Tag: PPDNHEP Pulau Pinang

  • Harga sayur, 8 notis dikeluarkan kepada peniaga di Pulau Pinang sejak Rabu lalu

    Harga sayur, 8 notis dikeluarkan kepada peniaga di Pulau Pinang sejak Rabu lalu

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan lapan notis pengesahan maklumat barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan  (AKHAP) 2011 kepada pengimport, pengeksport dan pemborong sayur sejak Rabu lalu.

    Notis itu dikeluarkan supaya pihak terbabit memberikan maklumat berkenaan kenaikan harga sayur-sayuran seperti yang dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini.

    Menurut Pengarah PPDNHEP Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar, pemeriksaan pihaknya mendapat sekurang-kurangnya tiga jenis sayur mengalami kenaikan harga di Pulau Pinang ketika ini.

    Jelasnya, sayur-sayuran itu adalah kacang buncis yang dijual pada harga antara RM15-RM17 sekilogram ketika ini berbanding RM12-RM14 sebelum ini.

    Turut menyaksikan kenaikan harga katanya, adalah sayur kubis bulat import daripada RM4-RM5 sekilogram kepada RM5-RM7 serta sekilogram, cili akar merah daripada RM13-RM15 kepada antara RM15-RM20.

    “Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan pada 22 November sehingga  semalam di pasar awam, didapati terdapat beberapa jenis sayuran yang mengalami kenaikan harga dan ada beberapa jenis sayuran yang mengalami penurunan harga.

    “Bagaimanapun, harga sayuran di pasar raya adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan harga yang ditawarkan di pasar awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Notis dikeluarkan PPDNHEP kepada pengimport, pengeksport dan pemborong sayur sejak Rabu lalu

    Menurut Mohd. Ridzuan, secara keseluruhan pihaknya mengeluarkan sebanyak 46 notis pengesahan maklumat barangan dan lima notis bertulis di bawah seksyen sama kepada peniaga sayuran di negeri itu sepanjang tahun ini.

    Jelasnya, selain pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa PPDNHEP, sebanyak 186 jenis barangan turut dipantau secara harian oleh Pegawai Pemantau Harga yang merangkumi 41 premis pasar serta 31 pasar raya super dan hiper terpilih di seluruh negeri itu.

    Dalam perkembangan sama ujar beliau, Seksyen Penguatkuasa PPDNHEP Pulau Pinang sepanjang tahun ini telah melakukan sebanyak 47,578 pemeriksaan berkaitan harga barang.

    “Daripada jumlah itu, sebanyak 373 kes dihasilkan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 yang melibatkan kompaun sebanyak RM46,850.

    “Selain itu, sebanyak 374 notis pengesahan maklumat barangan dan 139 notis bertulis di bawah seksyen sama telah dikeluarkan kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat kenaikan harga barangan,” katanya.

    Tambah beliau, sepanjang tahun ini juga, sebanyak 237 aduan melibatkan harga diterima pihaknya dengan 133 daripadanya melibatkan harga barang yang mahal. 

    Daripada aduan harga tersebut katanya, sebanyak 26 kes telah dibuka untuk tindakan.

    “Kita sentiasa mengambil berat berhubung isu harga barang ini dan sentiasa memberi komitmen penuh dalam memantau dan membuat pemeriksaan ke atas harga barangan bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa dilindungi. 

    “Bagi mengekang manipulasi harga, pemeriksaan akan terus dipergiatkan dan diberikan tumpuan khusus oleh pegawai-pegawai penguat kuasa,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau menasihatkan pengguna untuk membuat pilihan yang bijak apabila berbelanja dan menyarankan menggunakan aplikasi ‘price catcher’ bagi membuat perbandingan harga sebelum pembelian sesuatu barang dibuat.

  • Tiada gangguan bekalan minyak masak peket 1kg di Pulau Pinang

    Tiada gangguan bekalan minyak masak peket 1kg di Pulau Pinang

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang memaklumkan tidak berlaku keadaan minyak masak peket sekilogram (1kg) terputus bekalan di negeri itu ketika ini seperti dilaporkan akhbar dan menjadi rungutan banyak pihak.

    Menurut Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 24 syarikat pembungkus yang membekalkan 3.434 juta kilogram minyak masak bersubsidi 1kg di Pulau Pinang setiap bulan dan mendapati tidak berlaku gangguan di peringkat pengeluaran dan pengedaran ke pasaran. 

    Jelasnya, sejumlah 1.9 juta kilogram minyak masak bersubsidi 1kg telah diedar ke pasar raya dan peruncit untuk kegunaan domestik di seluruh Pulau Pinang dengan baki berjumlah 1.5 juta kilogram akan diedarkan dalam bulan ini.

    Tambahnya, tiga daripada 24 syarikat pembungkus beroperasi di Georgetown dengan kuota pengeluaran bulanan sebanyak 247,000 kilogram bagi kegunaan pengguna domestik di daerah Timur Laut dan Barat Daya.

    “Selain dari tiga syarikat di atas, syarikat pembungkus lain yang beroperasi di Seberang Perai, Pulau Pinang turut mengedarkan minyak masak bersubsidi 1kg ke daerah Timur Laut dan Barat Daya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu tambah beliau, merujuk kepada dakwaan had pembelian yang menyukarkan peniaga-peniaga kecil semasa membeli minyak masak subsidi 1kg, perkara tersebut bertujuan memastikan lebih ramai isi rumah dapat menikmati subsidi yang diberikan oleh kerajaan.

    Malah jelasnya, mana-mana peniaga tidak termasuk dalam golongan sasar untuk mendapatkan bekalan minyak bersubsidi 1kg bagi kegunaan perniagaan.

    “Sehubungan itu, pemeriksaan juga telah dijalankan ke atas beberapa premis runcit di kedua-dua daerah di atas mendapati bekalan minyak masak ada di pasaran.

    “Bagaimanapun, isu kekurangan bekalan minyak masak 1kg bersubsidi dibangkitkan kerana keinginan peniaga atau pengusaha makanan untuk membuat pembelian secara pukal atau dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan dan pemantauan kepada rantaian bekalan minyak masak subsidi 1kg akan terus dilaksanakan bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi ada di pasaran untuk kegunaan pengguna domestik.

    Usaha itu juga jelasnya, bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan ke atas subsidi yang diberikan dalam pengeluaran dan pengedaran minyak masak bersubsidi 1kg.