Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KEPUTUSAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) calonnya akan menjadi bibit awal rosaknya kerjasama melibatkan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, situasi tersebut masih boleh ‘diselamatkan’ bagi mengelakkan pertindihan kerusi benar-benar berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Memilih untuk tidak memenangkan mana-mana pihak, Guan Eng menjelaskan, masih ada masa sebelum hari penamaan calon kedua-dua parti itu bermusyawarah bagi mencari titik persefahaman.

“Oleh itu, Kita berharap mereka (Muda dan PKR) dapat duduk berbincang semeja supaya mengelakkan pertembungan di kerusi yang sama, ia hanya melibatkan satu kerusi sahaja.

“Saya optimis mereka mampu mencapai kata sepakat untuk elakkan sebarang pertembungan pada PRN Johor ini walaupun satu kerusi, kita tidak mahu menjadi seperti Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis memperkenalkan Liew Chin Tong dan Marina Ibrahim sebagai pelengkap calon DAP pada PRN Johor di Senai, Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan Rasid Abu Bakar yang juga merupakan Ketua Penerangan Muda Johor sebagai calon bertanding di kerusi DUN Larkin.

Syed Saddiq berkata, pihaknya sudah cuba menjalankan rundingan demi rundingan dengan PKR malah menghormati parti itu yang telah umum calon di kesemua 20 kerusi mereka.

Ditanya sama ada beliau berharap salah satu parti menarik diri, Guan Eng bagaimana pun enggan campur tangan dalam isu tersebut.

Pada masa sama beliau turut menyuarakan kekecewaan apabila calon Muda yang disenaraikan setakat ini tidak melibatkan presiden parti, Syed Saddiq yang lantang bersuara sebelum ini.

“Saya harap beliau bertanding tetapi itu terpulang kepada kepimpinan parti Muda. Pemimpin seharusnya memimpin bukan sahaja untuk menang PRN dan hati rakyat tetapi membawa agenda yang diperjuangkan.

“Pemimpin seperti ini harus memimpin dari depan dan bukannya duduk di belakang. Sebab itu, walaupun Chin Tong enggan bertanding namun dia akur keputusan parti kerana pemimpin haruslah memimpin di hadapan,” ujarnya.

Syed Saddiq yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar bagaimanapun masih berteka-teki berhubung sama ada beliau bakal turut bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here