Tag: PRN Johor

  • Undi Felda di Johor bukan lagi deposit tetap bagi BN? 

    Undi Felda di Johor bukan lagi deposit tetap bagi BN? 

    DARI jalan utama, laluan memasuki Kampung Felda Ayer Hitam di Machap, Kluang agak sempit.

    Meskipun sudah berturap tar, ada lagi beberapa jalan di kawasan itu yang masih bertanah merah.

    Di kiri dan kanan jalan, pengunjung boleh menikmati suasana kampung dengan ladang menghijau, sesekali terdapat gerai makan yang diusahakan penduduk.

    Suasana aman pada hari itu bertukar meriah apabila deretan kereta tidak henti-henti memasuki kampung tersebut, sambil diperhatikan penduduk.

    Kampung itu menerima kunjungan negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Beberapa keluarga berdiri di depan pintu rumah untuk melihat konvoi yang lalu-lalang.

    Meskipun julung kali bertanding, Pejuang yang mempertaruhkan jenama Mahathir berjaya mengumpulkan orang kampung yang berminat untuk mendengar ceramahnya.

    Kawasan Felda sebelum ini terkenal sebagai deposit kekal Barisan Nasional (BN) namun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, fakta itu mungkin tidak lagi terpakai.

    Bekas ketua kampung Felda Ayer Hitam, Mohd. Rashid Taha berkata, isu yang menjadi tumpuan penduduk di situ ialah masalah infrastruktur.

    “Pertama sekali jalan yang menyambung rumah generasi baru, dan generasi kedua terpaksa menggunakan paip yang terlalu panjang. Tiada ban air untuk mereka,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.

    Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dimenangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) walaupun parlimennya, Ayer Hitam kekal milik BN yang diwakili Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

    Namun beberapa penduduk Felda Ayer Hitam menjangkakan persaingan sengit antara Pejuang dan Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Rashid, sentimen penduduk terbahagi antara BN, PN dan Pejuang.

    Seorang penduduk di kampung itu berkata, meskipun BN mempunyai kekuatan ampuh di kawasan pedalaman, sikap angkuh sebilangan orang yang dilantik parti itu menyebabkan penduduk tidak berasa selesa dengan BN.

    Di Felda Tenggaroh 2, ketua peneroka Anuar Abd Ghani berkata, sentimen BN masih tebal dalam kalangan peneroka yang berusia 60 tahun ke atas.

    “Mesej BN dibawa oleh kaum wanita di sini, manakala lelaki mungkin lebih cenderung kepada PN.

    “Strategi Muhyiddin yang membawa agenda PN berhubung penyelesaian hutang peneroka juga mampu memenangi sebilangan hati pengundi di sini,” katanya merujuk kepada masalah hutang lapuk yang diwarisi peneroka sejak sekian lama.

    Kerajaan semasa pentadbiran Muhyiddin bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat pada tahun lepas.

    DUN Tenggaroh dimenangi oleh K. Raven daripada BN dengan majoriti 5,765.

    PRN Johor menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, PN, Pejuang dan PKR.

    Menurut Anuar, Pejuang mungkin tidak berpeluang di kawasan itu berikutan calon yang tidak dikenali oleh pengundi.

    Di Johor, sebanyak 20 DUN mempunyai kawasan Felda yang menjadi rebutan apabila nama-nama besar parti politik tidak ketinggalan untuk melawat dan berkunjung ke kampung-kampung Felda.

    Mengulas mengenai hayunan undi Felda kali ini, katanya terdapat perbezaan sentimen dan isu pada PRN kali ini berbanding dengan pada PRU-14 lepas.

    Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara,  Ismail Sualman bagaimanapun berkata isu hutang Felda tidak mempunyai impak yang besar memandangkan usaha itu belum dicapai sepenuhnya.

    “Ini menyebabkan ramai tak berpuas hati dengan apa yang dijanjikan pengurusan Felda kepada peneroka-peneroka.” katanya yang juga anak jati Johor.

    Menurut Ismail, pengundi Felda akan turut mengambil kira faktor kerajaan Pusat, yang mana mereka akan cenderung untuk menyokong BN sebagai kerajaan negeri.

    Namun ia bukan jaminan yang memboleh memberikan keselesaan kepada BN untuk kawasan-kawasan Felda.

    “Di sesetengah tempat Felda akan ada yang sokong Bersatu. Pada kali ini, tidak ada dominasi oleh satu parti.

    “Masih ada ruang dan peluang untuk mana-mana parti jika mampu memberikan impak pada saat-saat akhir,” katanya.

    Mengenai keupayaan Pakatan Harapan (PH) dan PKR, katanya peluang blok pembangkang itu agak sukar di kerusi Felda dan Johor secara umum.

    Ini kerana pengundi masih mengingati janji-janji yang tidak ditunaikan pada PRU-14 lepas.

    “Di Felda dalam kawasan DUN Layang-Layang yang ditandingi PKR contohnya, hayunan undi dijangka memihak kepada BN.”

    Bagi Rashid, dia tidak cenderung kepada mana-mana parti namun berharap agar kesejahteraan dan kemakmuran kampungnya menjadi keutamaan calon yang bakal mengisi jawatan tersebut pada 12 Mac ini.

  • Lelaki menyamar ‘penguat kuasa wanita SPR’ sabotaj kempen PN

    Lelaki menyamar ‘penguat kuasa wanita SPR’ sabotaj kempen PN

    KURANG seminggu lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan berlangsung dan calon-calon Perikatan Nasional (PN) menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada Bangsa Johor.

    Perkembangan yang luar biasa itu menyaksikan kebangkitan Bangsa Johor yang inginkan perubahan dan bebas daripada cengkaman UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    Mereka juga tidak mahu kembali mengalami igauan ngeri hidup menderita di bawah kekuasaan rejim Pakatan Harapan (PH).

    Namun, pihak lawan dipercayai cuba menggunakan taktik kotor bagi mensabotaj kempen yang dianjurkan PN di Johor.

    Seperti yang didedahkan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi, pihak lawan tergamak menggunakan beberapa individu untuk menyamar sebagai ‘penguat kuasa Suruhanjaya PIlihan Raya (SPR)’.

    Beliau berkata, insiden memalukan itu berlaku pada program anjuran PN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani malam kelmarin.

    “Saya duk mempengerusi majlis kat atas. Ada pulak dua tiga orang perasan kenapa saya duk pandang kiri dan kanan.

    “Saya duk nampak kat belakang tu ada dua tiga orang masuk. Dan apabila dua tiga orang masuk ni dia macam duk tercari-cari sana sini, macam nak buat kacau sikit.

    “Tapi pakai baju penguat kuasa. Dan apabila saya duk nampak kat belakang tu saya bagitau tengok apa tengah jadi tu.

    “Rupa-rupanya ada dua orang datang dan mengatakan mereka mewakili SPR, mengarahkan supaya program kita dihentikan serta-merta.

    “Bila diperiksa betul-betul oleh pegawai-pegawai kita, pembantu-pembantu, petugas-petugas kita, rupa-rupanya yang datang tu dah la berjanggut berjambang rambut panjang tapi kad kuasanya namanya ‘Halina’.

    “Nama ayu, gambarnya putih melepak tapi datang lelaki, kad kuasa perempuan,” katanya dengan disambut gelak ketawa daripada hadirin.

    Sehubungan itu, Wan Saiful mengingatkan pihak lawan agar ‘menyambung wayar otak’ mereka betul-betul kalau ingin mensabotaj program kempen PN.

    “Jangan datang sini, datang program kita dengan niat tak baik. Bukan sekali, berkali-kali sebelum ini pun ada lagi,”

    Beliau turut menerima laporan dan gambar-gambar daripada Bilik Gerakan Utama PN tentang insiden tersebut.

    Antara kegiatan sabotaj yang dilakukan termasuk menjatuhkan dan mengoyakkan poster PN serta menampal kain putih dengan tulisan ‘Rakyat Johot tolak PN’ pada kain rentang PN.

    “Ini adalah kerja-kerja yang umurnya puluhan tahun. Bagi saya, ini menunjukkan bahawa di sebelah sana sedang bimbang dengan kebangkitan rakyat Johor,” jelasnya.

  • Isu Felda:Azmin cabar Najib berdebat

    Isu Felda:Azmin cabar Najib berdebat

    KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat dengannya mengenai isu Felda sebelum proses pengundian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Beliau berkata, isu Felda penting dan menarik untuk didebatkan apatah lagi tanah rancangan tersebut terjejas teruk semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

    “Isunya Felda dimusnahkan di zaman pentadbiran beliau ketika itu. Kita ada fakta-fakta bagaimana pembelian banyak hartanah di luar negara (seperti) di Kensington, di Sarawak dan sebagainya.

    “Itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis. Kertas Putih itu telah pun membuktikan bahawa pengkhianatan terhadap peneroka Felda.

    “Itu terlalu jelas dan beliau tidak boleh mendabik dada bahawa UMNO menyelamatkan Felda,” dakwanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ceramah Umum Ikrar Demi Bangsa Johor di markas PAS kawasan Muar, cawangan Parit Pechah, Muar, malam tadi.

    Azmin yang merupakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga mendakwa, kepimpinan Najib telah menghancurkan peneroka dan masa depan Felda.

    “Saya sebut tadi angka-angka bagaimana tanah-tanah Felda dipajak kepada FGV, sebelum itu pendapatan Felda amat besar untuk menampung operasi Felda dan juga kebajikan peneroka Felda.

    “Tetapi akhirnya lihat saham FGV merudum daripada RM4.55 kepada 64 sen, hutang Felda melebihi RM10 bilion, terpaksa mengambil sukuk dan ini terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

    “Ini semua harus dizahirkan dan dimaklumkan kepada peneroka Felda untuk memberikan ruang dan kesempatan kepada Perikatan Nasional untuk terus membela nasib mereka dan masa depan Felda,” jelasnya.

    Mengulas mengenai kaedah debat, Ahli Parlimen Gombak itu terbuka dengan pelbagai kaedah.

    “Apapun boleh. Secara maya juga boleh sebab norma baharu,” katanya.

  • Penduduk Bukit Kepong patut tutup pintu bila ‘pencuri’ datang

    Penduduk Bukit Kepong patut tutup pintu bila ‘pencuri’ datang

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berseloroh berkata, beliau terlupa untuk mengingatkan penduduk Bukit Kepong menutup pintu semasa Datuk Seri Najib Tun Razak datang melawat ke sana beberapa hari lalu.

    Beliau dalam nada sinis memberitahu mereka patut berbuat demikian kerana ‘pencuri’ sudah datang ke kampung mereka.

    “Hari tu dia sampai kat Bukit Kepong, kampung saya, saya lupa nak beritahu orang kampung tutup pintu dan tingkap rapat-rapat.

    “Saya tak takut cakap ni pasal kita cerita yang betul,” katanya ketika berucap pada majlis santai bersama beliau di Kompleks PAS Batu Pahat malam ini.

    Majlis tersebut turut disertai pemimpin-pemimpin PN yang lain iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Datuk Rashid Hasnon, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Datuk Ali Biju dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri bimbang jika rakyat Johor membuat kesilapan dengan mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada 12 Mac ini.

    “Zaman dacing sudah berlalu, sekarang adalah masa PN,” ujarnya.

    Beliau turut mengingatkan bahawa usaha menghalang penyelewengan dan salah guna kuasa yang membarah dalam UMNO dan BN adalah satu jihad.

    “Saya berjanji kita nak membentuk kerajaan yang bersih, berintegriti dan prihatin di Johor. Itu azam saya,” tegasnya.

  • Prihatin semua kaum, ini komitmen Muhyiddin dan PN

    Prihatin semua kaum, ini komitmen Muhyiddin dan PN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin amat teruja dengan sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina di Johor terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam majlis makan malam yang dihadiri oleh lebih 800 orang masyarakat Cina di Johor Bahru malam tadi.

    Menurut Pengerusi PN itu, ramai pimpinan masyarakat Cina yang hadir.

    “Saya jelaskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan saya sebelum ini untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat semasa pandemik Covid-19.

    “Ini termasuk pelbagai bantuan yang diberikan kepada individu dan perniagaan seperti bantuan bakul makanan, moratorium pinjaman bank, pengeluaran caruman KWSP, subsidi upah dan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu turut menegaskan komitmen PN untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri Johor, menggalakkan pelaburan di negeri itu, menyediakan pekerjaan, meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat seperti yang terkandung dalam Ikrar PN Untuk Johor.

    Muhyiddin turut menekankan peri penting nilai integriti dan amanah dalam kepimpinan kerajaan.

    “Hanya kepimpinan yang berintegriti dan beramanah dapat memacu kemajuan negeri dan negara.

    “Tiada ketirisan, tiada pembaziran, tiada penyelewengan. Barulah rakyat dapat merasa erti pembangunan, kemajuan dan kestabilan yang sebenar,” jelasnya.

    Seorang tetamu yang hadir bertanya kepada Muhyiddin apa jaminan PN akan berlaku adil kepada semua kaum.

    “Saya beritahu rekod saya sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional, saya tidak pernah bertanya apa kaum orang yang menerima vaksin, bakul makanan dan pelbagai bentuk bantuan dan pakej rangsangan ekonomi yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion.

    “Semua dibantu dan dilayan secara adil dan saksama,” ujarnya.

    Beliau menambah, prinsip PN sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin ialah membantu semua rakyat tanpa mengira kaum.

    Muhyiddin memberitahu, tiada seorang pun yang akan dibiarkan ketinggalan walau apa kaum dan agamanya.

    “Ini komitmen saya dan PN,” katanya.

  • Peniaga kecil bersyukur terima bantuan kerajaan PN

    Peniaga kecil bersyukur terima bantuan kerajaan PN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa bersarapan pagi di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru hari ini.

    Berikut adalah hantaran penuh yang dikongsikan dalam Facebook:

    Hari ini saya singgah ke Medan Niaga Kampung Melayu Majidee untuk bersarapan pagi.

    Turut bersama saya ialah calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin,  Zulkifli Bujang.

    Medan niaga ini menempatkan pasar awam dan medan selera dan menjadi salah satu tempat tumpuan para penduduk setempat untuk membeli barang keperluan harian, bersarapan dan makan tengah hari.

    Saya mengambil peluang bertemu dan bertanya khabar dengan para peniaga kecil di bahagian pasar dan gerai makan.

    Beberapa peniaga yang saya temui di situ turut melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan Perikatan Nasional ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Peniaga Sup Meletop SZ,  Syukur Ahmad , 75, memberitahu dia adalah antara penerima Bantuan Khas Prihatin ketika PKP dan bantuan  tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban hidup ketika itu.

    Pengusaha Warisan Pak Atan Sate Salleh, Nurwahidah Salleh
    pula bersyukur kerana menerima Geran Khas Prihatin  (GKP) yang begitu besar maknanya kerana semua perniagaan ditutup dan tidak ada langsung sumber pendapatan  langsung.

    Pada sebelah petang pula, saya meluangkan masa untuk sesi minum petang bersama beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia, Dewan Perniagaan Cina dan ketua-ketua masyarakat di Restoran Adam Kitchen, Bandar Indahpura, Kulai.

    Selepas majlis tersebut saya ke Restoran 7 Beradik, Bandar Putra Permai bagi menghadiri sesi Yok Ngeteh bersama ketua-ketua NGO dan pemimpin komuniti setempat.

    Undilah Perikatan Nasional.

  • PN hanya jemputan, bukan penganjur

    PN hanya jemputan, bukan penganjur

    PERIKATAN Nasional (PN) bukan penganjur Majlis Makan Malam dan Persembahan Tarian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), Johor Bahru.

    Menurut laporan Free Malaysia Today (FMT), Setiausaha Eksekutif PN, Saiful Adli Mohd Arshad, dipetik sebagai berkata, kehadiran pemimpin PN adalah atas jemputan penganjur iaitu komuniti perniagaan Cina tempatan.

    “Program bukan anjuran PN dan kehadiran pemimpin PN adalah atas jemputan. Persembahan adalah anjuran penganjur,” katanya.

    Menurut FMT, kenyataan itu dibuat bagi menjawab tohmahan susulan penularan video yang memaparkan kehadiran pemimpin PN pada majlis makan malam itu.

    Mereka termasuk Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.

    Video berdurasi 12 saat tular dalam media sosial memaparkan beberapa wanita berpakaian seksi dan menari di hadapan pemimpin politik tertinggi itu.

  • DUN Endau: Masalah pengairan sawah padi antara tumpuan Alwiyah

    DUN Endau: Masalah pengairan sawah padi antara tumpuan Alwiyah

    ISU masalah pengairan yang dialami oleh petani-petani sawah padi di Kampung Semaloi, Endau, Mersing yang tidak berkesudahan sejak beberapa tahun lalu membuatkan Calon Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib tidak mahu lagi memanjangkan kesusahan mereka.

    Bercakap kepada SatuBerita, Alwiyah memaklumkan kebanyakkan sawah padi yang terdapat di Kampung Semaloi tidak mendapat pengairan yang secukupnya, menyebabkan pertumbuhan padi agak terbantut sehingga petani-petani di kawasan berkenaan terpaksa menanggung rugi yang banyak.

    “Ada beberapa kawasan sawah padi di bahagian belakang tidak mendapat air daripada empangan dengan mencukupi kerana air sudah diserap oleh padi di bahagian depan. Secara tidak langsung, petani terjejas dari segi pendapatan dan sebagainya,” katanya.

    Alwiyah yang merupakan penyandang Ahli DUN Endau sejak 2018 itu berkata, beliau sentiasa menyuarakan keluhan petani-petani di kawasan berkenaan di persidangan DUN, namun permasalahan itu masih tidak mendapat perhatian secukupnya daripada pihak bertanggungjawab.

    “Isu ini bukan baharu, sudah beberapa tahun tidak selesai. Dahulu pun sudah ada ura-ura untuk sawah padi di kampung Semaloi itu diletakkan di bawah seliaan AIDA, namun sehingga kini tiada khabar. Malah, saya sentiasa menyuarakan isu ini di peringkat sidang Dewan Undangan Negeri.

    “Kalaulah sawah padi di Kampung Semaloi ini boleh mendapat sistem perairan yang lebih lancar, kuranglah sikit beban petani-petani disini. Mereka sangat mengharapkan perkara ini dua kali setahun pun sudah memadai. Lebih kesian kepada yang sawah mereka duduk di bahagian bawah, air dah tak dapat,” ujarnya.

    Dalam pada itu katanya, Alwiyah turut menyorotkan perhatian terhadap aspirasi pembangunan nelayan apabila nelayan di pantai DUN berkenaan mengalami kesukaran akibat paras muara sungai yang agak cetek.

    “Pantai di Endau ini, perairannya agak cetek. Jadi, bot-bot nelayan tidak dapat masuk rapat ke pantai, mereka kena tunggu air pasang. Maka amat penting untuk kita dalamkan kawasan tersebut.

    Mengulas berkenaan pengundi baharu seramai kira-kira 8,000 orang di DUN Endau, beliau sedang dalam persiapan untuk mengadakan satu majlis perjumpaan santai bersama-sama golongan belia di DUN berkenaan bagi mendengar cadangan dan keperluan mereka.

    “Kita mengharapkan mereka pulang untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Perikatan Nasional akan memberikan perhatian yang penuh kepada suara-suara dan kehendak mereka. Antara kehendak mereka adalah seperti peluang pekerjaan di halaman mereka sendiri. Kita akan berikan perhatian.

    “Saya yakin mereka juga tidak akan suka dengan elemen-elemen buruk seperti rasuah, pilih kasih, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Itulah Perikatan Nasional mahu tonjolkan dalam menawarkan tadbir urus yang baik serta berintegriti selain menjaga kebajikan anak-anak muda ini,” katanya lagi.

    Menurutnya lagi, beliau sentiasa berpegang kepada cogan kata ‘Sejahtera Endau’ yang merangkumi kesejateraan dalam semua aspek seperti kerohanian, kebajikan serta pembangunan.

    “Ini adalah untuk mensejahterakan Endau secara menyeluruh tanpa sesiapa pun yang dipinggir atau disisihkan,” ujarnya.

  • Hapus bayaran lesen, sewa tapak bakal rancakkan ekonomi – Ahmad Nawfal

    Hapus bayaran lesen, sewa tapak bakal rancakkan ekonomi – Ahmad Nawfal

    PENGHAPUSAN bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan bagi penjaja menerusi Ikrar Perikatan Nasional (PN) akan menarik lebih ramai rakyat untuk berniaga tanpa menghadapi tekanan dan bebanan.

    Calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mafodz berkata, pada masa yang sama merupakan satu galakan untuk merancakkan ekonomi negara terutama di Johor.

    “Itu adalah tawaran yang menarik peniaga dan penjaja kecil khususnya di kawasan Parit Yaani. Ia juga satu galakan untuk merancakkan ekonomi bila mana kita tidak mengenakan bayaran cukai atau lesen ini.

    “Usaha tersebut juga supaya lebih ramai yang berminat untuk berniaga tanpa tertekan atau terbeban lebih-lebih lagi dalam fasa pemulihan ketika ini.

    “Jadi apa yang penting sekarang ini untuk mengembalikan keyakinan kepada peniaga untuk keluar berniaga dan di situ akan datang aliran wang yang baik kepada mereka sekali gus meningkatkan ekonomi yang baik kepada masyarakat,” katanya.

    Jelasnya, sebelum ini, ramai daripada rakyat Malaysia sudah terbeban untuk berniaga akibat daripada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Dengan adanya ikrar berkenaan akan memudahkan mereka (rakyat) untuk berniaga dan ini yang kita hendakkan. Macam hari ini, kita boleh tengok ramai peniaga terkesan dengan PKP.

    “Jadi fokus di sini, Parit Yaani khususnya akan rancakkan ekonomi, banyak urusan jual beli sekali gus menjadikan Johor mempunyai limpahan ekonomi yang baik,” ujar beliau.

    Ahmad Nawfal berkata lagi, tawaran yang diberikan itu juga akan membantu mengurangkan kos yang mereka terpaksa hadapi.

    “Bila kita berbicara tentang kos sara hidup, selain daripada kita katakan pendapatan yang baik, mereka juga perlukan pengurangan kos.

    “Mana-mana kos yang boleh dikecualikan amatlah bagus dan memang galakan yang baik untuk penjaja,” kata beliau.

  • Tidak ada parti lain buat ikrar anti rasuah seperti PN

    Tidak ada parti lain buat ikrar anti rasuah seperti PN

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menjelaskan bahawa lafaz ikrar dan sumpah anti rasuah oleh 56 calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor adalah bukti kesediaan gabungan itu memerangi jenayah rasuah.

    Beliau berkata, janji tersebut antara lain menunjukkan sifat kesetiaan mereka kepada rakyat Johor untuk menegakkan integriti sebagai perjuangan parti.

    “Ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mac ini menyaksikan PN mempertaruhkan 56 calonnya bagi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Janji antirasuah yang diikrarkan kesemua 56 calon PN merupakan pembeza yang unik bagi PN.

    “Ikrar dan aku janji antirasuah ini adalah amalan PN yang mendokong prinsip integriti dan menentang rasuah dan tidak ada parti lain yang berbuat seperti kita.

    “Kepada rakyat Johor, ini bukti kesediaan kami untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Ini bukti kesetiaan kami kepada perjuangan menegakkan integriti. ‘Demi Maruah Bangsa Johor’,” katanya dalam kenyataan dalam Facebook beliau, hari ini.

    Wan Saiful berkongsi hantaran itu beserta pautan video ringkas berdurasi satu minit 11 saat memaparkan beliau berucap semasa program Ceramah Umum PRN Johor di DUN Parit Yaani, baru-baru ini.

    Memetik ucapan video tersebut, beliau berkata, apa yang ditawarkan PN adalah tawaran yang tidak mampu diberikan oleh parti-parti lain dalam pilihan raya negeri, termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pun tidak berani melakukan tindakan diambil PN.