata, MIC menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

    “Kita tidak ada banyak masa lagi namun terpulang kepada Perdana Menteri untuk mengadakan PRU pada waktu yang sesuai. Jentera kita sudah mula bekerja.

    “Bagi jumlah kerusi pula, kita akan bincang dalam kalangan kepimpinan BN. Meminta kerusi setakat untuk bertanding tidak berguna, jika mahu minta kerusi pun mestilah ada peluang tinggi untuk menang,” katanya.

  • Pas akan terus bersama PN santuni rakyat

    Pas akan terus bersama PN santuni rakyat

    PAS akan terus bersama Perikatan Nasional (PN) menyantuni rakyat sambil berlapang dada dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, kata Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad.

    Beliau berkata, walaupun PN hanya memenangi tiga kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Maharani dan Endau, gabungan tersebut akan terus bersama-sama menyuburkan konsep perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

    “Jangan diukur keputusan pada PRN Melaka dan Johor. Kita baru lagi bersama. Kita terima kekalahan dan akan sediakan satu perancangan untuk bergerak ke hadapan menghadapi PRU15. Apa yang penting adalah perpaduan,” katanya selepas menyampaikan hadiah pertandingan futsal Parlimen Bukit Gantang, Bukit Gantang hari ini.

    Pada PRN Johor, Barisan Nasional menang 40 daripada 56 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (11), PN (tiga), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (satu) dan Parti Keadilan Rakyat (satu).

    Dalam pada itu, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, para agamawan termasuk ustaz diminta menyebar luas kepentingan mengambil vaksin melalui kuliah dan ceramah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

    “Pas bukan cakap mengenai agama Islam sahaja tetapi juga berkaitan kesihatan kerana ia sebahagian daripada Islam. Kalau kita sakit kita kena cari ubat, penawar. Begitu juga untuk melawan mitos, kita kena bercakap menggunakan fakta kenapa pentingnya mengambil vaksin melalui kuliah dan ceramah,” katanya. – Bernama

  • PRN Johor:Jika bersama PH, PN boleh menang 3 tiga lagi kerusi

    PRN Johor:Jika bersama PH, PN boleh menang 3 tiga lagi kerusi

    PERIKATAN Nasional (PN) mampu menang tiga lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika membuat rundingan persefahaman bersama Pakatan Harapan (PH).

    Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, rundingan boleh dibuat melibatkan kerusi DUN Bukit Pasir, Serom dan Tenggaroh.

    “Politik serba mungkin. Di DUN Bukit Pasir, (jumlah undian) PN 5,850 dan PH 4,676 boleh mengalahkan BN (6,048).

    “Di DUN Serom, (jumlah undian) PN 7,808 dan PH 5,509 boleh mengalahkan BN (8,507).

    “Di DUN Tenggaroh, (jumlah undian) PN 9,172 dan PH 1,529 boleh mengalahkan BN (10,528),” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, difahamkan sudah ada cadangan seperti itu sebelum PRN Johor tetapi ditolak oleh Pas kerana berpegang pada prinsip.

    “Jika benar, harapnya jangan ada yang cuba melontarkannya untuk kali kedua demi mencapai kemenangan kerusi.

    “Dalam politik yang tidak berprinsip, musuh boleh bertukar kawan dan kawan boleh menjadi lawan demi mencapai matlamat,” ujarnya.

    PRN Johor yang melabuhkan tirainya pada Sabtu menyaksikan PN memenangi tiga kerusi DUN.

    Ketiga-tiga kerusi itu dimenangi oleh Datuk Dr. Sahruddin Jamal di DUN Bukit Kepong (majoriti 710 undi); Alwiyah Talib di DUN Endau (majoriti 3,041 undi) dan Abdul Aziz Talib di DUN Maharani (majoriti 1,037 undi).

  • ADUN Muda, Amira Aisya kekok disapa YB

    ADUN Muda, Amira Aisya kekok disapa YB

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JOHOR BAHRU – Amira Aisya Abd Aziz mengakui mengakui masih kekok apabila disapa dengan panggilan Yang Berhormat semasa melakukan walk about pertama dan bertemu orang ramai hari ini selepas sah bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa.

    “Semasa melakukan ‘walk-about’ dan bertemu dengan masyarakat setempat pagi tadi, baharu terasa apabila mereka memanggil saya dengan gelaran YB, agak kekok juga sebenarnya.

    “Tetapi saya ingat apa yang pernah dikatakan Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) bahawa gelaran YB itu perlu dilihat dalam konteks membawa maksud Yang Berkhidmat dan bukannya Yang Berhormat,” katanya.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan walk about dan bertemu orang ramai di Taman Adda Heights, Johor Bahru, hari ini.

    Pada PRN Johor, Muda bertanding di kerusi DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, Bukit Permai dan Larkin namun hanya Amira Aisya menang dalam pertandingan enam penjuru.

    Amira Aisya yang juga merupakan wakil rakyat paling muda dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor turut mengakui air matanya menitis apabila disahkan sebagai wakil rakyat bagi kawasan berkenaan pada malam tadi.

    “Ibu saya ketika ini dikuarantin akibat positif Covid-19, jadi saya tinggal bersama-sama abang dan kakak ipar ketika ini, tetapi kami ada berhubung melalui panggilan telefon dan kiriman mesej selepas mendapat keputusan semalam.

    “Dalam panggilan telefon berkenaan, ibu saya berpesan agar sentiasa menjalankan amanah kerana Allah dan lakukan terbaik untuk rakyat, kerana mereka akan menilai,” katanya.

    Sementara itu, beliau akui tidak sabar menghangatkan sidang DUN Johor untuk pertama kali selepas menang kerusi DUN Puteri Wangsa.

    Beliau tidak berdepan masalah untuk berdebat dengan ahli-ahli politik senior dan mempunyai nama besar seperti Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

    “Saya bukan sekadar bersedia tetapi sebenarnya tidak sabar hendak menunggu bila tarikh sidang DUN Johor akan diadakan.

    “Bagi saya biarlah ia satu perdebatan yang sihat, saya mahu buktikan bahawa kita boleh berdebat tanpa keluarkan kata-kata kasar, debat secara profesional berpaksikan isu-isu rakyat,” katanya.

  • Muda lakukan postmortem menyeluruh keputusan PRN Johor

    Muda lakukan postmortem menyeluruh keputusan PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MESYUARAT Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan melakukan postmortem keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara menyeluruh pada Selasa ini.

    Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, ini bagi membincangkan dan mengadakan kajian keputusan PRN tersebut termasuk kekalahan mereka di enam kerusi yang ditandingi.

    “Saya sudah mengeluarkan memo panggilan kepada semua ahli jawatankuasa tersebut, kita akan buat analisis tentang PRN Johor dan bincang jalan kehadapan untuk parti Muda,” katanya

    Beliau yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Setia Wangsa berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan walk about dan bertemu orang ramai di Taman Adda Heights, Johor Bahru, hari ini.

    Pada PRN Johor, Muda bertanding di kerusi DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, Bukit Permai dan Larkin namun hanya Amira Aisya menang dalam pertandingan enam penjuru.

    Berkenaan kemenangan di DUN Puteri Wangsa, beliau berkata, antaranya kerana parti tersebut dapat menarik pengundi baharu terutama saluran empat dan lima serta pengundi atas pagar.

    Beliau terkejut kerana Muda menang besar di saluran satu dan dua melibatkan pengundi-pengundi tua termasuk di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang sebelum ini Pakatan Harapan (PH) kalah pada Pilihan Raya Umum ke15.

    Walaupun begitu, Amira Aisya, 27, yang merupakan calon paling muda menang dalam PRN Johor berkata, Muda kurang mendapat sokongan pengundi berusia 18 tahun di luar bandar dalam DUN berkenaan dan mereka perlu bekerja kuat selepas ini.

    Mengenai pandangan pihak tertentu bahawa Muda menang di kerusi DUN berkenaan kerana kawasan tersebut merupakan kubu Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau menafikan dakwaan tersebut.

    “Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) terutama jentera parti mereka yang bersama kami dari awal hingga akhir. Sebenarnya Puteri Wangsa bukan kerusi kuat dalam PH kerana sebelum ini dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Bersatu kini dalam Perikatan Nasional (PN) dan sebelum itu lagi dimenangi Pas, dakwaan ini merupakan kerusi kuat PKR belum ada bukti yang kukuh tetapi tidak dinafikan bila saya turun di lapangan ramai kenal kerja-kerja PH di sini sebelum ini,” katanya.

  • MCA belum putuskan wakil mereka untuk barisan Exco

    MCA belum putuskan wakil mereka untuk barisan Exco

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MCA masih belum membincangkan mengenai wakil mereka yang akan diberikan nama untuk menjadi Exco kerajaan negeri Johor.

    Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ini kerana perkara itu masih terlalu awal kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru sahaja berakhir semalam manakala keputusan rasminya diserahkan kepada Istana Johor, pagi tadi.

    “Seperti yang kita sedia maklum, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru sahaja menyerahkan keputusan rasmi PRN Johor kepada Istana Johor.

    “Proses ini masih panjang lagi kerana mengikut prosedur, seorang calon perlu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

    “Selepas Menteri Besar angkat sumpah, barulah berlaku proses seterusnya bagi pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di situlah perbincangan akan diadakan,” katanya pada sidang akhbar di Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir ialah Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon bersama barisan calon MCA yang bertanding pada PRN Johor.

    PRN Johor yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh 40 kerusi, empat daripadanya dimenangi calon MCA.

    Mereka yang menang ialah Tan Chong (Bekok), Ling Tian Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh) dan Tan Eng Meng (Pekan Nanas).

    Terdahulu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh menyerahkan keputusan itu kepada Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

    Malam tadi, SPR mengumumkan BN memenangi PRN Johor selepas gabungan tersebut memperoleh 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

    PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 239 calon daripada 15 parti politik berlainan bertanding merebut 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

  • Pusat mengundi ditutup ikut waktu diwarta

    Pusat mengundi ditutup ikut waktu diwarta

    DAKWAAN terdapat pusat pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam yang ditutup awal tidak benar.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-undang) menjelaskan bahawa waktu penutupan sesetengah pusat pengundian diwartakan pada waktu tertentu, mengikut pelbagai faktor termasuk jumlah pengundi.

    “Semalam, terdapat aduan seorang wanita yang bertanyakan kenapa pusat mengundinya ditutup pada pukul 2 petang. Sebenarnya, (saya dimaklumkan) pusat pengundian itu dibuka hanya untuk 170 pengundi dan telah digazet ditutup pada pukul 2 petang.

    “Jadi ia mesti ditutup pada waktu itu, jika masih dibuka selepas pukul 2, tidak boleh pakai (undi tidak boleh diambil kira). Ini undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri satu acara di Kampung Tanjung Bako, Kuching, hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, keputusan menetapkan waktu pembukaan pusat mengundi Pilihan Raya Negeri tidak terletak pada individu atau pihak polis.

    “Ini bukan keputusan individu atau polis, perkara itu sudah digazet dan sudah dimaklumkan kepada semua pihak. Sepatutnya pengundi perlu mengetahui pusat mengundi mereka tutup pukul berapa? supaya tidak lambat,” katanya.

    Semalam, tular video di media sosial yang menunjukkan seorang wanita yang marah di hadapan sebuah pusat pengundian kerana tidak dapat masuk untuk mengundi. – Bernama

  • Keputusan PRN Johor:Amanah terima dengan hati terbuka-Mat Sabu

    Keputusan PRN Johor:Amanah terima dengan hati terbuka-Mat Sabu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Amanah Negara (Amanah) menyifatkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah disebabkan dua faktor iaitu peratusan keluar mengundi yang begitu rendah dan juga perpecahan pembangkang.

    Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, bagaimanapun PH menerima dengan hati terbuka keputusan yang diumumkan malam tadi.

    “Seperti yang dijangka lebih awal, faktor utama adalah peratusan keluar mengundi yang begitu rendah, terutama sekali di kalangan penduduk-penduduk bandar dari kalangan orang Tionghoa.

    “Faktor ini menyebabkan kawasan-kawasan campuran yang menjadi tapak kekuatan PH, mengalami kekalahan,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Faktor kedua, beliau berkata, perpecahan pembangkang yang menjadi punca terbesar kekalahan tersebut.

    Katanya, keputusan PRN Johor menunjukkan dengan jelas bahawa jumlah undi yang diperolehi pembangkang, melebihi 200,000 undi, jika dibandingkan dengan pihak Barisan Nasional (BN).

    “Pada saya, keputusan ini menunjukkan bahawa, BN tidak menambah kekuatan mereka, sebaliknya mereka mendapat manfaat daripada perpecahan pembangkang yang begitu ketara.

    “Jumlah undi sebanyak 200,000 tersebut, jika dibahagi kepada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) secara purata, hampir 4,000 jumlah undi pembangkang mengatasi BN.

    “Ini menjadi pengajaran kepada kita semua, bagaimana untuk kembali bertaut dan menyusun strategi bersama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi,” katanya.

    Ahli Parlimen Kota Raja itu turut memberi peringatan kepada semua pihak yang mana jika terus berpecah dalam menghadapi BN, hasilnya akan ‘memakan angin’ beramai-ramai selepas PRU-15 nanti.

    Semalam, BN mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

    Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH berjaya memenangi 11 kerusi, yang mana satu daripadanya adalah milik Amanah.

    Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berjaya mempertahankan kerusi DUN Simpang Jeram apabila memperolehi 8,749 undi, mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN), Zarul Salleh yang mendapat 6,350 undi.

  • PRN Johor:Peratusan mengundi rendah gugat proses demokrasi-Anwar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tren peratusan keluar mengundi yang rendah dan mendukacitakan boleh menggugat proses demokrasi di negara ini.

    Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bagaimanapun berkata, pihaknya tetap akur dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang telah dibuat oleh rakyat negeri tersebut.

    “Tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kejayaan membentuk kerajaan negeri di Johor. PKR akur dengan keputusan yang dibuat rakyat Johor.

    “Kita amat khuatir dengan trend peratusan keluar mengundi yang amat mendukacitakan dan boleh menggugat proses demokrasi,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan BN menang selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

    Menerusi keputusan rasmi tersebut, Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti PN tiga, PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

    Dalam pada itu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, seramai 1,426,573 atau 54.92 peratus orang telah keluar mengundi pada PRN Johor kali ini.

    Anwar turut memberikan penghargaan kepada penyokong dan jentera parti yang telah berhempas pulas menggerakkan kempen sepanjang PRN.

    “Keputusan ini juga ternyata suatu peringatan penting buat parti-parti politik untuk kembali merangkul kekuatan bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) kelak,” ujarnya.

  • Calon muda belum mampu peroleh mandat rakyat Johor

    Calon muda belum mampu peroleh mandat rakyat Johor

    CALON muda berusia bawah 30 tahun yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat masih belum mampu memperoleh mandat daripada penduduk negeri itu meskipun kali pertama menyaksikan pelaksanaan Undi18.

    Seramai lapan calon berumur bawah 30 tahun bertanding dalam PRN Johor dengan dua individu merupakan calon paling muda yang kedua-duanya berusia 26 tahun.

    Daripada lapan calon itu, hanya seorang calon iaitu Amira Aisya Abd Aziz, 27, daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang memperoleh kemenangan pertama untuk parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru.

    Beliau yang merupakan Setiausaha Agung Muda menewaskan Ng Yew Aik (BN-MCA), Loh Kah Yong (PN-Gerakan), Dr Khairil Anwar Razali (Pejuang), Choong Shiau Yoon (Parti Bangsa Malaysia) dan Adzrin Adam (Bebas).

    Secara keseluruhan, 63 calon berusia 40 tahun dan ke bawah daripada 239 calon bertanding pada PRN Johor dengan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon paling ramai iaitu 14 individu, diikuti Perikatan Nasional (13), Pejuang (11), Pakatan Harapan (10), Muda (7), PKR (empat) dan PBM (2).

    Dua lagi calon ialah daripada Parti Warisan yang bertanding di kerusi DUN Bukit Batu dan calon Bebas di DUN Kempas.

    Bagaimanapun, 14 calon daripada 63 calon berusia bawah 40 tahun mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya mendapat mandat daripada penduduk di negeri selatan tanah air itu.

    Calon PH Marina Ibrahim, 34, daripada DAP yang kali pertama bertanding dalam pilihan raya bagi kerusi DUN Skudai memperoleh kemenangan dengan majoriti paling besar dalam kalangan calon muda berusia 40 tahun dan ke bawah selepas mendapat 26,359 undi dengan majoriti 13,943 undi.

    Dalam pertandingan tiga penjuru itu, beliau yang masih positif Covid-19 menewaskan Yeo Kwee Kwang (PN-Bersatu) dan Shen Poh Kuan (BN-MCA).

    Empat lagi calon PH-DAP yang turut menang adalah Ng Kor Sim, 38, yang memperoleh majoriti 7,001 undi dalam pertandingan tiga penjuru bagi kerusi DUN Jementah; Ee Chin Li, 39, mendapat majoriti 372 undi dalam pertandingan lima penjuru bagi kerusi DUN Tangkak; Liow Cai Tung, 36, memenangi kerusi DUN Johor Jaya dengan majoriti 1,922 undi dalam pertandingan empat penjuru manakala Wong Bor Yang, 35, memperoleh majoriti 5,921 undi dalam pertandingan tiga penjuru bagi kerusi DUN Senai.

    Calon muda BN pula menyaksikan lapan orang berjaya memenangi kerusi ditandingi iaitu DUN Bukit Pasir yang dimenangi Mohamad Fazli Mohamad Salleh, 35, dengan majoriti tipis 198 undi; Mohd Hairi Mad Shah, 37, (DUN Larkin, majoriti 6,178 undi); Ling Tian Soon, 38, (DUN Yong Peng, majoriti 2,741 undi); Norlizah Noh, 38, (DUN Johor Lama, majoriti 6,039 undi) dan K. Raven Kumar, 39, (DUN Tenggaroh, majoriti 1,356 undi).

    Mohamad Najib Samuri yang berusia 39 tahun pula memenangi kerusi DUN Parit Yaani dengan majoriti 294 undi; Aznan Tamin, 37, memperoleh majoriti 5,903 undi bagi kerusi DUN Tanjung Surat dan Lee Ting Han, 31, mendapat majoriti 3,176 undi bagi kerusi DUN Paloh.

    Sementara itu, satu daripada empat calon muda yang dipertaruhkan PKR iaitu Chiong Sen Sern berusia 32 tahun memenangi kerusi DUN Bukit Batu dengan majoriti tipis 137 undi selepas menewaskan calon BN-MIC S. Suppayah, Tan Heng Choon (PN-Gerakan) dan Lee Ming Wen (Warisan).

    PRN kali ini menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, sekali gus membolehkan parti berkenaan membentuk kerajaan negeri, manakala PH memenangi 11 kerusi, PN (3), manakala PKR dan Muda pula masing-masing satu kerusi. – Bernama