Tag: PRN Johor

  • Sehari sebelum penamaan calon, Pejuang tukar calon Endau

    Sehari sebelum penamaan calon, Pejuang tukar calon Endau

    CALON Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menukar calonnya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau selepas individu yang dipilih positif COVID-19.

    Memetik laporan FMT, Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, Zaini Tahar akan digantikan dengan Mohd Noorhisyam Ibrahim.

    “Dukacita dimaklumkan bahawa calon N32 (Endau) yang diumumkan semalam telah didapati positif COVID-19.

    “Beliau juga tidak hadir dalam Majlis Pengumuman Calon semalam di Muar,” katanya dalam kenyataan.

    Pejuang semalam mengumumkan 42 calon akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Esok adalah hari penamaan calon.

  • Lawan PKR di Larkin, Muda dianggap amal politik dangkal

    Lawan PKR di Larkin, Muda dianggap amal politik dangkal

    TINDAKAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin sekaligus menyebabkan pertembungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap sebagai amalan politik dangkal dan tidak matang.

    Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Nasir berkata, meskipun tindakan MUDA itu tidak memberi kesan terhadap fokus perjuangan PKR, namun ia tidak lain hanya akan meyakinkan tanggapan buruk orang ramai terhadap MUDA.

    “Tindakan Muda ini hanya, jika tidak berhati-hati ketika ini akan mengesahkan tanggapan ramai pihak yang menyifatkan daya politik Muda yang masih dangkal dan tidak matang dalam menilai pihak kawan dan lawan.

    “Walaupun kita kena akui Muda ada hak demokrasi untuk meletakkan calon di mana-mana kerusi yang mereka inginkan, tetapi AMK tertanya-tanya apa motif sebenar Muda mahu meletakkan calon di DUN Larkin sedangkan Keadilan telah menamakan seorang tokoh profesional dan berpengalaman,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan DUN Larkin, Johor Bahru, hari ini.

    Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan Dr. Zamil Najwah Arbain sebagai calon mereka di DUN Larkin.

    Sementara itu, Muda pada Khamis mengumumkan Ketua Penerangan Muda Johor, Rasid Abu Bakar sebagai taruhan parti itu untuk kerusi tersebut.

    Menurut Akmal, tindakan itu mampu menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan kepada pengundi DUN berkenaan apabila parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu sebelum ini dikatakan akan bersama Pakatan Harapan (PH).

    Malah katanya, tindakan Muda itu juga bertentangan dengan pendirian Syed Saddiq sebelum ini yang mengumumkan tidak akan meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PKR.

    “Muda meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PH adalah sama seperti mana dilakukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan.

    “Walaupun berhadapan risiko pecah undi, akibat tindakan Muda, Keadilan tetap yakin akan mampu menawan semula Larkin yang sebelum ini dimenangi PH dalam PRU yang lalu.

    “Pemilihan Dr. Jamil juga bertepatan dengan nilai, prinsip dan integriti yang dipegang oleh Keadilan dalam pemiilihan calon pilihan raya dan seterusnya menawarkan pemimpin berkredibiliti untuk diangkat sebagai wakil rakyat,” ujarnya.

    Selain calon PKR dan Muda, turut dijangka bertanding di DUN Larkin ialah Ketua Pemuda UMNO Johor, Hairi Md Shah (UMNO); Zulkifli Bujang (Perikatan Nasional) dan Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang).

  • DUN Larkin: PKR tuduh Muda tak hormat kerjasama politik

    DUN Larkin: PKR tuduh Muda tak hormat kerjasama politik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin kerana jelas tidak menghormati semangat dan kerjasama politik.

    Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, PKR ‘melanggar’ kawasan PKR kerana tidak bersetuju dengan rundingan sebelum ini.

    “Saya sedar mungkin tindakan ini diambil kerana kerusi yang dituntut oleh Muda dalam rundingan tidak dipersetujui oleh PKR.

    “Namun wajar saya tegaskan dan ingatkan bahawa tindakannya itu bercanggah dengan pendekatan membawa suara rakyat dan lawan musuh bersama, malah lebih buruk lagi, ia seolah-olah memberi kemenangan kepada lawan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Muda dan PKR sebelum ini dilapor akan bertembung di kerusi DUN Larkin pada PRN Johor.

    Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti tersebut menyerahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan terbaik sama ada memilih Muda atau PKR.

    Syed Ibrahim seterusnya mengingatkan Muda pimpinan Syed Saddiq itu menimbang semula tindakannya sebelum penamaan calon esok.

    “Memang benar bahawa rakyat yang akan menentukan siapa pilihan mereka tetapi biarlah pertimbangan dibuat atas dasar dan sikap yang betul dalam politik,” katanya.

    Beliau menegaskan bahawa tidak akan mengambil langkah serupa untuk ‘melanggar’ kerusi Muda dalam PRN Johor kerana menghormati Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH).

    “Itu tindakan kurang bijaksana malah akan dicemuh oleh pengundi dan rakyat yang sudah pun muak dengan politik perebutan kuasa.

    “PKR akan terus bertanding di kerusinya untuk memenangi hati pengundi.

    “PKR hanya akan tumpu kepada membantu calonnya dan calon Amanah serta DAP dalam PRN ini, sekiranya Muda tetap meletakkan calonnya di kerusi ditandingi PKR,” katanya.

  • Lapan calon Gerakan tandatangan SD hari ini

    Lapan calon Gerakan tandatangan SD hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Gerakan Malaysia (Gerakan) membuktikan komitmen serta kesetiaannya kepada Perikatan Nasional (PN) apabila semua lapan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menandatangani akuan bersumpah (SD) hari ini.

    Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai berkata, langkah itu bagi meyakinkan kepimpinan tertinggi PN bahawa tidak ada calon mereka membelot setelah berjaya mendapat mandat rakyat jika menang kerusi ditandingi.

    “Kerusi yang ditandingi Gerakan ialah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Stulang, Pekan Nanas, Bukit Batu, Bentayan, Yong Peng.

    “Pendirian kita jelas bahawa kita tak mahu bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen kita lompat parti.

    “Walaupun kita yakin sepenuhnya tidak akan ada dalam kalangan mereka yang lompat parti, tetapi ini adalah prosedur Yang perlu dilalui untuk mengelakkan perkara tak diingini berlaku di masa hadapan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani SD di Ibu Pejabat Gerakan, Johor Bahru, hari ini.

    Dalam majlis yang sama, Hoe Chai turut menyampaikan watikah pelantikan calon kepada kesemua calon parti Gerakan.

    Calon Gerakan terdiri daripada Tan Kok Hong (Bentayan), Yong Fui Ling (Yong Peng), Loh Kah Yong (Puteri Wangsa) dan Datuk Dr. Ker Ching Sheng (Johor Jaya).

    Turut menandatangani SD itu ialah Yap Chiang Youis (Stulang), Koo Shiaw Lee (Perling), Tan Heng Choon (Bukit Batu) dan Datuk Tan Chin Hock (Pekan Nanas).

    Beliau berkata, menerusi SD itu, kesemua calon berjanji akan kekal setia dan tidak akan mengkhianati kepada Gerakan sekiranya terpilih sebagai ADUN kerajaan Negeri Johor.

    “Sekiranya calon memilih untuk menyertai parti politik lain, mengisytiharkan diri sebagai bebas, dipecat atau diberhentikan sebagai ahli parti Gerakan, maka jawatan sebagai ADUN akan diisytihar kosong seperti telah meletak jawatan sebagai ADUN secara sukarela.

    “Calon turut menandatangani surat peletakan jawatan yang akan dikemukakan kepada Speaker DUN Johor dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar jika pecah ikrar kesetiaan ini,” katanya.

    Tambahnya, semua calon membuat pengakuan itu dengan rela hati dan dengan fikiran waras, SD berkenaan menurut Akta Akuan Berkanun 1960.

  • PRN Johor:Warisan tanding enam kerusi

    PRN Johor:Warisan tanding enam kerusi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Warisan (Warisan) mengumumkan akan bertanding enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, parti itu akan bertanding di DUN Pekan Nenas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas.

    “Calon-calon yang akan bertanding adalah Hishamuddin Busri (Pekan Nenas), A. Sandra Segara (Bekok) dan Mohamed Noor Suleiman (Mahkota).

    “Tiga nama lagi adalah Chen Hain Kai (Johor Jaya), Lee Ming Wen (Bukit Batu) dan Mohamed Ridza Busu (Permas),” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Calon Parti Warisan bagi PRN Johor di Johor Bahru, hari ini.

  • Calon PN DUN Permas:Pastikan pilih kerajaan berintegriti, bersih

    Calon PN DUN Permas:Pastikan pilih kerajaan berintegriti, bersih

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Tazul Arifin mahu semua pihak tidak mensia-siakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Beliau yang juga Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pasir Gudang merangkap Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mengajak rakyat Johor supaya memilih PN pada PRN Johor.

    “Kepada semua Bangsa Johor marilah kita bersama keluar mengundi pada 12 Mac 2022 dan memastikan kita semua memilih dan mengundi calon dari PN bagi membentuk kerajaan Johor yang mempunyai tadbir urus baik, berintegriti tinggi, bersih korupsi dan sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat.

    “Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT telah dipilih menjadi calon bagi mewakili PN bagi N.43 DUN Permas. Ucapan terima kasih saya kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas pencalonan ini.

    “Tidak saya lupa kepada semua barisan ahli jawatankuasa bahagian dan keseluruhan ahli Bersatu Pasir Gudang yang memberikan sokongan dan kepercayaan kepada saya bagi mewakili PN dalam PRN Johor bagi N.43 DUN Permas,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook rasmi beliau.

  • Pertembungan kerusi Muda-PKR bibit awal rosaknya kerjasama dengan PH

    Pertembungan kerusi Muda-PKR bibit awal rosaknya kerjasama dengan PH

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEPUTUSAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) calonnya akan menjadi bibit awal rosaknya kerjasama melibatkan Pakatan Harapan (PH).

    Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, situasi tersebut masih boleh ‘diselamatkan’ bagi mengelakkan pertindihan kerusi benar-benar berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Memilih untuk tidak memenangkan mana-mana pihak, Guan Eng menjelaskan, masih ada masa sebelum hari penamaan calon kedua-dua parti itu bermusyawarah bagi mencari titik persefahaman.

    “Oleh itu, Kita berharap mereka (Muda dan PKR) dapat duduk berbincang semeja supaya mengelakkan pertembungan di kerusi yang sama, ia hanya melibatkan satu kerusi sahaja.

    “Saya optimis mereka mampu mencapai kata sepakat untuk elakkan sebarang pertembungan pada PRN Johor ini walaupun satu kerusi, kita tidak mahu menjadi seperti Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis memperkenalkan Liew Chin Tong dan Marina Ibrahim sebagai pelengkap calon DAP pada PRN Johor di Senai, Johor Bahru, hari ini.

    Terdahulu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan Rasid Abu Bakar yang juga merupakan Ketua Penerangan Muda Johor sebagai calon bertanding di kerusi DUN Larkin.

    Syed Saddiq berkata, pihaknya sudah cuba menjalankan rundingan demi rundingan dengan PKR malah menghormati parti itu yang telah umum calon di kesemua 20 kerusi mereka.

    Ditanya sama ada beliau berharap salah satu parti menarik diri, Guan Eng bagaimana pun enggan campur tangan dalam isu tersebut.

    Pada masa sama beliau turut menyuarakan kekecewaan apabila calon Muda yang disenaraikan setakat ini tidak melibatkan presiden parti, Syed Saddiq yang lantang bersuara sebelum ini.

    “Saya harap beliau bertanding tetapi itu terpulang kepada kepimpinan parti Muda. Pemimpin seharusnya memimpin bukan sahaja untuk menang PRN dan hati rakyat tetapi membawa agenda yang diperjuangkan.

    “Pemimpin seperti ini harus memimpin dari depan dan bukannya duduk di belakang. Sebab itu, walaupun Chin Tong enggan bertanding namun dia akur keputusan parti kerana pemimpin haruslah memimpin di hadapan,” ujarnya.

    Syed Saddiq yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar bagaimanapun masih berteka-teki berhubung sama ada beliau bakal turut bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.

  • Isu kerusi Larkin: PKR ingatkan Muda jangan jadi abang besar

    Isu kerusi Larkin: PKR ingatkan Muda jangan jadi abang besar

    PKR mengingatkan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) supaya jangan berlagak sebagai abang besar dalam soal rundingan kerusi antara dua parti bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Bekas Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memberi peringatan keras itu kepada parti pimpinan Syed Saddiq Abdul Rahman ekoran tindakan Muda meletakkan calonnya di DUN Larkin.

    “Jika Muda terus berlagak sebagai abang besar seperti ini, maka tiada faedah dan manfaat kerjasama ini dibincangkan serta mereka sebaik-baiknya memilih jalan yang sama seperti Pejuang dan Warisan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Beliau menambah,  tindakan Muda yang memutuskan untuk meletakkan calon di kerusi Larkin pada PRN Johor kali ini sudah menjejaskan kerjasama dan usaha terhadap muafakat penyatuan parti pembangkang.

    Farhash Wafa Salvador menambah, Muda yang pada awalnya sudah ditawarkan tiga kerusi oleh PKR dan beberapa kerusi yang lain oleh DAP dan Amanah perlu menghormati rakan dan runding sebaik-baiknya sebelum proses pemilihan calon diadakan.

    “Sikap Muda bukan sahaja boleh menjejaskan keharmonian kerjasama politik, malah konteks yang lebih luas untuk kita pertimbangkan adalah perasaan akar umbi dan kemungkinan yang akan berlaku menjelang hari pengundian,” jelasnya.

    Kata beliau, ruang dan peluang masih terhidang buat PKR untuk berbincang semula bersama-sama Amanah dan DAP bagi meletakkan calon di kerusi-kerusi yang sudah diberikan kepada Muda terutamanya Puteri Wangsa.

  • Pengerusi DAP Johor antara 14 calon DAP

    Pengerusi DAP Johor antara 14 calon DAP

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI DAP Johor, Liew Chin Tong diumumkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada bulan depan.

    Selain Chin Tong yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Marina Ibrahim buat pertama kali akan bertanding di kerusi DUN Senai.

    Majlis Pengumuman Calon DAP itu melengkapkan semua 14 calon parti itu yang diumumkan secara berperingkat-peringkat sebelum ini.

    Penyerahan watikah pelantikan semua calon itu disempurnakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Senai, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.

    Guan Eng berpuas hati dengan barisan calon yang akan bertanding pada PRN Johor bagi mengulangi kejayaan menang semua kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    “Kita telah membuat beberapa banyak tapisan dan menerusi beberapa perjumpaan. Itu satu proses yang agak ada kesukaran dan sulit namun akhirnya kita capai satu muafakat dalam pemilihan calon.

    “Tentunya ada yang kecewa apabila tidak dipilih, itu adalah perkara biasa dan yang penting ialah akhirnya kita dapat bersatu untuk memastikan calon kita menang.

    “Ini kerana akhirnya bukan individu yang bertanding itu jadi ukuran tetapi simbol dan logo DAP dan PH yang bertanding, itu yang kita kena menangkan,” katanya ketika ditemui pemberita.

    Selain Chin Tong dan Marina, DAP turut memperkenalkan tiga muka baharu iaitu Ng Kor Sim yang akan bertanding di kerusi DUN Jementah serta juga ahli jawatankuasa DAP Johor, M. Kanan (Bekok) dan bekas Ketua Whip DAP Ahli Majlis Perbandaran Kulai, Wong Bor Yang (Senai).

    Bekas ADUN Senai Alan Tee Boon Tsong akan bertanding di kerusi DUN Yong Peng.

    Parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu turut mempertaruhkan lapan calon yang akan mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU-14.

    Calon yang akan mempertahankan kerusi mereka ialah Chew Chong Sin Yang akan mempertahankan kerusi Mengkibol, Andrew Chen Kah Eng (Stulang), Liow Cai Tung (Johor Jaya) dan Ng Yak Howe (Bentayan).

    Turut dicalonkan di kawasan Yang dimenangi mereka ialah Yeo Tung Siong (Pekan Nanas), bekas Timbalan Speaker Johor, Gan Peck Cheng (Penggaram), Pembantu Setiausaha Organisasi Dapsy, Eric Ee Chin Li (Tangkak) dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Ali (Paloh).

    Sebelum ini DAP diperuntukkan PH 16 daripada keseluruhan 56 kerusi, tetapi bersetuju menyerahkan kerusi Machap dan Bukit Permai kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

  • Calon PBM Tiram ikrar bantu masalah pencemaran, setinggan

    Calon PBM Tiram ikrar bantu masalah pencemaran, setinggan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Parti Bangsa Malaysia (PBM), Mohd. Azmi Ali di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram berazam membantu mengatasi masalah pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang jika menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Anak kelahiran Ulu Tiram yang berusia 51 tahun itu berkata, dua isu berkenaan boleh disifatkan masalah utama di kawasan tersebut.

    “Sehingga kini masih wujud lagi isu pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim dan ini jelas ada industri terbabit serta tular dalam media sosial baru-baru ini.

    “Begitu juga dengan nasib penduduk setinggan yang selalu terlepas pandang, sekiranya saya diamanahkan sebagai wakil rakyat, saya pasti akan memperjuangkannya. Semoga penduduk Tiram terima saya,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis PBM memperkenalkan empat calonnya yang akan bertanding dalam PRN Johor yang diumumkan Timbalan Presiden PBM, Haniza Talha di Puteri Wangsa, Johor Bahru, hari ini.

    Calon DUN Stulang, Muhammad Saiful Bahari Sahari, 33, pula yakin kebolehannya bertutur dalam Bahasa Mandarin memberi peluang kepadanya mendekati penduduk berbilang bangsa termasuk Tionghua di kawasan itu.

    Muhammad Saiful mendakwa sudah tidak asing lagi kawasan itu kerana pernah menyantuni penduduk setempat dengan menjayakan program amal.

    “Saya mengutamakan konsep perpaduan dan kesejahteraan negara dan sekiranya diberi peluang bergelar wakil rakyat, saya akan membantu masyarakat berbilang bangsa,” katanya.

    Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon, 64, yang bertanding kerusi DUN Puteri Wangsa pada kali ini akur dengan keputusan pucuk kepimpinan PBM supaya bertanding di kawasan berkenaan.

    “Antara kekangan saya hadapi sebelum ini terutama ketika berurusan dengan agensi kerajaan negeri berkaitan isu di DUN diharap dapat

    diatasi sekiranya saya menang di Puteri Wangsa.

    “Saya yakin ia memantapkan lagi perkhidmatan saya. Saya sudah bergiat dalam politik lebih 15 tahun dan mungkin saya boleh berkongsi

    pengalaman saya bersama calon baru,” ujar Naib Presiden PBM dan Pengerusi PBM Johor itu.

    Calon termuda PBM di DUN Maharani, Muhammad Hanis Asmui, 28, juga yakin mampu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekirnya terpilih walaupun masih muda dan itu bukan halangannya.