Tag: PPS

  • Banjir: Satu PPS di Baling masih dibuka

    Banjir: Satu PPS di Baling masih dibuka

    RIZQI ZABIDI

    Satu daripada dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir kilat di Baling sejak Selasa lalu sudah pun ditutup pagi ini.

    Timbalan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd. Dzulhaidy Khalil berkata, PPS Dewan Tun Abdul Razak yang sebelum ini menempatkan tiga keluarga dan 14 mangsa sudah pun ditutup pukul 10 pagi tadi.

    Satu lagi pusat pemindahan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Puan Habsah masih dibuka.

    “Di PPS SK Tunku Puan Habsah, masih ada 13 individu daripada 4 keluarga yang ditempatkan di situ.

    “Kesemua mereka masih berada di pusat pemindahan kerana rumah masing-masing masih dalam proses pembersihan,” katanya.

    Difahamkan proses pembersihan tersebut dijangka akan dapat diselesaikan hari ini.

    Hujan lebat selama lebih sejam Selasa lalu menyebabkan beberapa runah di Mukim Baling, Mukim Bakai dan Mukim Siong dinaiki air.

  • Masalah kekurangan PPS telah ditangani – Rina

    Masalah kekurangan PPS telah ditangani – Rina

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menambah bilangan pusat pemindahan sementara (PPS), bagi mengatasi masalah lebihan kapasiti mangsa banjir di PPS, kata Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Beliau berkata, pada permulaan hanya 5,731 PPS yang berdaftar di seluruh negara dan kementerian telah menambah 78 PPS lagi bagi menampung pertambahan jumlah mangsa, terutamanya di kawasan teruk terjejas.

    “Bencana ini tidak diduga… ada rumah yang tidak pernah dinaiki air turut dinaiki air, yang penting mereka berjaya menyelamatkan diri dan kita bagi masuk (ke PPS berhampiran) sementara kita buka PPS lain, untuk pindahkan dan beri perlindungan kepada mereka,” katanya.

    Rina berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di Wisma Belia di Kuantan hari ini, yang menempatkan 224 individu daripada 63 keluarga dari sekitar Kuantan, yang mula dilanda banjir sejak Ahad lepas.

    Kementerian juga cuba menyediakan fasiliti dan keperluan kepada mangsa banjir sebaiknya dan sekiranya ada isu berbangkit, mangsa boleh menghubungi bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang beroperasi 24 jam sehari.

    Sementara itu, Rina berkata pihaknya menghargai kesudian pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan menghulurkan sumbangan, dan tidak akan menghalang proses penyampaian bantuan itu kerana tidak mahu kerenah birokrasi ‘mengganggu’ misi bantuan tersebut.

    “Bila orang nak bantu kita tidak boleh halang. Apa yang penting barang bantuan sampai kepada penerima, namun sekiranya mereka hantar ke pusat pemindahan seperti ini, pihak pengurusan boleh rekod dan tahu (barang) apa yang diterima dan apa lagi diperlukan mangsa menjadikan ia lebih teratur,” katanya.

    Rina juga berkata selain menempatkan kaunselor bertauliah untuk membantu psikososial mangsa banjir di PPS, unit pengamal ‘MamaCare’ di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut disediakan bagi membantu memberikan rawatan kepada ibu yang baharu melahirkan anak. – BERNAMA

  • 5,731 PPS mampu tampung 1.63 juta mangsa banjir

    5,731 PPS mampu tampung 1.63 juta mangsa banjir

    SEBANYAK 5,731 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara mampu menampung 1.63 juta mangsa bencana.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata penyediaan PPS itu bagi mendepani monsun timur laut yang telah bermula pada Oktober lepas dan dijangka berakhir Mac 2022.

    “Setakat pukul 11.30 malam tadi, sebanyak enam negeri telah dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

    “Sebanyak 220 PPS telah dibuka melibatkan 5,076 keluarga dan 13,872 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Rina berkata, bagi menangani penularan COVID-19, kesemua mangsa akan melalui saringan COVID-19 untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes COVID-19 sebelum penempatan dibuat di pusta pemindahan sementara berkaitan.

    Beliau berkata, kementeriannya telah menggerakkan 1,000 pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa di lokasi banjir.

    “Tambahan itu, pada masa ini seramai 500 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa di PPS yang beroperasi,” katanya.

    Rina turut menyeru orang ramai supaya memastikan keselamatan keluarga terutama kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya diberi keutamaan sewajarnya. – BERNAMA