PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung di 56 pusat penamaan yang akan dibuka pada 9 pagi.

Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.

Sebaik urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding bagi PRN berkenaan.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti tidak dibenarkan di pusat-pusat penamaan calon.

Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Pakatan Harapan (PH) bersama rakan strategiknya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA); Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Parti Warisan (Warisan); Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengesahkan bertanding pada PRN Johor.

Menerusi pengumuman calon yang dibuat, dijangka 223 calon dari parti-parti berkenaan akan mengemukakan borang pencalonan hari ini.

Setakat Khamis lepas, sejumlah 894 borang penamaan calon telah pun terjual.

Berbeza dengan PRN sebelum ini, SPR membenarkan penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah sepanjang tempoh 14 hari berkempen.

Bagaimanapun ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi, dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang serta penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tempoh setiap sesi ceramah, syarahan, kempen hanya selama dua jam dan tidak melebihi pukul 10 malam manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan adalah tidak melebihi lima orang, namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah dan aktiviti mengedarkan risalah perlu dibuat di luar pagar.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di satu dua tempat di Johor pada pagi, petang dan malam.

SPR menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac.

Seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN itu.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 22,531 orang merupakan pengundi awal melibatkan 10,955 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,576 pula anggota polis selain 376 pengundi tidak hadir luar negara.

Proses penyerahan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir pada pukul 10 pagi ini.

Proses yang bermula pada pukul 9 pagi melibatkan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor itu, berjalan lancar.

Sebaik proses penyerahan borang selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding bagi PRN berkenaan. 

Menurut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti tidak dibenarkan di pusat-pusat penamaan calon.

Hanya calon serta pencadang dan penyokong calon tersebut dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here