Tag: PRN Johor

  • Pertembungan tujuh penjuru di DUN Kempas

    Pertembungan tujuh penjuru di DUN Kempas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) Nur Faizal Abdullah, 49, tiba paling awal ke pusat penamaan calon Dewan Kompleks Perumahan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kempas, Johor Bahru pada pukul 8 pagi.

    Beliau merupakan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai dan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) selain aktif dalam kegiatan kemasyarakatan.

    Calon kedua yang hadir ialah calon Bebas yang merupakan seorang guru matematik, Mohd. Azwan Abd. Rahman, 40, tiba pada pukul 8.15 pagi.

    Seorang lagi calon Bebas, Mohd. Hambali Munadi, 61, yang merupakan bekas ketua Kampung di Kempas tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.30 pagi.

    Pada pukul 8.40 pagi, calon Barisan Nasional (BN), Timbalan Ketua UMNO Pulai, Datuk Ramli bohani tiba ke pusat penamaan calon.

    Calon PKR, Napsiah Khamis Maharan yang merupakan Ketua Wanita PKR Johor tiba pada pukul 9 pagi sebaik kaunter penyerahan borang penamaan calon dibuka.

    Anak kepada bekas Menteri Besar, Nornekman Osman yang merupakan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) tiba lima minit kemudian.

    Sementara calon Bebas, Mohd. Suhimi A. Rahman, 62, yang juga calon terakhir yang tiba 20 minit sebelum tempoh penyerahan borang pencalonan ditutup.

    Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas akan menjadikan pertembungan tujuh penjuru antara PN, PH, BN, Pejuang dan tiga calon Bebas.

  • Calon BN DUN Sungai Balang, Tanjung Surat ditukar saat akhir

    Calon BN DUN Sungai Balang, Tanjung Surat ditukar saat akhir

    CALON Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang ditukar pada saat-saat akhir.

    Memetik laporan Malaysiakini, Setiausaha UMNO Bahagian Muar, Selamat Takim, 57, menggantikan Mohd Helmi Abdul Latif.

    Khamis lalu, Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad mengumumkan Mohd Helmi akan bertanding di kerusi berkenaan.

    Walau bagaimanapun, difahamkan pertukaran calon berlaku dalam masa kurang 24 jam selepas akar umbi di Sungai Balang membantah keputusan pucuk pimpinan mencalonkan Mohd Helmi.

    Mereka menyifatkannya sebagai ‘orang luar’.

    Selain itu, BH pada Khamis lalu turut melaporkan pertukaran calon BN bagi kerusi DUN Tanjung Surat.

    Datuk Syed Sis Abd Rahman yang menyandang kerusi itu selama dua penggal digantikan dengan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Aznan Tamin.

    Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam hantaran di Facebook turut mengucapkan tahniah kepada Aznan yang juga Ketua Pemuda Bahagian Pengerang. 

  • Proses penamaan calon PRN Johor bermula hari ini

    Proses penamaan calon PRN Johor bermula hari ini

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung di 56 pusat penamaan yang akan dibuka pada 9 pagi.

    Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.

    Sebaik urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding bagi PRN berkenaan.

    Menurut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti tidak dibenarkan di pusat-pusat penamaan calon.

    Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Pakatan Harapan (PH) bersama rakan strategiknya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA); Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Parti Warisan (Warisan); Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengesahkan bertanding pada PRN Johor.

    Menerusi pengumuman calon yang dibuat, dijangka 223 calon dari parti-parti berkenaan akan mengemukakan borang pencalonan hari ini.

    Setakat Khamis lepas, sejumlah 894 borang penamaan calon telah pun terjual.

    Berbeza dengan PRN sebelum ini, SPR membenarkan penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah sepanjang tempoh 14 hari berkempen.

    Bagaimanapun ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi, dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang serta penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Tempoh setiap sesi ceramah, syarahan, kempen hanya selama dua jam dan tidak melebihi pukul 10 malam manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

    Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan adalah tidak melebihi lima orang, namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah dan aktiviti mengedarkan risalah perlu dibuat di luar pagar.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di satu dua tempat di Johor pada pagi, petang dan malam.

    SPR menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac.

    Seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN itu.

    Daripada jumlah keseluruhan itu, 22,531 orang merupakan pengundi awal melibatkan 10,955 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,576 pula anggota polis selain 376 pengundi tidak hadir luar negara.

    Proses penyerahan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir pada pukul 10 pagi ini.

    Proses yang bermula pada pukul 9 pagi melibatkan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor itu, berjalan lancar.

    Sebaik proses penyerahan borang selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding bagi PRN berkenaan. 

    Menurut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti tidak dibenarkan di pusat-pusat penamaan calon.

    Hanya calon serta pencadang dan penyokong calon tersebut dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon. – BERNAMA

  • Pejuang tidak hasrat runding dengan Muda pertembungan 7 kerusi

    Pejuang tidak hasrat runding dengan Muda pertembungan 7 kerusi

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak berhasrat berunding dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), susulan pertembungan kedua-dua parti itu di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu tidak menjangka Muda akan bertanding di kawasan pengundi Melayu, sekali gus menyaksikan pertembungan antara dua parti baharu itu.

    “Kita sebenarnya tiada apa-apa masalah dengan Muda, tetapi daripada awal lagi kami berpendirian kami mahu bertanding di kawasan-kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

    “Kita tidak sangka yang Muda juga minat kerusi-kerusi seperti itu (pengundi Melayu), kerana kita ingatkan fokus Muda lebih kepada kawasan bandar dan pinggir bandar,” katanya selepas melancarkan Jentera Sayap Pejuang Muda dan Pejuanita Muda sempena PRN Johor, Simpang Renggam, Kluang, hari ini.

    Bagaimanapun, Mukhriz berkata, parti itu menerima hakikat bahawa sesiapa boleh menampilkan calon pada PRN Johor dan akan berlaku pertembungan, dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

    Tujuh kerusi yang menyaksikan pertembungan antara kedua-dua parti yang buat pertama kali bertanding pada PRN Johor adalah DUN Tenang, Parit Raja, Machap, Larkin, Puteri Wangsa, Bukit Permai dan Bukit Kepong.

    Sebelum ini, Mukhriz mengakui Pejuang sedang mengadakan perbincangan untuk menjalinkan kerjasama bersama Muda, pada PRN Johor kali ini.

    Mengulas mengenai pertukaran calon Pejuang bagi DUN Endau, Zaini Tahar, Mukhriz berkata, ia adalah permintaan sendiri Zaini selepas beliau disahkan positif Covid-19, kerana tidak mahu mengganggu perjalanan kempen PRN Johor.

    “Kita pun sedar jika positif Covid-19 kena kuarantin tujuh hingga 10 hari. Jadi calon tidak dapat berjumpa dengan pengundi sendiri,” katanya.

    Zaini telah digantikan oleh Mohd Noorhisyam Ibrahim di kerusi berkenaan.

    Esok adalah hari penamaan calon bagi PRN Johor, manakala pengundian pada 12 Mac. – Bernama

  • 10 calon muda Pejuang profesional dan bersih

    10 calon muda Pejuang profesional dan bersih

    SERAMAI 10 calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) merupakan golongan profesional yang bersih dan tidak terpalit dengan gejala parti-parti lama terutama UMNO.

    Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberitahu, mereka terdiri daripada sayap Pejuang Muda dan Pejuanita Muda.

    “Semua anak muda daripada mereka hampir 100 peratus bukan daripada parti-parti lain khususnya UMNO.

    “Ada juga daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dahulu yang ikut kami, tetapi saya ingat tiada daripada UMNO.

    “Oleh sebab itu, mereka ini bersih dan tidak terpalit dengan parti lama kami,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Pejuang Muda dan Pejuanita Muda PRN Johor, Simpang Renggam, Kluang, hari ini.

    Tambah Mukhriz, kebanyakan daripada anak muda yang dipilih sebagai calon PRN Johor itu ikhlas berjuang dan berkhidmat untuk rakyat.

    Sementara itu, Ketua Pejuang Muda, Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, calon yang dipilih bukan sahaja muka baharu tetapi berlatar belakang bidang profesional.

    “Maka ini perlu untuk penglibatan mereka dalam parti politik, dalam mengubah keadaan semasa.

    “Ini kerana kami sedar yang akan menjadi mangsa terbesar kepada kekusutan politik dan masalah dalam negara ini adalah kami.

    “Jadi PRN Johor ini adalah platform terbaik untuk menampilkan calon-calon ini seperti mana diharapkan oleh media sosial untuk muka-muka baharu, terutama anak muda,” ujarnya.

  • Pertembungan kerusi PKR-Muda di Larkin:Amanah sokong calon PKR

    Pertembungan kerusi PKR-Muda di Larkin:Amanah sokong calon PKR

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Amanah Negara (Amanah) akan mengambil keputusan menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin yang melibatkan pertembungan PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

    Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, parti itu membuat pendirian untuk menyokong calon PKR sekiranya keputusan Muda kekal bertanding di kerusi Larkin.

    “Bagi Amanah, PKR adalah rakan gabungan. Oleh itu di mana berlakunya pertindihan antara PKR dan Muda di kerusi yang telah diamanahkan kepada PKR, Amanah akan menyokong calon PKR.

    “Pada masa sama, di kerusi yang telah Amanah serahkan pada Muda, dari kerusi-kerusi diamanahkan kepada Amanah, Muda hendaklah dianggap mewakili Amanah.

    “Semua rakan gabungan PH, termasuk PKR, hendaklah menyokong calon Muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan Dr. Zamil Najwah Arbain sebagai calon mereka di DUN Larkin.

    Sementara itu, Muda semalam mengumumkan Ketua Penerangan Muda Johor, Rasid Abu Bakar sebagai taruhan parti itu untuk kerusi tersebut.

    Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti tersebut menyerahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan terbaik sama ada memilih Muda atau PKR.

    Selain calon PKR dan Muda, turut dijangka bertanding di DUN Larkin ialah Ketua Pemuda UMNO Johor, Hairi Md Shah (UMNO); Zulkifli Bujang (Perikatan Nasional) dan Mohamad Riadz Mohamad Hashim Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Mengulas lanjut, Khalid berkata, pertindihan kerusi DUN Larkin antara PKR dan Muda hanya akan menguntungkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    Beliau turut menyifatkan perkara itu amat malang jika ia tidak dapat diselesaikan kerana Pakatan Harapan (PH) telah membentuk kerjasama dengan Muda sejak awal.

    Sekiranya perkara itu tidak dapat dielakkan, beliau berharap supaya pertindihan dan persaingan antara parti-parti pembangkang dihadkan kepada kerusi terlibat sahaja, manakala semangat kerjasama kekal dipertahankan di kerusi selainnya.

    Katanya, usaha itu bagi mendukung matlamat sama untuk menafikan kemenangan kepada UMNO-BN serta menghalang kembalinya kepimpinan yang mendukungi ‘Kluster Mahkamah’.

  • Calon PBM jamin kempen tiada politik membenci, perkauman, fitnah

    Calon PBM jamin kempen tiada politik membenci, perkauman, fitnah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan memberi kelainan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan bermula esok dengan tidak memainkan isu perkauman, fitnah, benci membenci dan adu domba.

    Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad yang memberi jaminan itu berkata, pendekatan tersebut adalah budaya politik baharu dibawakan PBM.

    “PBM akan membawa agenda segar untuk negara bangkit semula daripada kelesuan hubungan antara kaum, ekonomi, sains, teknologi dan pendidikan.

    “Ini adalah masa untuk politik negara kembali ke landasan yang betul. Langkah dinamik dan berani ini mengesahkan iltizam PBM yang komited untuk membawa misi ‘The Great Reset 2030’ ke arus perdana politik nasional.

    “Permasalahan sistemik dan sosial yang digariskan dalam enam teras perjuangan PBM akan menjadi tema utama sepanjang tempoh kempen PRN ini.

    “Medan pilihan raya ini juga akan mencorak naratif baharu politik dengan nuansa berbeza yang akan dihidangkan PBM melalui program kempen serta pendekatannya.

    “Tiada politik benci membenci, membakar api perkauman, fitnah dan rekayasa yang mengadu domba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Nor Hizwan berkata, peluang meletakkan kembali negara ke landasan yang betul terletak di tangan pengundi Johor, khususnya pengundi muda dan wanita.

    Parti itu katanya, sedar PBM berdepan cabaran besar dalam menempuh PRN ini, terutama dengan jentera gergasi parti politik veteran dan kemampuan kewangan.

    “Namun saya juga percaya, kuasa undi rakyat akan dapat melakukan sesuatu bagi memulakan langkah baharu Malaysia menuju kegemilangan semula, lupakan politik lama,” katanya sambil merayu agar rakyat Johor memberikan peluang kepada PBM yang bertanding di empat kerusi.

    Semalam, PBM mengumumkan calonnya iaitu Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon, 64, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Muhammad Saiful Bahari Sahari, 33, (Stulang), Mohd. Azmi Ali, 51, (Tiram) dan Muhammad Hanis Asmui Md. Salleh, 28, (DUN Maharani).

    DUN Puteri Wangsa dan Maharani sebelum ini disandang Parti Amanah Negara (Amanah), Stulang pula kerusi tradisi DAP, manakala DUN Tiram disandang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Nor Hizwan berkata, kualiti kepemimpinan Steven Choong melalui khidmat berterusan selaku Ahli Parlimen Tebaru diharap dapat meyakinkan pengundi berbilang kaum di kawasan terbabit pada PRN ini

    Sementara pencalonan Muhammad Saiful Bahari di Stulang pula bagi mencabar dominasi DAP di DUN berkenaan.

    Katanya, Muhammad Saiful Bahari adalah aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan politik yang juga fasih berbahasa Mandarin dan berpengalaman berkhidmat dengan syarikat multinasional sebelum ini.

    Mohd. Azmi pula katanya, anak jati Kampung Ulu Tiram berkelulusan ijazah syariah dari Universiti al-Azhar, Mesir.

    Beliau berkata, Mohd. Azmi juga bekas pegawai di Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) selain pernah berkhidmat lebih 10 tahun di syarikat korporat dan aktif dalam kerja kebajikan melalui NGO di kawasan Tiram.

    “Calon paling muda kami, Muhammad Hanis Asmui berpendidikan dalam bidang teknologi automotif diamanahkan bagi membawa hasrat dan idea segar untuk DUN Maharani, khususnya dalam bidang ekonomi dan teknologi,” katanya.

  • Beri pendedahan meluas kepada pengundi muda – Marina

    Beri pendedahan meluas kepada pengundi muda – Marina

    PENGUNDI khususnya yang berusia di antara 18 hingga 21 tahun perlu diberikan pendedahan lebih meluas mengenai penglibatan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Marina Ibrahim.

    Beliau berkata, sepanjang lawatannya ke sekitar pasar raya di Skudai, beliau mendapati ramai pengundi berumur 18 tahun yang ditemui masih tidak mengetahui mereka kini layak mengundi pada PRN Johor.

    “Ada di antara mereka (pengundi muda) tidak peka atau tidak terima maklumat mengenai Undi 18 ini,” katanya pada sidang media DAP yang turut dihadiri oleh setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng di Johor Bahru, hari ini.

    Marina merupakan antara 14 calon DAP yang bakal bertanding pada PRN Johor atas tiket Pakatan Harapan (PH), dan esok adalah hari penamaan calon bagi PRN Johor, manakala hari pengundian pada 12 Mac. – BERNAMA

  • MCA umum calon terakhir mereka di DUN Puteri Wangsa

    MCA umum calon terakhir mereka di DUN Puteri Wangsa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MCA hari ini mengumumkan calon terakhir parti itu yang bakal bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong hari ini yang membuat pengumuman itu berkata, Ketua MCA Bahagian Tebrau, Ng Yew Aik akan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi berkenaan.

    Katanya, MCA mendapat kerusi DUN Puteri Wangsa buat kali pertama dan berjanji akan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan BN dalam PRN Johor ini.

    “Jentera PRN MCA telah bersiap sedia untuk membantu semua calon BN tanpa mengira parti komponen sama ada UMNO atau MIC agar BN mendapat mandat untuk memimpin negeri Johor,” katanya.

    Beliau menyifatkan kemenangan MCA pada PRN Johor sangat penting memandangkan parti kaum Cina tidak memiliki sebarang kerusi DUN selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

    “Ini sangat penting kerana dalam komposisi kerajaan Johor yang dipilih pada 2018, MCA ketinggalan, kita tidak ada wakil MCA.

    “Jadi kita harus menebus kekalahan dan mencerminkan masyarakat majmuk Johor agar tiada kaum yang tertinggal dalam arus pembangunan negara,” katanya.

    Beliau juga memaklumkan daripada 15 calon MCA yang diketengahkan dalam PRN Johor, 10 calon adalah muka baharu yang dilihat dapat meraih keyakinan pengundi muda.

    Terdahulu beliau membuat pengumuman itu pada Sambutan Ulang Tahun MCA ke-73 di Dewan Persatuan Akhlak Che Ann Khor Yong Peng, Yong Peng, Batu Pahat, hari ini.

    Semalam, Ka Siong mengumumkan 14 daripada 15 calon parti itu yang akan bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac.

  • PRN Johor: Hadi yakin pengundi UMNO sokong PAS

    PRN Johor: Hadi yakin pengundi UMNO sokong PAS

    PAS menaruh keyakinan bahawa calon yang diketengahkan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan mampu meraih sokongan pengundi UMNO.

    Sambil menyifatkan pengundi UMNO sebagai ‘mesra’ PAS, Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, beberapa faktor telah dikenal pasti mampu mempengaruhi sokongan sekali gus memberi kejayaan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya itu nanti, lapor Sinar Harian.

    “Kita lihat, undi kita bergantung kepada mereka yang pertamanya ialah (pengundi) UMNO yang mesra kita, kedua, UMNO yang protes terhadap pimpinan dia dan (ketiga) mereka yang tidak lagi mengundi Pakatan Harapan (PH) kerana (merasakan) ditipu dalam pilihan raya lalu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha mingguan di Masjid Rusila Marang hati ini.

    Menurut Abdul Hadi , pembahagian kerusi bagi calon-calon PN dalam PRN Johor adalah telus, malah beliau menyifatkan momentum PRN Johor akan lebih berpihak kepada PN.

    “Saya melihat secara rambang antaranya ialah peningkatan undi ketika pilihan raya di Sabah. PN berjaya di Sabah di mana BN yang sebelum ini bertanding beberapa puluh kerusi tinggal beberapa belas sahaja.

    “PN dapat kemenangan besar dengan meraih sokongan pengundi ‘mesra’ PN. Di Melaka pula, UMNO dapat undi yang asal sahaja dan tidak mendapat undi baharu.

    “Jumlah undi kita (PN) meningkat dalam PRN di Melaka dan Sarawak. Jadi, kita harap momentum di Johor pun sama. Kita usaha seberapa banyak untuk menang, “ujarnya.

    PRN Johor menyaksikan calon-calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendominasi senarai calon-calon PN.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu mengetengahkan 33 calon manakala Pas (15) dan lapan daripada Parti Gerakan.

    Barisan Nasional (BN) pula bakal menampilkan lebih 70 peratus muka baharu di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dengan UMNO menampilkan 37 calon, MCA (15) dan MIC (empat).

    Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempertaruhkan 42 calon bagi PRN Johor, dengan 54 peratus daripada mereka terdiri daripada calon berusia di bawah 50 tahun, termasuk calon termuda berumur 26 tahun.